Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 11

SEJAK insiden Danisha membasuh Encik Hisham cukup-cukup, hidupnya lebih ceria dan tidak lagi tertekan. Bosnya itu memang sudah tidak mengarahnya buat apa-apa. Mereka berdua memang sama-sama mengelak dari bertembung di pejabat.

Masing-masing buat tidak kenal dan buat hal sendiri. Kalau ada perkara mustahak yang Encik Hisham ingin sampaikan kepada Danisha, dia akan beritahu melalui Iman sahaja.

Memang Danisha sendiri yang marahkan lelaki itu dan meminta menukarnya ke bahagian lain. Namun, sampai ke hari ini, dia tidak menerima sebarang surat pertukaran dari bahagian sumber manusia. Kini dia hanya sibukkan diri memproses tuntutan bayaran daripada kontraktor atau subkontraktor sahaja.

Apa yang pasti dia memang tidak terlibat lagi dengan sebarang projek di bawah Encik Hisham. Peliknya, Datuk Khalil pula yang selalu memintanya buat itu dan ini. Dia juga terpaksa mengikut bosnya ke mesyuarat apabila diperlukan.

Sepertinya Datuk Khalil sudah maklum pasal kes dia dan Encik Hisham. Begitu pun, setakat ini Datuk Khalil tidak pernah bertanya apa-apa tentangnya.

“Kenapa kau macam susah hati aje? Rindu nak bergaduh dengan pak naga ke?” Tiba-tiba Iman bertanya.

“Hish kau ni, mana ada! Sekarang ini aku rasa aman satu dunia. Buat kerja pun relaks aje tanpa sebarang tekanan,” jawab Danisha sambil meneruskan tugasnya seperti biasa.

“Hmm… aku jugak yang sibuk sampai setiap malam mengigau pasal kerja yang bertimbun,” keluh Iman. Walaupun ada banyak tugasan yang perlu disiapkan, tetap kena bersembang juga untuk hilangkan kebosanan yang melanda.

“Aku dengar macam ada QS baru akan masuk mulai minggu depan, betul ke?” tanya Danisha pula.

“Betullah tu. Kau ingat bila kau lepas tangan, QS yang ada ni cukup untuk buat kerja yang melambak tu? Pak naga pun tahu sendiri apa tindakan yang perlu diambil,” jawab Iman.

“Ingatkan nak memperkuda-kuda QS yang lain pulak. Yalah, nak kaya cepat dan tak nak keluar banyak kos tanggung gaji pekerja.” Danisha berkata sinis.

“Minggu lepas semasa kau cuti, pak naga panggil mesyuarat tergempar,” beritahu Iman.

“Bincang pasal apa?”

“Pasal apa lagi? Pasal projek yang sedang dan akan dimulakanlah. Rani orang yang paling berani bersuara sebab dia yang terkena tempiasnya bila kau dah tak nak buat projek bawah pak naga.”

“Boleh tahan jugak si Rani Mukerji tu!” puji Danisha.

“Kalau aku pun akan bising, apabila kerja bertambah. Andai naikkan gaji sekalipun takkan selesaikan masalah. Baik gaji yang nak ditambah tu, gajikan seorang lagi QS,” ujar Iman.

“Apa pasal tiba-tiba korang tak mata duitan pulak?” soal Danisha.

“Waktu kerja kita 8 jam sehari, kita orang tak nak OT semata-mata nak siapkan kerja. Lepas pukul 5.00 petang,mood kerja memang dah ke laut!”

“Ingatkan aku sorang aje macam tu,” balas Danisha sambil tersenyum.

“Sebenarnya aku pelik jugak. Apa yang kau cakap pada pak naga tu sampai dia tak kenakan kau lagi?” Iman memang ingin tahu sangat. Pasti ada benda lain yang Danisha sembunyikan.

“Rahsia!” jawab Danisha kemudian berlalu menuju ke pantri.

“Wei, kau janganlah nak sembunyikan daripada aku,” rayu Iman yang turut mengekori Danisha. Dia juga mahu membasah tekaknya yang sudah kering.

“Sembuyikan apa?” soal Danisha balik.

“Aku fahamlah apa pasal dia dah tak arahkan kau buat apa-apa kerja. Tapi, kenapa dia macam mengelak aje dari berselisih dengan kau?”

“Kau ni kan, nampak aje!” ujar Danisha, geram.

“Mestilah nampak. Yang buat aku bertambah pelik, selalu pulak aku tengok dia asyik menghendap kau.” Begitulah mengikut pemerhatian Iman.

Bukan sekali dua dia ternampak Encik Hisham asyik memerhati Danisha apabila berkesempatan. Malah, hampir setiap hari. Mula-mula dulu dia ingatkan kebetulan sahaja. Apabila sudah kerap begitu, memang dia dah syak sesuatu. Itu yang cuba dia korek.

“Cakap tu baik-baik sikit, ya. Kalau orang lain dengar, ingat apa pulak.” Danisha mengingatkan Iman yang kadang-kadang terlepas cakap.

“Betullah apa yang aku cakap! Kalau kau ada, memanglah dia tak tegur dan tengok kau. Sebaik kau berlalu, mata dia asyik tengok kau aje,” cerita Iman bersungguh-sungguh.

“Alah, itu sebab dia sedang fikir macam mana nak kenakan aku balik. Pasal itulah dia asyik curi-curi tengok aku.” Ada sahaja alasan Danisha.

“Kau ni kan, kalau nak mengelak, ada aje jawapan. Tak nak cakap sudahlah.” Sudahnya Iman mengaku kalah. Bengang hatinya apabila Danisha asyik mengelak dari menjawab pertanyaannya.

Sekilas Danisha memandang Iman yang sudah masam. ‘Benarkah apa yang Iman sampaikan? Atau dia sengaja mereka cerita untuk menduga aku agar bercerita lebih lanjut?’ bisik hatinya.


SETELAH menyiapkan kerja sekolahnya, Aiman tercari-cari ibunya. Aishah memang sudah terlena setelah kenyang minum susu dan penat bermain.

Apabila mendapati Danisha tiada di bilik, Aiman mengagak pasti ibunya berada di tempat kegemarannya. Benar seperti sangkaannya, lalu dia terus menghampiri Danisha.

“Ibu tengok apa?” tanya Aiman kemudian duduk di kerusi menemani ibunya.

Danisha hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaan Aiman. Dia memang meletakkan meja kecil dan dua buah kerusi untuk bersantai di balkoni apartmennya. Dia juga suka membaca buku di situ sambil menghirup udara segar.

Kadang-kadang sekadar melihat keindahan dan kehijauan banjaran Titiwangsa yang memang nampak jelas dari apartmennya. Genting Highlands pun boleh nampak juga, tetapi pada waktu malam sahaja. Gemerlapan cahaya lampu di pusat peranginan dan taman tema itu jelas kelihatan andai cuaca pada waktu malam memang baik.

“Ibu suka banglo depan tu ke?” tanya Aiman lagi apabila Danisha begitu asyik memandang ke arah Vila Kristal Heights. Banglo tiga tingkat dan rumah semi D cuma dipisahkan dengan tembok tinggi dengan apartmen yang Danisha duduki.

“Suka jugalah, tapi kalau ada banyak duit sekali pun, ibu tak naklah beli,” beritahu Danisha.

“Kenapa pulak?” tanya Aiman sambil menoleh memandang Danisha.

“Nanti susah nak kemas, tiga tingkat pulak tu.” Danisha menjawab pantas.

“Kalau dah kaya, mesti ada pembantu rumah. Nak risau apa?” Pandai sahaja Aiman memberi pandangannya. Walaupun baru berusia enam tahun, dia memang lebih matang dari usianya yang sebenar.

“Hmm… tapi kalau rumah semi D tu, mungkin ibu akan beli kalau ada banyak duit la.” Danisha sengaja menjawab begitu. Padahal, memang sampai pencen pun dia takkan mampu memiliki rumah itu. Jangan cakap hendak bayar duit muka, bayaran bulanan dan penyelenggaraan pun hampir setengah tahun gaji dia! Baik dilupakan.

“Tak apa ibu… bila abang besar nanti, setiap bulan abang akan bagi duit kat ibu. Campur dengan duit yang ibu simpan, mesti boleh beli rumah semi D tu,” ujar Aiman dengan yakinnya.

“Terima kasih sayang… tapi kalau tunggu abang besar, entah berapa juta pulaklah harga rumah tu.” Danisha rasa kelakar pula mendengar kata-kata Aiman.

“Rumah tu mahal sangat ke ibu?” tanya Aiman lagi.

“Mahallah! Sekarang ni pun harganya dah cecah lebih 1 juta,” beritahunya.

“Mahalnya… tak dapatlah abang nak tolong ibu beli rumah tu,” keluh Aiman seakan kecewa pula.

“Tak apalah, ibu cakap aje dan tak nak beli pun,” balas Danisha sambil pegang bahu Aiman.

“Ibu tak nak kahwin dengan orang kaya ke?” tanya Aiman dengan sengihan.

“Amboi anak ibu ni, kecik-kecik dah pandai sebut pasal kahwin!” Terkejut Danisha dengan pertanyaan Aiman yang tidak diduga langsung. Ingatkan Aishah sahaja begitu.

“Yalah, budak-budak lain ayah dia orang yang hantar ke sekolah. Abang pun kesian jugak dengan ibu sebab terpaksa hantar dan ambil abang,” Aiman meluahkan rasa hatinya.

“Tak ada ayah pun tak apa. Janji anak ibu belajar rajin-rajin dan jadi orang yang berjaya suatu hari nanti,” ucap Danisha. Dia memang tidak mengharapkan yang bukan-bukan dalam hidup ini. Cukuplah andai dapat membesarkan Aiman dan Aishah dalam kesederhanaan.

“Okey… abang janji akan dapat nombor satu bila periksa nanti,” ujar Aiman bersungguh-sungguh.

“Insya-ALLAH… ibu pun selalu doakan abang,” balas Danisha sambil menggosok belakang Aiman.

“Sayang ibu,” ucap Aiman sambil bangun dan mencium pipi Danisha pula.

“Besar nanti abang nak jadi apa?” Danisha sengaja bertanya. Hendak tahu juga apa cita-cita Aiman.

“Abang nak jadi arkitek yang hafaz al-Quran dan jadi ustaz jugak.” Bersemangat sekali Aiman memberitahu Danisha.

“Bagusnya cita-cita anak ibu. Abang tahu ke kerja arkitek macam mana?” Sengaja Danisha menduga si kecil. Bagi dirinya, Aiman mahu kerja apa pun dia tidak kisah. Asalkan dia tamatkan pengajian dan hafaz al-Quran, itu sudah cukup baik.

“Tak tahu sebenarnya, tapi ayah abang memang seorang arkitek. Abang nak jadi macam ayah.”

“Abang ni… sikit-sikit ayah. Berbulu telinga ibu mendengarnya,” balas Danisha. Aiman memang tidak habis-habis memuji ayahnya.

“Ibu ni… ayah abang memang baik. Kenapa ibu tak nak percaya?” tanya Aiman.

“Baik apa kalau tak nak jaga anak sendiri!”

“Kan dah cakap, ayah abang tak tahu,” ujar Aiman kemudian sengaja berkalih dan memandang ke arah lain pula. Dia memang sudah merajuk.

“Yalah, yalah… ayah abang baik, ayah abang pandai macam-macam!” ujar Danisha lebih kepada memerli sebenarnya. Budak kecil, apalah tahunya. Akhirnya dia meraih Aiman ke dalam pelukan.

“Abang sebenarnya sayang sangat dengan ibu,” ucap Aiman, jujur dari hatinya.

“Ibu pun,” balas Danisha sambil mengeratkan pelukan.

Seketika Danisha melemparkan pandangan ke arah ibu kota yang cantik bercahaya. Pada ketika ini, dia berasa bagai bermimpi pula. Tanpa bersusah payah mengandung dan merasai kesakitan bersalin, dia memiliki anak-anak yang sering menggembirakan dirinya.

Dia amat bersyukur kerana berpeluang menjadi ibu walau bukannya menjaga anak sendiri. Terasa bahagia apabila bibir comel Aiman dan Aishah memanggilnya dengan panggilan keramat itu. Memang tiada lukisan yang dapat menggambarkan perasaannya ketika ini. Bahagia dan bahagia…

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.