SAMPAI di kereta, terkejut Danisha apabila Encik Hisham membukakan pintu untuknya. Tiba-tiba berasa segan pula. Tidak sangka dalam garang pak naga, ada juga sifat baiknya.
“Kita nak pergi klinik mana ni?” tanya Encik Hisham sebaik menghidupkan enjin.
“Kita pergi klinik Dr. Fadzilah, dekat Pinggiran Bt. Caves. Saya dah biasa dengan doktor tu.” Danisha menjawab pantas.
“Okey, saya tahu klinik tu.”
“Encik Hisham tahu?” tanya Danisha pelik. ‘Takkan orang kaya macam dia, pergi klinik biasa saja apabila sakit pening? Tahi hidung masin betullah dia ni!’ Sempat juga Danisha mengutuk dalam hati.
Encik Hisham membiarkan sahaja soalan itu tidak berjawab. Kini dia memberi tumpuan pada jalan yang sedikit sesak. Bertambah malang lampu isyarat di hujung jalan tidak berfungsi pula. Kenalah berhati-hati di simpang tiga ini kerana dia hendak membelok ke kanan.
Sebaik tiba di klinik, mujur tiada pesakit lain. Danisha berasa lega apabila doktor beritahu demam Aishah sudah berkurang. Tindakan Kak Kathy memandikan Aishah dan sentiasa meletakkan tuala basah di dahinya memang membantu mengurangkan panas badan Aishah.
Dr. Fadzilah menasihatinya supaya jangan risau sangat. Di rumah nanti, pakaikan Aishah baju yang lembut dan nipis saja. Itu yang buat Danisha lebih suka berjumpa Dr. Fadzilah walau ada klinik lain yang lebih dekat dengan apartmennya.
Berjumpa dan mendengar bicara Dr. Fadzilah memang sudah buat sakit terus berkurang. Tidak seperti ada setengah doktor lain yang kadang-kadang menambah risau ibu bapa tentang penyakit yang anak mereka alami. Padahal bukan sakit teruk sangat pun, tapi cara doktor itu bercakap macamlah penyakit itu susah hendak sembuh.
“Macam mana dengan Aishah?” tanya Encik Hisham sebaik Danisha keluar dari bilik pemeriksaan. Hendak tergelak Danisha melihat wajah bosnya yang macam cemas pulak. “Tak ada apa-apalah. Demam sikit aje.”
“Alhamdulillah… ingatkan kenapa lama sangat dalam bilik doktor tu.” Si kecil dipandang dengan penuh simpati.
“Terima kasih Encik Hisham sebab hantar kita orang ke klinik,” ucapnya tetapi mata pandang ke lain. Tidak sanggup pula hendak bertentang mata dengan pak naga.
“Tak ada hallah. Jom, saya hantar awak balik,” pelawa Encik Hisham pula.
“Tak apalah. Saya nak naik teksi aje.” Danisha menolak pelawaan bosnya.
“Jangan nak degil pulak,” marah Encik Hisham sambil menjelingnya.
Akhirnya Danisha akur juga. ‘Hai… sejak bila pulak pak naga ni bersikap prihatin?’ detiknya.
“Yang awak tercegat lagi dekat situ, kenapa?” soal Encik Hisham apabila Danisha masih tidak berganjak.
“Sebenarnya saya baru teringat yang saya kena ambil anak saya dekat sekolah tahfiz,” terangnya teragak-agak.
“Apa? Berapa banyak anak yang awak ada?” tanya Encik Hisham, terkejut.
Danisha menahan dirinya dari tertawa sebaik melihat reaksi bosnya. Hendak kata muka dia terkejut beruk, memang melampaulah, kan? Terpaksalah dia menyimpan tawanya.
“Dekat mana pulak sekolah tu?” tanya Encik Hisham lagi.
“Tak jauh, dekat apartmen depan tu aje,” jawab Danisha. Matanya tidak sanggup memandang bosnya yang sememangnya sedang menatap wajahnya.
“Berapa pulak umur anak awak yang sekolah tu?” Encik Hisham hendak tahu pula.
“Nak masuk 6 tahun,” jawab Danisha perlahan.
Sekilas Encik Hisham menjeling Danisha. Agaknya dia tidak menyangka rupanya Danisha yang brutal ini boleh menjaga anak-anak kecil.
Dalam kereta Danisha diam sahaja. Dia memeluk erat Aishah yang duduk di atas ribaannya.
“Macam mana nak pergi ke sekolah tahfiz tu?” tanya Encik Hisham pula.
“Kejap lagi Encik Hisham masuk simpang kanan depan tu dan ikut aje jalan tu sampai ke hujung,” beritahu Danisha.
“Hendak letak kereta dekat mana ni? Macam tak ada ruang aje,” tanya Encik Hisham ketika melalui lorong yang sempit. Dia tengok kebanyakan kereta memang double parking. Tentu sahaja kereta yang sebelah dalam susah hendak keluar apabila dalam keadaan begitu.
“Tak apa, sebelah kiri nanti ada tempat letak kereta dekat tanah kosong. Maaflah sebab buat kereta mahal encik masuk kawasan macam ni,” ucap Danisha sebelum pak naga mengamuk.
“Tahu pun…”
“Tapi bos sendiri yang hendak hantar saya.”
“Yalah, tak payah pot pet pot pet. Apa nama anak awak tu? Nanti biar saya yang pergi ambil dia,” ujar Encik Hisham yang turut menawarkan diri untuk ke sekolah.
“Nama dia Aiman. Encik Hisham masuk melalui pintu tempat mengambil wuduk. Nanti beritahulah kepada ustazah nak ambil Aiman. Beritahu sekali saya tak dapat datang sebab jaga Aishah di kereta,” terang Danisha.
“Perlu ke nak beritahu semua tu?” Berkerut dahi Encik Hisham mendengarnya.
“Kenalah beritahu. Anak saya dan ustazah bukannya kenal dengan Encik Hisham.”
“Hmm…” jawab bosnya kemudian keluar dari kereta.
“Encik Hisham, lagi satu…” panggilnya.
“Apa lagi?” Encik Hisham mematikan langkah dan menoleh ke arah Danisha yang memang telah menurunkan cermin kereta.
“Pagi tadi saya terlupa beri Aiman duit belanja. Biasanya sebelum balik dia beli makanan di kantin. Pinjam RM 2 dan beri kepada Aiman, boleh?” Terkulat-kulat Danisha beritahu bosnya.
“Yalah,” balas bosnya tanpa banyak cakap.
Mata Danisha memerhati bosnya yang bergerak pantas menuju ke sekolah. Dia perasan bosnya geleng kepala apabila melihat keadaan sekolah yang masih belum siap dibina sepenuhnya.
Pastinya dia pelik bagaimana sekolah boleh beroperasi dalam keadaan begini. Kerja-kerja plastering di sebahagian luar bangunan 3 tingkat ini masih belum siap lagi walaupun bahagian dalam memang telah siap.
Sedang Danisha asyik mengelamun, tiba-tiba dia bagai tidak percaya dengan apa yang dipandangnya. Encik Hisham menggalas beg Aiman di bahunya? Tangannya pula memegang kemas tangan Aiman ketika menuruni bukit menuju ke kereta. Biar betul?
“Kenapa anak ibu lambat keluar?” tanya Danisha ketika Aiman menyalam tangannya di dalam kereta.
“Nak beli makanan memanglah kena beratur. Tu yang lambat,” balas Aiman dengan senyuman manis di bibir comelnya.
“Ni mesti abang biarkan kawan-kawan potong barisan.” Danisha menduga. Sudah lama dia perasan Aiman selalu begitu ketika membeli makanan di kantin.
“Tak apalah. Lagipun abang kan budak baik, macam ayah.” Aiman memuji dirinya.
“Dah, tak payah nak puji orang yang tak ada tu. Kalau ayah abang tu baik, mesti dia yang ambil dan hantar abang ke sekolah,” ujar Danisha geram.
“Tak baik ibu cakap macam tu. Ayah abang memang baik. Ibu aje yang tak tahu.”
“Anak ibu dah cakap terima kasih kepada Uncle Hisham?” tanya Danisha. Tadi dia terlupa terus yang mereka menumpang kereta orang. Sebaik mendengar bosnya berdehem baru perasan. Baru terasa segan sebab asyik membebel sejak tadi.
“Dahlah… Ibu kan dah selalu ajar abang?”
“Danisha, tolong beri nombor telefon awak,” pinta bosnya sebaik menurunkan mereka di Kristal Heights.
“Nak buat apa? Tak payahlah.” Danisha semakin pelik pula dengan pak naga ni.
“Kereta awak kan dekat ofis? Esok saya jemput awak di sini.”
“Hah? Tak susahkan Encik Hisham ke?”
“Beri sajalah nombor telefon awak tu. Banyak tanya pulak.”
Pantas sahaja Danisha menulis nombor telefonnya di atas kertas yang bosnya hulurkan. Dia faham sendiri dengan jelingan bosnya. ‘Apa pasal pulak dia ni baik sangat?’ Danisha tertanya sendiri.
“Selalu pukul berapa awak hantar Aiman?” tanya Encik Hisham lagi.
“Pukul 6.50 pagi.”
“Okey, esok saya tolong hantar,” ucap bosnya kemudian terus meninggalkan Danisha dengan seribu persoalan di kepala. Ingatkan pak naga ini asyik nak berasap sahaja. Andai dia cerita kepada rakan-rakan di pejabat, mesti mereka tidak percaya. Akhirnya Danisha tersenyum sendiri.