Home Cerpen Islamik Halai-Balai Apokalips - sebuah karya introspeksi keagamaan
Halai-Balai Apokalips - sebuah karya introspeksi keagamaan
A. Darwisy
7/1/2014 22:17:18
3,535
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Kecoh. Barangkali itulah gambaran paling tepat sekali dengan apa yang dilihatnya sekarang ini. Lautan manusia bertempiaran lari, entah apa yang mereka takuti, dia yang melihat sedari tadi pun tidak mengerti. Stephen memperkemaskan ikatan kain yang tersandang di bahunya, hampir-hampir saja terburai isi dalamnya lantaran berbondongan penduduk di kawasan itu berpontang-panting mengasak ke arahnya, tidak sempat untuk dia mengelak dan menyelinap ke tepi. Teraba-raba lelaki itu menyentuh kendong yang dibawa, mashaf suci itu harus dijaganya sebaik mungkin, dan tiada tangan lain yang dibenarkan untuk mencemari.

Sekali lagi lelaki itu mendengar deruan derap tapak kaki yang menandakan ada segerombolan manusia sedang menghala ke tempat dia sedang berdiri. Bergegas Stephen menyelamatkan diri, bersembunyi dia di celah-celah binaan tinggi yang tidak lagi berpenghuni, bimbang kalau-kalau dipijak sampai mati. Benar telahannya bila mana sekelip dua kelopak matanya berkedip, seperti hurikan sekumpulan mubaligh paderi berjubah rona persih yang rata-ratanya terdiri dari golongan muda-mudi, menderu membuntuti kelompok pertama yang berlari tadi.

Stephen yang dari jauh memerhati, percaya paderi-paderi muda itu datangnya dari seminari yang letaknya cuma bersebelahan dengan katedral di kawasan tersebut. Tetapi yang menjadi tanda tanya di benaknya, berbebaran mereka atas sebab apa? Dalam kebilauan yang berlakunya cuma sepintas lalu, Stephen melihat seorang lelaki termengah-mengah ketinggalan di belakang, nyata kudrat tua lelaki itu membatasi pergerakannya yang sudah lemah. Stephen kenal akan wajah paus yang paling lama mengetuai gereja Roman Katolik itu, berlari dia mendapatkannya.

Pope Paul...”

“Stephen... kamu pulang akhirnya.”

“Ya, saya sudah kembali. Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa mereka semua berlari?”

“Apokalips.”

“Ha?”

“Perhatikanlah pohon ara atau pohon apa saja. Apabila kamu melihat pohon-pohon itu sudah bertunas, kamu tahu dengan sendirinya bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga, jika kamu melihat hal-hal itu terjadi, ketahuilah, bahawa Kerajaan Allah sudah dekat. Aku berkata kepadamu, Sesungguhnya angkatan ini tidak akan berlalu, sebelum semuanya terjadi. Langit dan bumi akan berlalu, tetapi perkataan-Ku tidak akan berlalu.”

“Subhanallah... Itu janji Jesus.”

“Apa yang kamu sebut tadi?”

“Err... betul bukan itu janji Jesus?”

“Bukan... maksud aku, sebelum itu?”

“Oh... hurm... saya sudah memeluk agama Muhammad, Pope...”

Perlahan saja ucapan Stephen tetapi cukup menyakinkan nadanya. Lelaki berzucchetto putih di kepala itu sedikit terperanjat tetapi dia kesuntukan waktu, bukan masa yang sesuai untuk dia bersoal jawab dengan anak muda terbabit. Loceng gereja sudah berkeleneng keras di udara, dia perlu segera kembali ke tempat asalnya. Mendongak ke langit, awan hitam mulai berarak melitupi seluruh kawasan, bunga angin juga sudah galak berhembus kencang.

“Ikut aku, Stephen. Tak lama lagi, ribut akan melanda.”

“Tapi...”

“Habis, kau mahu kebasahan di sini?”

Stephen serba-salah. Hatinya berbelah. Sememangnya tujuan dia kembali ke parokhi itu tidak lain tidak bukan kerana ingin menemui pembesar agama Katolik tersebut. Pope Paul sudah dianggap seperti bapanya sendiri biarpun di antara mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah. Ketika mana Stephen di usia muda, lelaki itulah yang sentiasa menjaga kebajikan dan mengambil berat terhadapnya. Stephen membesar tanpa kasih sayang yang sempurna dari orang tua, si ayah berpisah dengan ibunya pada usia sebelas tahun. Dan satu-satunya wanita yang ada untuk dia menumpang manja pula membunuh diri tidak lama kemudiannya kerana masalah jiwa.

Pope Paullah yang memberinya tempat perlindungan juga sokongan kepada Stephen untuk meneruskan kehidupan. Sehinggalah tujuh tahun selepas itu, Stephen mengambil keputusan untuk keluar melihat dunia dan meninggalkan masa lalunya yang banyak dihabiskan di gereja. Mengembara lelaki itu mencari-cari pengisian yang dirasakannya masih kosong dalam diri. Kepulangan Stephen pada hari ini kerana dia mahu berkongsi kegembiraan sebenar yang sudah ditemuinya dengan lelaki yang banyak berjasa dalam hidupnya itu.

“Masuklah... kau membesar di sini juga.”

Stephen berat hendak melangkah, benar dulu inilah tempatnya dia mendapat ketenangannya tetapi segala-galanya sudah berubah sekarang. Untuk menjejakkan kaki semula ke dalam, bukan saja tidak selesa dirasakannya malahan lelaki itu cukup berat hati untuk melangkah. Stephen melontar tanya, mengundang kerut pada tampang paus itu.

Pope... apa kita cuma berlindung di dalam gereja itu? Tiada sebarang upacara keagamaan berlangsung di dalamnya?” Stephen mahukan kepastian meski belakang tubuhnya sekarang sudah basah ditimpa hujan yang mulai melebat turunnya.

“Kalau adapun, kenapa? Sudah, mari masuk. Jesus akan menolong kita bila kita berhajat kepadanya.” Paus bernama Paul itu sudah menarik anak muda yang selama ini diasuhnya sedari kecil tetapi Stephen tetap tidak berganjak. Dia berdiri keras di situ.

“Agama Muhammad tidak membenarkan saya memasuki rumah Jesus ini...” Stephen bertegas dalam lembut. Paul terpana. Jika tidak kerana Stephen itu dikenalinya, sudah pijar pipi anak muda itu ditampar olehnya. Anak yang di tangannya sendiri, dibaptis sewaktu kecil boleh berlawan hujah dengannya pada saat itu. Roman muka Paul memerah. Antara marah dan rasa sayangnya, bertembung menjadi satu. Dia sebenarnya masih tergamam dan tidak dapat menerima hakikat yang Stephen kini bukan lagi pengikut keesaan Tuhan ruhulkudus.

“Baiklah... aku berjanji, kita sekadar berlindung saja di dalam sana. Kau boleh pegang kata-kataku ini wahai Stephen.” Berat Paul hendak melafazkan tetapi rasa kasih sayangnya terhadap Stephen melebihi segala-galanya. Sementelah di luar, hujan terus-terusan memperlihatkan keperkasaannya.

Stephen teragak-agak hendak masuk. Mujurlah kehadirannya tidak diendahkan. Barangkali semua orang yang sedang berlindung di dalam gereja itu sekarang ini lebih runsing memikirkan tentang apokalips. Stephen termangu sendiri. Dia memilih untuk duduk di kerusi panjang melintang di bahagian paling belakang. Kelihatan Paul sudah ke altar gereja, sekaligus kelibatnya menghadirkan penghormatan tertinggi dari semua orang yang berada di situ termasuk penatua, anggota dewan gereja. Paul berucap tenang. Cuba untuk menenteramkan sekalian yang sedang dihambat resah.

“Sahabatku semua... Percayalah kepada Tuhan Jesus, ketika kamu melihat badai masalah yang sangat mustahil yang seakan tidak ada jalan keluar dimana badai itu menerpa hidupmu dan hampir menenggelamkan engkau. Janganlah malu untuk berteriak kepada Tuhan, “Tuhan Jesus tolong aku... Tuhan Jesus tolong aku!"

Paul mengakhiri ucap ringkasnya, sekadar memberi ransangan dan motivasi supaya tidak takut dengan apa yang mereka percaya bakal berlaku. Segenap ruang gereja mengaminkan doa yang dibaca paus itu. Doa litani hati kudus Jesus. Stephen di tempat duduk paling belakang, tidak henti-henti memperbaharui lafaz dua kalimah syahadahnya. Dia tidak mahu imannya tergugah. Stephen berhijab dengan surah Qul. Berulang-berulang dibacanya penuh kesungguhan.

Dan kemudian, suasana dalam gereja itu yang tadinya hingar-bingar dengan kekecohan tentang kedatangan hari apokalips, kembali senyap. Masing-masing mengunci mulut. Mengenang nasib dan azab yang akan turun dari langit. Paus Paul menuju ke tabernakel gereja, lalu mencapai kitab suci Tuhan Jesus. Kitab itu dijinjingnya kemas di tangan dan menghampiri Stephen yang sedang duduk tertunduk. Terbeliak mata lelaki itu apabila melihat mashaf suci Al-Quran bertulisan tangan, dalam genggaman Stephen yang sedang menekuninya.

Sebaik melihat bayang Paul berdiri di hadapannya, Stephen menoleh pandang. Dia tidak mengendahkan riak tercabar di wajah lelaki tua itu tetapi lebih berminat hendak mengetahui akan halai-balai yang tercetus di daerah terpencil itu.

“Apa yang sebenarnya kalian takutkan, Pope?” Stephen menjurus tanya.

“Apa dalam agama Muhammad tidak menceritakan kau tentang apokalips?” Sinis Paul menebarkan soal tetapi masih berhemah gaya ucapnya. Lalu paus itu mengambil tempat duduk di sebelah Stephen yang meleret senyum seadanya.

“Oh, jadi kekecohan ini disebabkan kalian percaya akan berlakunya apokalips?” Balas Stephen biasa-biasa sahaja tetapi dianggap sinis oleh Paul yang mendengarnya.

“Dalam sajak catur larik quatrain Nostradamus pun ada menyebutnya. Kau jangan lupa dan angkuh dengan agama barumu itu, wahai Stephen.” Paul mulai keras nadanya. Sengaja dia bertentang mata dengan anak muda itu, mencari-cari kelemahan. Stephen beristighfar lembut seraya tergeleng-geleng kepala.

“Peramal tempatnya di neraka, wahai Paul yang ku anggap bapa...” Ringkas Stephen menjawabnya. Bukan niat hendak membidas lelaki yang duduk di sebelahnya itu tetapi apa yang diucapkan itu, merujuk kepada ramalan-ramalan dalam sajak catur larik quatrain Nostradamus yang pernah dibacanya dulu. Mujurlah dia sekarang ini sudah punya ilmu meski cuma setitik air di lautan tentang apa yang dilarang dan apa yang tidak dibolehkan. Dan hukum mempercayai apa saja yang melibatkan ramalan adalah haram malah termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar. Stephen berpegang kuat kepada itu. Tidak ada sesiapa boleh mengubah jitu pemahamannya.

Paul berdesing telinganya. Mendadak api kemarahan bernyala sumbunya. Tetapi dia mesti berlagak tenang dan berlaku bersahaja. Dia paderi beradab, menjunjung peradaban warisan agama anak Tuhan. Mana mungkin di depan anak muda itu, dia mahu memperlihatkan kekurangannya. Meski dalam hati, sudah menyerangsang naik marahnya.

“Tidakkah kau tahu wahai Stephen yang pernah ku anggap anak...” Paus Paul memberhentikan sekejap ucapnya, lalu menyambung semula selepas beberapa ketika. “Dan akan ada tanda-tanda pada matahari dan bulan dan bintang-bintang, dan bumi bangsa-bangsa akan takut dan bingung menghadapi deru dan gelora laut. Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini, sebab kuasa-kuasa langit akan goncang. Pada waktu itu orang akan melihat Anak Manusia datang dalam awan dengan segala kekuasaan dan kemuliaannya. Apabila semuanya itu mulai terjadi, bangkitlah dan angkatlah mukamu, sebab penyelamatmu sudah dekat.” Paus berhujah berpandukan surah Lukas (Luke 21: 25 – 28) tentang kedatangan Tuhan Jesus.

“Apokalips akan menghancurkan dunia tetapi tidak kita, penganut agamanya. Tuhan Jesus akan menyelamatkan kita. Lekaslah kau berhajat padanya sekiranya kau mahu selamat, wahai Stephen.” Sambung paus Paul dan kemudiannya terdengar guruh di langit mengguntur keras. Merasa sama-sama tersentak. Keadaan di luar nyata semakin menggila. Paus Paul cukup percaya, apokalips ini datangnya dalam bentuk petaka berupa bah. Sementelah tidak pernah selama ini, daerah terpencil itu menerima hujan selebat sebegini. Keyakinannya terhadap ramalan apokalips kian menjitu.

“Maha Suci Allah, yang mana guruh bertasbih dengan kepujianNya dan Malaikat juga bertasbih kerana takut kepadaNya.” Stephen spontan menzahirkan potong ayat itu di hujung lidahnya. Mashaf suci Al-Quran dibawanya rapat ke dada. Stephen berasa selamat dalam perlindungan Azzawajalla.

“Mahukah pope mendengar ceritaku pula?” Stephen membuat tawaran, ikhlas dari lubuk hati. Paus Paul mendepangkan tangan meminta anak muda itu melanjutkan pengkisahannya.

Pope ada bertanya tadi, apa dalam agama Muhammad tidak dikhabarkan tentang apokalips? Sesungguhnya pope, kami mengimaninya kerana ia salah satu dari rukun iman yang wajib kami yakini. Hari kubra itu pasti akan datang, tidak ada keraguan padanya.” Stephen berjeda barang seketika mengambil nafas lalu menyambung kata. “Akan tetapi, bukanlah urusan kita selaku hamba yang lemah lagi terbatas upaya pengetahuannya untuk menentukan bila harinya akan tiba. Adapun ada manusia yang mengetahui akan bilanya apokalips menggoncang dunia, Muhammad kekasih Allah lah yang paling layak orangnya. Bilhak, pengetahuan tentang hari kubra hanya dalam rahsia Azzawajalla. Muhammad, rasul mulia pernah ditanya seorang sahabat akan bila tibanya kiamat itu maka kekasih Allah itu menjawab, ‘Kiamat akan datang apabila amanah telah disia-siakan’.” Stephen memetik satu peristiwa dari sebuah hadis Bukhari dan Ahmad yang pernah dipelajarinya, tidak lama dulu.

Sejurus, tiba-tiba bertempik satu suara dari dalam gereja mematikan perbualan di antara Stephen dan paus Roman Katolik itu. Seorang biarawati yang barangkali dalam usia awal 20an, melihat dari segi pemakaiannya, berlari menghala mereka. Paul lekas bangun lalu mengarah beberapa orang yang lain yang berada di dalam gereja itu untuk menangkap perempuan tersebut. Stephen terkejut dengan apa yang dilihatnya secara tiba-tiba itu. Perempuan itu menjerit-jerit seperti sudah hilang kebolehan fikirnya.

“Kau benar, anak muda! Kau benar, anak muda! Kiamat akan datang apabila amanah telah disia-siakan! Lelaki tua terkutuk itu melanggar amanahnya! Dia... dia...” Satu tamparan keras hinggap di pipi perempuan itu sebelum dia menyudahkan ucapnya. Biarawati itu pengsan serta-merta. Stephen bertambah keliru dengan polemik yang berlaku di dalam gereja itu.

“Kenapa pope menampar perempuan itu?” Stephen tergamam, akalnya terbejat buat seketika.

“Bagaimana perempuan ini boleh terlepas? Kurung dia semula ke tempat asalnya!” Bentak Paul kepada orang suruhannya, tidak mengendahi pertanyaan Stephen. Perempuan itu diheret tubuhnya lalu dibawa masuk ke ruang dalam rumah suci Jesus itu sebelum lenyap dari pandangan mata kedua-duanya. Paul merengus. Membuang nafas kasar. Stephen terkedu.

“Dia perempuan yang dilaknat.” Putus Paul lalu meninggalkan Stephen terkontang-kanting di tempat duduk belakang gereja itu. Tertanya-tanya.

***

Hujan masih turun. Lebat sepertimana di kesiangan meski sudah bergulir waktu beranjak masa. Bermalam di gereja, mengimbau semula ingatan Stephen ketika mana kehidupannya sewaktu masih kanak-kanak menginjak remaja. Di sinilah di waktu kelapangan, dia membuat salib dari mote-mote atau biji-bijian manik. Ramai yang memuji akan hasil kerjanya yang kemas. Salib-salib itu akan dihadiahkan kepada mereka yang menghadirkan diri di gereja saban Ahad.

Stephen meraup mukanya. Mematikan khayalnya. Matanya membelingas mencari kelibat paus Paul yang tidak kedapatan di gereja itu selepas insiden lewat petang tadi. Pertama kali dia melihat lelaki itu berulah sedemikian rupa. Benaknya masih terfikir-fikir. Siapa perempuan dilaknat yang dikatakan paus gereja Roman Katolik itu?

Terbayang dalam ingatan Stephen, akan wajah biarawati itu yang seperti merayu lagi merintih menerusi sinar matanya yang layu. Meski perempuan itu bertindak liar, bertempik pekik tetapi seakan ada satu gerakan hati yang membuatkan Stephen berasa dia perlu menolong biarawati malang itu. Perlahan-lahan Stephen bangun dari tempat duduknya, menelusur laluan tengah gereja dimana kiri dan kanannya, melatar bunyi dengkuran halus hinggap ke halwa indera. Rata-rata penduduk di daerah terpencil itu yang berlari berlindung dalam gereja tersebut, sudah larut dalam mimpi masing-masing.

Stephen mengambil peluang itu untuk menjejak ke mana biarawati malang tadi dibawa pergi oleh orang-orang suruhan paus Paul beberapa jam yang lalu. Mujurlah Stephen sudah arif akan selok-belok rumah suci Jesus itu, tidaklah dia menggagau dalam kesuraman cahaya lilin yang menerangi segenap ruang di dalam gereja tersebut. Stephen mengatur tenang derap langkahnya menuju ke satu bahagian yang hanya boleh dimasuki oleh anggota tertinggi dewan gereja. Bilik bawah tanah yang punya tangga rahsia menghubungkannya. Stephen menuruni anak tangga pertama dengan lafaz bismillah.

Sampai ke dasar, detak hati Stephen merusuh tidak tenang. Ada sesuatu yang menggugat ketenangannya kala ini. Lelaki itu memperhebatkan kalam-kalam mengingat Allah di hujung lidah. Stephen cuba menajamkan pendengarannya. Sayup-menyayup Asmaul Husna dari satu arah, cukup perih mendengarnya. Seakan-akan pelantunnya dalam keadaan tidak selesa lagi terseksa. Stephen mempercepatkan langkah. Dia rasa terpanggil.

“Astagfirrullahhalazim,” Stephen berombak dadanya. Dia tidak menyangka bilik bawah tanah itu menempatkan sebuah sel besi lagi sempit, mengurungi biarawati malang itu. Stephen tidak banyak membuang masa, terus meluru ke sel kecil ibarat penjara kurungan binatang liar itu, lalu sedaya-upaya cuba membukanya. Dia nekad mahu melepaskan perempuan tersebut.

“Tolong selamatkan aku, anak muda...” Perempuan itu bersuara lirih. Jeriji besi itu dipegangnya, memohon dikasihani. Stephen mencari akal hendak membuka sel besi itu yang bermangga. Terpandang dia akan batu blok di bilik bawah tanah itu lalu dicapai dan dihempuk berkali-kali ke arah ibu kunci. Usaha Stephen berhasil. Pintu sel segera ditolak perempuan itu dari dalam dan batang tubuhnya menunduk untuk keluar.

“Terima kasih. Mari ikut aku. Kau tidak selamat di sini. Mari!”

“Tunggu! Kenapa perlu aku ikut kau? Boleh aku tahu, siapa kau sebenarnya? Kenapa kau dikurungi di sini?” Stephen mengasak dengan soalan bertubi-tubi. Dia memerlukan jawapan.

“Nama aku Abbigail. Aku sudah memeluk agama Muhammad seperti kau. Itu sudah cukup untuk kau mempercayai aku lebih daripada lelaki tua itu.” Perempuan bernama Abbigail itu merujuk kepada paus gereja Roman Katolik yang berkuasa di daerah tersebut.

“Tapi, kita mahu ke mana? Di luar hujan terlalu luar biasa lebatnya. Apakah kita akan selamat berada di luar dalam keadaan cuaca buruk sebegini?” Stephen bergalau risau di dalam hati.

“Bertawakallah kepada Allah.” Abbigail memutuskan dengan satu ketetapan. Stephen akhirnya akur. Dia mengikut Abbigail dari belakang, menelusur keluar dari bilik bawah tanah menuju ke sebuah laluan yang meloloskan mereka keluar dari gereja. Satu lagi laluan rahsia yang tidak langsung diketahui Stephen akan kedapatannya di situ.

“Sekarang, ke mana haluan kita?” Stephen sedikit tercungap-cungap bercakap ketika mana hujan turun mencurah-curah. Stephen dan Abbigail kini lagaknya seperti pelarian yang sedang menyelamatkan diri dari ancaman bahaya. Kedua-dua mereka kebasahan dan terpaksa berlari melawan arus kencang. Hujan mengganas turunnya diiring sekali angin taufan yang rakus menyauk segala yang berada dalam laluannya.

“Kita ke rumah Maryam!” Abbigail menjerit lantang.

“Maryam?”

***

“Apakah benar apokalips itu benar, wahai Maryam?” tanya Stephen yang sedang mengelap rambutnya yang kuyup dengan tuala bersih. Maryam melayan tetamu-tetamu mereka dengan baik sekali. Dihidangkan sekali minuman teh herba panas untuk mengembalikan kehangatan pada tubuh Stephen dan Abbigail yang mengigil kesejukan.

“Itu semua propaganda pope Paul bagi menutup aibnya.” Maryam yang bertudung litup, barangkali usianya sekitar 40an, punya raut wajah yang jernih, menjawab pertanyaan Stephen seadanya.

“Maaf, saya tidak faham...” Stephen jujur mengakui. Maryam melabuhkan punggung, menghadap ke arah Stephen dan Abbigail yang duduk bertentangan dengannya. Wajah redup lagi sayu Abbigail dipandang, seakan meminta keizinan dari perempuan muda itu untuk menceritakan hal yang sebenar. Abbigail menganggukkan kepala lalu menurunkan pandangan ke bawah. Dia malu meski itu bukan kehendaknya.

“Aku merupakan ketua biarawati di sana. Tetapi setahun yang lepas, aku menemui akidahku yang sebenar. Islam, agamaku.” Stephen terdiam. Dan dalam masa yang sama, lelaki itu melafaz syukur setinggi-tingginya. Seorang ketua biarawati gereja dicelikkan matahati oleh Azzawajalla. Benarlah hidayah itu milik Allah. Maryam menyambung cerita.

“Lalu sebagai muslim, aku cuba berdakwah menyampaikan kebenaran. Dan Abbigail adalah yang pertama menyahut seruan kebenaran itu. Tetapi malangnya, perkara ini diketahui oleh pope Paul lalu semenjak enam bulan yang lepas, Abbigail dipenjarakan di bilik bawah tanah gereja itu. Dipaksa untuk mengubah pengakuannya yang Tuhan Jesus adalah Tuhan yang sebenar.” Maryam mendedahkan perkara yang sebenar. Stephen meraup mukanya berkali-kali. Sambil hujung lidahnya tidak henti-henti melafaz istighfar dan memohon perlindungan Rabbul Izzati.

“Aku bukan saja dikurung, Stephen... bahkan kehormatanku diambilnya!” Abbigail mencelah dan kemudian berteriak menangisi betapa hebat ujiannya sebagai hamba yang baru mendakapi Islam yang syumul. Stephen terpana. Barulah dia faham sekarang, gerak hatinya untuk balik ke tanah tumpahnya sendiri dan menemui paus Paul itu hakikatnya merupakan perjalanan yang sudah diaturkan Azzawajalla. Dia ditakdirkan untuk menyelamatkan Abbigail. Atau nama Islamnya, Aisyah.

“Abbigail pernah sekali melarikan diri dari kurungan dan menceritakan apa yang terjadi kepada dirinya termasuk perbuatan jahat yang dilakukan paus gereja itu kepada aku. Maka aku terus menggunakan pengaruh aku untuk membuka pekung di dada lelaki bernafsu kuda itu ke pengetahuan institusi gereja. Tetapi aku pula yang dituduh gila dan mereka-reka cerita. Abbigail ditangkap semula dan sebagai langkah untuk menutup cerita yang meniti dari bibir ke bibir seluruh penduduk daerah ini, pope Paul sibuk mencanang tentang apokalips. Apokalips yang sengaja diada-adakan bagi mengalih perhatian penduduk ini dari perlakuan seksnya.” Maryam melepas geram. Stephen menghempaskan batang tubuhnya, menyandar ke belakang. Dia melongo sukar hendak percaya apa yang didengarinya. Sungguh, kebenaran itu cukup pahit untuk ditelan.

“Allahu akbar!”

***

“Keluar! Keluar! Kalian semua manusia yang dilaknat!” Stephen, Abbigail dan Maryam terperanjat mendengar tempikan yang bertali arus di luar rumah. Maryam mengintai di balik jendela, kelihatan paus Paul bersama pengikut-pengikutnya berdiri sambil melaung di dalam hujan. Stephen meminta kedua-dua wanita itu untuk bertenang. Biarlah dia seorang saja yang bertentang dengan lelaki yang pernah dianggap sebagai bapanya itu.

“Apa yang kalian mahu?” Laung Stephen sambil berdiri di muka pintu.

“Kau menempah neraka, wahai Stephen! Aku buat tawaran terakhir kali untuk kau, kembali bersama aku. Jika tidak, apokalips yang akan tiba ini pasti akan menghabisi nyawa kau!” Lantang Paul menjerkah tetapi disambut tenang lagi bersahaja oleh Stephen. Lelaki beriman itu membaca sepotong ayat kemudian dibacakan terjemahannya kepada paus gereja Roman Katolik dan para pengikutnya itu.

"Apabila manusia terlalu banyak melakukan kerosakan dimuka bumi ini, Allah akan perintahkan bumi bergoncang, gunung memuntahkan isinya, langit menurunkan hujan, sehingga mereka yakni manusia menjadi hancur-sehancurnya. Dan Allah akan menggantikan mereka dengan umat yang baru." Stephen berhujah menggunakan isi Al-Quran dan kemudian dia menyambung serunya. “Bertaubatlah kau wahai Paul yang pernah ku anggap bapa... Kau bukan saja sudah melanggar amanah agama kau bahkan kau sudah berbuat aniaya pada kaum perempuan yang lemah. Sungguh, kau sudah keterlaluan dan melebihi batasan!” Stephen begitu lantang bersuara. Dia cukup menyakini, Azzawajalla itu Maha Melindungi. Dia tidak takut akan bahaya yang bakal menimpa di hadapannya.

“Celaka! Tangkap pemuda kerasukan iblis itu! Tangkap!” Bentak Paul menyuruh orang-orang suruhannya memberkas Stephen yang benar-benar mencabar maruahnya selaku tokoh agama berpengaruh di daerah itu. Belum sempat batang tubuh Stephen disentuh, memetir halilintar di kepala langit menyebabkan semua yang ada bergelimpangan termasuk Stephen yang tidak sedarkan diri.

***

Cahaya matahari membias manja. Kelihatan tanam-tanaman hijau membugar segar selepas sehari suntuk menerima suapan hujan dari langit. Stephen baru tersedar dari tidurnya yang terasa panjang. Kepalanya berasa sedikit berat ketika mana hendak bangkit dari kamar peraduan. Perlahan-lahan dia mengambil masa untuk berdiri lalu menjengah ke luar jendela.

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku selepas mematikan aku dan kepadaNya aku akan kembali.” Stephen memanjangkan syukur. Di luar, keadaan tidak sepertimana awal-awal dia sampai ke daerah itu. Segalanya kelihatan tenang dan mendamaikan jiwa.

“Alhamdulilah, kau sudah sedar.”

Stephen menoleh ke arah suara yang menyapanya dari belakang. Dilihatnya, Aisyah sedang berdiri menatang sedulang hidangan berupa roti dan minuman. Aisyah yang semakin ayu pada pandangan matanya. Cepat-cepat Stephen beristighfar. Dia tidak mahu larut dengan pandangan yang menjerumuskan dirinya ke lembah maksiat.

“Di mana aku sekarang, wahai Aisyah?”

“Kau di rumah keluargaku, wahai Sulaiman. Orang tuaku yang meminta aku menyediakan hidangan ini untuk diberikan kepada kau. Jemputlah makan.” Pelawa Aisyah lalu meminta diri. Malu-malu.

“Tunggu dulu! Mana Maryam? Mana pope Paul? Aku ingat-ingat lupa...” Stephen atau nama Islamnya, Sulaiman menzahirkan kekeliruan yang melegari benaknya.

“Maryam ada bersama bondaku di dapur. Pope Paul pula... sudah menemui Tuhannya. Dia dan pengikut-pengikutnya disambar petir, tiga hari lalu. Mujurlah kau selamat.” Aisyah mengingatkan semula akan insiden yang berlaku tiga hari lalu. Insiden yang tidak mungkin akan dia lupa seumur hidupnya.

Sulaiman mengalirkan airmata. Pope Paul sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Dia terkilan kerana baliknya ke daerah itu kerana mahu mengajak lelaki itu sama-sama mengecap nikmat kebenaran. Tetapi sayang, nyawanya diambil dalam keadaan begitu dahsyat sekali. Terlintas Sulaiman akan ratapan Muhammad, kekasih Allah yang berdukacita selepas Abu Talib, bapa saudara baginda yang meninggal dunia tanpa sempat mendakapi Islam. Sulaiman bermuhasabah diri. Kepulangannya ke daerah terpencil itu mengajarnya banyak perkara.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.