Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,060
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“Kau budak yang first day report duty hari ni kan? Siapa nama kau?” tanya seorang perempuan yang agak gempal tubuhnya dan berambut sederhana pendek sehingga ke paras bahu kepada Rabunah. Rabunah dapat mengagak perempuan yang berdiri di hadapannya itu sudah tentu seorang pengurus stor di kedai serbaneka tersebut.

“Rabunah. Panggil saja Una,”

Rabunah memperkenalkan diri. Biasalah hari pertama, perlulah menjaga tatatertib. Masakan mahu menunjuk belang perangainya yang tidak makan saman itu. Rabunah diberi uniform kemeja berwarna merah berjalur hitam untuk dipakainya. Kemudian, dia diperkenalkan dengan dua orang staf lain yang barangkali lebih muda dari usianya. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Perempuan gempal yang masih belum diketahui namanya itu menerangkan serba-sedikit tentang perjalanan operasi kedai serbaneka tersebut dan beberapa perkara penting yang lain kepada Rabunah. Tidak ubah seperti burung belatuk, Rabunah mengangguk.

“Aku tahu kau part-time saja dekat sini tapi jangan pula ambil mudah dengan kerja. Nampak macam simple kerja di sini tapi tanggungjawabnya tetap besar. Kau jadi cashier, kau kena pastikan tak ada shot. Lepas tu, kalau stok barang sampai... kau kena bantu buat kiraan. Selain tu, kau juga perlu peka dengan pelanggan-pelanggan yang panjang tangan. Faham?”

Rabunah mengebam bibir dan mengangguk tanda faham. Sebaik perempuan itu beredar masuk ke dalam stor, Rabunah merapati teman sekerjanya yang berada di kaunter pembayaran. Mujurlah pagi-pagi ini tidak ramai pelanggan yang datang menjengah ke kedai, kalau ada pun sekadar hendak mengambil suratkhabar percuma yang terletak di dalam. Selain dari itu, adalah seorang dua yang hendak menambah nilai prabayar telefon bimbit mereka.

“Kak Wawa tu nampak saja tegas Una tapi kepala dia gila-gila. He he he.”

Ramah gadis bertudung litup dan berbibir mungil itu mengajak sembang. Alin, nama panggilannya. Rabunah ketawa nipis, seperti dibuat-buat pun ya juga.

“Alin dah lama kerja sini?” tanya Rabunah berbasa-basi.

“Dah lamalah jugak. Sementara menunggu konvo diploma akhir tahun ni. Una pula?”

“Hmm, saya sekarang sedang cuti sem panjang. Setahun lagi untuk habiskan degree saya.”

Rabunah bersaya-awak pula gaya bahasanya. Dia tidak biasa sebenarnya, lebih selesa kalau beraku-engkau ketika berbual dengan kawan-kawan. Di rumah memanglah dia manja tetapi kalau di luar, dia perempuan selamba. Tidak kuasa dia hendak jadi perempuan Melayu terakhir. Dia rock chick okey!

“Alin! Alin! Lelaki handsome hari tu masuk kedailah!”

Suasana pagi yang hambar itu tiba-tiba dikejutkan dengan nyaring suara Azlie yang seperti gatal saja bunyinya. Apa kes dengan jantan ni? Azlie, staf lelaki di situ juga. Rabunah naik hairan dengan keadaan kecoh yang berlaku. Dia turut sama melontar pandang ke arah susuk tubuh tegap lelaki yang baru masuk ke dalam kedai serbaneka itu. Alin dan Azlie sudak berbisik-bisik sesama sendiri.

“Kalau kau nak tahu Una, lelaki tu regular customer kedai kita tau. Tapi sekalipun tidak kami dengar dia bersuara. Dia masuk beli dan keluar macam tu saja. Bila kami saja-saja ajak dia berbual, dia cuma tersenyum. Senyumannya... ya ALLAH! Boleh gugur jantung dibuatnya,” luah Alin tanpa disuruh. Rabunah sekadar menadah cuping telinganya.

‘Eh, boleh tahan gatal juga perempuan ni! Nama saja bertudung.’ Rabunah mengomel dalam hati. Padanya, tidaklah tampan manapun lelaki itu. Kacak lagi Fauzi, abangnya.

“Tak pernah dengar dia bercakap? Entah-entah mamat tu bisu kut?” Rabunah hendak tergelak dengan kenyataan yang keluar dari mulutnya sendiri.

“Isy, tak mungkinlah! Takkan bisu pulak. Alamak, dia datang sinilah! Cover cun! Cover cun!”

Serta-merta Alin memperbetulkan lipatan tudungnya dan menghadiahkan senyuman paling manis terhadap pelanggan istimewa kedai serbaneka itu. Baru hendak melayan lelaki itu, pantas saja Azlie mencelah di sebelah Alin dan mencapai barang-barang yang dibeli lelaki tersebut dan mengimbas kod barnya. Berebut-rebut dua orang staf itu melayan seorang pelanggan. Kalau Alin, logiklah juga dia menaruh rasa minat kerana dia seorang perempuan. Tetapi Azlie? Rabunah hanya jadi tukang pemerhati.

“Semuanya RM 12.50. Abang hendak plastik?”

Azlie bermanis mulut dengan harapan, lelaki di hadapannya itu bersuara mengucapkan ya atau tidak sebagai balasan. Tetapi pertanyaan Azlie sekadar disambut gelengan kepala dan lelaki itu beredar keluar seperti lazimnya. Tidak bercakap dan cuma segaris senyuman yang diberi. Sekali lagi Alin dan Azlie mengeluh hampa.

“Apa dia beli?” Rabunah yang tidak mengambil peduli akan barangan yang dibeli lelaki itu tadi, sengaja bertanya untuk dijadikan modal cerita.

Graphic novel dan chewing gum. Seminggu sekali mesti dia beli komik manga dekat sini,” terang Alin yang sudah hafal akan apa yang dibeli pelanggan lelaki tersebut setiap kali kedatangannya. Rabunah terus memandang spinner rack yang terletak di dalam kedai serbaneka itu. Dua buah rak yang memuatkan komik manga dari negara Jepun yang telah dialih-bahasa ke dalam bahasa Melayu.

“Tak sangka pulak orang yang segak pakai office attire macam tu tapi membaca benda yang tak membangunkan minda,” bidas Rabunah sesedap mulutnya. Alin dan Azlie serentak memandang Rabunah. Rabunah sudah mula menunjukkan tembelangnya. Ah, buat apa dia hendak hipokrit? Dia memang begitu, bercakap apa yang terlintas di fikirannya. Kalau ada yang terasa, nasiblah!

“Membaca tu kan terapi minda, Una. Tak kisahlah apa bahan bacaannya sekalipun. Kau ni pun!” Azlie melentik-lentik jari-jemarinya ke arah Rabunah, mempertahankan pelanggan istimewa mereka itu tadi. Rabunah berhati kering, dia tidak ambil hati pun. Malah, boleh pula dia tersenyum sumbing apabila ditegur teman sekerjanya itu.

“Amboi! Defend nampak? Ha ha ha!”

“Haruslah!”

Spontan Azlie menjawab dengan lenggok kepalanya ke kiri dan ke kanan, membuatkan ketiga-tiga mereka berderai tawa. Mudah saja Rabunah menyesuaikan dirinya dengan persekitaran baru di tempat kerjanya itu, ditambah pula dengan rakan-rakan sekerja yang sporting dan happy go lucky. Reda tawa mereka, pengurus stor kedai serbaneka itu yang tadinya berada di dalam, muncul di hadapan mereka.

“Wah! Senang hati nampak semua? Siap semua berkumpul dekat cashier counter!” Wawa menyergah anak-anak buahnya. Azlie menjongket kening kirinya kepada Alin. Alin faham maksud kawannya itu. Setegas-tegas Wawa, perempuan itu pasti akan datang lembutnya apabila mereka menyentuh tentang satu perkara. Tidak lain tidak bukan tentang lelaki kacak yang sejak kebelakangan ini menarik perhatian mereka semua.

“Kak Wawa nak tahu? Tadi customer lelaki yang handsome tu datang!” Azlie meletak umpan. Dia tahu Wawa pun turut sama teruja setiap kali bercakap tentang pelanggan istimewa itu. Biarpun Wawa tidaklah sangat menunjukkan rasa minat terhadap lelaki yang sedang mereka bincangkan itu, tetapi setiap kali bercakap tentang lelaki berkenaan, Wawa tidak pernah ketinggalan! Ada kalanya, Wawa lebih tahu tentang cerita lelaki itu berbanding mereka sendiri.

Dan seperti yang dijangka, Wawa yang tadinya menunjukkan raut tegas, berubah airmukanya serta-merta. Teringat dia pada satu peristiwa yang dilihatnya dengan mata kepala sendiri, rasanya belum diceritakan lagi kepada anak-anak buah merangkap kawan-kawannya itu.

“Kenapa tak hint akak tadi? Boleh akak keluar tadi menjamu mata. Isy, kau ni pun Azlie. Bolot seorang!” ujar Wawa sekadar berlawak, lantas cubitannya hinggap di pinggang Azlie. Mengedik ke belakang lelaki yang lemah lembut sifatnya itu dibuatnya. Alin ketawa besar. Rabunah sekadar tersengih gelihati.

“Akak pun sebenarnya ada rahsia nak beritahu kau orang ni! Tentang lelaki handsome tu,”

“Rahsia? Apa dia? Cepatlah beritahu kak Wawa! Penantian itu satu penyeksaan tau, kak!” Azlie menggedik tidak sabar. Dia pula yang terlebih sudu dari kuah. Rabunah melayankan saja perangai gila-gila kawan-kawan barunya itu.

“Tak silap akak, dua tiga hari lepas... waktu bukan syif kau berdua, akak terserempak dengan dia!” Intro cerita Wawa sudah menarik perhatian Azlie dan Alin.

“Akak terserempak dengan dia? Untungnya! Dekat mana? Dekat mana?” Alin menarik-narik hujung baju kemeja pengurus stornya, teruja sungguh perempuan itu.

“Di restoran mamak hujung boulevard ni. Dia bertengkar dengan boyfriend dia,”

“Apa...? Boyfriend!!!” Hampir serentak ucap ayat yang sama keluar dari mulut Alin, Azlie dan Rabunah sebaik mendengarnya. Mahunya rahang mulut masing-masing hilang kancingnya. Ternganga tidak percaya! Alin yang sudah sekian lama memasang hajat, seperti dicarik-carik saja perasaannya.

“Eh silap-silap! Bukan boyfriend! Tapi girlfriend. Tersasul pulak akak. He he he. Excited punya pasal,”

Alin menghembus nafas lega. Mujurlah kesilapan teknikal tadi, kalau betul-betul, buang masa saja dia menjadi secret admire lelaki kacak itu.

“Macam mana akak tahu itu girlfriend dia? Akak skodeng ek?” Azlie terus bertanya. Sementara tiada pelanggan sekarang ini, lebih baik mereka bergosip!

“Akak agak-agak aje sebab dari raut perempuan tu nampak macam marah sangat-sangat dekat mamat tu. Lagipun akak jauh dari meja mereka, tak dengar pun apa yang mereka bualkan,” terang Wawa penuh bersemangat.

“Cantik tak perempuan tu kak? Akak rasa dia cantik daripada saya tak?” Alin buat statement berani mati. Azlie menjuihkan bibir, tanda memerli. Kau ingat kau cantik? Bisik hatinya.

“Masalahnya, cantik ke kau Alin?”

ZASS!

Kenyataan balas Wawa membuatkan suasana bertambah gamat dengan ilai ketawa. Azlie dengan Wawa siap bertepuk tampar. Rabunah pun terbahak-bahak. Kasihan kau, Alin.

“Cantiklah jugak. Macam Jue Aziz, bekas kekasih Jehan Miskin tu. Huh!” Alin mempertahankan diri apabila diserang sebegitu. Usai tawa surut, Wawa menyambung cerita panasnya semula.

“Nak kata cantik, tak adalah cantik sangat perempuan tu! Harapkan mekap tebal, rambut rebonding, pakai skirt tunjuk kaki. Langsung tak sepadan dengan lelaki tu. Cantik lagi si Rabunah ni walaupun nama langsung tak komersial! Ha ha ha!”

Rabunah terpinga-pinga apabila namanya pula yang naik. Berderai ketawa sekali lagi kawan-kawannya itu. Tak pasal-pasal aku pula yang jadi mangsa. Sabar sajalah!

Wawa yang berbadan gempal itu, bergegar-gegar lemak tubuhnya dengan lawak antarabangsa yang dia buat sendiri. Soksek-soksek keempat-empat mereka bubar sebaik saja ada pelanggan datang memasuki kedai serbaneka itu. Sepasang kekasih berbangsa Cina yang hendak membeli makanan ringan yang terjual di situ.

Selepas seorang, datang lagi seorang dan ramai lagi sehinggalah menjelang tengahari. Rabunah mudah tangkap akan latihan singkat yang diajar Alin untuk menjadi juruwang. Tidaklah susah sangat. Imbas kod bar pada barangan dan keluarlah jumlah barangan yang perlu dibayar oleh pelanggan. Ambil duit dan pulangkan baki sekiranya ada.

“Kau dah ada someone special, Una?” Alin cuba mengorek kisah peribadi Rabunah apabila suasana kedai kembali lengang. Bolehlah mereka bersenang-senang seketika. Tinggal Azlie saja yang masih sibuk. Sibuk mengemop lantai yang melekit apabila seorang anak kecil tertumpah air slurpeenya tadi.

“Maksud kau kekasih hati?” Petik jari saja Rabunah memahami akan maksud soalan Alin. Bukan sekali dua dia diajukan dengan pertanyaan serupa, kawan-kawan seuniversitinya pun asyik membangkitkan hal yang sama. Seolah-olah dirinya seperti alien pula tidak mempunyai teman lelaki. Bagi Rabunah, dia ada prinsipnya sendiri! Untuk apa dia jadi pengikut pada budaya ‘couple’ ini sedangkan hubungan sebelum nikah dalam agama sendiri tidak membenarkan. Mula-mula couple, lama-kelamaan menjurus pula ke arah penzinaan. Tidak zina pun, berpegang-pegangan tangan pun sudah menambah dosa. Ah, tak mahulah dia! Sudahlah pahala pun dia jarang-jarang buat.

“Aku sendiri yang tak nak...” sambung Rabunah.

“Ya ke? Atau tak ada orang yang nak? He he he!”

‘Amboi, minah seekor ni! Lebih-lebih pulak dia bergurau!’ Panas saja Rabunah dalam hatinya. Tetapi, Rabunah sendiri mengakui. Dia sudahlah kasar, bercakap pun ikut hati dan perasaan. Tidak pandai bermanis mulut apatah lagi bermuka-muka. Itu bukan dirinya! Malanglah mana-mana lelaki yang tersangkut dengannya. Rabunah tergelak kecil mengutuk diri sendiri.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.