“IBU, ustazah kata ibu tak bayar lagi yuran sekolah abang,” beritahu Aiman ketika Danisha memakaikan jubahnya.
“Abang ni… pagi-pagi dah buat ibu tension. Tahulah ibu bila nak bayar!” Danisha memang pantang waktu pagi-pagi begini ada yang potong stim.
“Abang beritahu ibu aje.”
“Yalah, petang nanti ibu bayar. Sekarang ni pergi pakai kasut,” suruh Danisha.
Sekilas dia memandang Aiman yang duduk di muka pintu. Tiba-tiba baru perasan. “Adik… cepat, kita dah nak pergi ni,” panggil Danisha sambil mencapai beg taska Aishah.
“Adik tengah cari tudung adik,” jawab si kecil pula.
“Pakai aje tudung yang mana-mana. Bukan nak pergi jalan pun,” ujar Danisha. ‘Apa jugalah si kecil ni?’ desisnya sambil menggeleng.
“Ibu, tak baik marah-marah nanti rezeki lari,” tutur Aishah dengan lancarnya.
“Ada aje jawapan, ya?” Danisha sengaja menjeling si kecil kesayangan.
Aishah senyum sahaja walau tahu Danisha geram dengannya.
“Comelnya anak ibu bila pakai tudung.” Sempat juga dia memuji si kecil dalam kelewatan pada pagi ini.
Aishah habis hati apbila mendengarnya malah asyik tersenyum.
Selepas menghantar Aishah ke taska, Danisha segera menghantar Aiman pula. Sebelum menuju ke pejabatnya, dia singgah di Maybank. Andai dia terlupa membayar yuran Aiman, nanti budak tu merajuk pula. Nanti dia juga yang sakit telinga medengar Aiman yang tak habis-habis mengingatkannya pasal yuran.
Sebaik duit keluar, dia segera mengambilnya. Dia keluar RM 500 kerana yuran taska Aishah pun kena bayar juga. Tiba-tiba matanya bagai nak terjojol apabila melihat baki wang di dalam akaun banknya. ‘Mana pulak datangnya duit sebanyak ini? Bukan ke hari tu bakinya tak sampai seribu? Tapi kini ada RM 3000 lebih pulak?’ Dia tertanya sendiri.
Ketika memandu menuju ke pejabatnya, dia masih memikirkan tentang duit lebih yang ada di dalam akaunnya. Bulan ni dapat bonus ke? Atau ayahnya yang masukkan duit ke dalam akaunnya? Tapi kalau ayahnya yang masukkan duit, pasti beritahu dirinya. Itu yang buat Danisha musykil.
Tiba di pejabat, Danisha termenung pula di mejanya. Masih lagi menduga dan mencari jawapan.
“Akaun pak rimau aku ada banyak duitlah. Bonus dah masuk ke?” Danisha bertanya ketika Sofi melintasi kubikelnya.
Sofi merupakan salah seorang staf yang paling penting di syarikat. Gaji lambat masuk, dia jugalah yang akan dicari. Padahal bos yang terlambat sain cek.
“Bonus apa pulak tengah tahun ni? Datuk pun tak umumkan apa-apa, mana pulak datangnya bonus tu?” tanya Sofi balik.
“Oh, ya ke?” Danisha mengerut dahi. Ada orang tersalah bank in ke? Takkanlah boleh sampai jadi macam tu. Dia tertanya-tanya sendiri.
Sudahnya dia meneruskan kerja yang tidak pernah nak habis. Belum sempat projek A siap, sudah kena mula pula projek B. Selepas itu menyusul lagi projek dan buat Danisha bertambah pening.
JAM baru menunjukkan pukul 3.30 petang. Ada satu setengah jam lagi untuk bertapa di ofis ini. Begitu pun, Danisha sudah mula hilang fokus. Fail di tangannya cuba dibaca dan dihadam, tetapi yang dia nampak seperti ulat-ulat kecil yang menyakitkan mata.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara yang dia tidak suka hendak dengar.
“Danisha, masuk bilik saya sekarang!” Encik Hisham memberi arahan melalui interkom.
“Hish, apa jugalah pak naga ini mahu?” sungut Danisha sambil menolak fail yang sedang ditelitinya ke dinding kubikel.
“Lagi mahu tanya ke? Nak kan kaulah!” usik Iman kemudian tertawa.
“Aku baling dengan stapler ni, benjol nanti dahi kau tu!” marahnya.
“Pergilah cepat! Yang kau terhegeh-hegeh lagi tu, kenapa?” Iman pula yang naik risau apabila Danisha masih tidak berganjak dari tempatnya.
“Sekali-sekala kalau aku buat tak dengar, boleh tak?” Sengaja Danisha hendak buat lawak. Kadang-kadang dia memang rasa hendak kenakan pak naga saja. Tapi itulah, masih tidak ada idea bernas yang muncul.
“Jangan Danisha, jangan…” sebut Iman mengikut intonasi dialog dalam cerita monyet yang popular. Kemudian dia sambung ketawa terkekeh-kekeh.
“Danisha Sarah!” jerit Encik Hisham yang telah membuka pintu biliknya.
“Kan dah kata!” bisik Iman. Dia juga terpaksa pura-pura meneruskan kerja apabila pak naga masih memerhati ke arah mereka berdua.
“Ya, saya datanglah ni,” sahutnya sambil terkocoh-kocoh bangun dan menuju ke bilik bosnya.
Sebaik sampai di bilik Encik Hisham, dia terus duduk tanpa dipelawa. Kalau tunggu pak naga persilakannya duduk, sampai minggu depan pun belum tentu dia sudi pelawa.
“Awak ni dah kenapa? Tak faham bahasa ke? Kalau saya dah panggil tu, cepatlah datang!” marah Encik Hisham dengan muka garangnya.
Danisha diam sahaja, malas hendak bertekak. Bagi dirinya, sama ada tengah marah atau tidak, muka bosnya memang macam naga. Cuma tak ada benda tajam-tajam atas kepala saja!
Tiba-tiba dia tersenyum kerana sudah tidak tertahan hendak menyimpan rasa lucunya. Mujur telefon bosnya berbunyi dan dia terus menjawab panggilan yang masuk. Jadi, dia tidak perasan yang Danisha sedang gelakkan dirinya.
“Bos panggil saya ni, nak suruh saya buat apa sebenarnya?” Danisha bertanya sebaik bosnya meletakkan telefon.
“Esok pagi saya nak awak pergi ke Gully D, Sierramas. Saya nak awak periksa dan kira betul-betul pokok renek dan penutup bumi yang ditanam di situ,” arah Encik Hisham.
“Bos, patutnya clerk of works yang buat semua tu. Kenapa sekarang ni nak suruh saya pulak?” Bengang pula Danisha rasa apabila kena buat kerja di tapak pembinaan pula.
“Saya dah berhentikan dia. Asyik mengular dan tak pantau kerja kontraktor,” terang bosnya pula.
“Okeylah. Ada apa-apa lagi ke?” tanya Danisha yang sudah mahu beredar. Dia malas hendak banyak cakap.
“Pastikan awak tak salah kira terutamanya Phyllanthus myrtifolius dan Arachis pintoi. Bilangan yang sepatutnya ditanam ada tercatat dalam pelan pembinaan ini.” Panjang berjela pula arahan bosnya.
“Phyllanthus… Pokok apa tu, bos?” Danisha sengaja pura-pura bertanya.
“Takkan pokok naga buana tu pun awal tak kenal?” soal bosnya sambil menjegilkan matanya.
“Oo… pokok bos tu! Hampir terlupa pulak,” balasnya sambil menyimpan tawanya.
“Apa awak cakap?” soal bosnya balik.
“Maksud saya pokok naga buana tulah,” terkulat-kulat Danisha menyebutnya.
“Esok pagi tak payah masuk ofis dan terus pergi ke sana. Pukul 8.30 pagi Encik Imran akan tunggu awak di sana,” arah bosnya lagi.
“Encik Imran… Siapa dia tu?” Danisha memang tidak kenal dengan Encik Imran yang bosnya maksudkan.
“Siapa lagi? Kontraktor yang buat kerja menaik taraf landskap di Gully D tulah! Banyak tanya pulak,” marah bosnya pula.
“Baiklah. Esok saya akan terus ke sana,” ujar Danisha lalu bangun untuk beredar.
“Pelan pembinaan ni ambillah sekali,” suruh bosnya lagi.
“Maaf, lupa pulak.” Danisha segera mencapai pelan yang dihulurkan.
‘Apa kena dengan pak naga ni? Aku dah lama tak buat kerja kira-mengira ni. Memang sengaja nak kenakan akulah tu!’ Danisha membebel sendiri.
“Kena marah lagi ke?” tanya Iman sebaik dia duduk di tempatnya.
“Tak, dia suruh aku pergi kira pokok dekat tapak pembinaan,” beritahu Danisha sambil campak pelan yang pak naga beri ke atas mejanya.
“Apa hal dengan bos kita tu? Bukan ke kerja kira mengira ni, tugas COW?” soal Iman pula.
“Kau ni…clerk of works, bukan COW! Nanti orang salah dengar, ingat lembu pulak!” tegur Danisha pula, tetapi tetap tersenyum.
“Tengok gayanya, aku rasa dia kenakan kaulah, Nisha.” Begitulah menurut pandangan Iman. Dia perasan juga yang Encik Hisham asyik suruh sahabatnya buat macam-macam kerja.
“Dia memang nak kenakan aku pun! Dia ingat aku ni tak pernah kerja dekat site kut? Dahlah hari-hari muka aku melecur kena sembur ayat berapi dia. Sekarang nak kasi muka aku terbakar dengan sinaran terik matahari pulak. Melampau sungguh!” komen Danisha sambil kepalanya ligat memikirkan sesuatu.
“Tak boleh jadi ni, Nisha. Kau kena bertindak. Datuk Khalil memang dah tarik kau untuk buat kerja dekat ofis. Sekarang ni, suka hati dia pulak campak kau balik kerja di site.” Iman juga sama-sama tidak berpuas hati dengan tindakan Encik Hisham itu.
“Kau tahu tak? Pak naga dah berhentikan clerk of works dekat site tu,” beritahunya.
“Kenapa pulak?” Kini Iman sudah memusing kerusinya dan duduk menghadap Danisha pula.
“Katanya sebab dia suka mengular,” sebut Danisha sambil menggeleng.
“Ya ke?” Iman sudah buat muka terkejutnya.
“Pak naga ni memang nak kena dengan aku. Dia tak tahu yang aku ni lagi hebat dalam bab mengular ni. Anakonda sungai Amazon pun kalah!” Danisha sudah angin semacam sebaik meneliti senarai pokok yang perlu dia kira di tapak pembinaan.
“Kau nak buat apa Nisha?” tanya Iman. Tiba-tiba dia juga teruja sama hendak mengenakan pak naga.
“Ada ke patut dia suruh aku pergi site kira pokok renek dan penutup bumi yang beribu ni? Tengoklah siapa yang kena sebiji dengan aku!” Danisha memang rasa geram sangat dengan pak naga.
“Banyak sangat ke pokok yang kau kena kira, Nisha?” tanya Iman lagi.
“Cuba kau tengok senarai dalam pelan ni. Hampeh tebu betullah pak naga ni!” ujar Danisha sambil tunjuk pelan tersebut kepada Iman.
“Takkan kau tak kira pulak?”
“Orang bengong aje yang akan ikut cakap pak naga tu. Tak adanya aku nak pergi kira satu-satu,” jawab Danisha.
“Habis tu, apa rancangan kau?” Beria-ia pula Iman hendak tahu.
“Kau tunggu aje. Tengok siapa yang terbakar, aku atau pak naga,” jawab Danisha dengan muka mencuka. Seketika dia tersenyum sinis pula.
“Serius saja bunyinya. Kau jangan buat hal Nisha. Nanti tak pasal-pasal kena buang kerja pulak.” Iman turut menyatakan kerisauannya walau memang mahu pak naga dikenakan cukup-cukup.
“Kau jangan risaulah, tak adanya Datuk Khalil nak buang aku,” jawab Danisha dengan yakinnya.
“Amboi, kau bercakap macam ada skandal dengan Datuk Khalil aje,” duga Iman pula.
“Tak payah banyak tanya. Kau tunggu aje esok.” Danisha sudah mengenyitkan matanya.
“Suka hati kaulah Nisha. Jangan buat benda yang bukan-bukan, sudah!” Iman mengingatkan.
Danisha meneruskan tugasnya tanpa mempedulikan kata-kata Iman. Dalam kepala memang sudah ada rancangan yang disusun. Memang terbaik punya pelan! Dia memang tak sabar menunggu hari esok. ‘Nak sangat bermain api dengan aku, kita tengok siapa yang kena telefon bomba,’ desisnya.