DANISHA bergerak pantas menuju ke pejabat setelah memarkir keretanya. Tadi, dia memang pecut habis bagai hendak berlumba. Dia hampir sahaja terlewat gara-gara jam locengnya tidak berbunyi. Nasib baik dia sempat mandi. Tapi kalau tidak sempat sekalipun, bukannya ada yang tahu!
Tiba-tiba dia tersenyum sendiri apabila teringatkan kata-kata Aiman dan gelagat Aishah sewaktu di rumah.
“Ibu mandi kerbau ke? Sekejap sungguh!” Teguran Aiman memang membuat dirinya termalu sendiri. Nasib baik tiada orang lain dalam rumahnya.
“Ibu mandi orang la… kerbau tu binatang.” Ada sahaja jawapan Danisha hendak menyelamatkan dirinya. Rupanya susah juga menjaga anak yang terlebih bijak. Beranak dekat luar negera kut, tapi peliknya tahu pulak pasal binatang yang satu itu!
Aiman memang tidak mandi langsung, cuma basuh muka sahaja. Danisha memang sudah tidak sempat hendak memasak air panas. Nasib baik juga jubah sekolahnya sudah siap bergosok. Kalau tidak, tak pasal-pasal Aiman malu ke sekolah. Jubahnya kalau tidak digosok, bukan kedut sedikit, malah ronyok seribu. Sudahlah warnanya tidak berapa nak putih akibat main masuk mesin basuh sahaja bersama baju beraneka warna!
Aishah pula, mujur malam tadi dia tidak banyak minum susu. Andai Pampers dia bocor, satu kerja pula Danisha kena mandikan dia pagi-pagi. Dia sebenarnya memang sudah tidak perlu pakai Pampers. Andai dia mahu buang air, dia memang akan beritahu Danisha. Cuma pada waktu malam dan ketika tidur pada sebelah siang, memang wajib pakai Pampers.
Seketika kasihan pula Danisha tengok si kecil yang tahu sendiri memasukkan Pampers, tuala kecil dan baju yang hendak dibawa ke taska dalam begnya. Pantas sahaja tangannya memilih baju yang sememangnya tiada pilihan lain! Hendak beli baju yang baru, memang kena tunggu dapat gajilah jawabnya.
“Ini uniform adik pergi taska ke, ibu?” tanya Aishah bersahaja apabila menyedari Danisha memerhatikannya.
Pandai pula si kecil buat lawak. Entah di mana dia belajar berkata begitu. Pasti Kak Kathy yang menyebutnya di taska, duga Danisha. Dia memang berasa lega kerana Aishah okey sahaja ditinggalkan di taska.
“Apalah adik ni… kita kena bersyukur sebab ada baju nak pakai. Ada susu nak minum. Budak-budak dekat Palestin tak cukup makan, rumah pun tak ada.” Aiman pula menyampuk sambil menyikat rambutnya. Begitulah gelagat si abang yang selalu mengingatkan adiknya.
Danisha pun tidak tahu hendak kata apa. Rasa sedih juga, tetapi pada masa yang sama turut hendak tergelak dengan telatah dua beradik ini. ‘Nasiblah korang dapat ibu angkat macam aku!’ desisnya.
“Abang ni… pot pet pot pet. Adik cakap aje,” balas Aishah pula dengan muka yang masih serabai. Kemudian terkial-kial membetulkan tudungnya. Rambutnya yang terkeluar cuba dimasukkan tetapi masih kelihatan.
Sememangnya dia sendiri yang hendak bertudung setelah melihat kakak-kakak di sekolah tahfiz memakai tudung. Danisha menurut sahaja lagipun dari kecillah kena mulakan. Kalau hendak ke mana-mana, Aishah memang tidak pernah lupa untuk memakai tudungnya.
“Ibu… Bila kita nak kaya? Tiap-tiap hari ibu kira duit, tapi tak beli jugak baju adik.” Di dalam lif, si kecil masih mahu mengomel.
“Nak buat macam mana? Ibu selalu kira duit yang tak ada! Kalau ibu ada banyak duit, memang ibu akan beli baju yang cantik untuk anak ibu yang comel ni,” balas Danisha yang turut geli hati dengan bebelan si kecil. Entah perangai siapalah yang diikutnya.
Begitulah rutin harian Danisha sejak dua menjak ini. Memang dia sendiri yang mahu bebudak itu memanggilnya dengan panggilan ibu. Walaupun kehadiran mereka buat hidupnya tunggang-langgang, namun dia tetap gembira. Sekurang-kurangnya dia tidak sunyi tinggal sorang-sorang di apartmen miliknya.
TIBA di kubikelnya, Danisha menarik nafas panjang. Dia cuba intai bilik pak naga. Terasa pelik pula apabila bos bertuah itu tidak masuk lagi. ‘Pagi ini dia ada mesyuarat di luar ke?’ Dia tertanya sendiri.
Kadang-kadang dia hairan juga dengan bos yang seorang itu. Dia perasan juga yang pak naga selalu hilang sebaik tiba waktu makan tengah hari. Tapi, tidak pernah sekalipun dia terserempak bosnya makan di mana-mana restoran.
Tepat pukul 2.00 petang dia memang sudah berada di biliknya. Itu yang menghairankan Danisha dan staf-staf yang lain. ‘Ketika tengah hari buta, pak naga pergi berendam di tasik manalah agaknya? Nak kata berendam dalam Tasik Chini, jauh berbenar. Eh! Yang aku sibuk-sibuk pasal pak naga tu, buat apa?’ Sudahnya Danisha menyambung tugasan semalam yang masih belum selesai.
Tidak sampai sejam memulakan tugas, tiba-tiba matanya bagai susah benar hendak celik. Apabila sudah hari-hari tidak cukup tidur, rasa seperti ibu beranak kecil pula. Fail di atas mejanya sudah serupa bantal pulak! Tengah hari nanti dia memang hendak lesapkan diri dalam surau. Biarlah tidak makan, dia memang hendak tidur sahaja.
“Oi! Malam tadi kau buat projek ke?” tegur Rani yang entah dari mana munculnya. Selain Iman, memang Rani teman berborak Danisha ketika bosan bekerja. Hari ini Iman bercuti, itu yang dia tiada geng hendak bergosip.
Danisha yang memang sudah tersengguk terus tersedar. “Kau ni… mulut tak ada insurans betul! Berlapiklah sikit bila bercakap tu. Dengar dek orang, malu aku,” marah Danisha pula.
“Apa khabar anak-anak kau tu?” tanya Rani perlahan. Tempoh hari, dia memang terkejut apabila terserempak dengan Danisha bersama dua orang anak kecil. Memang dia tak sangka Nisha yang brutal ini, begitu lemah-lembutnya melayan si kecil di restoran. Sesiapa pun tak akan percayalah!
“Tengoklah siapa yang jaga, kan?” Danisha memuji diri sendiri.
“Kau ni kenapa macam tak betul aje? Tudung kau terbalik la,” tegur Rani sambil menggeleng kepala. Apa sudah jadi dengan rakan yang seorang ini?
“Ya ampun… Macam mana boleh tak perasan?” Danisha segera bangun dan menuju ke bilik air. Mujur pak naga tak ada dan tak panggil dia masuk bilik. Kalau tidak, teruk dia kena kutuk lagi dengan bosnya.
Tempoh hari, dia pakai tudung tidak sepadan dengan baju pun kena tegur. Padahal, suka hati dialah hendak pakai tudung warna apa sekalipun. Memang menyibuk dan tak ada kerja betul pak naga itu.
“Kau ni dah kenapa, Nisha?” Rani bertanya lagi sebaik Danisha kembali duduk di tempatnya. Dia memang perasan rakannya itu bagai tidak terurus dan asyik kelam-kabut sahaja. Nasib baik sentiasa datang kerja tepat pada waktunya. Tapi, waktu balik pulak memang macam tak menyempat-nyempat. Bagai ada perkara penting sungguh yang dikejarnya. Pukul 5.00 tepat, tanpa pamitan dia terus cabut.
“Biasalah apabila dah jadi ibu ekspres ni, semuanya kena laju dan pantas. Aku hanya ada dua tangan aje, tapi macam-macam aku kena buat dan fikir.” Danisha mengeluh walaupun turut terasa lucu dengan dunia barunya.
“Orang lain pun jaga anak jugak, tapi tak adalah macam kau ni,” komen Rani lagi.
“Itu orang lain, aku pulak memang lain dari yang lain!” balas Danisha kemudian turut tersenyum.
“Okeylah, tolong jangan terlelap di meja kau. Nampak pak naga, habis kau.” Rani mengingatkan sebelum menuju ke kubikelnya.
“Yalah Maharani kusayang…” sebut Danisha, saja hendak memeriahkan suasana.
Rani hanya tersenyum mendengarnya. Ada-ada saja si Danisha ini!
PADA waktu malam, aktiviti Danisha adalah bersama bebudak dua orang itu. Dua beradik itu pun begitu mudah mesra dengannya.
Aishah yang pada mulanya begitu pendiam, tetapi kini tidak lagi. Apabila di rumah, mulutnya memang tidak reti hendak diam. Ada sahaja ceritanya. Aiman pula semakin menunjukkan perkembangan yang positif dalam pelajaran.
Apabila Danisha menyemak buku komunikasinya, dia rasa gembira sangat. Aiman hanya ambil masa yang singkat untuk lancar membaca surah-surah yang diajar di sekolah.
Setiap kali berkesempatan berjumpa dengan ustazah yang mengajar Aiman, dia akan ambil peluang itu untuk bertanya tentang perkembangannya di sekolah. Dia berasa amat bangga pula apabila ustazah beritahu yang Aiman lebih cepat lancar berbanding pelajar yang lain. Cumanya si Aiman ini pendiam sangat dan jarang hendak bergaul dengan pelajar yang lain.
“Ibu… cepatlah buat susu, adik nak tidur,” suruh Aishah yang sudah mengantuk.
“Ibu nak buatlah ni.” Segera Danisha menuju ke dapur untuk membancuh susu si kecil.
Kebelakangan ini, dia juga terpaksa tidur awal. Anak-anak tidak akan masuk tidur andai dia tidak tidur sekali. Tapi, pukul 3.00 pagi memang dia kena bangun kerana si kecil akan merengek minta susu. Itu yang buat dia bagai tak cukup tidur. Apabila sudah terjaga, memang payahlah dia hendak tidur semula.
“Ibu… sekarang baru pukul 9 lebih, abang tak nak tidur lagi,” beritahu Aiman.
“Kalau abang tak nak tidur, duduklah sorang-sorang dekat luar tu. Ibu dan adik nak masuk bilik.”
“Okeylah,” keluh Aiman kemudian menutup televisyen. Dia memang penakut sikit dibandingkan dengan Aishah.
Setelah kedua-duanya berbaring di atas katil, baru Danisha menutup lampu bilik.
“Adik, hari ni ustazah abang cakap, bila ALLAH bagi kita telinga, kena dengar cakap ibu. Bila ALLAH bagi kita mulut, kena selalu berdoa untuk ibu.” Aiman yang masih tidak mengantuk memberi tazkirah kepada adiknya.
“Abang ni… asyik pot pet pot pet. Adik nak tidur la!” balas Aishah pula sambil menyerahkan botol susu kepada Danisha.
Danisha menyambutnya sambil tersenyum melihat gelagat Aiman dan Aishah.
“Adik ni… abang ingatkan aje,” tegur Aiman.
“Yalah, yalah!” balas si adik pula.
“Dah, jangan nak bergaduh pulak. Aiman tu tidur cepat, esok nak sekolah,” suruh Danisha.
“Baiklah ibu…” jawab Aiman sambil paksa dirinya untuk tidur. Sekejap dia tidur menghadap Aishah, selepas itu menghadap ke dinding pula.
“Abang dah baca doa nak tidur ke belum?” tanya Danisha yang menyedari Aiman asyik berkalih-kalih.
“Dahlah ibu,” jawabnya perlahan.
“Abang janganlah asyik pusing-pusing, sebab itu susah nak tidur,” tegur Danisha.
“Habis tu macam mana nak cepat tidur, ibu?” tanya Aiman pula.
“Tutup mata dan terus tidur. Tak payah nak ingat benda-benda lain,” jawab Danisha. Padahal, dia sendiri juga terpaksa memaksa diri untuk tidur!