SEJAK bahagian pengurusan projek dapat bos baru, semua kakitangan bertambah tertekan. Yang paling makan hati pasti sahaja Danisha. Hari-hari ada sahaja yang tidak kena di mata bosnya. Padahal, kadang-kadang bukan salah dia pun. Itu yang dia tidak puas hati sampai beri gelaran pak naga kepada Encik Hisham.
Dia bertambah bengang apabila sering dipersalahkan untuk kesilapan yang kecil sekali pun. Pelukis pelan yang salah cetak pelan lukisan, dia juga yang kena marah. Patutnya pengurus projek atau pembantunya yang kena semak betul-betul pelan itu. Kemudian barulah diserahkan kepada QS untuk tindakan selanjutnya.
Ini tidak, apabila tender hendak dibuat dengan segera, semuanya jadi kelam-kabut. Bertambah malang pengurus projek juga sibuk dengan projek lain. Sudahnya main percaya saja dan tidak semak kuantiti dan keterangan di pelan lukisan itu sama ada tepat atau tidak.
Apabila kuantiti tidak betul, yang jadi mangsa QS juga. Staf yang akan kena tengking dengan pak naga tetap muka Danisha. Semuanya gara-gara keterangan terperinci tiada dalam BQ. Andai hari-hari Danisha begini, memang sakit jiwa dan raganya.
“Tension nampak,” tegur Iman sambil duduk di sebelah Danisha.
“Kalau aku asyik datang ke bilik pantri ni, memang aku tengah tension tahap bumbung,” jawab Danisha sambil cecah biskut dalam air kopi kegemarannya. Dia makan dengan berseleranya macamlah biskut itu sedap berbenar. Padahal biskut kering saja.
“Parah tu kalau dah tahap bumbung. Kena cepat-cepat cari penawar,” balas Iman sambil tersengih. Geli hatinya mendengar luahan sahabatnya itu.
“Tulah, aku memang dah lama cari penawarnya tapi tak jumpa-jumpa jugak.”
“Ini mesti ada kena mengena dengan Encik Hisham,” duga Iman setelah masing-masing diam seketika.
“Tepat sekali. Aku pun tak faham dengan Encik Hisham tu. Gila kuasa betul! Tak cukup jadi pengurus kanan di bahagian projek, di bahagian kita pun nak sapu jugak.” Danisha melahirkan rasa tidak puas hatinya.
“Kau tak tahu ke? Dia tu suku sakat Datuk Khalil,” beritahu Iman.
“Hmm… patutlah pak naga Tasik Chini tu lebih camca dari mihun!” tutur Danisha sambil tersenyum sinis.
“Kau ni, ada-ada saja. Dengar bos kita tu, melecur muka kau kena sembur dengan ayat berapi dia.” Iman mengingatkan walau turut terasa lucu.
“Eh, dia tu suku sakat Datuk Khalil yang belah mana?” Tiba-tiba Danisha ingin tahu pula. Selama ini dia tidak kisah pun hal-hal begini. Lebih-lebih lagi kalau melibatkan lelaki itu.
“Entahlah, yang aku tahu dia memang ada bau-bau bacang dengan Datuk Khalil,” terang Iman. Dia tahu pun sebab Kak Esah yang bercerita. Entah betul, entah tidak. Dia cuma menyampaikan apa yang dia dengar.
“Yalah tu. Entah-entah suku sakat bau-bau belacan! Ha ha ha…” gurau Danisha sambil tertawa.
“Kah kah kah… kelakar betullah kau ni.” Iman sudah tidak tertahan. Memang dia ketawa sepuasnya.
“Kerja macam kita ni kena pandai buat lawak. Baru kurang rasa sakit di kepala.” Danisha memang rasa lega sangat sebab dapat gelakkan pak naga perasan lebih itu.
Tiba-tiba Danisha rasa bagai bumbung hendak runtuh. Tidak sangka sungguh dia apabila orang yang disebut-sebut sudah terpacak di hadapan mereka. Waktu mana dia terbang melayang?
“Ni ketawa macam minah sewel, dah tak ada kerja ke?” sergah Encik Hisham yang tiba-tiba sahaja muncul di pantri.
Danisha dan Iman sama-sama terkedu. Nasib baik tidak pengsan terkejut!
“Maaf Encik Hisham, sekarang kan waktu minum pukul sepuluh? Bagilah kita orang rehat sekejap.” Mujur Iman tidak hilang bicara.
Wajah Danisha memang pucat lesi. Sudah buat salah, takkan merona merah pulak? Lainlah kalau dia terjatuh cinta dengan pak naga.
“Huh!” dengus Encik Hisham kemudian terus berlalu.
Danisha mengurut dada setelah tadi bagai sesak nafas. “Kus semangat! Pak naga tu dengar ke kita mengutuk dia?”
“Harap-harap dia terlupa korek lubang telinga. Masak kita kalau dia terdengar kita mengutuk dia.” Iman juga masih terkejut pasal hal sebentar tadi.
“Dahlah, jom kita sambung kerja,” ajak Danisha dan terus meletakkan mug di singki.
“Jom, nanti tak pasal-pasal lingkup pulak periuk nasi kita dibakar pak naga.”
“Tahu tak apa. He he…” Sudahnya mereka berdua sama-sama tertawa.
“Iman… Kau rasa kan, apa pasal Encik Hisham tu asyik nak kenakan kita aje?” Sampai di kubikel, mereka sambung berborak. Tambahan pula meja mereka memang sebelah menyebelah.
“Entahlah tapi yang aku perasan dia asyik kenakan kau saja. Kau ada buat salah dengan dia ke?” tanya Iman pula. Setakat ini, apa yang dia perhatikan hanya Danisha sahaja yang kena marah. Dia hanya kena tempiasnya andai ketika itu turut ada bersama dengannya.
“Itu yang aku tak puas hati. Dengan QS lain elok pulak dia cakap lembut-lembut. Tak ada pulak nak menengking-nengking.”
“Entah-entah dia sukakan kau tak?” Iman sengaja menduga. Dia pun pernah ternampak Encik Hisham ini curi pandang kepada Danisha apabila dia sedang leka membuat kerja.
“Malam sikit ya. Tak ingin aku dengan pak naga tu. Baiklah aku pilih Datuk Khalil, saudara dia yang bau-bau bacang tu.” Sengaja Danisha hendak bergurau.
“Takkanlah cita rasa kau veteran berbenar?” usik Iman sambil tertawa.
“Kau ni… Okey apa? Duda handsome tu,” balas Danisha pula.
“Wei, pak naga tengah intai kita. Buat kerja, buat kerja.” Iman mengingatkan apabila perasan Encik Hisham memang sedang memandang ke arah mereka berdua.