Home Cerpen Cinta Biar Mereka Cemburu - Edisi Raya
Biar Mereka Cemburu - Edisi Raya
A. Darwisy
13/7/2015 07:13:31
4,143
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Hening saja suasana selepas subuh itu. Lazimnya, dalam selang waktu begini, Iedil akan melawan rasa mengantuknya dengan bertadabbur Al-Quran. Ada kalanya, dia gemar sekali mengajak isterinya untuk duduk-duduk sambil berbicara cakna tentang kisah-kisah nabi dan para sahabat. Tetapi tidak pula pagi ini. Lelaki itu berbaring sambil sesekali tangannya mengusap bahagian dada yang terasa berdenyut entah kenapa.

Risau pula Nadia melihat keadaan suaminya begitu. Dia duduk di sisi Iedil dengan pandangan sayu. Jarang-jarang sekali Iedil pasif sedemikian rupa. Lelaki itu sedari Ramadan pertama, bermacam-macam rencana yang dirancang dalam kepalanya. Alhamdulilah, kebanyakannya sudah terlaksana. Nadia seronok sekali melibatkan diri dalam setiap aktiviti suaminya saban hari.

Dua hari lepas, mereka suami isteri bersama-sama tenaga sukarelawan yang lain berkongsi nikmat dan rezeki dengan orang-orang gelandangan di Kuala Lumpur. Ke segenap ceruk kotaraya, mereka telusuri berbagi juadah sahur untuk mereka yang kurang bernasib baik ini. Meski penat, Nadia senang sekali melalui pengalaman berharga dan penuh bermakna itu. Apatah lagi bersama lelaki yang dicintainya dunia akhirat.

“Abang...abang okey tak ni?” lembut Nadia bertanya khabar. Telapak tangannya mengusap-usap rambut si suami. Iedil senyum. Tenang saja tampangnya.

“Dada abang sakit tiba-tiba...” Iedil berterus-terang. Semerta Nadia berubah riaknya.

“Kita pergi hospital bang. Kejap, Nadia bersiap...” Nadia jadi kalut tiba-tiba. Bulu romanya mendadak berdiri. Pemindahan organ jantung suaminya itu biarpun sudah hampir dua tahun berlalu dan alhamdulilah Iedil dikurniakan kesihatan yang baik tetapi tetap mendatangkan rasa bimbang kepada Nadia. Lebih-lebih lagi, Iedil jarang sekali mengadu sakit. Dua tahun hidup berumahtangga dengan lelaki itu, hari-harinya dipenuhi gelak tawa. MasyaAllah, bahagia hidupnya tidak terungkap di hujung lidah.

“Bukan sakit kuat pun. Mungkin sebab penat aje ni. Tak payahlah, sayang...” Iedil memegang pergelangan tangan Nadia. Penuh kasih sayang.

“Ah, tak kira...tak kira! Jangan nak degil sangat ye. Abang tak nak bangun dari katil ni, Nad dukung abang nanti.” Nadia mengembungkan pipinya. Buat muka geram. Iedil tersenyum. Tetapi senyuman itu tidak seperti biasa. Nadia sudah berselawat di dalam hati menenangkan diri.

“Hari ini abang hutang satu cerita dengan sayang...” Iedil meraih tangan isteri tercinta. Nadia tergamam. Allah, berantakan hatinya. Memang jadi satu kebiasaan, selepas subuh, Iedil akan berkongsi cerita dengannya.

“Abang kan sakit dada...”

“Alah, jauh dari nyawa. Sayang dengar ya...” Hendak tidak hendak, Nadia terpaksa mengangguk. Iedil tersenyum lagi. Kali ini, ada sinar di matanya. “Rasulullah sebelum wafatnya, baginda sempat bergurau dengan isterinya, Aisyah tau...”

ALLAH! ALLAH! ALLAH!

Nadia berdentam jiwa dan perasaannya. Dalam banyak-banyak sirah, kenapa yang itu pula diceritakannya. Kalau diikutkan hati, mahu saja Nadia berkata tidak. Dia tidak mahu mendengar.

“Pada suatu hari, Rasulullah menemui Aisyah. Baginda mengadu yang kepalanya terasa sakit yang amat sangat. Ditakdirkan Allah, Aisyah juga ketika itu mengalami sakit kepala yang sama. Rasulullah lalu berkata, “Apabila kamu meninggal dunia terlebih dahulu sebelum aku, maka aku akan menguruskanmu dan mengiringi jenazahmu.” Sayang nak tahu, apa jawapan Aisyah hingga Rasulullah tertawa mendengarnya?” Iedil meletakkan jeda dalam penceritaannya. Nadia mengangguk demi menjaga hati suami. Dia menahan saja dari airmatanya merembes keluar.

“Cakap Aisyah... “Demi Allah, sungguh aku dapat mengagak, jika memang itu terjadi, maka engkau akan berduaan dengan salah seorang isterimu di rumahku pada esok harinya.” Hehehe. Kelakar kan, sayang?”

Iedil gelak nipis. Nadia mengambil ibrah dari pengkisahan itu tetapi untuk ketawa, tidak sama sekali. Perasaannya berkecamuk. Pun begitu melihat tawa si suami yang begitu lapang sekali, sedikit sebanyak menenangkan jiwanya. Asyik Nadia menatap wajah tampan suami tercinta, dia melihat ada airmata yang tiba-tiba mengalir dari tubir mata Iedil.

“Abang...kenapa ni?”

“Sayang...dada abang sakit sangat...” Iedilnya akhirnya membuat pengakuan. Dia memegang dadanya. Peluh sudah merenik di dahi.

Menggigil Nadia mencapai telefon. Nombor Engku Zulaikha dihubunginya. Sebaik saja panggilan bersambut, tanpa salam, Nadia terus memaklumkan.

Mummy...abang Iedil sakit dada tiba-tiba ni...”

***

Beberapa hari lagi hendak raya. Di hujung-hujung Ramadan, cinta dan iman Nadia diuji untuk kesekian kali. Menurut doktor, jantung suaminya bengkak akibat jangkitan selsema. Virus yang menyebabkan serangan selsema ini dipercayai turut menjejaskan otot jantung. Lemah seluruh anggota Nadia mendengarnya. Airmata dan ayat-ayat Allah menemaninya sepanjang hari.

“Sabarlah sayang. Mummy yakin Iedil akan sihat semula...” Engku Zulaikha memujuk. Tengku Alauddin membiarkan isteri dan menantunya itu berbicara dari hati ke hati.

“Nadia teruk mummy. Nadia tak pandai jaga suami...” Nadia merembeskan airmatanya dalam pelukan mertua yang dikasihi.

“Hisy, apa pulak cakap macam tu? Redha ye sayang...”

“Abang Iedil sepanjang bulan Ramadan ni boleh dikatakan tiap-tiap malam ada saja aktivitinya. Tidak pernah berehat. Lepas habis terawih, malam tu dia bertadarus. Kemudian selepas tengah malam hingga pukul tiga pagi, dia dengan teman-teman sukarelawannya. Bila balik rumah, dia mandi. Nadia ada perasan abang asyik bersin tapi tak sangka pula sampai macam ni jadinya. Ya ALLAH, Nadia memang teruk, mummy. Nadia tak ambil berat tentang kesihatan abang. Sedangkan abang, bila Nadia pening sikit pun dia sudah cepat-cepat carikan ubat.”

Nadia menangis tersedu-sedan. Dia berasa tidak berguna langsung. Lelaki syurga itu memang istimewa. Dia cuba jadi isteri yang terbaik tetapi tidak pernah dia rasa cukup. Abang, cepatlah sembuh. Sungguh-sungguh Nadia merayu dalam doanya.

“Dah...dah...benda dah nak jadi. Doa itu senjata orang Islam, sayang. Nadia kena ingat tu.”

Nasihat Engku Zulaikha bagaikan memberi satu pengharapan kepada Nadia. Dia mengelap airmatanya dan mencari kelibat bapa mertuanya.

Mummy...untuk malam ini, boleh tak mummy jaga abang? Nadia hendak ke satu tempat.”

Terkejut Engku Zulaikha apabila mendengar permintaan menantunya. Dia menatap tampang Nadia yang sembap dek asyik menangis.

“Nadia mahu ke mana? Sudah tengah malam ni...” risau Engku Zulaikha dibuatnya.

“Abang selalu jumpa satu keluarga ni, mummy... Mereka tidur bawah jambatan.” terang Nadia.

“Jadi?”

“Nadia mahu jumpa dia. Daddy temankan Nadia ya?”

Tengku Alauddin dapat membaca apa yang terkandung di sebalik niat menantunya itu. Dia mengangguk. Engku Zulaikha melepaskan menantu dan suaminya pergi meski dia sebenarnya masih tertanya-tanya.

***

Tengku Alauddin menelusuri jalan Kuala Lumpur yang meriah dengan gemerlapan lampu berbentuk ketupat di bahu persiaran. Dia tidak banyak bicara sepanjang pemanduan itu. Membiarkan saja angin malam, meniup pergi rasa sedih menantu kesayangannya itu.

“Abang selalu cakap...dia nak mencontohi keperibadian Rasulullah. Tidak banyak, sikit pun jadilah...” perlahan saja suara Nadia. Bergetar nada perempuan itu.

“Alhamdulilah...” sejuk Tengku Alauddin mendengarnya.

“Abang selalu ulang-ulang ceritakan hadis riwayat ni kat Nadia. Sampai Nadia boleh ingat setiap patah kata dalam hadis tu. “Setiap ruas tulang manusia harus disedekahi setiap hari selagi matahari masih terbit. Mendamaikan dua orang yang berselisih adalah sedekah, menolong orang hingga ia dapat naik kenderaan atau mengangkatkan barang bawaan ke atas kenderaannya merupakan sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah kaki yang engkau ayunkan menuju ke masjid adalah sedekah dan menyingkirkan aral yakni rintangan, ranting, paku, kayu, atau sesuatu yang mengganggu dari jalan juga merupakan sedekah.” Pesan abang, dalam bulan Ramadan inilah kita kena sedekah banyak-banyak. Sebab tu, abang rajin bagi makan kat orang gelandangan. Untuk mereka bersahur dan berbuka puasa. Nadia selalu juga mengikutnya tapi tidaklah hari-hari...” Nadia bercerita tentang kebaikan suaminya. Tengku Alauddin tersentuh hatinya. Iedil, anaknya itu semakin lembut hatinya dalam meraih kasih sayang Allah.

“Bersedekah dalam bulan Ramadan ni, masyaAllah berlipat-lipat ganda ganjarannya Nadia. Betullah kata Iedil tu. Apatah lagi memberi makan kepada orang lain.”

Tengku Alauddin melayan sembang menantunya sehinggalah mereka sampai di hadapan Masjid Jamek. Tengku Alauddin memarkirkan keretanya di situ. Nadia meluru keluar dari kereta dan mendahului langkah menuju ke satu arah. Tengku Alauddin mengikut saja ke mana menantunya pergi.

“Sana, daddy...”

“Allahuakbar.”

Tengku Alauddin meremang bulu romanya. Sungguh, ketika itu jiwanya bagaikan disentak peringatan dari Tuhan. Dia melihat seorang tua berlapikkan kotak-kotak leper sedang mengimamkan anak dan isterinya menghadap Allah, dalam keadaan begitu daif sekali. Tiada sejadah lembut saban kali dahi menunduk sujud. Datang cemburu dalam hati Tengku Alauddin. Cemburu melihat keluarga itu yang begitu hebat cinta mereka meraih kasih sayang Allah.

Tengku Alauddin dan Nadia menunggu keluarga itu hingga selesai memberi salam.

“Assalammualaikum,”

“Waalaikumusalam. Eh, puan Nadia. Tuan Iedil tak datang sekali?”

Barangkali sudah terbiasa dengan kehadiran sepasang suami isteri itu, meluncur laju pertanyaan keluar dari mulut si tua yang begitu ceria sebaik saja melihat wajah Nadia. Nadia memaksa untuk senyum seadanya.

“Saya datang dengan ayah mertua saya, pak cik...”

Tengku Alauddin menundukkan kepala tanda hormat. Kedua-dua lelaki itu berjabat tangan. Kemas dan mesra sekali.

“MasyaAllah, beruntung saya dapat jumpa dengan bapanya Tuan Iedil. Anak tuan, pemuda yang sangat-sangat mulia hatinya tuan. Habis semua orang gelandangan di sini, dibantunya. Tiap-tiap hari pulak tu. Allah...Allah...”

Orang tua itu bersungguh-sungguh sekali memuji. Tengku Alauddin melafaz tahmid. Tidak mahu ada rasa riak biar sekelumit pun timbul atas pujian yang diberi.

“Pak cik...suami saya jatuh sakit, pak cik...” Nadia tidak tertahan lagi perasaannya. Perempuan itu mengadu penuh sebak. Terperanjat orang tua itu mendengarnya.

“Ya Allah, Tuan Iedil jatuh sakit?” Semerta tubir mata lelaki tua itu berkaca. Nadia mengangguk.

“Saya datang jumpa pak cik ni, nak minta pak cik tolong doakan suami saya...manalah tahu Allah dengar doa pak cik...” begitu sekali Nadia merayu. Orang tua itu beristighfar tidak berhenti. Barangkali tidak percaya dengan perkhabaran yang disampaikan.

“Ya Allah, baru beberapa hari lepas Tuan Iedil datang berjumpa pak cik. Dia hadiahkan pak cik senaskhah Al-Quran baru untuk pak cik sekeluarga. Tuan Iedil sakit apa, puan?”

“Suami saya tidak lama dulu ada buat pemindahan jantung. Semalam dia jatuh sakit tiba-tiba. Doktor kata jantungnya bengkak. Tolong pak cik...doakan suami saya...”

“Allah...pak cik bukan siapa-siapa, puan Nadia. Pak cik juga manusia biasa yang mengharap belas ihsan dariNYA. InsyaAllah, pak cik akan sama-sama doakan kesembuhan Tuan Iedil...”

Puas hati Nadia kerana hajatnya sudah terlaksana. Ramadan, bulan seribu satu keajaiban. Dan Nadia benar-benar mengharapkan keajaiban itu. Airmatanya kering sendiri ditiup angin malam.

***

“Tak dapat jawab betul, siap sayang kena denda. Dah bersedia?”

“Eleh, tak hairan pun. Semua jawapan dalam kepala tau.”

“Oh, berlagak dia ye. Okey, soalan pertama...insan pertama yang menulis Bismillah?”

“Alah, kat Facebook dah banyak share tentang tu lah, bang. Jawapannya, Nabi Sulaiman alaihisalam.”

“Okey, soalan seterusnya. Insan pertama yang membuatkan hati sayang bergetar?”

Nadia memandang suaminya seperti mahu menelan hidup-hidup. Iedil terkekek-kekek ketawa.

“Dapat jawab ke tidak ni?”

“Eee, gedik tau. Menyampah!”

“Eh, menyampah pulak. Cepat jawab, nanti kena denda. Teruk sayang nanti. Hehehe.”

“Tak takut pun kena denda tu.”

“Memang sukalah ye kena denda. Jaga-jaga, pagi-pagi abang kuat tau. Macam harimau...aum-aum!” Iedil mengusik si isteri. Nadia memerah wajahnya. Tidak tahan hendak tersenyum sama. Sabar sajalah. Suaminya itu kalau datang sengalnya, pening hendak melayan.

Nadia tersenyum dalam airmata. Begitulah rutin mereka suami-isteri selepas selesai mendirikan solat Subuh berjemaah. Ada saja soalan interaktif yang diajukan Iedil kepadanya. Tetapi Subuh yang dilalui beberapa hari ini, begitu hening sekali. Tiada usik manja si suami. Tiada lawak gelak sendiri si suami.

Iedil masih lemah keadaannya. Pucat muka lelaki itu. Bercakap pun satu-satu sebutannya.

“Abang mimpi seseorang tadi...” Iedil sedaya-upaya menutur kata.

“Abang mimpikan siapa?”

“Rostam...”

Sepotong nama itu kembali meniti di bibir Iedil. Rostam yang berdegup dalam tubuh suaminya.

“Kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah, ya bang. Penting sekarang, abang kena cepat sihat. Tak mahulah beraya kat hospital.” Nadia memberi semangat. Iedil mengangguk.

“Sayang...abang ada sesuatu nak tanya ni...”

Bergementar perasaan Nadia tiba-tiba. Dia cuba untuk berlakon tabah.

“Apa dia?”

“Insan pertama yang membuatkan hati sayang bergetar?”

Nadia tersenyum sambil tergeleng-geleng. Sangkanya apalah tadi. Dia benar-benar rindukan usikan suaminya itu.

“Namanya Iedil. Lelaki yang pecah tradisi melamar anak dara orang dalam bas metro.” Nadia ketawa nipis dengan jawapannya itu. Allah...sudah beberapa hari dia tidak gelak bahagia begini.

Handsome tak Iedil tu?”

“Bolehlah...” Nadia jual mahal. Dalam hati, dia memanjat rasa syukur kepada Tuhan. Gurau senda suaminya itu sudah cukup memberinya kekuatan mengharungi hari-hari akhir Ramadan yang penuh tarbiah dan pengajaran.

***

“Isu gelandangan ni tak pernah selesai kan daddy? Kasihan dengan mereka. Islam sudah ada mekanisme dalam membendung masalah ni iaitu menerusi zakat. Bahkan, kita ada baitulmal. Tapi hairannya, masih ada yang hidup merempat. Sepatutnya, agihan zakat ini dapat membantu golongan gelandangan ni supaya tidak terus meminta-minta.”

Tengku Alauddin bersependapat. Siapa dia untuk bercakap tentang ketelusan institusi zakat tetapi sebagai seorang hartawan, sebolehnya dia cuba membantu dari segenap sudut. Tengku Alauddin teringat pada keluarga lelaki tua yang ditemuinya bersembahyang jemaah di bawah jambatan tidak lama dulu. Alhamdulilah, keluarga itu sudah dibantu seadanya.

“Kita tolong mereka apa yang kita termampu ye, nak.”

Iedil tersenyum lalu mengangguk. Ramadan baginya sayang kalau dilazimi dengan perkara yang biasa-biasa. Lakukan perubahan. Keluar dekati masyarakat.

Semoga Allah reda.

TAMAT


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.