Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,918
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

“Kau apa pasal bad mood ni? Pembawakan budak ke?” tanya Azlie apabila melihat riak wajah Rabunah seperti ada yang tidak kena. Seakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran perempuan itu. Mereka berdua sebenarnya sedang menunggu Alin dan Wawa untuk menaiki LRT sama-sama ke Suria KLCC. Rabunah yang berdiam sejak tadi, baru hendak bersuara sebaik ditanya.

“Semalam Pak Cik Khairul datang rumah aku. Bestfriend ayah aku yang aku cerita tu...”

“Ooo! Yang anak dia nama Ally tu ye? Kekasih gelap kau tu kan! So?” Azlie mendengar dengan sabar. Beria-ia mahu menjadi pendengar setia.

“Memandai kau je kan kata kekasih gelap aku! Tak ada kena-mengena mamat tu dalam ini punya cerita okey!”

“Yelah! Yelah! Then what happen? Pak Cik Khairul tu masuk pinang kau instead of anak dia, Ally? Macam tu? Itu yang kau dalam dilema ni kan? Mahu memilih yang mana satu, bapak atau anak?” Sabar sajalah kalau bercakap dengan Azlie ini! Mahu sahaja aku patah riukkan tulang-temulang budak lembut ni! Pinggang Azlie dicubitnya geram, melatah-latah lelaki itu dibuatnya. Tergelak Rabunah melihat Azlie yang terlompat-lompat tidak tahan dengan cubitannya. Dia tahu kelemahan lelaki itu di bahagian mana, pantang dicucuk mahupun dicubit, menjerit mengalahkan perempuan!

“Padan muka! Suka sangat mereka-reka cerita yang bukan-bukan! Ha ha ha!”

“Kau saja je tau, jatuh saham aku melatah macam Ida Moin depan public! Aku public figure okey!” gelak besar Rabunah melayan keletah Azlie yang sengal-sengal ubi saja lawaknya. Dia yang awalnya sedikit kurang bersemangat kerana hal semalam, kembali ceria semula.

“Cepat sambung cerita kau!” pinta Azlie sambil ekor matanya liar menjeling-jeling kumpulan remaja perempuan yang tidak jauh berada di hadapan mereka. Manalah tahu kalau ada kelibat Wawa dan Alin, boleh saja dia melambai tangan sebagai isyarat. Puas memerhati sepintas lalu, nyata Wawa dan Alin belum sampai lagi di stesyen LRT itu.

“Pak Cik Khairul datang dengan isteri dia. Aku memang happy jumpa dia orang tapi yang aku bengang tu bila perempuan berangan tu ada dalam rumah aku! Meluat betul aku tengok dia! Menyakitkan hati sungguh!” seranah Rabunah puas-puas. Azlie berkerut dahi. Tidak dapat menangkap hujung pangkal cerita.

“Perempuan mana pulak yang buat kau naik angin ni, Una? Biar aku kuntau sama dia!” Dalam bersenda, Azlie juga menumpang geram. Manakan tidak, cubit peha kiri, yang kanan terasa sekali. Rabunah adalah kawan baiknya. Sudah tentu dia mahu melindungi kawannya sendiri.

“Perempuan gedik tu nama dia Natasha Giselle. Sepupu Ally, belah ibu dia.” terang Rabunah sependek boleh. Baru menyebut nama perempuan itu pun sudah membuatkan dia rasa berbulu. Inikan pula hendak mengenangkan ayat-ayat lahar yang keluar dari perempuan itu semalam.

“Natasha Giselle? Dia ingat dia Giselle Bundchen apa! Orang Melayu ke minah celup, Una? Apa perempuan tu dah buat dengan kau?” tanya Azlie tidak sabar. Herot-berot mulutnya menyebut nama perempuan itu, menjengkelkan saja dia rasa.

“Kalau kau nak tahu, isteri Pak Cik Khairul namanya Deborah. Aunty Deborah ni asalnya dari Australia. Lawa orangnya, mata biru tau. Tak sombong pulak tu. Kalau kau pertama kali jumpa dia pun kau mesti dapat cepat mesra dengan dia sebab dia approachable. Tak macam perempuan berangan tu! Berlagak diva! Kuasa aku...!” umpat Rabunah mengata orang. Hati kalau sudah geram, beginilah jadinya.

“Boleh pulak first time jumpa aku, dia pandang aku dari atas sampai ke bawah. Siap pakej mengata aku ‘perempuan tak siap’! Bercakap bajet macamlah dia tu pegang title miss universe!” sambung Rabunah melepaskan sakit hati yang belum surut lagi.

“Aku tak melawan balik sebab hormatkan Pak Cik Khairul dengan Aunty Deborah ada kat rumah. Aku buat bodoh ajelah walaupun tangan ni macam dah ringan melayang nak debik mulut perempuan tu. Cuma yang buat aku rasa terkilan...”

Berhenti Rabunah dari terus bercerita. Kalau tadi sampai menggenggam penumbuk, semangat meluahkan punya pasal, tetapi rautnya sekelip berubah tiba-tiba. Azlie diam. Barangkali ada perkara lain yang mahu Rabunah berkongsi dengannya. Dia sabar menunggu.

“Apa yang kau terkilan, Una? Kalau kau rasa okey beritahu aku, beritahu sajalah...” pujuk Azlie mengukir senyuman ikhlas.

“Perempuan berangan tu bersembang dengan mak aku. Aku terdengar perbualan dia orang. Waktu tu mereka di dapur dan aku pulak baru nak ke situ. Mak aku kata yang dia suka tengok penampilan budak Natasha tu. Lemah-lembut, pandai mengambil hati, bercakap pun sopan, kemudian cantik bergaya pulak tu! Tak macam anak dia yang kasar dan comot ni!” sepatah demi sepatah Rabunah mengulangsebut ayat-ayat pujian Puan Fatimah terhadap perempuan itu. Tiba-tiba sahaja dia merasakan dirinya cukup kerdil sekali.

“Mak kau saja je kut nak ambil hati perempuan tu. Yalah, namapun tetamu jarang-jarang sekali datang. Apalah sangat bermanis mulut? Aku percaya, mak kau tak maksudkan apa-apa. Lagi-lagi nak bandingkan perempuan tu dengan anak dia sendiri. Kau yang teremosi lebih-lebih ni!” pujuk Azlie cuba membuang prasangka bukan-bukan yang merasuk fikiran kawannya itu. Dia tahu Rabunah nampak saja luarannya kasar ketika bersama kawan-kawan tetapi kalau bersama keluarga, jiwanya lembut seperti agar-agar. Anak bongsu, fitrahnya begitu.

“Aku bukan marah atau terasa hati dengan mak aku. Tapi aku marah dengan diri aku sendiri. Lagipun apa yang mak aku cakap tu bukannya tak betul! Kau tengok sajalah aku ni macam mana? Sungguh aku tak pandai menghias diri segala ni! Aku tak suka! Rimas...!” luah Rabunah jujur sambil membelek kekurangan diri. Topi yang dipakai, diperkemaskan kedudukannya. Sedari dulu, dia menyedari yang dirinya berbeza dengan perempuan-perempuan yang lain.

Perempuan lain pakai kasut high heels, dia lebih senang dengan sneakers. Perempuan lain bergelang emas, kristal, berbatu permata segala tetapi dia lebih suka memakai wristbands! Perempuan lain kalau menjelang hari raya, sibuk menempah kain-kain mahal untuk membuat baju kurung mahupun kebaya tetapi dia tidak kisah sekalipun membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk membeli t-shirt dan jeans bundle! Perempuan lain sibuk hendak membela rambut panjang dan melakukan rebonding di salon tetapi dia jangan harap hendak menjejak kaki ke salon! Rambut pendek adalah gayanya. Ah, memang itu dirinya! Rabunah binti Ashraff!

“Isy, kau ni Una! Kenapa pulak kau perlu marahkan diri sendiri? Come on lah, Una! To be proud of your good self is the ingredient to add juice into your life, okay! Kau unik, aku unik, semua orang unik! Kalau semua orang sama, clichenya dunia! Kau pernah dengar bukan pepatah ni, beauty is in the eye of the beholder. Kalau kau kata diri kau ada kekurangan, aku lagi teruk! Orang keep on saying aku ni lembutlah, itulah, inilah! Ah, peduli apa aku dengan mulut tempayan dia orang! Di sisi ALLAH, Dia tak pandang semua tu. Bapak aku selalu pesan, istimewanya seorang manusia tu kalau dia sentiasa beriltizam untuk menjadi lebih baik dari hari-hari sebelum. Janji kita solat lima waktu tak tinggal, baca Quran selalu, taat dengan mak bapak kita, dan buat perkara yang ALLAH suka. Aku bercakap macamlah aku ni bagus kan? Kau ambil mana yang baik saja okey, yang buruk kau buang dalam longkang!” nasihat Azlie panjang lebar. Niatnya cuma hendak menenteramkan perasaan Rabunah.

Thanks Azlie... Kalau kau perempuan, aku dah peluk kuat-kuat tau! Haih, boleh buat aku jatuh cinta saja tau dengar nasihat kau. Ha ha ha!” ujar Rabunah yang kembali mengukir senyuman di wajah. Hatinya girang dan berasa bebas. Seperti rama-rama berterbangan keluar dari kepompong beluncasnya.

You are most welcome, Una. That’s what friends are for, right? Ha! Tu Alin dengan Wawa dah sampai! Baru nampak batang hidung dia orang!”

Azlie melambaikan tangan ke arah Alin dan Wawa yang berlari-lari anak mendapatkan mereka. Terus saja empat sahabat itu beratur membeli tiket untuk ke stesyen LRT KLCC. Sampai saja di kedai buku di dalam pusat membeli-belah terkemuka itu, kelihatan deretan orang ramai beratur panjang menantikan kehadiran Nigel Barker, jurugambar terkenal dunia itu. Azlie, Rabunah, Alin dan Wawa turut tidak ketinggalan untuk berada dalam barisan.

Keadaan menjadi sedikit kecoh sebaik saja kelibat Nigel Barker dan pegawai-pegawai peribadinya memasuki premis itu. Ucapan ringkas, sesi tandatangan buku baru beliau, dan sesi foto bersama para peminat merupakan aktiviti yang berlangsung pada petang itu. Rabunah dan kawan-kawan turut tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dengan selebriti itu, bolehlah tayang dalam Facebook. Bukan senang hendak berjumpa orang yang terkenal satu dunia!

Usai majlis dan kumpulan orang ramai yang berkerumunan tadi bubar, barulah Rabunah dapat menghembus nafas lega. Dia tidak selesa sesak-sesak sebegitu. Masing-masing pergi ke seksyen yang digemari. Azlie ke sudut majalah-majalah fesyen dan hiburan, Alin dan Wawa ke bahagian novel fiksyen manakala Rabunah sendiri tertarik untuk ke seksyen komik apabila terpandang buku Archie, buku komik yang pernah dibacanya ketika kanak-kanak dulu.

Tetapi semenjak menginjak dewasa, buku-buku komik bukan bahan bacaan pilihannya sekarang. Bahkan fikirnya, membaca komik lebih kepada membuang masa. Dia lebih sibuk mengulit buku-buku perubatan kerana dia mahu fokus dalam pengajian. Terkadang Rabunah terfikir, mana perginya sifat-sifat humor yang ada dalam dirinya sebelum ini.

Dari satu rak ke rak yang lain, Rabunah ralit memerhati ilustrasi menarik yang menjadi penghias kulit buku-buku komik dan manga yang terdapat di situ. Rata-rata memaparkan watak-watak animasi bermata besar bulat dan bundar berkaca yang menjadi ‘trademark’ bagi kebanyakan kartun-kartun khususnya jika buku itu datang dari negara matahari terbit. Dan barangkali dari pengaruh manga ini jugalah, popularnya kanta lekap big eye di pasaran sekarang. Besar juga pengaruh komik sekarang ini, sehingga melangkaui bidang fesyen itu sendiri. Fikir Rabunah membuat penilaian terhadap apa yang dilihatnya.

“Tak ada stok baru untuk komik ini? Yang ada ni, tak berapa nak eloklah bahagian hujung kulit dia,”

“Oh, itu browsing copy. Rasanya, ada yang baru. Sebentar ya, encik. Saya check dalam sistem kami, nak pastikan on hand ada berapa lagi yang tinggal,”

“Baiklah, terima kasih ya.”

Rabunah terdengar perbualan ringkas dua suara di belakangnya, suara seorang lelaki juga perempuan. Kelihatan staf perempuan di kedai buku itu sedang melayan kehendak pelanggannya yang pelbagai ragam. Berputar ligat fikiran Rabunah apabila menyedari pelanggan lelaki yang berada di bahagian komik dan manga itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Dari jarak dekat, barangkali cuma selangkah dua kaki saja jauhnya, Rabunah seakan mengetahui akan pemilik wajah itu.

‘Tak silap aku, ini lelaki bisu handsome tu! Macam manalah boleh jumpa dia kat sini?’ desis hati Rabunah. Rabunah meliar matanya mencari Alin, Wawa dan Azlie kalau-kalau mereka berada berdekatan di situ. Bolehlah dikhabarkan kepada mereka yang lelaki itu ada di sini. Bukankah mereka yang tidak puas-puas hendak berjumpa dengan lelaki tersebut? Tidak jemu-jemu meskipun lelaki itu kerapkali mengunjungi kedai serbaneka, tempat mereka bekerja itu.

Dalam kalut mencari kawan-kawannya, Rabunah tidak sedar tubuhnya melanggari bakul berisi buku yang dijinjing lelaki itu. Terlepas dari pegangan tangan lelaki tersebut, jatuh ke lantai. Mujurlah buku yang terjatuh, kalau barangan kaca, sudah berderai barangkali. Rabunah menepuk dahinya sendiri. Alamak! Apa pasallah aku kelam-kabut sangat?

“Err... maafkan saya. Tak sengajalah...” mohon Rabunah. Perlahan saja suaranya. Manalah tahu lelaki itu akan mengherdiknya tiba-tiba. Lagipun, memang kesilapannya. Rabunah bertinggung menolong lelaki itu memasukkan buku-buku yang terkeluar dari bakul plastik hitam itu untuk dimasukkan semula.

It’s okay. My fault too. Tak nampak awak tadi.” ujar lelaki itu dan menghadiahkan segaris senyuman. Serba-salah pula Rabunah hendak membalasnya. Rabunah menguit cuping telinganya, sungguhlah dia tidak bermimpi. Lelaki itu tidak bisu.

“Saya rasa macam pernah nampak awak. Awak yang kerja di convenience store dekat dengan Mewah Boulevard, bukan?”

Rabunah tertelan air liur. Macam mana pula lelaki ini boleh kenal aku? Aduh! Baru saja dia hendak berpura-pura tidak mengenali lelaki itu dan mahu beredar segera, lelaki itu pula mengecamnya. Rabunah teragak-agak hendak mengangguk. Dia terasa dirinya diperhatikan dari atas ke bawah. Ah, lelaki ini gila apa? Aku yang macam ini pun mahu direnungnya lama-lama!

“Awak pun minat manga juga?” tanya lelaki itu seperti mahu melanjutkan perbualan dengannya. Rabunah sudah terpasung kakinya di situ.

“Mmm...dulu. Sekarang tak lagi. Komik sesuai untuk budak-budak saja.” jawab Rabunah jujur sambil tangannya mencapai salah sebuah komik di rak bacaan depannya. Dia tidak tahu hendak bereaksi sebenarnya. Tidak selesa hendak menatap wajah lelaki itu yang merenungnya dengan pandangan yang sukar untuk diketahui maksudnya.

“Eh, siapa kata? Macam buku komik yang awak pegang sekarang tu... awak tahu kisah di sebaliknya?” tanya lelaki itu kepada Rabunah yang sudah berkerut dahi. Komik di tangannya, ditatap lama. Manalah aku tahu tentang sejarah komik!

“Komik Astro Boy yang awak pegang tu dicipta oleh Osamu Tezuka. Jangan terkejut kalau saya cakap yang dia adalah seorang doktor perubatan di Jepun. Bagaimana seorang doktor yang dikelilingi buku-buku tebal perubatan boleh pula mencipta watak kartun yang popular di seluruh dunia. Ironi bukan? Itu menunjukkan komik bukan untuk budak-budak ataupun orang yang tidak berpelajaran. Komik merentasi minat semua orang biarpun berbeza latarbelakang kehidupan mahupun pencapaian akademik. Bagi dia, dengan membaca bahan bacaan ringan seperti komik mahupun manga, dia dapat lari sebentar dari realiti yang kadangkala terlalu melelahkan,” ulas lelaki itu panjang lebar tetapi cukup lembut dan ramah. Rabunah tidak jadi hendak marah. Awalnya dia menyangka lelaki itu sengaja hendak menyindirnya secara tersirat tetapi sesudah mendengar apa yang dikatakan, fikiran rasionalnya turut bersetuju dengan pandangan peribadi lelaki itu.

“Okeylah, saya hendak bayar buku-buku komik ni. InsyaALLAH kita jumpa lagi. Assalammualaikum.”

Lelaki itu beredar dan sekali lagi dia melemparkan senyuman kepada Rabunah. Rabunah tiba-tiba berasa senang dengan lelaki itu. Jujur berterus-terang dan tega mempertahankan pendapatnya tetapi tidak menerusi kekasaran atau bahasa-bahasa kesat. Sungguh kontra dengan dirinya yang suka memberontak tidak tentu pasal. Boleh tahan juga lelaki ini! Rabunah tersengih sendiri.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.