Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 14

KURSUS selama tiga hari di Port Dickson memang lain daripada yang lain. Bukan seperti kursus biasa, di mana peserta terpaksa mendengar penceramah berucap dan memberi motivasi. Sebaliknya, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti melibatkan semua peserta.

Kursus kali ini memang tidak menyentuh secara spesifik tentang kerja di pejabat. Tetapi, lebih kepada menyediakan diri sebagai pekerja yang berpotensi untuk membuat sebarang tugasan. Juga membekalkan panduan bagaimana menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin mencabar ini.

Sepanjang hari, dari pagi hingga petang memang dipenuhi dengan berbagai aktiviti menarik. Memang tidak sempat langsung hendak bersantai dan menghubungi keluarga. Tanpa sedar, tiga hari berlalu begitu pantas sekali. Danisha berasa amat lega apabila kursus akan tamat pada esok hari, kira-kira dalam pukul 11.00 pagi. Dia memang tidak sabar hendak balik ke rumah.


JAM sudah menunjukkan pukul 9.15 malam. Danisha sudah berkali-kali mundar-mandir di bilik hotel. Risau pula dia apabila panggilannya masih tidak berjawab. Patutnya, pada masa ini ayahnya telah selesai solat berjemaah di surau. Pukul 8.15 tadi, waktu solat isyak sudah masuk. Masakan ayahnya masih di surau? Dia tertanya-tanya.

Selepas makan malam, dia memang terus ke bilik. Dia sudah tidak larat hendak mengikut Iman dan rakan-rakan yang lain untuk keluar ke bandar Port Dickson. Malam semalam dia sudah keluar dengan Julia dan rakan yang lain. Dia membeli buah tangan untuk ayah dan uminya termasuk baju budak-budak.

Asyik sangat keluar bersama rakan-rakan pada waktu malam, sampai terlewat menelefon ayahnya. Akhirnya tidak dapat melepaskan rindu kerana Aiman dan Aishah awal-awal lagi sudah masuk tidur. Waktu siang memang tidak berpeluang langsung hendak menghubungi mereka.

Ini baru anak angkat, dia sudah rindu sangat. Andai anak sendiri, langsung tidak sanggup berpisahlah gamaknya. Tersenyum Danisha mengingatkan gelagat diri sendiri yang mengalahkan ibu yang beranak ramai.

Setelah mencuba berkali-kali, baru dia dapat menghubungi ayahnya.

“Assalamualaikum…” ucap Haji Ibrahim yang mengangkat telefon.

“Ayah, budak-budak okey?” Terus sahaja Danisha bertanya sampai terlupa menjawab ucapan salam ayahnya.

“Nisha tak percayakan ayah ke? Dia orang okey dan baik-baik aje,” beritahu Haji Ibrahim.

“Tak adalah macam tu. Nisha rindulah dengan dia orang tu. Aiman dan Aishah sedang buat apa, ayah?” tanyanya lagi.

“Sekejap, ayah panggil budak-budak tu.”

Di hujung talian, Danisha terdengar ayahnya memanggil Aiman dan Aishah. Terdengar riuh-rendah suara mereka yang berebut-rebut untuk bercakap dengan ibu angkat mereka. Danisha rasa terharu. Rindunya semakin membuak-buak.

“Assalamualaikum, ibu…” Kedengaran suara Aiman yang terlebih dahulu menyambut telefon.

“Waalaikumussalam, abang. Abang dengan adik nakal tak?” Terus Danisha bertanya.

“Abang dengan adik baiklah, ibu! Nenek masak sedap... ” beritahu Aiman.

Danisha tergelak di hujung talian. Dia bersyukur kerana ayah dan uminya menerima kehadiran anak-anak itu. Aiman dan Aishah pun nampaknya semakin mesra dengan atuk dan nenek angkat mereka.

“Sebenarnya, ibu pun rindu sangat dengan abang... dengan adik,” beritahunya sedikit sayu. Ya, beberapa hari ini dia memang merindui celoteh mereka berdua. Dia tergelak apabila terdengar suara Aishah yang berebut-rebut mahu bercakap dengannya. “Abang, bagi adik cakap pulak.”

“Bila ibu nak balik?” tanya si kecil.

“Esok ibu baliklah. Dalam tengah hari, ibu sampai,” beritahu Danisha.

“Ibu ada beli apa-apa untuk adik dengan abang tak?” Aishah bertanya lagi.

“Mestilah ada buah tangan untuk anak-anak ibu.”

“Ibu beli apa?” tanya Aishah dengan riangnya.

“Ibu beli baju untuk adik dengan abang,” beritahu Danisha lagi.

“Cantik tak baju yang ibu beli tu?” tanya di kecil lagi, bagai tidak sabar-sabar pula.

“Mestilah ibu beli baju yang cantik untuk anak kesayangan ibu ni.”

“Sukanya… sayang ibu!” ucap si kecil dengan gembira sekali.

“Adik, ibu nak cakap dengan abang pulak,” pinta Danisha.

“Okey,” balas Aishah dan terus menyerahkan telefon bimbit Haji Ibrahim kepada abangnya.

“Ibu…” panggil Aiman dengan manja, mengalah adiknya pula. Tadi, dia tidak puas bercakap dengan ibu mereka kerana adiknya berebut-rebut telefon bimbit itu.

“Kerja sekolah dah habis buat?” tanya Danisha.

“Dah. Atuk yang ajar,” jawab Aiman.

“Abang lewat bangun tak?”

“Tak. Abang bangun awal sebab atuk kejutkan abang sebelum pergi surau,” jawab Aiman.

“Ya ke... Ada tak abang buat latihan dalam buku Matematik yang ibu beli tu?” tanya Danisha lagi.

“Dah siap dah pun,” beritahu Aiman.

“Okeylah. Nanti kirim salam dengan atuk dengan nenek.Jangan nakal-nakal, tau,” pesan Danisha lagi sebelum memutuskan talian.

Walaupun hanya berpisah beberapa hari, mudah sahaja rasa rindu menyapa. Dia berasa lega apabila dapat mendengar suara Aiman dan Aishah.

Seketika, dia melemparkan pandangan ke arah laut. Deruan ombak memang boleh kedengaran di biliknya yang berhampiran pantai. Tiba-tiba, dia berasa tidak sabar pula menunggu esok. Balik ke rumah dan memeluk insan-insan yang dia sayang.


“AMBOI! Kau ni, macam orang bercinta pulak,” tegur Iman sebaik terpandang Danisha yang seperti orang rindu bayang. Iman baru sahaja selesai membersihkan diri. Dia sengaja mandi lagi kerana berasa tidak selesa setelah penat merayau di Bandar Port Dickson.

“Hmm... banyak ke kau berbelanja?” tanya Danisha sekadar berbasa-basi.

“Bolehlah nak beri anak buah aku oleh-oleh,” balas Iman sambil menyapu losyen pada kedua belah tangannya.

“Apa pasallah hari ini kita tak boleh terus balik? Kalau ikutkan hati, petang tadi lagi aku balik ke Sri Gombak.” Danisha menyatakan hasrat hatinya.

“Aduhai Nisha... Esok kan dah boleh berjumpa buah hati kau tu? Takkanlah tak boleh tunggu program esok pagi? Tak lama mana pun,” ujar Iman sambil menggeleng kepala. Semenjak datang ke sini, si Danisha ini asyik teringatkan anak angkatnya sahaja. Padahal, umi dan ayahnya yang menjaga mereka. Buat apa hendak risau sangat?

“Entahlah, aku tak tahu macam mana nak cakap pasal rasa rindu pada budak kecik dua orang tu. Kau tak alami sebab itu kau tak faham,” balas Danisha pula.

“Kau tak nak ambil dia orang ni ikut prosedur ke?” Iman memberikan cadangannya.

“Aku pun ada terfikir jugak, tapi aku risau sikit.”Bukan Danisha tidak terfikir pasal hal itu. Kadang-kadang perkara itu juga yang membeban benaknya.

“Kalau kau memohon, aku rasa tak ada masalah. Walaupun kau masih bujang, tapi kerja dah stabil. Beza umur kau dengan bebudak tu pun melebihi 21 tahun,” ujar Iman. Dari apa yang dia tahu, sahabatnya itu memang memenuhi syarat untuk mengambil anak angkat.

“Kalau memohon anak angkat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, memanglah tak ada masalah sangat. Tapi kes aku ni lain,” balas Danisha pula.

“Apa pulak yang lainnya?” soal Iman pula.

“Budak dua orang tu masih ada ayah, cuma tak tak tahu dekat mana sekarang ni. Cara Aiman bercerita pasal ayah dia, menunjukkan ayah dia tak tahu pasal nenek dia tak nak jaga mereka,” terang Danisha.

“Betul jugak...” Iman mengangguk-angguk kepalanya.

“Sebab itu aku serba salah sekarang ni. Kalau aku nak memohon, mestilah kena laporkan pasal bebudak dua orang tu dulu. Jabatan Kebajikan mesti buat siasatan dan terus ambil Aiman dan Aishah daripada aku.”

“Habis tu, takkan tak nak buat apa-apa?” soal Iman lagi. Rupa-rupannya payah juga hendak selesaikan masalah Danisha ini.

“Buat masa ini aku jaga ajelah. Aku memang tak nak berpisah dengan dia orang ni.”

“Beraninya kau kau ambil risiko, Nisha...” komen Iman pula.

“Nak buat macam mana lagi, kan? Kalau hati dah sayang, dah tahu salah pun aku teruskan jugak.”

“Suka hati kaulah Nisha. Eh! Aku nak tidur dululah. Kau jangan terlupa tutup pintu gelangsar tu. Mengigil aku nanti.” Iman mengingatkan. Bayu pantai memang amat menyejukkan.

“Yalah, aku nak tutuplah ni. Aku pun nak tidur jugak.” Danisha segera bangun dan menutup pintu gelangsar. Kemudian menarik langsir pula. Walaupun Danisha masih belum mengantuk, dia terpaksa juga melelapkan matanya.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.