PAGI
Isnin, Danisha begitu tekun membuat kerjanya. Di atas mejanya memang telah
tersedia air kopi yang dibancuhnya di pantri. Andai terasa haus, tidak perlu
lagi bersusah payah.
Tadi
dia bersarapan mihun goreng sahaja. Aiman pula dia bekalkan dengan kuih donat
yang jirannya beri. Danisha memang rasa bertuah sangat dapat mengenali Acik
Jamaliah yang tinggal di tingkat 3. Dia
memang suka menghantar makanan yang dimasak kepada Danisha. Apatah lagi apabila
mengetahui Danisha kini menjaga anak angkat.
Acik
Jamaliah yang suka dengan budak-budak telah bersara dan turut menjaga dua orang
cucunya. Danisha dapat berkenalan dengannya pun secara kebetulan. Ketika itu dia menunggu van yang akan
menghantar cucunya ke sekolah. Sebagai orang muda, kenalah menghormati orang
yang lebih tua. Sejak itu mereka selalu bertegur sapa.
“Nisha, Datuk suruh ikut dia pergi mesyuarat di Taman Tun,” beritahu Kamil yang tiba-tiba sahaja
tercegat di sebelah mejanya.
“Hah? Ulang sekali lagi,”
pinta Danisha dengan muka terkejut.
“Jangan nak buat muka bodoh pulak,” tingkah Kamil yang sudah 8 tahun bekerja sebagai pemandu Datuk Khalil.
“Kau biar betul? Takkan aku kena ikut dia lagi macam hari tu? Satu kereta
pulak tu,” sungutnya. Bukan
dia tidak mahu mengikut arahan bosnya. Minggu lepas okeylah dia pergi kerana
Cik Ain, setiausaha bosnya cuti kecemasan.
“Eh, cepatlah! Datuk dah tunggu tu. Banyak songeh pulak kau ni,” marah Kamil pula.
“Yalah.” Danisha segera
mencapai buku notanya dan fail yang mengandungi minit mesyuarat yang lalu.
Seketika dia menghirup kopi di atas mejanya, rugi pula andai tidak menghabiskannya.
Kamil
sudah melangkah laju menuju ke kereta. Dalam rasa malas yang bertandang,
Danisha terpaksa juga mengikut bosnya menghadiri mesyuarat. Mengingatkan dia
juga adalah QS untuk projek itu, memang patut pun dia ada sekali. Apa-apa hal
mudah nanti kerana dia juga perlu tahu perkembangan projek baru itu walaupun
masih belum bermula.
Sebaik
membuka pintu, terpaksalah dia mengukir senyuman apabila menyedari Datuk Khalil
yang sudah pun tersenyum meleret.
‘Hai orang tua ni, takkan nak mengurat aku kut?’ desisnya.
“Kerja awak macam mana, Nisha?” tanya Datuk Khalil sebaik dia duduk di
sebelah Kamil.
“Okey aje, Datuk.” Dia menjawab ringkas.
“Bos
baru tu, okey tak?” Tiba-tiba Datuk Khalil bertanya pasal Encik Hisham pula.
“Bolehlah…” Danisha pun tidak tahu hendak jawab apa sebenarnya.
“Macam tak okey aje. Ke dia selalu buli awak?” duga Datuk Khalil.
“Hmm…
lebih kurang la.” Terpaksa juga dia mengaku. Siapa tahu selepas Datuk Khalil
menegur pak naga, dia akan berubah.
“Boleh ke awak tahan dengan dia? Nanti ada banyak projek yang masuk. Awak
memang kena tolong dia,” tanya Datuk Khalil lagi.
“Selagi boleh, saya buat aje. Kalau dah tak tahan, saya suruh dia buat
sendiri!” Sengaja Danisha berkata begitu.
“Ada-ada saja awak ini.” Datuk Khalil sudah tertawa.
‘Lucu sangat ke jawapan yang diberikan?’ Danisha tertanya sendiri.
Perjalanan
ke Taman Tun Dr. Ismail memang lancar. Danisha berasa lega apabila tidak perlu
melalui kesesakan jalan raya yang selalunya tidak pernah putus. Datuk Khalil
juga tidak banyak berbual, sebaliknya menghabis masanya dengan membaca surat
khabar.
SELEPAS habis mesyuarat,
Kamil terus menghantar Datuk Khalil balik ke rumahnya di Sri Hartamas. Dia pun
tidak tahu kenapa bosnya mahu pulang awal.
Jam
baru menunjukkan pukul 12.45 tengah hari ketika Danisha sampai di pejabatnya.
Mesyuarat tadi juga tidak mengambil masa yang panjang. Sebagaimana waktu pergi,
waktu balik juga jalan raya memang lancar sahaja. Tidak sampai satu jam, mereka sudah sampai di
Prima Sri Gombak.
Danisha
meletakkan fail yang dibawanya di atas meja. Tadi, matanya liar memandang
sekeliling ketika Kamil menurunkannya di hadapan pejabat. Dia takut ada yang
bergosip walau dia sememangnya tiada apa-apa hubungan dengan Datuk Khalil.
Seketika
dia termenung di mejanya. Semakin hari
tanggungjawabnya semakin bertambah. Namun, gajinya lambat benar hendak
bertambah. Bukan dia berkira pasal kerja, tapi kadang-kadang rasa tertekan
juga. Lebih-lebih lagi semenjak terpaksa jadi ibu ekspres kepada Aiman dan
Aishah.
Belanja
harian memang automatik bertambah. Yuran sekolah Aiman dan taska Aishah sahaja
sudah RM 500. Itu belum lagi duit susu dan Pampers Aishah. Mahu papa kedana dia
apatah lagi dia juga masih perlu membayar ansuran kereta dan apartmen yang
diduduki sekarang.
Apabila
difikirkan semula, memang dia tidak tahu kenapa dia sanggup pikul tanggungjawab
itu. Pada mulanya memang payah juga menguruskan budak-budak itu. Begitu pun,
lama-kelamaan dia sudah boleh menyesuaikan diri.
Pagi-pagi
dia sibuk mandikan Aiman dan siapkan bekalannya. Selepas itu kelam-kabut hantar
Aishah ke taska. Mujur taska Aishah cuma di tingkat bawah apartmennya. Kemudian
hantar Aiman ke sekolah tahfiz pula. Aiman kena sampai sebelum pukul 7.30 pagi.
Andai dia terlambat, kasihan pula budak itu kena denda.
Setakat
ini memang tidak pernah lagi Aiman lewat ke sekolah. Cuma pada hari pertama
persekolahan sahaja Aiman terlambat sebab dia terlupa mengunci jam. Sudahnya
dia juga lambat tiba di pejabat. Nasib baik juga bosnya bercuti, jadi tiada
siapa yang nak marah. Tapi kalau pak naga tahu, memang dia akan kena sebiji
dengan bos yang perasan bagus itu.
Sekilas
Danisha menjenguk ke bilik bosnya. Boleh tahan orangnya, tapi perangainya tidak
sebaik mana. Pantang silap sikit, mulalah nak berasap. Entah apa yang dia jaki
sangat dengan dirinya, dia pun tak tahu.
SEWAKTU makan tengah hari,
Danisha pergi ke restoran berhampiran bersama dengan Rani. Selalunya dia pergi
bersama dengan Iman. Hari ini dia mahu berdiet pulak.
“Aku tengok, sejak dua menjak ni, kau bukan main lagi. Ke
mana saja Datuk Khalil mesyuarat, ada sahaja muka kau. Kau ada apa-apa dengan
dia ke?” tanya Rani yang
terlebih prihatin.
“Sekretari dia kan bercuti? Lagipun sekarang ni aku QS untuk projek baru tu.
Kalau dia pergi mesyuarat pasal projek tu, memanglah aku kena ikut,” terang Danisha, menyelamatkan dirinya.
Pada dia, semua itu rutin biasa kerja dia, tapi tidak untuk mereka yang tidak
tahu. Berbagai andaian boleh sahaja tercetus untuk menghangatkan gosip.
“QS projek yang sebelum-sebelum ni, tak pernah pulak ikut dia pergi
mesyuarat. Paling-paling pun pergi sendiri.” Rani memang berasa pelik sungguh.
“Entahlah, dah dia suruh ikut, aku patuh sajalah,” balas Danisha. Setakat ini, tak ada pulak Datuk Khalil tu hendak menggatal
dengannya. Dia pun menganggap dan menghormati lelaki tu macam ayahnya. Apatah
lagi ayahnya pun mengenali Datuk Khalil ini.
“Jangan jadi secret isteri dia, sudah!”
Rani sudah tersenyum sinis.
“Kau nikan, memang tak sayang mulut,” marah Danisha.
“Kau kena berhati-hati dengan Datuk Khalil ni. Dia ni miang-miang buluh.Kalau dah terkena, memang parah!” Rani cuba mengingatkan Danisha dalam gurauan.
“Kau ni, ada-ada aje!” marah Danisha lagi.
“Datuk ni nama aje dah berumur, tapi perangai boleh tahan jugak. Pulak tu
baru dapat gelaran duda. Harus berhati-hati.”
“Kau ni ke situ pulak.Aku tengok dia baik
aje. Lagipun aku dah anggap dia macam ayah akulah.”
sangkalnya.
“Jangan cakap. Kalau dah hari-hari dia mengayat kau, mahu tergoda jugak.
Dia pun masih tampan dan segak. Ha, senyuman dia macam Kevin Costner gitu…”
“Haha… Kevin Costner? Macam pak cik tukang kasut dekat cornertu
adalah!”
balas Danisha sambil tertawa.
“Kau ni… gurau-gurau jugak. Kena batang hidung sendiri baru padan dengan
muka kau!”
“Setakat Datuk Khalil tu, aku boleh handlelah.”Danisha berkata dengan yakinnya.
“Sekarang bolehlah kau berlagak sebab belum terkena lagi. Andai dah
terpalit minyak senyonyong Datuk, tidur malam pun kau termimpikan dia,” beritahu Rani lagi.
“Sudah-sudahlah cerita pasal Datuk ni.Aku tak kuasa nak layan.”
“Aku nak mengingatkan
aje. Nanti terjadi sesuatu, jangan nak salahkan aku pulak.” Rani mengingatkan lagi.
“Memang ada staf wanita
di sini yang terkena ke?” Tiba-tiba Danisha
hendak tahu pula.
“Staf di sini memanglah
tak ada yang terkena.”
“Aku rasa kau ni dah termakan dengan cerita Kak Esahlah.Takkanlah cerita kakak tu, kau nak percaya?Gosip-gosip
di bilik pantri aje tu,”
sangkal Danisha.
“Kalau cerita tu tak betul, mesti tak ada yang bergosip. Aku dah banyak kali
dengar. Tapi kalau kau tak percaya, tak apalah.”
“Setahu akulah, Datuk ni baik orangnya.Solat
tak tinggal malah dah pergi buat haji pun,”
ujar Danisha menyangkal dakwaan Rani.
Tiba-tiba
dia terbayang pula wajah bosnya itu. Tidak dinafikan Datuk Khalil masih segak
dan kelihatan lebih muda dari usianya yang sebenar.
“Percayalah cakap aku, baik ada makna tu.” Tak habis-habis Rani mempertahankan ceritanya.
“Lupakanlah pasal bos kita tu. Baik kau cepat makan, kejap lagi aku ada
banyak kerja nak buat.”
“Hmm… yalah.” Rani segera menghabiskan nasi yang masih berbaki.