Wawa menatap wajahnya sekali lagi di hadapan cermin,
malu-malu pula dia melihat refleksi dirinya sendiri yang terzahir di situ. Hendak
tergelak pun ada tetapi apabila direnung-renung lebih lama, semakin manis pula
dia berpenampilan sebegitu. Sudahnya dia tersenyum simpul seronok berangan.
Rasa tidak percaya pula yang akhirnya, dalam usia 25 tahun, dia bertudung
litup. Apalah respon yang bakal diterimanya lebih-lebih lagi daripada kawan-kawan
rapat yang bekerja di bawah satu bumbung dengannya. Dia mengharap perubahannya
ini tidaklah menjadi bahan sendaan. Kalau sekadar usik-usik ringan, itu tidak
menjadi masalah baginya.
Kunci
kereta dicapai, dia harus bertolak sekarang. Sebenarnya pada hari ini dia sudah
berjanji untuk berjumpa dengan Rabunah, Alin dan Azlie. Mahu makan tengahari
bersama dan dalam masa yang sama, hendak membuat kejutan kepada mereka semua akan
perubahan imej yang dia tampilkan sekarang. Jarang-jarang sekali mereka
dijadualkan cuti bersama dan pada hari ini, seperti sudah dirancang-rancang
pula bila mana hari cuti keempat-empat mereka jatuh pada hari yang sama. Wawa
merancang untuk berkumpul makan tengahari di Secret Recipe, dia mahu belanja
kawan-kawan baiknya di sana.
Kurang
10 minit perjalanan, sampailah Wawa ke restoran tersebut. Dan dari jauh,
kelibat tiga kawannya yang sedang duduk menunggunya di dalam restoran itu sudah
kelihatan. Dinding kaca yang menjadi pemisah antara luar dan dalam, memudahkan
Wawa untuk melihat telatah kawan-kawannya itu yang sedang rancak berborak.
Manakan tidak, kalau sudah ada Azlie, suasana yang bosan pun boleh menjadi riuh
rendah dibuatnya.
“Assalammualaikum.
Lama tunggu?” sapa Wawa menyebabkan keriuhan tiga sekawan itu bersembang
berhenti serta-merta. Masing-masing terdiam dan memandang dari atas ke bawah
akan empunya suara yang berdiri tersenyum memandang mereka.
“Ya ALLAH...!
Kak Wawa ke ni...? Kak Wawa!!!” serentak Rabunah, Alin dan Azlie bangun dari
kerusi mereka. Naik segan pula Wawa dibuatnya apabila satu restoran bergema
dengan namanya. Rabunah dan Alin mendakap mesra dirinya, terharu pula dengan
penerimaan kawan-kawannya itu.
“Korang
ni, tak perlulah kut laung nama aku sampai satu restoran dengar. He he he.”
usik Wawa lalu menarik kerusi untuk duduk.
“Mana
kami tak menjerit, sungguh kami tak kenal siapa tadi. Ingatkan Heliza Helmilah
tadi!” Budak Azlie ini kalau sudah merepek, bagilah pada dia. Aku yang besar
gadang ini dikatanya sama dengan artis AF yang kurus melidi dan comel lote itu.
Dicubitnya pinggang lelaki itu sebagai balasan. Menjerit kecil Azlie dibuatnya.
Perlakuan dua sahabat itu mengundang tawa dua yang lain.
“Banyaklah
Heliza Helmi kau, Azlie. Eh, korang dah order
ke belum ni? Nanti lambat pula sampai makanannya. Aku dah kelaparan dah ni,”
bijak Wawa melencongkan topik perbualan. Yalah, kalau penampilannya itu asyik
dibelek-belek, direnung-renung seperti patung lilin di Madame Tussauds, bila
pula masanya mereka hendak memesan makanan. Wawa melambai tangannya memanggil
pelayan yang berdiri tidak jauh dari meja mereka. Beredar pelayan lelaki itu
sebaik pesanan empat sahabat itu diambil.
“Kak Wa
pakai tudung makin bertambah ayu tau. Manis je nampak,” puji Rabunah ikhlas.
Sedikit sebanyak tergerak pula hatinya untuk berpenampilan sebegitu. InsyaALLAH,
suatu hari nanti.
“Sungguh
ke, Una?” tanya Wawa semula. Kembang pula hatinya dipuji sedemikian rupa. Dia
sedia maklum akan sikap Rabunah, kawannya yang seorang itu bukan jenis yang
suka bermanis-manis mulut. Apa yang terlahir dari mulutnya, tidak dibuat-buat.
“Sunggulah
kak Wa. You look pretty with hijab,” tambah
Rabunah mengkagumi Wawa dalam diam. Kalau dulu Wawa lepas bebas rambut
sederhana pendeknya, tetapi sekarang apabila sudah berlitup, pesonanya
menyerlah. Meski Wawa tubuhnya berisi tetapi pemilik lesung pipit di wajah
apabila tersenyum itu mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Alin turut
terangguk-angguk setuju.
“Dah...
dah... tak mahu puji-puji lagi. Nanti badan aku yang macam pelampung ni
bertambah-tambah kembang pulak. Ha ha ha.” Wawa tertawa dengan ungkapannya
sendiri. Bukannya apa, dia tidak mahu niatnya yang terdorong dari hati yang
bersih untuk berubah menjadi lebih baik, boleh tersasar pula apabila hadirnya
perasaan berbangga diri. Dia takut menjadi riak pula. Apa yang mahu dikongsikan
bersama kawan-kawannya sekarang adalah betapa indah sebenarnya menjalani
kehidupan berlandaskan syariat agama.
Benar,
dulu dia tidak mementingkan sangat akan perihal itu. Tetapi semenjak
kebelakangan ini, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh enam bulan yang lalu,
hidayah yang dicari akhirnya membuka pintu hatinya untuk berhijrah. Perasaan
yang paling indah tatkala menyarung hijab pemisah aurat mata bukan mahram ini
adalah ketenteraman. Jiwanya tenteram sekali dan berasa selamat dari fitnah dan
dosa. Bahkan dengan bertudung, dapat membataskan dirinya untuk tidak
berlebih-lebihan dalam perlakuan atau pergaulan.
“Macam
mana boleh tiba-tiba kau nak bertudung, Wa? Semalam, kau mimpi kena patuk ular sawa
ya?” usik Azlie yang memang tidak berlapik ayatnya.
“Ha ha
ha. Kalaulah aku mimpi dipatuk ular, tentu aku dah tersenyum lebar tau. Kata
orang tua-tua, tu tandanya aku nak kahwin dengan anak raja. Ini tak ada
kena-mengena dengan mimpilah Azlie oi. Cuma apa yang aku tahu, barangkali waktu
untuk aku berubah sudah sampai. And here
I am! He he he.” terang Wawa lalu tertawa kecil. Bak kata orang, sudah
sampai seru. Tetapi menurut ustaz-ustaz yang pernah Wawa hadiri ceramah agama
mereka, kurang sesuai bila mana kita memberi alasan perubahan ke arah sesuatu
yang baik kerana sudah sampai seru. Ini kerana seruan untuk kita berubah dan
membaiki diri, berlaku sejak dulu lagi, tinggal lagi terpulang pada hati sama
ada mahu menurut jalan ke arah itu atau tidak.
15 minit
kemudian, empat menu yang dipesan mereka sudah sampai di atas meja. Senyap
sejenak suasana, manakan tidak, mulut masing-masing penuh dengan makanan.
Lagi-lagi makan percuma dibelanja, bertambah-tambah nikmat makan tengahari
mereka di restoran itu.
“Ha! Kau
dah add tak akaun Facebook yang aku suruh
kau buka semalam?” Azlie memecahkan suasana diam itu dengan cerita sensasinya.
Rabunah yang tidak menyedari soalan itu diajukan kepadanya, langsung tidak
mengendahkan pertanyaan tersebut. Dia terus menyuapkan makanan ke dalam
mulutnya seperti tiada apa-apa yang berlaku. “Hoi, perempuan! Kau berkhayal apa
sambil makan?” sergah Azlie lalu mengetuk permukaan meja makan. Hampir mahu
tersedak Rabunah dibuatnya lantaran terkejut.
“Lah,
kau cakap dengan aku ke? Orang tengah syok makan spageti ni!” rungut Rabunah
apabila kenikmatannya menghadam spaghetti
chicken meatballs yang dipesannya itu terganggu seketika. Berkerut dahi
perempuan itu terpinga-pinga hairan bila mana semua mata tertumpu ke arahnya.
Seakan-akan menanti butir-butir kata yang bakal keluar dari mulutnya.
“Adoi, blur jugak perempuan ni! Aku tanya tadi,
kau dah add tak akaun Facebook, Hansamuna
shikai yang aku beritahu malam semalam tu?” Azlie mengulang semula ucapnya
tadi. Rabunah tergaru-garu kepala, cuba mengingatkan kembali sama ada malam
tadi, ada dia berbuat demikian atau tidak? Seingatnya, selepas bersembang
dengan abangnya Fauzi, kelopak matanya betul-betul terasa berat dan terus
terlelap sejurusnya. Sebaik bangun pagi tadi pun, komputer ribanya tidak
ditutup sempurna.
“Aku
rasa aku tak add kut. Tapi adalah aku
tengok sekali imbas default picture
akaun Facebook dia. Gambar ubat gigi merah jambu tu kan? Kenapa dengan tuan
punya akaun tu? Siapa dia?” tanya Rabunah mahukan penjelasan. Yalah, beria-ia
sungguh Azlie menyuruhnya untuk melihat akaun laman sosial itu sedangkan tidak
diberitahu siapakah pemiliknya. Silap-silap penyangak siber mana entah!
“Kalau
kau nak tahu, Hansamuna shikai tu lelaki handsome
yang selalu datang kedai kita tu!” Alin yang sedari tadi senyap tidak bersuara,
mencelah menerangkan identiti di sebalik empunya diri sepotong nama yang pelik
itu. “Kalau kau nak tahu lagi, akulah yang mula-mula jumpa akaun Facebook dia.
Tapi aku tak seberapa pasti sama ada itu dia atau tidak sebab waktu tu, dia
letak default picture dia tengah baca
komik manga. Bukan gambar ubat gigi merah jambu seperti sekarang ni. Bila aku
perhati betul-betul, ada iras-iras muka dia. Tak berani pulak aku nak add dia, nanti dikatanya aku hidung tak
mancung, pipi tersorong-sorong pula,” cerita Alin bersemangat. Ada nada sedikit
bermegah di situ. Maklumlah, dia yang menjumpai akaun Facebook lelaki itu
terlebih dulu. Sejenak Alin berhenti bercakap, menyedut jus tembikai yang belum
terusik lagi.
“Itu yang
aku jadi mangsa. Alin suruh aku pulak yang add
mamat tu. Tapi sampai sekarang, dia approve
pun tidak. Tak dapat nak tengok gambar-gambar dalam album dia. Teringin jugak nak
tahu life dia macam mana,” sambung
Azlie melengkapkan jalan cerita tentang penemuan laman sosial lelaki tampan
yang tidak lagi mereka kenali namanya itu.
“Oh,
jadi kau suruh aku add dia supaya
korang semua boleh view profile
dialah ni ya?” serkap Rabunah yang seperti dapat mengagak akan sebab-musabab dirinya
pula yang menjadi umpan. Äzlie dan Alin sudah tersengih-sengih. “Betullah ni
kan? Huh! Kuasa aku! Banyak lagi benda lain aku boleh buat, dari add dia,” bunyi macam tegas saja nada
Rabunah membidas. Tetapi dua kali dengar, bunyinya seperti orang jual mahal pun
ada juga.
“Alah,
kau add lah dia Una! Aku jamin punya,
kalau kau yang add dia, dah
tentu-tentu dia aprrove secepat
mungkin. Lagipun kita orang tengok, kau dengan dia macam ada chemistry. Buktinya, sudah dua kali
bukan kau bersembang mesra dengan dia. Tapi dengan kami, mimpi sajalah,”
provokasi Azlie pada kawan baiknya itu. Dalam pada itu, sempat lagi mengenakan
Rabunah sipi-sipi. Azlie, Alin dan Wawa sudah menjongket-jongket kening mereka.
“Banyaklah
chemistry kau! Itu bukan chemistry namanya. Itu
k.e.b.e.t.u.l.a.n... kebetulan. Ada faham?” pertahan Rabunah tentang pertemuan
tidak dirancang yang terjadi sebanyak dua kali dengan lelaki itu. “Dan satu
lagi, bila masa pulak aku bersembang mesra dengan dia? Tak ada istilah
mesra-mesranya! Tak sesuai okey.” Rabunah mengerutkan hidung dan memuncungkan
bibirnya. Azlie membalas perlakuan itu dengan menjelirkan lidahnya pula.
“Eleh!
Boleh percaya ke kau ni? Entah-entah siap mengigau berlari-lari di taman bunga
dengan laki tu kan? Ha ha ha!” sakat Azlie habis-habisan. Laju jari telunjuk
dan ibu jari Rabunah hinggap mencubit di dada Azlie. Dipulasnya puting dada
lelaki itu 360 darjah. Melatah lelaki itu sekuatnya. “Una, kau dah menodai aku!
Aku buat laporan polis, biar kau kena dakwa atas kes meraba dada lelaki!” Azlie
sudah datang sengal-sengal ubinya. Riuh meja itu dengan gelak tawa mereka empat
sahabat.
Hampir
dua jam mereka makan tengahari bersama di restoran itu, penuh dengan gosip dan gelak
ketawa. Wawa mengangkat tangannya, meminta bil kira-kira pada salah seorang
pelayan restoran itu. Masing-masing mengucapkan terima kasih kepada Wawa kerana
sudi membelanja mereka makan. Bukan selalu mereka dapat berkumpul satu meja
seperti hari ini.
“Kak Wa,
baru pukul 3:00 petang. Kita main boling jom!” cadang Azlie dan mendapat
anggukan setuju dua yang lain. Wawa serba salah hendak menolak tetapi dia punya
urusan selepas ini. Diikutkan hati, memang mahu saja dia mengikut tetapi janji
sudah dimeterai. Mana mungkin dia mahu mungkiri.
“Korang proceed lah tanpa aku. Aku tak bolehlah,
ada hal sikit. Tak apa kan?” tanya Wawa mengharap kawan-kawannya memahami akan
keadaannya. Jam yang melingkar di pergelangan tangan, dipandangnya sekilas
lalu. Lagi satu jam, dia perlu berada di satu tempat yang lain. Sedikit jauh
dari lokasinya sekarang ini. Lambat bertolak ke sana, khuatir pula dirinya akan
terlewat.
“Alah,
Kak Wa tak ada... tak bestlah! Hilang
aura tau,” Rabunah memujuk dalam halus.
“Maaflah.
Petang ni memang tak boleh. Alah, Azlie kan ada. Mulut dia sorang dah mewakili
lapan orang. He he he. Meriah tak ingat!” jawab Wawa, sempat lagi memerli
Azlie.
“Eleh,
ada date lah tu kan? Mentang-mentang
dah berpenampilan ala-ala Hana Tajima, pandai dah keluar dating ya? Nak mengintiplah!” Azlie sengaja hendak menyibuk. Belum
sempat Wawa hendak membalas, telefon bimbitnya berbunyi. Satu pesanan baru
masuk ke kantung mesej selularnya. Tersorok-sorok Wawa membalas mesej tersebut
di hadapan kawan-kawannya itu dan lekas-lekas memasukkan semula telefon bimbit
itu ke dalam poket seluar seusai butang hantar ditekan.
“See...! Mesti,
boyfriend yang hantar mesej tu kan? Wow,
Wawa dah ada boyfriend tu!” tebak
Azlie sebenarnya sengaja hendak menyakat tetapi melihatkan riak wajah Wawa yang
merona merah dan kelihatan seperti malu-malu diusik begitu, seolah-olah
membenarkan pula usikan tersebut. Dalam kepala masing-masing mula memikirkan, betulkah
Wawa punya teman lelaki? Tunggulah, esok juga mereka akan dapatkan jawapan.