Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
233,915
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

I rasa macam mahu cili-cili je mulut budak tu! Geram betul I! Huh!” hamun Natasha sebaik saja bertemu Dzulkarnain. Lelaki itu menggelengkan kepala. Tiada angin tiada ribut, sudah taufan satu badan perempuan di hadapannya itu. Apa lagilah yang tidak kena?

You ni kenapa? Asyik nak marah je, cubalah kawal emosi tu. Ringankan lidah tu untuk beristighfar sikit,” tegur Dzulkarnain yang sebenarnya sudah jemu melayan kerenah kebudak-budakan Natasha yang tidak pernah berubah. Puaslah dinasihat secara terang-terangan, disindir dalam diam, namun perangai perempuan itu tetap di takuk lama. Bahkan makin menjadi-jadi pula.

You jangan nak berceramah agama pulak dengan I. I tengah sakit hati ni! Ada budak hingusan perli-perli I tadi. Dah lah, I malas nak cakap lagi. Bertambah bad mood je I nanti. Lagipun, hari ni I nak happy-happy je bila jumpa dengan you,” luah Natasha dengan suara manja sambil tangannya sudah melingkar memeluk pinggang Dzulkarnain. Pantas saja lelaki itu menarik tangan Natasha ke bawah. Memercik api kemarahan Dzulkarnain setiap kali dirinya diladeni sebegitu. Natasha mengganggapnya seperti anak patung yang boleh diulit-ulit dan dipegang-pegang sewenang-wenangnya. Sudah merah muka lelaki itu menahan sabar.

“Berapa kali I cakap, tangan tu jangan menjalar macam ular!” bentak Dzulkarnain keras tetapi disambut sengihan menggoda oleh perempuan itu. Natasha memang sudah faham akan perangai lelaki pujaannya itu, nescaya akan meradang marah apabila dipeluk-peluk sedemikian rupa. Tambahan lagi apabila mereka berada di khalayak ramai. Tetapi Natasha tidak endah. Bahkan dia merasakan cukup bertuah sekali kerana hanya dia satu-satunya perempuan yang berani dan dapat menyentuh tubuh sasa lelaki tampan itu biarpun cuma sesaat dua.

“Yalah-yalah. You ni tak sporting langsung tau! Pegang sikit pun tak boleh! Macam anak dara!” sindir Natasha sengaja ingin melihat respon lelaki itu dengan kenyataan yang dikeluarkannya.

You dengan I bukan mahram pun yang boleh bersentuh-sentuhan,” Ulas Dzulkarnain pendek tetapi padat. Natasha tidak mahu mengalah. Kali ini dia mahu menang!

“Alah, kalau nak cakap tentang dosa sebab kita bukan mahram... kita halalkanlah perhubungan ni. Lagipun kita keluar berdua ni pun dah dianggap dosa tau, setan kan ada untuk jadi orang ketiga. He he he.” jawab Natasha semula menggunakan pendekatan agama bagi membalas hujah Dzulkarnain. Perempuan itu tergelak kecil. Rasa lucu di tangkai hati dapat mengenakan lelaki itu.

“Ada ilmu juga you ye tentang agama? Alhamdulilah, baguslah. Disebabkan you dah tahu hukum-hakam, you tahanlah mana-mana teksi untuk ke tempat yang you nak pergi. InsyaALLAH selamat kita dari bisik-bisik hasutan ‘orang ketiga’,” selamba saja Dzulkarnain memulang paku buah keras. Mendadak riak wajah Natasha berubah. Penat-penat dia berhias cantik untuk keluar dengan lelaki itu, alih-alih hendak ditinggalkan begitu saja. Dzulkarnain sudah masuk ke dalam kereta. Enjin kereta sudah dihidupkan. Berlari-lari anak Natasha mengejarnya dari belakang.

You jahat tau! I tak kira! I nak you temankan I jugak! I ni tanggungjawab you! You mesti ingat tu!” serang Natasha dengan satu-satunya alasan kukuh yang dapat melembutkan hati Dzulkarnain. Lelaki itu mengalah. Benar, atas nama kewajipan itulah dia terpaksa ke hulu ke hilir menemankan Natasha atau lebih tepat lagi menjaga keselamatan perempuan itu yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Meluru Natasha masuk ke dalam kereta Dzulkarnain sebelum lelaki itu berubah fikiran. Kereta terus dipandu menuju ke sebuah pusat membeli-belah terkemuka di ibukota. Sebaik sudah mendapat tempat parkir, Natasha dengan lenggok jalannya yang seperti model memperagakan pakaian di pentas fesyen, menarik perhatian mata-mata yang memandang. Perkara yang paling Natasha sukai! Menjadi tumpuan orang ramai.

“Kita ke butik Adidas, Dzulkarnain... I nak cari sportswear lah kat sana,”

Dzulkarnain tidak berkata apa-apa, sekadar menemani Natasha yang teruja dan rambang mata. Selepas sehelai, sehelai lagi pakaian yang dicuba Natasha. Sekejap-sekejap, pandangan Dzulkarnain diminta sama ada baju yang dipakai itu sesuai atau tidak dengannya.

“Okey tak, yang?” gedik saja suara Natasha memanggil Dzulkarnain dengan timangan sayang. Lelaki itu hanya memandang sekilas dan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Duduk beku di bangku yang terdapat di situ sambil mengira detik waktu yang sudah berlalu. Berapa lamalah lagi perempuan ini hendak membelek baju di sini? Getus Dzulkarnain dalam hati.

Hampir dua jam, barulah Natasha berpuas hati dengan pilihannya. Berhelai-helai baju sukan yang dibeli perempuan itu. Lengkap dengan kasut sukan sekali! Timbul rasa hairan Dzulkarnain melihatkan kerenah Natasha kerana tidak pernah-pernah pula sebelum ini Natasha memborong pakaian sukan. Kalau tidak beg tangan, minyak wangi berjenama dan bahan-bahan mekapnya, bukan Natasha Gisellelah orangnya.

“Apa mimpi you shopping sportswear pulak ni?”

“Apa pulak mimpinya? You ingat you sorang je aktif bersukan? I mengamalkan hidup yang sihat dan cergas tau!” terang Natasha menjongketkan keningnya. Dzulkarnain terasa mahu menghamburkan tawa saja mendengar pengakuan palsu itu. Bukan dia tidak dapat membaca perangai Natasha Giselle. Perempuan itu selalunya hangat-hangat tahi ayam saja. Dulu, kononnya mahu menyertai kelab tenis hinggakan beribu-ribu ringgit dihabiskan membeli peralatan untuk sukan itu tetapi sudahnya, merungut kerana takutkan mekap cair akibat berpeluh. Mengada saja lebih!

“Oh really? Boleh percayalah sangat! Suka hati youlah!”

Natasha menjuihkan bibir melihatkan sengihan sinis lelaki itu. Hakikatnya, tujuan dia membeli pakaian sukan itu adalah semata-mata hendak menjayakan rancangan jahatnya. Ini baru permulaan.

Menjelang tengahari, Dzulkarnain mahu menghantar Natasha balik walaupun perempuan itu ada saja ideanya hendak melengah-lengahkan masa. Janji Dzulkarnain kepada Natasha pada hari ini hanyalah menemani perempuan itu membeli-belah. Selebihnya, dia juga punya kehidupan dan urusan sendiri.

“Selesai dah tugas I temankan you shopping. Sekarang, I nak balik. You mahu I hantarkan balik atau masih nak berkampung dalam shopping complex ni? Kalau tak mahu balik lagi, sendiri ambil teksi ye cik Natasha,” ugut Dzulkarnain sambil memandang muka tidak puas hati Natasha. Perempuan itu kalau boleh mahu melekat 24 jam dengan lelaki pujaannya.

You ni kejam tau. Sampai hati you name it as a tugas bila keluar dengan I. Tak ikhlas betul! I lapar tau... kita makanlah dulu. Kemudian baru balik. Okey?” rengek Natasha meminta perhatian daripada Dzulkarnain. Faham benar dengan taktik perempuan itu, pandai mencari peluang dan ruang!

Fine but on one condition. Kita makan di kedai mamak tepi jalan je. Mual tekak I makan western food je tiap kali keluar dengan you,” duga Dzulkarnain ingin melihat sejauh mana kesanggupan perempuan itu untuk melakukan sesuatu yang tidak disenanginya sama sekali. Makan di warung atau gerai sememangnya bukan standard Natasha Giselle. Dzulkarnain berharap perempuan itu menolak pelawaan syaratnya.

“Err... okeylah...” rela dalam paksa saja bunyinya. Natasha mengangguk lemah. Dzulkarnain menggaru kepala. Nyata, Dzulkarnain tidak dapat mengelak. Mati-matilah dia menyangka perempuan itu akan memberontak tidak mahu. Sudahnya, dia yang mati akal!

Dzulkarnain memandu keretanya menuju ke sebuah restoran mamak, tidak segah mana pun tempat makan itu. Bagi Dzulkarnain, asalkan makanan yang disediakan halal, dimasak orang muslim sendiri, dan bersih penyediaan juga kawasan niaganya, itu sudah memadai. Dilihatnya Natasha seperti teragak-agak mahu keluar dari kereta, riak wajahnya saja sudah cukup menunjukkan yang dia benar-benar tidak selesa. Dzulkarnain tersengih lagi. Masa untuk membalas dendam!

“Duduklah, yang you tercegat berdiri kenapa?” suruh Dzulkarnain apabila mendapati Natasha sibuk mengelap permukaan kerusi itu dengan tisu yang siap-siap dibawanya. Dzulkarnain melambai tangannya memanggil seorang pelayan yang tidak jauh dari situ untuk membuat pesanan.

“Bagi saya fresh orange dengan nasi goreng belacan. Pedas ye. Cili padi letak lebih. You?” tanya Dzulkarnain kepada Natasha yang masih lagi terangkat-angkat punggungnya, tidak dapat duduk dengan selesa di kerusi plastik berkaki empat itu. Biasa sangat dengan kemewahan, sampaikan duduk di kerusi yang bukan empuk pun menjadi masalah kepada perempuan itu. Dzulkarnain menggeleng dalam diam.

“Err... I takde seleralah. You sorang je lah makan,”

“Aik, tadi kata lapar? Tak mahu makan, orderlah air,” usik Dzulkarnain.

Fresh orange jugaklah. Sama dengan you...” pesan Natasha tidak mahu berfikir lagi. Sungguh seleranya putus tiba-tiba. Tanpa menunggu lama, menu yang dipesan sampai di atas meja mereka. Dzulkarnain menikmati nasi goreng belacannya tanpa menghiraukan Natasha yang gelisah tidak menentu. Barangkali mengharap Dzulkarnain cepat menyudahkan makannya, dan bolehlah mereka beredar dari situ dengan segera.

Selang tiga empat buah meja dari mereka, seorang lelaki tua berpakaian compang-camping sedang menjamah sisa-sisa makanan yang masih belum dikemaskan di atas meja restoran tersebut. Bau hamis lelaki itu meloyakan Natasha, ditekup hidungnya dengan tisu tetapi masih lagi bau pesing itu menyucuk-nyucuk deria hidunya. Natasha menolak gelas minumannya ke tengah meja, lalu mencuit tangan Dzulkarnain yang duduk setentang dengannya.

“Dzulkarnain, jom kita pergi dari sini. Ada orang gilalah dekat meja sebelah,” bisik Natasha sambil menjuih ke arah susuk yang dimaksudkan. Dzulkarnain mengalihkan pandangan, tertumpu kepada lelaki tua yang sedang meratah makanan yang ditinggalkan pelanggan.

“Tengok tu Natasha. Sepatutnya you bersyukur kerana diberi nikmat hidup yang mewah, tidak melarat macam orang tua tu. Jangan biasakan diri dengan kesenangan dunia, nanti baru diduga sikit, sudah menggelupur tak mampu menanggung. Habiskan minuman you tu, jangan membazir!” tegur Dzulkarnain ikhlas. Natasha muncung mulutnya, tidak suka dinasihat sebegitu. Baginya, tarbiah itu satu tempelak buat dirinya.

Bangkit Dzulkarnain menghala ke kaunter bayaran manakala Natasha sudah menunggu di pintu kereta. Tidak sabar benar perempuan itu hendak beredar dari restoran mamak tersebut. Sungguh, inilah kali pertama dan terakhir dia berkunjung ke tempat makan seumpama itu. Dia tahu Dzulkarnain memang sengaja hendak mengenakannya. Ada ubi ada batas, gumam Natasha dalam hati.

You did this on purpose, didn’t you?” berontak Natasha sebaik saja mereka berdua sudah masuk di dalam kereta. Dzulkarnain yang baru hendak menghidupkan enjin keretanya, berkerut dahi memandang Natasha di sebelah.

You mengamuk tak tentu pasal ni, kenapa?” soal Dzulkarnain, pelik dengan tingkah Natasha. Hendak memandu pun tidak senang apabila cuping telinganya terpaksa mendengar cecehan perempuan tersebut.

You sengaja bawa I makan kat tempat jin bertendang ni, kan? Perut I lapar, you tahu tak...!” jerit Natasha sekuat hati di dalam kereta dan bahu lelaki itu dijadikan tempat sasaran tumbukannya berkali-kali. Sebelah tangan Dzulkarnain menepis-nepis tangan Natasha yang tidak henti-henti memukulnya. Dzulkarnain tidak dapat mengawal pemanduan, stereng yang dipegang terpusing ke kanan sedikit lalu menyebabkan kereta itu melanggari sesuatu di hadapan. Mujurlah mereka masih di dalam kawasan parkir terbuka berdekatan restoran itu, bukan di tengah-tengah jalan raya.

See..! What have you done, Natasha!” giliran Dzulkarnain pula meninggikan suara. Natasha terdiam. Menikus perempuan itu membeku diri. Dzulkarnain cepat-cepat membuka pintu kereta dan mahu melihat apa atau siapa yang dilanggarinya secara tidak sengaja tadi. Cemas lelaki itu dibuatnya apabila mendapati orang tua yang dilihat mereka di dalam restoran tadi, sedang terduduk mengerang kecil dan punya kesan darah pada bahagian lutut di seluarnya.

“Ya ALLAH, maafkan saya pak cik. Sungguh saya tak nampak pak cik di depan tadi,” luah Dzulkarnain melahirkan rasa kesal dan bersalah. Orang tua itu menggeleng-gelengkan kepala menunjukkan yang dirinya tidak apa-apa. Perlahan-lahan orang tua itu cuba bangun dan pantas saja Dzulkarnain memapah susuk tidak berkudrat itu.

“Pak cik yang bersalah sebab tak nampak kereta anak tadi. Maafkan pak cik menyusahkan kamu,” ucap orang tua itu sambil tertunduk-tunduk kepalanya seperti ketakutan dijerkah lelaki muda yang berdiri di hadapannya. Bertambah rasa bersalah Dzulkarnain kerana hakikatnya, dia yang lalai dan tidak berhati-hati ketika memandu tadi.

“Saya bawa pak cik ke klinik ya? Lutut pak cik berdarah tu. Nanti saya minta doktor bersihkan luka tu,” tawar Dzulkarnain dengan setulus hati. Orang tua itu menggeleng kepala lagi. Natasha yang memasang telinga akan perbualan itu, keluar dari dalam kereta dan berdiri di sisi Dzulkarnain.

You ni dah hilang akal ke nak bawa orang gila ni masuk dalam kereta you? Habis hancing seat you nanti,” sanggah Natasha tidak bersetuju dengan pertolongan yang ditawarkan Dzulkarnain terhadap lelaki tua yang di matanya kelihatan seperti seorang pengemis yang cuba mengambil kesempatan!

Can you shut your mouth, Natasha. Pergi masuk!” arah Dzulkarnain, begitu tegas bunyinya. Natasha menghentakkan kaki kerana dimarahi. Membungkam saja perempuan itu kembali ke tempat duduknya dan memeluk tubuh.

“Marilah pak cik, masuk dalam kereta. Saya hantarkan ke klinik. Izinkan saya tebus rasa bersalah saya pada pak cik,” lembut Dzulkarnain memujuk orang tua tersebut. Lapang dada Dzulkarnain bila mana orang tua itu akhirnya mengangguk setuju.

“Nama pak cik siapa?” ramah Dzulkarnain bertanya sebaik saja orang tua itu sudah duduk di tempat duduk belakang di dalam keretanya.

“Nama pak cik, Shafari nak...” jawab orang tua itu takut-takut. Barangkali takut melihat perempuan di sebelah lelaki muda yang asyik-asyik menjelingnya dengan kerlingan tajam. Dzulkarnain terus memandu kereta menuju ke klinik berhampiran. Sementara Natasha sudah menyumbat hidungnya dengan gumpalan tisu. Sengaja berbuat demikian bagi menyakitkan hati orang tua di belakangnya.

“Busuk...” sungut Natasha antara dengar dengan tidak.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.