Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Bila Azlie Jadi Hero! - sebuah karya parodi komikal Pudina Cinta
Bila Azlie Jadi Hero! - sebuah karya parodi komikal Pudina Cinta
A. Darwisy
16/3/2013 22:06:42
4,870
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Mewah Boulevard pagi-pagi lagi sudah digemparkan dengan bunyi siren polis. Azlie yang bekerja syif pagi di kedai serbaneka bersama-sama Rabunah dan Wawa, tergerak hati hendak melihat apa yang sedang berlaku. Masing-masing melekap di pintu cermin, hendak keluar, tidak beranilah pula. Tidak pasal-pasal nanti terkena peluru sesat. Yalah, entah-entah ada penjenayah yang sedang diburu pihak berkuasa di luar. Azlie mulai kalut. Lagi-lagi kedengaran bunyi sedas tembakan yang membuatkan mereka bertiga tertelan air liur.

Run! Run for your life!!!” Azlie berteriak nyaring tiba-tiba. Baik Rabunah mahupun Wawa, terperanjat dibuatnya! Boleh luruh jantung mereka. Dua sahabat itu memerhatikan saja gelagat Azlie yang sungguh-sungguh berlari-lari di dalam kedai serbaneka itu, dengan pandangan hairan. Wawa tidak dapat menahan ketawanya lagi sementara Rabunah sudah menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau ni dah kenapa? Sawan?” Wawa terkekeh-kekeh. Azlie yang tadinya berlari setempat, terbejat langkahnya serta-merta.

“Kau ni dah sound trouble ke, Wawa? Tak dengar bunyi tembakan tadi? Kau nak mati katak dekat sini?” tukas Azlie dengan nada cemas.

“Tak payah nak berdrama panik sangatlah, cik Azlie oi! Kan dia orang tengah buat penggambaran tu! Kau tak nampak hujung sana tu... ada kamera, ada orang pegang boom segala!” terang Wawa sambil bibirnya menjuih ke satu arah. Azlie melarikan ekor matanya ke arah yang dimaksudkan. Kelihatan sebuah van produksi yang terpampang di badan kenderaan itu, Serkop Production.

“Fuh... hilang semangat aku tau! Eh, dia orang buat drama Gerak Khas ke? Ada pula bajet Serkop Production buat shooting dekat luar. Selalunya, aku tengok balik-balik dalam studio yang kononnya balai polis itu ajelah tiap minggu.” Azlie sudah datang mulut laharnya.

“Kau kalau bercakap, tak ada insurans tau. Mengutuk aje tahu. Eh, kejap... cuba kau tengok siapa yang pakai baju uniform polis tu!” Rabunah menuding ke satu susuk tinggi lampai yang tidak jauh dari situ. Azlie terkejap-kejap kelopak matanya. Seketika kemudian, lelaki itu sudah menjerit-jerit. Melompat suka.

Oh my God! Kilafairy!!! Anak Rohana Jalil tu kan?”

Rabunah dan Wawa memasang wajah bosan. Sejak dari menonton filem seram Karak di pawagam beberapa minggu lalu, bukan main minat lagi Azlie dengan pelakon itu. Sampaikan dalam Facebook Azlie, siap satu folder istimewa yang memuatkan gambar-gambar pelakon berbibir seksi tersebut.

“Eh, kau nak ke mana tu Azlie?” Rabunah dan Wawa bertanya serentak. Azlie yang masih dalam waktu bekerja, terburu-buru keluar dari kedai serbaneka itu. Wawa tidak sampai hati pula hendak menahan. Membiarkan saja Azlie berlalu, mendekati artis yang diminatinya itu.

***

Azlie tidak sabar hendak bercerita pengalamannya. Rabunah tumpang berbangga. Meski dia sudah tahu hujung pangkal cerita tetapi Rabunah tetap mahu mendengar dari mulut Azlie sendiri. Yalah, bukan mudah dapat peluang sebegini. Bak kata orang-orang lama, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

“Lepas ni aku nak siap-siap buat teks ucapanlah nampaknya! Tak adalah tergagap-gagap atas pentas nanti,”

“Ha...ha...ha... Overlah kau, Azlie! Baru dapat peluang berlakon dua tiga scene dah bajet menang award.” Rabunah balun ketawa. Azlie tetap dengan muka selamba tidak tahu malunya itu. “Eh, tapi kau pegang watak apa eh?” sambung Rabunah lalu mengaju pertanyaan. Semalam, dia tidak menyangka pula ‘kehilangan’ Azlie beberapa jam dari kedai serbaneka itu disebabkan terlibat dalam pembikinan drama yang sedang dijalankan. Mujurlah Wawa, yang menjadi penyelia. Dia tidak kisah memberi pelepasan kepada Azlie untuk mengambil cuti pada hari itu.

“Mestilah watak penting! Gila kau aku pegang watak ala-ala tunggul tepi jalan aje!” Azlie melayang-layang jari telunjuknya ke muka Rabunah. Rabunah membuat muka toya. Layankan saja propa si Azlie.

“Watak pentinglah sangat! Apa kau jadi hero ke?”

“Hero tu, tidaklah... Sajalah tu kau nak pangkah aku kan? Biarpun watak aku ala-ala muncul beberapa saat tapi aku rasa bila keluar dalam TV nanti, ramai produser berebut-rebut cari aku tau!” Azlie masih berdolak-dalik tentang watak yang dipegangnya. Rabunah rasa mahu mencekik-cekik saja leher si patah di hadapannya ini.

“Lagi sekali kau merepek entah apa-apa, aku pulas puting badan kau. Cepat cakap, kau pegang watak apa?” ugut Rabunah, membuat muka garang. Azlie sudah menutup bahagian depan badannya dengan kedua-dua belah tangan. Bukan boleh percaya sangat si Rabunah ini, nanti betul-betul dibuatnya! Azlie menggumam dalam hati.

“Kau suka tau buat sexual harassment dekat aku. Aku report dengan pertubuhan lelaki-lelaki berkudrat lemah nanti! Yalah...yalah... aku beritahulah ni. Aku pegang watak... tukang jaga parking aje... Heroin tengah cari parking, akulah yang pandu arah...” terang Azlie, semakin perlahan di hujung-hujung ayatnya. Rabunah sudah memerah mukanya menahan gelak.

“Oh, penting juga watak tu...” sahut Rabunah, cuba mengawal getar suaranya yang tertahan-tahan hendak memburaikan ketawa. Azlie mencebik bibir. Merajuk.

“Alah, aku tahulah... siapalah aku ni kan? Berangan jadi hero dalam mimpi ajelah. Aku bukan macam Doktor Ally kau tu...” Azlie menjauh hati. Rabunah tersengih melayankan kerenah si Azlie.

“Mengadalah kau nak sentap-sentap ni. Kau nak tahu definisi hero pada aku?” Seperti biasa, Rabunah suka sekali membawa sembang-sembang santai mereka ke arah yang lebih intelektual sifatnya. Azlie yang memuncung sekejap tadi, beransur-ansur terpujuk hatinya. Alah, Azlie ini jiwanya bersih dan halus. Mudah saja hendak memujuk lelaki itu kalau tahu gayanya.

Literally, hero pada aku bukan Shah Rukh Khan, bukan Randy Pangalila, bukan Jang Geun Suk tapi hero adalah manusia yang mudah memaafkan manusia lain. Hero kita orang Islam siapa lagi kalau bukan Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam. Kalau dalam cerita, hero mesti akan bertemu ruas dengan pesaingnya. Dan apa tindakan hero apabila berdepan dengan lawannya itu? Dah tentu-tentu mahu menundukkan lawannya, bukan?” Azlie terangguk-angguk kepalanya, mengiyakan kenyataan Rabunah yang ada signifikannya.

“Terkadang, kita sudah disogok dengan konsep yang bagi aku sedikit kurang tepat...”

“Maksud kau, Una?”

“Hmm... macam ni... hero akan dijulang di akhir cerita apabila dapat menandingi lawannya. Kita sebagai penonton akan berasa puas apabila ada elemen ‘membalas dendam’ di situ, dihalalkan atas nama sebuah pengorbanan, meraih cinta dan macam-macam alasan lagi. Tetapi bila kita telusur sirah nabi, betapa jauh tersasarnya konsep hero itu sebenarnya. Rasulullah sendiri apabila ditawarkan malaikat Jibril untuk menghempapkan bukit ke atas penduduk Taif yang sangat biadap melontar batu kepadanya tetapi Baginda dengan berlapang hati, memaafkan mereka. Malah, mendoakan yang baik-baik pula kepada mereka. Itu belum lagi dengan kisah tentang seorang Yahudi buta yang sering memaki-maki Rasulullah sedangkan dia tidak tahu, Rasulullah yang menyuap makan kepadanya tiap-tiap hari. Anger makes you smaller, while forgiveness forces you to grow beyond what you were. And that's what a hero means to me.” Rabunah mengakhiri hujahnya dengan senyuman nipis di wajah. Entah kenapa, Azlie tersentuh hatinya mendengar buah fikiran ikhlas kawan baiknya itu.

“Susah kan nak jadi hero macam tu, Una?” Azlie mengeluh halus. Untuk sekalian kali, sembang-sembangnya dengan Rabunah, membuka matahatinya tentang banyak perkara. Perkara yang terkadang dia terlupa betapa kesabaran terletak pada hentaman yang pertama. Dan kemaafan adalah kunci penduanya.

***

It’s a wrap!” laung seorang lelaki yang duduk di kerusi sutradara kepada anak-anak buahnya. Seluruh tenaga kerja produksi drama kepolisan itu bertepuk tangan, menzahirkan rasa gembira yang teramat sangat. Manakan tidak drama 30 episod yang akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi itu, sudah menemui penghujungnya. Penat lelah, bukan saja para pelakon bahkan kru-kru produksi yang terlibat, terasa berbaloi. Azlie yang tamat syif paginya itu, sejak pukul 3.00 petang tadi, turut menumpang rasa teruja. Seronok dia menyaksikan babak heroin akhirnya bersatu dengan si hero cerita.

“Biar betul babak ending buat depan Mewah Boulevard? Tak ada tempat lain yang lebih menarik apa dekat KL ni?” Rabunah mempersoalkan, sengaja mengganggu konsentrasi kawan baiknya itu yang tidak sempat-sempat tercatuk di situ sejurus habis waktu bekerja. Azlie menjeling tajam. Rabunah tergelak nipis melihat akan aksi spontan itu.

“Kau jangan tak tahu, Mewah Boulevard ni ada commercial value tau. Ramai dah orang buat iklan, buat penggambaran dekat sini. Lagi-lagi ada aku interframe, mahu tak komersial?”

“Jangan nak perasan sangatlah! Tu, artis yang kau minat tu tak mahu ambil autograph dekat bahu?” tanya Rabunah apabila melihat Kilafairy yang beroles gincu berwarna merah cili, sedang dipayungkan oleh seorang pembantu, bersiap-siap untuk berangkat dari situ. Yalah, kerjanya sudah habis. Azlie tersengih lalu mengunjukkan telefon bimbitnya yang sudah disetkan mod kamera kepada Rabunah. Rabunah sudah faham. Mahu ambil gambar masuk dalam Facebooklah tu!

“Kau tolong ambilkan gambar aku dengan dia tau,” Azlie berdebar-debar pula hendak mendekati pelakon terkenal itu. Dup dap dup dap pula dia rasa. Rabunah tidak kuasa hendak melayan drama propa si Azlie. Dua sahabat itu sudah berdiri tidak jauh dari pelakon perempuan itu yang tersenyum mesra memandang ke arah mereka berdua. Azlie tergagap-gagap hendak bercakap. Menggelabah tidak tentu pasal.

“Mahu tangkap gambar ya?” sapa Kilafairy lembut. Sekali lagi pelakon perempuan itu tersenyum manis. Azlie terangguk-angguk dungu. Rabunah di tepi, berbisik ke cuping telinga kawannya itu.

“Kau kena sawan kancing gigi apa? Dah ada peluang, tanyalah apa-apa. Kata minat?” galak Rabunah sambil menolak batang tubuh Azlie yang membatu di situ. Azlie teragak-agak. Cuaknya datang dan pergi.

“Err... err... Rohana Jalil sihat?”

PAP!

Rabunah menepuk dahi! Soalan apakah itu? Azlie membuat muka kalut. Dia sendiri tidak tahu bagaimana soalan itu pula yang boleh keluar di hujung lidahnya. Aduh, epik fail sungguh!

“Ha? Mak saya sihat... alhamdulilah...” Kilafairy memasang muka pelik. Yalah, tidak pernah-pernah dalam hidupnya, ada peminat datang berjumpa, kemudian bertanya tentang emaknya pula. Inilah kali pertama! Sihat atau tidak peminat dia yang satu ini? Tetapi mengenangkan pemuda bernama Azlie itu adalah peminatnya, dia melayankan saja. Azlie berdiri serupa patung di sebelah Kilafairy sebaik saja Rabunah sudah mengangkat telefon bimbit berkameranya itu. Aksi artis dan peminat itu dibidik sekali, terakam pegun di dalam cip memori.

“Banyak soalan dalam dunia ni, soalan itu yang kau tanya? Astaga!” Rabunah tergelak-gelak mengingatkan insiden beberapa minit yang lalu. Azlie masih ralit membelek-belek gambarnya bersama Kilafairy yang dibidik Rabunah tadi.

“Aku nervouslah perempuan! Otak aku dah tepu. Sekali soalan cepu emas keluar! Ha...ha...ha...” Azlie ralat tetapi hujungnya dia sendiri ketawa berdekah-dekah dengan tindakan di luar kawalannya itu. Mereka yang semakin menjauhi tapak penggambaran drama itu tiba-tiba mendengar suara jeritan. Suara milik seorang perempuan. Azlie menatap tampang Rabunah. Rabunah mengangkat bahu dan kemudian melegari pandangannya ke sekeliling.

“Eh, suara Kilafairy tu! Lihat sana, ada orang larikan beg tangan dialah!” Rabunah cepat menangkap akan apa yang terjadi. Suasana menjadi kelam-kabut sekejap. Apatah lagi pencuri yang melarikan beg tangan itu sedang berlari ke arah mereka berdua. Azlie dan Rabunah tergamam. Dalam keadaan cemas begitu, apa yang perlu mereka lakukan?

“Azlie, inilah masanya untuk kau jadi hero! Halang pencuri tu, cepat! Sepak kaki dia!” Rabunah sempat menitip pesan. Azlie datang semangatnya serta-merta. Lelaki itu memasang kuda-kuda. Lagi beberapa langkah, pencuri itu hendak merempuh tubuhnya, Azlie menjerit nyaring sekuat-kuatnya. Jeritan yang barangkali boleh sampai ke tujuh petala langit itu benar-benar menggemparkan seluruh kawasan Mewah Boulevard itu.

“DENGAN KUASA BULAN!!!”

Jeritan Azlie bukan saja nyaring, bahkan lama tidak putus-putus hinggakan mahu pecah gegendang telinga. Bukan saja pencuri itu yang terkasima bahkan Rabunah, Kilafairy dan semua tenaga produksi berhampiran ternganga dibuatnya. Azlie dengan luapan semangat yang berkobar-kobar, menghumbankan batang tubuhnya ke arah lelaki pencuri di hadapannya. Pencuri itu jatuh terbaring ke lantai simen lantaran ditindih badannya. Beg tangan yang dicuri, terlepas dari genggaman. Cepat-cepat Rabunah membuat tindakan bijak dengan mencapai beg itu lalu berlari menyerahkan kepada pemiliknya. Kilafairy menarik nafas lega

“...AKAN MENGHUKUMMU!!!” sambung Azlie menjerit nyaring dan semakin nyaring di cuping telinga pencuri yang sudah berada di bawah badannya. Bagaikan lipas kudung, pencuri itu berlari entah menghilang ke mana sebaik dapat melepaskan diri. Rabunah mengetuk bahagian belakang kepala kawan baiknya itu.

“Hoi, sudah-sudahlah menjerit tu! Pecah semua cermin kereta dengan jeritan kau tu!” tegur Rabunah membawa Azlie kembali ke dunia sedar. Rabunah mengeleng-geleng kepala. Sudah nasib badan, punya kawan baik yang minat kartun. Sudahnya aksi Sailormoon pun keluar sekali. Merepek betullah si Azlie seorang ini. Hujungnya, Kilafairy mengucapkan terima kasih sementara mereka-mereka yang lalu-lalang dan berada di tempat kejadian, bertepuk tangan meraikan keberanian Azlie. Meski cuma dengan jeritannya saja. Macam-macam hal!

Rabunah seperti mahu berguling-guling ketawa pada hari ini!

***

Wawa dapat satu, Rabunah pun dapat satu. Baik kedua-duanya sudah memasang muka keliru. Azlie tersengih-sengih. Dia sudah membuat lebih dari sepuluh salinan. Sanggup dia ke Plaza Imbi, membeli cakera padat kosong untuk tujuan itu. Bukannya apa, buat kenang-kenangan!

“Sejak bila kau jual CD haram ni, Azlie?” selamba Rabunah bertanya. Dia membelek-belek cakera padat itu yang dia sendiri tidak tahu akan isi kandungannya.

“Banyaklah kau! Aku tak buatlah kerja-kerja yang boleh menabur pasir dalam periuk nasi aku. Sebagai anak seni, aku beli yang original aje tau.” Rabunah lagi berkerut kening. Azlie ini melalut atau bercakap yang benar?

“Anak seni apanya? Jaga parking aje kut!” Wawa menyindir lepas. Dia tahu Azlie memegang watak kecil di dalam drama kepolisan yang dibuat penggambarannya di Mewah Boulevard sebulan yang lalu. Azlie membuat muka kekwat. Tidak ambil hati pun.

“Tidak ada kejayaan tanpa langkah yang pertama, okey? Ini copy episod satu drama yang aku berlakon hari tu. Walaupun beberapa saat aje, terpampang jelas muka aku tau. Facebook aku pun dah kena buat akaun baru. Well, peminat dah ramai kan...”

Baik Rabunah mahupun Wawa sudah terasa mahu menjolok-jolok anak tekak. Gedik sungguh kawan mereka yang seorang ini. Meski begitu, mereka berasa cukup-cukup terhibur. Tanpa Azlie, barangkali sunyi sepi kedai serbaneka itu jadinya. Azlielah penghidup suasana.

So, sekarang ni kau dah nekadlah ya mahu serius terjun dalam dunia lakonan ni?” tanya Rabunah melayankan drama si Azlie.

“Tengoklah... bergantung pada skrip jugak. Kalau yang watak pegang-pegang tangan tu, sebolehnya aku tolak. Aku kan solehah... Eh! Soleh!” Rabunah mencubit pinggang Azlie. Menggeletik lelaki itu ke kiri dan ke kanan. Azlie kalau dilayan, begitulah jadinya.

“Layan merapu kau Azlie, boleh biul kepala otak ni tau! Tak dapat aku bayangkan kalau kau betul-betul jadi hero. Mahu kiamat dunia! Ha...ha...ha...” Wawa menggiat kasar. Azlie mencebikkan bibir tetapi dia seperti biasa, tetap bermuka tebal kalau dengan kawan-kawannya. Tidak sekali pun tersentap atau terkecil hati. Ekor mata Azlie tiba-tiba terarah pada lembaran iklan pada papan iklaneka yang terdapat dalam kedai serbaneka itu. Bertampal-tampal dengan iklan mahu mencari penyewa, ada juga yang menawarkan pekerjaan separuh masa dan macam-macam lagi. Tetapi dalam banyak-banyak iklan yang tergantung di papan itu, Azlie tertarik pada satu lembaran. Dia membeliakkan biji mata.

“Una! Bila kau tampal iklan tu? Tak ada pun sebelum ni?” Azlie cukup teruja. Rabunah tergaru-garu kepala cuba mengingatkan akan satu iklan yang dimaksudkan Azlie. Sebuah iklan ujibakat untuk mencari pelakon baru.

“Iklan yang tu, eh? Hmm, baru lagi... lewat petang semalam kalau aku tak silap. Ada lelaki yang muka dia familiar dekat TV suruh aku tampal. Tapi aku tak ingatlah pulak namanya. Biasa lelaki tu keluar dalam TV.” Rabunah menerangkan, jujur. Dia bukan seperti Azlie. Tidak kenal dengan artis-artis atau orang-orang seni dalam negara ini.

“Red Films? Eh, ini produksi yang keluarkan filem Pisau Cukur tu! Wah, dia mahu cari pelakon tambahan untuk filem terbaru dialah.” Azlie dengan selamba mencabut iklan yang tertampal di papan tersebut. Rabunah dan Wawa sama-sama mengintai apa yang sedang ralit dibaca Azlie. “Tajuk filem dia pun menariklah, Colgate Cinta. Ha...ha...ha...”

Rabunah memasang muka kehairanan. Tiada tajuk lain apa yang lebih sesuai? Colgate Cinta? Euwww! Rabunah hanya berdiam diri. Tidak mahu komen lebih-lebih.

“Pelakon utama dalam filem ni Beto Kusyairi. Dia yang berlakon dalam filem Israel, Aku Datang tu kan?” Azlie membuat kenyataan mengundang gelak terbahak-bahak Wawa yang mendengar. Azlie masih tidak sedar akan kesilapan dirinya.

“Sesuka hati kau aje kan, Azlie! Istanbul, Aku Datanglah! Bila masa pulak datangnya Israel tu? Ha...ha...ha...” Bergegar-gegar badan gempal Wawa mentertawakan Azlie yang memasang muka tidak bersalah.

“Amboi kak Wa. Sakan gelakkan aku! Pantang aku tersilap sikit. Tapi macam menarik, kan? Jom, Una! Kita pergi ujibakat! Untung-untung kita boleh jadi bintang filem. Berjalan atas karpet merah. Meletup tau!” Azlie sudah berangan. Tidak jadi kerja mereka bertiga dibuatnya.

“Hisy, tak mahulah! Tajuk pun dah aneh! Itu belum dibuatnya sekuel. Habis semua jenama ubat gigi keluar. Tak kuasa aku!” Rabunah menolak mentah-mentah ajakan kawan baiknya itu. Azlie sudah membega’-begakan wajahnya dengan raut minta dikasihani. Hendak berdrama lagilah tu! Rabunah sudah faham sangat.

“Yalah-yalah... aku ikut kau tapi dengan satu syarat. Aku sekadar temankan kau aje. Lebih-lebih aku tak mahu! Aku dapat tahu, kau masukkan nama aku sekali... nahas tulang-temulang yang sedia patah tu aku patah riukkan lagi!” Rabunah awal-awal lagi memberi amaran. Dalam sekelip mata, Azlie melukis senyuman gembira. Setidak-tidaknya, tidaklah dia gabra. Yalah, hati terasa mahu mencuba tetapi sedikit-sebanyak rasa segan yang ada membantutkan niatnya.

“Apalagi, habis syif ni kita pergi!”

“Ha! Kau biar betul?” Rabunah merampas lembaran iklan dari tangan Azlie dan giliran dia pula membelek-belek iklan ujibakat mencari pelakon tambahan untuk filem Colgate Cinta itu. Tidak silap lagi matanya memandang. Memang benar tarikh ujibakat yang berlangsung, jatuh pada hari ini. Terasa menyesal pula dia berjanji bukan-bukan dengan Azlie baru sekejap tadi.

Wawa mengangkat bahu. Dia tidak mahu melibatkan diri dalam misi mencari glamor itu. Tidak pernah terlintas dalam fikiran pun.

***

Rabunah mahu mencekik-cekik batang leher Azlie yang pandai-pandai saja mendaftarkan namanya dalam borang ujibakat pemilihan pelakon tambahan yang dijalankan itu. Terkulat-kulat Rabunah yang cuma duduk di bangku menunggu, menemankan Azlie yang baru lepas giliran ujibakatnya. Kali kedua, nama Rabunah dilaungkan salah seorang pengadil yang terlibat dalam sesi ujibakat. Sudahlah dia tidak punya sebarang klu langsung hendak melakukan apa di atas pentas kecil itu. Tadi pun, sewaktu yang lain-lain melalui proses ujibakat tersebut, Rabunah sedang asyik melayari internet menggunakan tabnya. Ada tidak ada dia beri perhatian, ketika Azlie punya giliran.

Azlie diberi satu skrip ringkas dan diminta untuk melakonkan babak spontan itu dalam masa yang diperuntukkan. Pengalaman baru buat Azlie meski dia sudah dapat mengagak, potensinya untuk melepasi peringkat saringan ujibakat itu seperti tipis saja. Ramai lagi yang berbakat, ada yang sampai bercucuran airmata dan ada juga yang menjerit-jerit serupa orang gila lantaran menghayati watak yang diberi. Hebat! Masing-masing begitu bersungguh-sungguh hendak memikat para juri yang terdiri daripada Bernard Chauly, sutradara Colgate Cinta yang dalam pembikinan tidak lama lagi.

“Cik Rabunah binti Ashraff... tampil ke depan,”

Rabunah memandang Azlie sekecil semut saja sewaktu itu. Mahu dipijak-pijak saja tubuh lempuk lelaki tersebut. Azlie mengekeh-ngekeh ketawa. Dia menaikkan ibu jari ke atas.

“Err...saya...” Hendak tidak hendak, Rabunah terpaksa bangun dan menyahut panggilan itu. Sudah terang lagi bersuluh, tinggal dia seorang sahaja di dalam bilik ujibakat itu yang belum lagi dipanggil ke hadapan. Semua mata tertumpu ke arah Rabunah.

“Boleh ceritakan serba sedikit tentang latarbelakang saudari...” Rabunah mula pucat lesi. Dia mengutuk-ngutuk dirinya sendiri kerana sudah termasuk dalam perangkap Azlie. Siaplah kau, Azlie! Cukup-cukup aku kerjakan kau selepas ini!

“Hmm... latarbelakang? Saya belajar lagi... pelajar kursus pergigian di UKM. Err... itu ajelah kut...” Rabunah berasa sangat janggal. Serba serbi tidak kena dia tercatuk berdiri di situ.

Interesting! Sesuai sangatlah tu dengan filem ni... Ada pengalaman berlakon sebelum ni?” tanya seorang lagi juri. Sementara yang lain sudah terangguk-angguk kepala mereka. Rabunah semakin pelik dengan tindakbalas orang-orang kuat tenaga pemilihan pelakon itu. Rabunah menggeleng laju. Pengalaman berlakon? Pengalaman menyanyi dalam bilik air sambil menggosok gigi, adalah kut.

“Baiklah... ini skrip untuk awak. Awak rasa-rasa boleh buat yang terbaik?” tanya si sutradara filem Colgate Cinta itu pula. Rabunah tidak tahu hendak memberi jawapan sama ada ya atau tidak. Mukanya sudah berkedut seribu apabila menatap sehelai kertas yang dikatakan mereka skrip itu. Rabunah memejam celik kelopak matanya. Dia rabunkah atau sememangnya kertas itu memang kosong tidak tertulis apa-apa? Baru Rabunah hendak mengutarakan keraguannya itu, pentas kecoh tidak semena-mena apabila seorang lelaki tiba-tiba saja meletakkan pergelangan tangannya di bahu Rabunah.

Azlie dan yang lain-lain sudah bersiul-siulan dan bertepuk tangan. Rabunah bingung. Siapa lelaki ini? Kemudian, suka-suka saja meletakkan tangannya di atas bahu aku. Tak ada adab! Nahas kau!

“Hey, saudara? Awak dah lama hidup ke? Turunkan tangan awak tu! Kalau tak...”

“Kalau tak, awak nak buat apa? Heh!” Lelaki itu membuat muka poyo. Rabunah tidak peduli lagi. Biarlah hendak jadi apa pun di atas pentas itu. Rabunah dengan pantas memulas keras pergelangan tangan itu ke belakang sampai herot-berot muka lelaki itu dibuatnya. Nah, rasakan! Mahu main-main dengan aku lagi! Rabunah gengster sekali lagaknya.

“Aduh... duh... okey, lepaskan saya. Maafkan saya. Saya janji takkan buat lagi.”

“Lain kali jangan hendak menggatal! Memang silap besarlah!” Rabunah mencerlung matanya, menayang muka garang. Meski hakikatnya, wajah comel Rabunah cukup-cukup memikat semua yang berada di bilik ujibakat itu. Wajah baru yang kalau dibawa ke industri layar perak, pasti akan meletup-letup!

“Awak ni ganas sangatlah tapi saya suka! He...he...he...”

“Apa awak kata?” Rabunah mengetatkan lagi pulasannya itu sehingga lelaki berkenaan membuat isyarat mata pada juri-juri di bawah. Tidak lama kemudian, ketiga-tiga panel pemilihan itu bangun dan bertepuk tangan. Lalu diikuti peserta ujibakat yang lain. Azlie siap bersiul nyaring dan melonjak-lonjak gembira. Rabunah bertambah-tambah bingung. Pergelangan tangan lelaki tidak dikenalinya itu dilepaskan segera. Dia tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

This is what we call talent. Natural acting with the natural beauty!

Rabunah turun dari pentas kecil itu dan segera mendapatkan Azlie yang tersenyum gembira. Lelaki itu memuji-muji lakonan sebabak Rabunah yang tidak disangka-sangkanya. Rupa-rupanya Rabunah punya bakat yang terpendam.

“Kalau kau nak tahu, lelaki tulah Beto Kusyairi. Hero cerita ni. Wah, pandai kau menghayati watak kan? Kelas kau perempuan! Makan hati Neelofa!”

Rabunah tercengang-cengang. Bila masa pula dia menghayati watak? Dia bukannya berlakon pun di atas pentas itu tadi. Apa semua ini? Dan siapa pula lelaki bernama Beto Kusyairi? Nama macam orang Jawa saja. Ah, tak faham!

***

Doktor Ally sedang berehat-rehat di Klinik Pakar Pergigian K&A sementara menunggu waktu makan tengahari lima minit lagi. Sambil itu, dia mencapai sebuah suratkhabar dan menyelak malas lembaran demi lembaran. Matanya terpaku apabila melihat satu poster filem baharu yang bakal ditayangkan. Ada gambar sepasang lelaki dan perempuan sedang menggosok gigi sambil mata menjeling manja antara satu sama lain.

Filem: Colgate Cinta

Tarikh tayangan di pawagam: 1 Januari 2014

Pengarah: Bernard Chauly

Pelakon Utama: Beto Kusyari, Siti Saleha, Marsha Milah Londoh

Pelakon Pembantu: Qi Razali, Enot, Tasha Shila, Lana Nordin, Rabunah Ashraff

“Eh! Macam kenal aje nama tu! Ha! Rabunah???”

Doktor Ally terjatuh dari kerusinya! Terkejut punya pasal.

TAMAT

Jangan lupa dapatkan novel Pudina Cinta di pasaran!

Dan...

SEKUELNYA... jeng jeng jeng!

Eh! Main-main ke betul-betul ni?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.