Doktor Ashraff mengatur langkah ke
ruang tamu seusai makan malam, berselera sungguh lelaki berusia 50 tahun itu
menjamu air tangan isteri tercinta. Hendak mengharapkan Rabunah, satu-satunya
anak perempuan yang dia ada, jauh panggang dari api. Rabunah bukan tidak pandai
memasak, Puan Fatimah sudah menurunkan segala ilmu memasak kepada anak daranya
itu. Tetapi sikapnya ibarat pahat dengan penukul, bila dipaksa ke dapur barulah
tapak kakinya mencemar duli di situ.
“How
was your day? Hari pertama bekerja siang tadi. Okey?” tanya Ashraff apabila
melihat anak daranya baru hendak melabuhkan punggung di sofa. Menggeleng-geleng
kepala orang tua itu apabila melihat cara pemakaian anaknya yang seorang itu, gemar
sungguh berseluar pendek paras lutut dengan baju lengan panjangnya ketika
berada di rumah. Jarang sekali melihat Rabunah berkain sarung mahupun batik.
“Bolehlah. Quite fun actually. Tak sempat nak lunch dengan ayah tadi, Una makan dengan member-member. Ramai patient
datang klinik hari ni, yah?” tanya Rabunah lalu mengambil tempat di sisi
ayahnya. Kepalanya disandarkan ke bahu lelaki itu. Rambut pendek Rabunah dielus
lembut penuh kasih sayang oleh Ashraff.
“Ramai jugalah. Ada yang mahu pasang
braces, buat scaling, root canal treatment... nasib baiklah ada Doktor Ally yang
membantu ayah.”
“Doktor Ally? Doktor baru ke? Pak Cik
Khairul mana?”
Rabunah kembali tegak kepalanya dan
memalingkan wajahnya hendak memandang tampang si ayah. Setahu Rabunah, ayahnya
dengan Doktor Khairul saja yang menguruskan Klinik Pakar Pergigian K&A di
Mewah Boulevard itu. Siapa pula Doktor Ally?
“Pak Cik Khairul beritahu ayah yang
dia mahu berehat. Itu yang si Ally tolong ayah di klinik. Doktor Ally, anak Pak
Cik Khairul kamu yang belajar di luar negara tu. Dulu pernah berkhidmat di
klinik kerajaan, selepas beberapa tahun barulah dia berubah angin. Tidak silap
ayah, hampir 2 bulan jugalah Ally bekerja di klinik kita. Nampak sangat kamu ni
tak ambil peduli tentang hal klinik. Haih!” keluh Ashraff. Klinik gigi yang
ditubuhkan bersama dengan sahabat baiknya, Khairul itu sudah melebihi tujuh
tahun beroperasi. Tetapi sayang, selepas ini tidak tahulah siapa yang akan
mentadbirnya. Harapkan Fauzi, anak tunggal lelakinya itu kini ‘doktor kereta’.
Tinggal sekarang, Rabunah sajalah tonggak harapannya.
Rabunah merupakan pelajar kursus
pergigian di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tempoh pengajian selama 5 tahun
itu cukup mencabar dan terkadang Rabunah merasakan mahu mengalah. Bukan senang
hendak bergelar seorang pakar gigi rupanya. Lagi-lagi seperti ayahnya, Doktor Ashraff
yang merupakan specialist di dalam
bidang endodontics iaitu
rawatan akar gigi.
“Una bukan tak ambil peduli tapi Una
busy sangatlah, yah. Tension macam-macam benda nak kena
ingat. Sebab tu cuti sem ni Una saja cari kerja yang tak payah pening-peningkan
kepala. You know how hard it can be,
ayah?” Rabunah cuba mengambil hati ayahnya semula. Memang benar dia sibuk
dengan perihal pengajian, mana hendak fikir tentang tugasan, ujian dan masa
depannya lagi. Menggalas tanggungjawab sebagai doktor muda di Klinik Pakar
Pergigian K&A suatu hari nanti pasti satu cabaran yang cukup besar bagi
dirinya.
“Ayah faham. Dan ayah yakin anak
ayah ni mampu berjaya. Doa ayah tak pernah putus untuk Una tau. Oh ye, kamu
masih ingat pada Ally bukan?” Ashraff sengaja mahu menduga lautan perasaan Rabunah
dengan kail pertanyaannya.
Sebagai seorang ayah, tentulah
dirinya mahu yang terbaik untuk puterinya itu dan melihat pada kesederhanaan
anak muda bernama Ally membuatkan hatinya tertambat. Tidaklah sampai hendak mengatur
jodoh Rabunah dengan anak teruna sahabat baik itu tetapi paling tidak, biarlah
kedua-duanya saling mengenali antara satu sama lain.
“Ally yang hingusnya asyik meleleh
tu, yah? Geli-geleman Una kalau ingatkan budak sememeh tu,” luah Rabunah
bersahaja. Memang benar, sebut nama Ally, gambaran pertama yang terlintas di
kepalanya adalah seorang budak lelaki berambut kerinting tebal dengan bekas tompokan
hingus yang mengering di kulit mukanya sampai berkerak tidak dibersihkan.
“Ha ha ha! Una... Una... Ally yang
kamu describe tu waktu dia zaman
kanak-kanak. Sekarang, dia dah jauh berubah. Makin ganteng tau!”
Rabunah mencebikkan bibir. Dia tidak
pernah mengambil peduli pun tentang Ally, anak Pak Cik Khairul itu. Kali
terakhir Rabunah berjumpa dengan budak comot itu ketika dia masih di bangku
pra-sekolah. Dan Ally pula di dalam darjah enam. Jarak usia mereka berdua dalam
7 tahun. Kemudian, Doktor Khairul berhijrah ke Australia bersama anak dan
isteri selama beberapa tahun sebelum pulang ke tanahair dan bekerjasama dengan
ayahnya untuk menguruskan Klinik Pakar Pergigian K&A.
Dengar dari mulut ayahnya sebelum
ini, Ally menetap di Australia bersama-sama ibunya, Deborah yang sudah memeluk
Islam ketika mengahwini Doktor Khairul. Lelaki itu mengambil kursus pergigian
juga di School of Dental Medicine di sana. Barangkali, bertahun-tahun lebih
awal Ally sudah berjaya menamatkan pengajian berbanding dirinya yang masih
tercungap-cungap hendak menghabiskan tempoh setahun lagi di universiti
tempatan.
Sembang dua beranak itu bubar sebaik
Syazni berkejar mendapatkan datuknya lalu terus duduk di pangkuan Ashraff. Syazni
menjelirkan lidah pada ibu saudaranya di sebelah, angin saja Rabunah melihat
anak kecil itu yang sengaja mengundang geram dalam hatinya. Dia baru hendak
bermanja-manja dengan si ayah, anak buahnya itu pula datang mengacau daun.
“Atok! Atok! Pagi tadi kan, kat
sekolah kita ada penceramah datang. Dia cerita tentang cara-cara menjaga gigi
dengan betul,”
Syazni bersemangat bercerita tentang
aktiviti yang berlangsung di sekolahnya pagi tadi. Ashraff tersenyum melayan
kepetahan cucunya bertutur.
“Apa penceramah tu cakap? Boleh Syazni
kongsikan dengan atok?”
“Penceramah tu cakap kita kena gosok
gigi tiga kali sehari supaya nanti tak adalah gigi rosak dan ada kaviti macam gigi
mak usu. He he he!”
Bila masa pulak gigi aku ada kaviti?
Budak Syazni ni memang hendak kena! Ringan saja tangan aku hendak menyekeh
budak kecil seekor ni! Rabunah melepaskan geram di dalam hati. Ashraff ketawa
besar. Syazni memang tidak pernah kering idea hendak mengenakan ibu saudaranya.
Pantas Syazni melompat dari pangkuan Ashraff dan berlari mendapatkan ayahnya
yang turut tergelak kecil mendengar istilah yang keluar dari mulut anaknya.
Tidak sempat Rabunah hendak menarik rambut Syazni apabila anak kecil itu sudah
berjaya menyelamatkan diri dengan menyorok di belakang Fauzi.
“Sudah-sudahlah Una... kamu ni
dengan budak-budak pun boleh jadi,” ujar Ashraff apabila dilihatnya Rabunah
tidak putus asa mengejar Syazni yang lebih licik melepaskan diri dari ditarik
rambut. Puan Fatimah yang baru menyertai suaminya di ruang tamu, hanya mampu
menggelengkan kepala. Entah sampai bilalah ‘permusuhan’ di antara Rabunah dan Syazni
akan reda? Tetapi ‘permusuhan’ itulah yang mencetuskan suasana bahagia di dalam
keluarga mereka.
“Kamu ni kena kahwin, Una. Baru boleh
pupuk rasa sayang pada budak-budak,” usul Puan Fatimah membuatkan Rabunah
tertelan air liur. Apa kena-mengena pula kahwin dengan rasa sayang pada
budak-budak? Dia bukan tidak sukakan anak-anak kecil tetapi kalau sudah nakal
macam Syazni, mahu tidak naik hantu dibuatnya. Rabunah menahan sabar.
“Mak ni timbul cerita kahwin pulak.
Una habis belajar pun belum tau! Patutnya, abang Fauzi lah perlu kahwin. Biar Ani
‘monster’ ni dapat ibu baru,” sanggah Rabunah. Fauzi mengerutkan hidung ke arah
Rabunah yang mencebikkan bibir padanya sebagai balasan.
“Tengok mak, ayah. Kita cakap dia, dia cakap Fauzi
pulak. Alasan hendak menukar topiklah tu. Ha ha ha! Silap-silap Una dah ada boyfriend senyap-senyap, tak beritahu
kita pun mak.” Fauzi menjelirkan lidah. Baik Fauzi mahupun Syazni, anak-beranak
sama saja. Mereka kalau sudah bersatu, alamatnya tewaslah Rabunah dalam
‘pertempuran’ itu.
“Excuse
me, Una tak mainlah boyfriend-boyfriend
ni okey!”
“Habis? Nak cari suami teruslah ni
ya? Gatal biang sangatlah tu! Ha ha ha!”
“Eee...geramnya abang ni! Abang
dengan Ani, dua kali lima tau! Tak kuasalah nak layan! Talk to the hand!”
Rabunah menghentak kaki, tidak ubah
seperti anak kecil yang sedang merajuk dan meminta untuk dipujuk. Doktor Ashraff
dan Puan Fatimah naik pening melayan ragam anak-anak dan cucunya. Hujungnya,
Rabunah masuk memerap di dalam biliknya di tingkat atas. Lagi lama dia di
bawah, lagi banyaklah dia disakat Fauzi. Syazni, bila sudah tiada ibu
saudaranya, anak kecil itu tidak seaktif mana. Mulalah kepalanya
terlentok-lentok di ribaan Fauzi dan akhirnya tertidur.
Fauzi mencempung tubuh kecil anaknya
untuk dibawa ke dalam bilik. Perlahan-lahan Fauzi membaringkan Syazni di atas
tilam lalu menyelimutkan anak itu supaya lebih nyenyak tidurnya. Puan Fatimah
memerhati saja dari jauh lalu berbisik di cuping telinga suaminya yang menumpu
perhatian di kaca televisyen.
“Abang... Mah rasa abang patut
kahwinlah,”
Tersembul biji mata Ashraff
mendengarnya, terus berpaling lelaki itu merenung wajah si isteri yang
bersahaja riaknya.
“Apa? Mah izinkan abang kahwin lagi
satu?” menyeringai lebar senyuman nakal Ashraff. Fatimah yang menyedari akan
dirinya yang tersasul, terus saja mencubit bahu suami. Mengaduh lelaki itu
dibuatnya.
“Macam ketam batu mencubit! He he he!
Betul ke sayang, abang boleh buka cawangan baru?”
“Mah tersalah cakaplah tadi. Amboi,
bukan main menggatal juga awak ni ya? Ada hati hendak pasang lagi satu! Saya
bukan kata abang yang patut kahwin tapi anak kita tu. Fauzi dah lama menduda.
Sudah enam tahun menantu kita tiada, tapi abang lihatlah Fauzi... masih lagi tak
mahu cari pengganti. Kadang-kadang saya kasihan melihat dia. Dialah ayah,
dialah ibu.” luah Fatimah simpati dengan pengorbanan dan kesetiaan anak tunggal
lelakinya itu.
“Muneera, cinta dia dunia akhirat
Mah. Awak pun tahu bukan?”
“Saya faham, bang. Saya pun terlalu sayangkan Muneera. Tapi ketentuan
takdir kita tidak boleh tolak, yang pergi tetap pergi. Abang nasihatkanlah dia,
cari pasangan untuk dia berkongsi hidup. Kalau tidak untuk dirinya, untuk Syazni.
Kita pun bukannya akan hidup lama, tiada kita nanti... siapa yang mahu menjaga
cucu kesayangan kita tu?”
Ashraff mengangguk. Dia cukup memahami akan galau di hati Fatimah. Sudah
tiba masanya untuk Fauzi membuka pintu hatinya menerima orang baru. Ashraff
cukup masak dengan keperibadian anak tunggal lelakinya itu. Begitu setia pada
yang satu. Pemergian Muneera suatu ketika dahulu ibarat pengakhiran hidup buat Fauzi.
Lelaki itu murung, depresi dan membataskan dirinya dari berhubung dengan dunia
luar. Hampir setahun Fauzi bergelut dengan pedih luka perasaannya sehinggalah
kembali ke dunia nyata dan dapat menerima hakikat sebenar. Hakikat yang Muneera
sudah tiada.
“Kalau boleh kan bang... sebelum Mah pejam mata, Mah teringin mahu lihat
dua anak kita tu bertemu dengan jodoh masing-masing,” luah Fatimah penuh
pengharapan. Lirih suaranya mendayu. Ashraff mencapai tangan isterinya dan
menggenggam erat jari-jemarinya. Dikucupnya penuh limpahan rasa cinta. Butiran
mutiara yang gugur di tubir mata isterinya dikesat lembut.
“InsyaALLAH, Mah. Kita berdoa pada ALLAH agar kedua-dua anak kita dapat
jodoh yang baik-baik. Abang percaya, harinya akan tiba. Sudahlah, mari kita
tidur. Hampir jam 11:00 malam ni. Pukul 3:00 pagi nanti, abang kejutkan Mah ya?
Kita dirikan solat tahajud, taubat dan hajat sama-sama.”
Ashraff memimpin tangan isterinya ke kamar beradu. Di ruang yang lain, Fauzi
kaku berdiri di tangga. Dia yang sejak tadi mendengar sayup-sayup perbualan ibu
dan ayahnya di ruang tamu, mengalirkan airmata. Sungguh hati lelakinya
tersentuh. Dia menangis.
Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke bilik air di tingkat atas biliknya.
Fauzi menyempurnakan wuduknya dan menyelak lembaran kitab ALLAH untuk dibaca.
Mohon petunjuk, mohon ketenangan, mohon doanya didengari ALLAH Subhanawa Taala.