TEPAT jam 8.30 pagi, Danisha sudah tiba di Gully D, Sierramas Homes Resort. Dia memarkir keretanya di bawah pohon ketapang. Encik Imran dan dua orang pekerjanya memang sudah ada menanti di situ.
“Assalamualaikum Encik Imran,” ucap Danisha sebaik menghampiri lelaki itu.
“Waalaikumussalam. Cik Nisha seorang aje ke?” tanyanya seakan pelik pula. Pokok banyak hendak dikira, pasti sahaja mengambil masa andai Danisha sahaja yang datang.
“Dah bos suruh saya seorang, nak buat macam mana?”
“Ingatkan Encik Hisham hantar dua orang stafnya, cepat sikit siap kerja kita,” ujar Encik Imran pula.
“Sebenarnya apa masalah projek ni? Saya tengok okey aje. Pokok semuanya subur, apa yang klien tak puas hati?” Danisha bertanya ingin tahu situasi sebenar.
“Entahlah Cik Nisha. Encik Hisham mahu pastikan kuantiti pokok dalam tuntutan bayaran sama dengan kuantiti yang ditanam disite. Bukan ikut kuantiti yang ada dalam pelan pembinaan. Katanya ada yang telah berubah kuantitinya,” terang Encik Imran.
“Betullah tu, tapi kalau tengok keadaan sekarang, macam mana nak kira? Pokok teduhan dan palma, bolehlah kita kira satu-satu. Penutup bumi tu, ingat senang ke nak kira? Lainlah kalau baru tanam sebab kita masih boleh nampakpoint-pointdia. Sekarang ni sudah menjalar dan menutup semua ruang.” Danisha sudah menggeleng kepala. Memang sah pak naga hendak kenakan dirinya.
“Saya pun tak tahu nak cakap apa. Kalau saya banyak songeh, nanti lagi lambat klien nak buat bayaran,” keluh Encik Imran. Dia terpaksa mengikut sahaja dan tidak berani membantah.
“Terang-terang cakap, tak kuasa saya nak kira semua pokok yang ada di sini. Kalau kita kira satu-satu, sampai esok pagi pun tak siap,” ujar Danisha sambil matanya liar memandang sekeliling.
“Habis tu, nak buat macam mana ni?” tanya Encik Imran. Dia juga sependapat dengan Danisha.
“Macam nilah Encik Imran, saya memang percayakan Encik. Apa yang bos saya suruh tu, saja nak ikut syarat aje.”
“Tak payah kiralah kalau macam tu?” Encik Imran sudah garu kepala.
“Encik Imran ada bawa pelan terbina tak?” tanya Danisha pula.
“Ada.”
“Bagi saya tengok. Saya nak bandingkan dengan pelan pembinaan ni,” pinta Danisha.
Encik Imran segera mengambil pelan tersebut di keretanya kemudian menyerahkannya kepada kepada Danisha.
Danisha membuka pelan itu di atas bonet keretanya. Dia meneliti helaian demi helaian sambil membandingkan dengan pelan pembinaan yang dia bawa. Sesekali dia menoleh memandang keadaan sekeliling pula.
“Saya tengok kuantiti pokok dalam pelan terbina sedikit berkurang dibandingkan dengan pelan pembinaan. Encik Imran buat tuntutan ikut kuantiti dalam pelan terbina, kan?” tanya Danisha untuk kepastian.
“Betullah tu. Takkan saya nak tuntut lebih pulak kalau kuantiti yang saya tanam memang berkurang,” jawab Encik Imran jujur.
Danisha hanya tersenyum mendengarnya. “Saya rasa kita tak payah buang masa buat kerja bodoh,” ujar Danisha.
“Apa maksud Cik Nisha?” tanya Encik Imran yang kurang faham.
“Bagi kat saya borang senarai pokok yang kita nak kira tu. Saya nak sahkan dan tanda tangan saja,” ujar Danisha.
“Kalau Encik Hisham tanya, apa saya nak cakap?” soal Encik Imran pula.
“Cakap aje kita dah kira. Kalau dia tak percaya jugak, suruh dia kira sendiri. Percayalah cakap saya, mati hidup balik, dia takkan buat!” ujar Danisha dengan yakinnya.
“Saya tak beranilah Cik Nisha.” Encik Imran menyatakan kebimbangannya.
“Saya tanya Encik Imran sekali lagi. Encik hantar tuntutan bayaran projek ini ikut kuantiti sebenar yang encik tanam, kan?” Danisha mengulangi pertanyaannya.
“Ya, Cik Nisha,” akuinya.
“Kalau macam tu, saya nak balik rumah buat tahi mata. Kalau kita betul-betul pergi kira, sampai petang pun tak habis, kan? Saya pasti Encik Imran ada banyak kerja lain yang hendak dibuat.” Danisha sudah mencampak pelan yang dibawanya ke dalam kereta.
“Macam mana kalau Encik Hisham telefon saya?” tanya Encik Imran pula.
“Kita kan sibuk mengira pokok? Tak payah jawab panggilan dia!” Selamba sahaja Danisha menjawabnya.
Encik Imran terdiam seketika. Mukanya memang macam orangblur.
Danisha tertawa melihatnya. “Encik Imran, ada kalanya kita ni jangan lurus bendul sangat. Nanti orang pijak kepala kita!”
“Okeylah kalau Cik Nisha dah cakap macam tu. Terima kasihlah kerana memudahkan urusan saya,” ucap Encik Imran dengan perasaan lega.
“Kalau malam nanti tiba-tiba Encik Hisham telefon, jangan lupa beritahu saya kirim salam!” pesan Danisha kemudian terus masuk ke dalam keretanya dengan perasaan puas.
SETELAH bersolat maghrib dan memberi anak-anak makan, Danisha duduk berehat sambil menonton berita. Aishah juga duduk di sebelahnya sambil memeluk teddy bearnya. Aiman pula sedang tekun membuat kerja sekolah.
Tiba-tiba dia teringat pula pasal baki akaunnya. Siapalah yang tersilap bankin? Bukan sedikit duit, memang sebulan gaji dia. Ini yang buat dia pelik.
Pada mulanya dia rasa hendak guna sahaja duit itu. Apabila difikir balik, dibuatnya betul ada orang tersilap bankin dan pihak bank dapat mengesannya, payah dia nanti.
“Ibu…” panggil Aiman mencantas lamunannya.
“Ada apa, abang?” Danisha menoleh memandang Aiman yang duduk di meja tulisnya.
“Ibu tak nak tengok buku komunikasi abang ke?” tanya Aiman pula. Buku itu adalah catatan ustazah berkenaan perkembangan pelajarannya setiap hari.
“Maaf sayang. Dah banyak hari ibu tak tanda tangan buku komunikasi abang. Bagi kat ibu buku tu,” pinta Danisha.
Aiman segera bangun dan menyerahkan buku tersebut kepada Danisha. Patutnya dia semak setiap hari agar dapat pantau kelemahan Aiman. Selepas itu bolehlah buat ulangkaji dan latihan bersama dengannya. Kebelakangan ini dia memang sibuk dan penat sangat sampai terlupa pula.
Danisha membelek helaian demi helaian. “Kenapa abang tak beritahu ibu yang abang tak lancar baca surah Al-Insyirah? Bukan ke hari tu dah lancar?” Seingat Danisha, Aiman memang sudah hafaz surah itu dan beberapa surah yang lain juga.
“Abang tengok ibu macam penat aje sebab itu abang tak beritahu. Lagipun abang sian dengan ibu,” jawab Aiman jujur.
Danisha pandang wajah polos Aiman. ‘Bagaimana Aiman yang masih kecil ini begitu memahami diriku?’ detiknya. Tiba-tiba teringat pula pak naga yang hari-hari buat dia angin semacam. Hendak marah balik, tetapi terpaksa dipendam.
“Kenapa ibu macam sedih aje?” tanya Aiman sambil duduk di sisi Danisha.
“Taklah. Sebenarnya ibu suka sangat dapat anak macam abang,” puji Danisha buat Aiman tersenyum. Senyuman itu yang selalu jadi penawar kepada Danisha yang asyik tertekan dengan bebanan tugas di pejabat.
“Ya ke? Abang pun suka sangat dapat jumpa ibu yang sayangkan abang dan adik,” puji Aiman pula sambil mencium tangan Danisha.
Danisha rasa terharu sangat dengan tindakan spontan Aiman. “Mari ibu ajar abang hafaz surah ni,” tutur Danisha sambil menyeka air matanya yang tiba-tiba sahaja sudah bergenang.
“Tak apalah ibu. Sebenarnya abang dah pandai dan dah hafaz pun…” ujar Aiman pula.
“Pulak? Cuba baca, ibu nak dengar,” suruh Danisha untuk kepastian.
Aiman terus membaca surah Al-Insyirah dengan lancarnya.
“Bagusnya anak ibu, tapi kenapa ustazah tulis tak lancar?” tanya Danisha, pelik.
“Semasa ustazah tanya, manalah abang tahu surah Al-Insyirah tu sama dengan surah Alam Nasyrah. Lagipun kalau ustazah asyik tulis lancar aje, nanti ibu tak ajar abang. Abang nak ibu dapat pahala jugak sebab ajar abang.”
Danisha terdiam mendengar penjelasan Aiman. Memang dia tak sangka sungguh budak sekecil Aiman boleh terfikir sampai begitu sekali. Sudahnya dia raih Aiman ke dalam pelukan. Berkali-kali pipi si kecil diciumnya.
“Kenapa abang ni baik sangat?” tanya Danisha kemudian merenggangkan pelukan. Tak pernah dia rasa terharu dan sebak begini.
“Sebab ayah abang baik dan selalu ajar abang yang baik-baik aje,” tutur Aiman.
“Boleh tak kalau abang tak payah puji dan sebut ayah abang tu?” Tiba-tiba Danisha rasa muak mendengar kata-kata pujian Aiman terhadap ayahnya.
“Ayah abang memang baiklah, ibu…” puji Aiman lagi.
“Kalau ayah abang baik, dia tak akan biarkan abang dan adik sampai tak ada orang nak jaga.”
“Memanglah sebab ayah abang tak tahu. Kalau ayah tahu, mesti sekarang ni dia sedang cari abang dan adik,” terang Aiman mempertahankan ayahnya.
“Yalah tu…” perlinya kemudian melemparkan pandangan ke arah balkoni.
“Kalau ibu tak percaya, tak apalah tapi ayah abang memang baik.”
‘Aiman, Aiman…’ keluhnya. Namun, sesuatu yang patut dia akui, kedua beradik ini memang baik dan pandai mengambil hatinya. Pastinya kerana diasuh dari kecil, tetapi tetap kena tinggal dan bagai anak terbuang pula.
Kadang-kadang Danisha rasa geram juga apabila mengingatkan tindakan nenek mereka yang tidak mahu menjaga cucu sendiri. Bukannya budak-budak ini menyusahkan pun. Biasalah andai mereka bising dan bergaduh sesama sendiri semasa bermain. Andai baik sahaja, memang bukan kanak-kanak normal namanya. Entah apalah cerita di sebalik semua yang berlaku.