SEPERTI biasa,
selepas mandi dan bersolat, Danisha segera memasak air. Sementara menunggu air
mendidih, dia menyapu roti dengan myonis. Dia buat beberapa keping, kemudian
memasukkannya ke dalam bekas.
Sebaik air
mendidih, dia bawa ceret ke bilik air dan tuang ke dalam baldi. Begitulah rutin
hariannya setiap pagi. Andai dia tidak sempat hendak membuat bekalan, dia beli
sahaja kuih ataupun nasi lemak.
“Aiman, bangun
sayang. Kita nak pergi sekolah ni,” panggilnya.
Danisha masih di
bilik air. Tangannya dicelup ke dalam baldi untuk merasai suhu air setelah
memasukkan air paip. Dia kena pastikan airnya dalamkeadaan suam sahaja.
“Aiman… jangan
buat ibu lambat pergi kerja,” bebelnya lagi.
Tiba-tiba,
Danisha perasan sendiri.‘Ya ALLAH! Kenapa dengan aku ni?’
Saat itu juga dia berasa sedih sangat. Dia segera keluar dari bilik air. Hampir
sahaja dia terhantuk ke pintu.
Saat terpandang
jubah Aiman yang tergantung di pintu almari, lagi membuat dia berasa sebak. Dia
memang tidak dapat menahan rasa rindu kepada Aiman dan Aishah. Tidak sangka
rutin hariannya sebelum ini tetap dilakukan. Bagai terlupa mereka sudah tiada
di sisi.
Akhirnya, dia
duduk di sofa. Rasa rindu kepada budak-budak itu semakin parah. Padahal, baru
kelmarin sahaja mereka berpisah. Semalam, dia tidur ditemani bantal peluk Aiman
dan teddy bear Aishah. Sekejap dia memeluk bantal, sekejap memeluk teddy bear
pula.
Baru kini dia
sedar, bagaimana rasanya apabila berjauhan dengan orang disayangi. Lebih teruk, dia tidak akan dapat bersama
budak-budak itu lagi. Saat ini, kerinduan Danisha terhadap mereka semakin
menebal.
Apabila teringat
gelagat manja Aishah, lagi buat dia bertambah sebak. Walaupun masih kecil,
sebenarnya Aishah lebih beranidaripada Aiman. Mereka
berdua suka berlakon dan meniru dialog cerita upin ipin yang popular itu.
Aishah cukup pandai meniru watak Mei Mei. Tiba-tiba, terukir jua senyuman di
bibirnya.
‘Dapat ke aku
ulang waktu itu kembali?’Dia tertanya di dalam hati. Kadang-kadang,
dia marahkan budak-budak itu apabila asyik bergaduh ketika bermain.Apabila
budak-budak itu diam sahaja, dia risau pula. Takut ada yang tidak kena dengan
mereka.
Apabila sudah
tidak tahan, Danisha cuba menelefon Sofi. Dua, tiga kali dia mendail, baru
panggilannya berjawab.
“Helo, ada apa
telefon aku pagi-pagi ni?” tanya Sofi sebaik menyedari Danisha yang
menelefonnya.
“Nanti kau
beritahu bos, aku ambil cuti kecemasan hari ni,” beritahu Danisha.
“Apasal suara
kau lain aje? Kau sakit ke?”
“Aku rasa macam
nak demam,” beritahu Danisha lemah.
“Larat tak nak
pergi klinik?” tanya Sofi, sedikit cemas.Risau pula
dengan keadaan sahabatnya.
“Doktor pun tak
boleh ubat penyakit aku ni…” beritahu Danisha dengan sedih.
“La… ini mesti
pasal Aiman dan Aishah. Kau ni dah teruklah Nisha.”
“Nak buat macam
ni?”
“Aku dah pernah
cakap dengan kau.Anak orang tetap anak orang. Sebanyak mana pun kau
sayangkan mereka, takkan jadi anak sendiri.”
“Kau tolong aku,
Sofi. Aku betul-betul rindukan mereka,” rayu Danisha.
“Tengoklah macam
mana. Nanti aku tanya peguam ayah budak-budak tu. Mana tau ada caranya.” Sofi
memberi sedikit harapan kepada sahabatnya.
“Tolong ya, aku
dah tak boleh tahan. Apa saja yang aku buat dalam rumah ni, pasti terbayangkan
mereka,” pohon Danisha.
“Tak fahamlah
aku dengan kau ni. Susah-susah, kau kahwin ajelah! Buat anak sendiri, habis
cerita.” Sudahnya Sofi buat lawak bodoh pagi-pagi begini.
“Kau ni… ada ke
cakap macam tu?”
“Dah susah
sangat, baiklah berkahwin dan bina keluarga sendiri. Buat apa nak kenang-kenang
lagi anak orang tu?” saran Sofi.
“Kau tak tahu
perasaan aku,” tutur Danisha. Dia masih dengan rasa sedihnya.
“Aku pun ada
anak Nisha…” balas Sofi.
“Kau lain!”
sangkal Danisha.
“Memanglah lain.
Kau tu aje yang tak nak kahwin-kahwin,” komen Sofi.
“Jangan lupa
beritahu bos. Nanti aku nak tutup telefon aje. Malas nak jawab panggilan
daripada sesiapa pun.” Danisha mengingat Sofi.
“Okeylah, kau
rehat aje di rumah tu. Nanti aku beritahu pak naga yang kau sakit tenat! Tengok
apa reaksi dia…” usik Sofi, kemudian
terus ketawa.
“Suka hati
kaulah!” balas Danisha kemudian terus mematikan telefonnya.
TIBA-TIBA
Danisha berasa terlalu sepi dan sunyi. Ingin sekali meluahkan segala rasa di
hati, tetapi tidak mampu. Mahu berbicara, tetapi tiada sesiapa di sisi.
Akhirnya,
Danisha memandang sepi pokok bunga yang kian layu. Saat itu juga baru dia
tersedar, rupanya sudah beberapa hari dia tidak menyiramnya.
Dia bingkas
bangun untuk segera menyiramnya. Pokok bunga itu adalah pokok kesayangannya.
Budak-budak dua orang itu yang menemaninya ketika pergi ke nurseri di Sungai
Buloh. Pokok itu juga selalu berbunga walaupun dia jarang meletakkan baja.
Selalunya, dia
akan suruh Aiman tolong siramkan. Air minuman Aiman yang tidak habis,
disuruhnya tuang ke dalam pasu bunga. Danisha memang sentiasa memastikan Aiman
membawa air masak yang baru ke sekolah.
Tidak
semena-mena, dia berasa sedih mengingatkan cerita Aiman. Setiap hari,
kawan-kawannya sentiasa membawa air yang berlainan ke sekolah. Andai bukan air
milo, pasti air oren ataupun air ribena. Dia pula, setiap hari hanya membawa
air kosong.
Danisha selalu
memujuknya dengan berkata, air kosonglah yang paling baik untuk kesihatan.
Seperti selalu, anak itu memang tidak akan membantah dan setia dengan air
kosongnya. Tidak kisah walau tiada kawan sekelas yang mahu berkongsi minuman
dengannya.
Saat ini,
kenangan bersama Aiman dan Aishah menghambatnya lagi. Dia memang selalu
meluahkan perasaan hatinya kepada Aiman. Walaupun tidak mengerti sangat, anak
itu tetap setia menjadi pendengar. Tetap sudi mendengar keluhannya.
Kini, tiada lagi
yang akan mendengar dia berceloteh. Dia
memang rindu sungguh dengan Aiman dan Aishah. Kenangan bersama mereka sudah
tinggal sejarah. Ketika ini, diri sendiri yang bercakap, diri sendiri juga yang
menjadi pendengar!
**************************
SEMINGGU selepas
perpisahan itu, Danisha masih lagi tidak dapat menerima kenyataan. Dia terlalu
rindu dengan budak-budak itu. Terasa kosong dan sunyi hidupnya. Dia tidak pasti
sampai bila dia harus begini.
Tiada lagi
tazkirah daripada Aiman, ustaz kecil kesayangan. Tiada juga omelan dan bebelan
si kecil, Aishah. Kehadiran kedua insan ini, benar-benar telah mengubah
hidupnya. Ia membuat dia lebih menghargai orang di sekeliling.
Persepsinya
terhadap sesuatu perkara juga terarah kepada yang lebih positif. Budak yang
kecil, tidak semestinya cetek akalnya. Orang dewasa pula, belum tentu matang
pemikirannya.
Perpisahan
dengan mereka pula, menyedarkan dirinya yang dia sebenarnya tidak bisa hidup
sendiri. Untuk meneruskan hidup, masih memerlukan sokongan dan dorongan
keluarga dan rakan-rakan.
Saat ini, dia
cuba membuang perasaan rindunya dengan menyibukkan dirinya dengan kerja. Cuba
melupakan kenangan bersama mereka, namun tetap tidak mampu melakukannya.
Apabila terdetik, teringat dan terkenang juga.
“AWAK okey ke,
Nisha?” Tiba-tiba, seseorang menyapanya.
Danisha menoleh
ke arah empunya suara yang menegurnya. Terkejut dia, apabila mendapati Encik
Hisham berdiri berhampiran mejanya.
“Err… saya
okey,” jawabnya sambil menundukkan kepalanya.
Sekelip mata
dadanya kian berdebar-debar. Dia juga berasa tidak selesa apabila terus-terusan
diperhati dan direnung Encik Hisham.
“Tapi, saya
tengok awak seperti ada masalah sahaja.” Hisham cuba mengorek.
“Saya okey.
Encik Hisham nak saya buat apa-apa ke?” tanya Danisha, sekadar berbahasa
membuang debaran di hati.
“Tak, saya
datang ke sini sebab saya tengok awak asyik mengelamun dan macam risaukan
sesuatu.”
“Tak ada
apa-apalah. Saya cuma rasa penat sikit.” Danisha beralasan.
“Hmm… Anak buah
awak sihat?” tanya Hisham lagi.
Danisha terdiam
dan bagai tidak mendengar pertanyaan bosnya. ‘Kenapalah saat diri sedih begini,
dia bertanya pula?’ detiknya dalam hati.
“Danisha?”
panggil Hisham sekali lagi sambil mengetuk mejanya.
Danisha
terkejut. “Hah? Mereka okey dan baik-baik aje.” Terpaksa dia berbohong.
Bagi dirinya,
biarlah Encik Hisham tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Lagipun, perlu apa
dia hendak ambil berat tentang budak-budak itu?
“Saya tak tahu
apa masalah awak. Kalau awak rasa tak sihat, esok ambil saja cuti,” saran
Hisham pula kemudian terus beredar.
Danisha hanya
tersenyum sendiri mendengar saranan bosnya.Cuti tidak akan
menyelesaikan masalahnya. Dia perlu berjumpa dengan Aiman dan Aishah untuk
melepaskan rindunya.
Dia memandang
meja sebelah yang kosong. Teman berboraknya tiada di tempatnya. Si Rani,
pengunjung tetapnya pada setiap pagi juga tidak muncul.
Dia ingin sekali
melihat, tetapi tiada siapa yang muncul. Ingin sekali mendengar, tetapi tiada
siapa yang mahu berbicara. ‘Adakah aku yang tiba-tiba rabun atau telinga aku
yang tiba-tiba tersumbat? Kenapa ofis ini bertukar sepi? Mana perginya Rani
Mukerji? Mana Iman yang sentiasa menemani?’ Hatinya tertanya-tanya.
Seketika baru
dia teringat. Patutlah geng-geng bergosipnya tiada, rupa-rupanya mereka
berkursus dua hari. Dia yang sudah tiada moodhendak memulakan tugas,
terpaksa mencari semangat yang hilang.
Andai Encik
Hisham sudah datang menegurnya, situasinya memang sudah parah. Dia mengeluh
sambil memandang fail dan dokumen yang
ada di atas mejanya.
Semakin hari,
semakin bertambah kerja yang tertangguh. Semuanya perlu diselesaikan dalam masa
yang ditetapkan. Perlahan-lahan, dia memulakan tugasnya. Terasa seperti tidak
tahu pula apa kerja yang mana patut didahulukan.
SELEPAS makan
malam, Danisha termenung lagi. Kenangan bersama Aiman dan Aishah masih
mengintai dan menjerut rasa. Dia tidak boleh terus begini.
Sesuatu perlu
dilakukan untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Sekurang-kurangnya, dia
boleh mencuba nasib. Siapa tahu, ayah budak-budak itu tergerak hati memberi
peluang kepadanya berjumpa dengan mereka.
Tanpa berlengah,
dia terus menelefon Sofi. Sahabatnya itu kena juga membantu. Dia memang tiada
orang lain yang boleh diharapkan.
“Hmm… ada apa
telefon aku ni?” tanya Sofi.
“Boleh tak kau
berjumpa dengan peguam dekat Bangsar tu?” Danisha terus kepada hajatnya.
“Apa lagi ni?”
keluh Sofi.
“Aku nak sangat
berjumpa dengan budak-budak tu. Kau
tolonglah berbincang dengan peguam tu,” rayunya.
“Kau ni…
macam-macam!” sungut Sofi.
“Kau tolonglah
aku. Sekali ini aje. Lepas tu, aku takkan kacau kau lagi.”
“Kau nak aku
buat apa?”
“Kau tolong
tanyakan, boleh tak aku nak berjumpa dengan budak-budak tu. Lagi satu, kalau
boleh aku nak jaga dia orang ni. Setiap hujung minggu pun jadilah.”
“Amboi, banyak
pulak permintaan kau ni!”
“Bolehlah…” rayu
Danisha.
“Tengoklah macam
mana. Tapi, aku tak janji permintaan kau tu akan tertunai,” balas Sofi.
“Terima kasih
Sofi. Jasa kau akan aku kenang sampai bila-bila,” ucap Danisha.
“Hmm…
sama-sama,” balas Sofi.
Danisha berasa
amat lega apabila Sofi mahu membantunya. Kemudian, dia terus menuju ke
balkoni. Seperti selalu, dia mahu mengambil angin di situ. Juga mahu melepaskan
rasa rindu yang walang pada angin lalu.
Dia melontarkan
pandangan ke arah ibu kota. Selepas itu, ke arah Vila Kristal Heights pula. Tiba-tiba,
dia ternampak kelibat kanak-kanak seakan melambai-lambai ke arahnya. Perasaan
hatinya seperti Aiman dan Aishah. Dia memang tidak dapat melihat dengan jelas.
Walaupun dia
tidak memakai cermin mata, namun penglihatannya pada waktu malam memang
terbatas juga. Apabila dia perhatikan sekali lagi, tiada pula kelibat orang di situ. ‘Adakah aku tersalah tengok
kerana terlalu rindu kepada mereka? Sampai lampu bollard di halaman
rumah orang, kusangkakan Aiman dan Aishah?’
Danisha tidak
tahu kenapa susah sangat membuang perasaan yang bertandang ini. Dia betul-betul
tidak sangka. Ketika ini, dia mengalahkan orang putus cinta pula!