DANISHA menanti kedatangan Sofi dengan harapan menggunung.
Dia sudah tidak sanggup menahan rindu yang tidak tertanggung. Berada di rumah
buat dia terkenangkan memori bersama Aiman dan Aishah.
Di pejabat, dia
memang tidak dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjanya. Akhirnya, dia
terpaksa juga mengambil cuti. Buat apa dia datang ke pejabat, andai hanya
melangut di tempatnya.
Begitupun, dia
tidak boleh terlalu kerap mengambil cuti. Sekarang ini dia bekerja dengan
orang, bukan bekerja sendiri. Andai dia kerap mengambil cuti dan prestasi kerja
menurun, dia juga yang kena tanggung risikonya.
Memang dia boleh
mencari kerja di tempat lain, namun pasti sahaja tidak sama.Nanti dia juga
yang terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru. Itu pun, belum tentu
tempat baru itu kena dengan jiwanya.
“Macam mana?”
tanya Danisha sebaik Sofi muncul di muka pintu apartmennya.
“Aku dah
berjumpa dengan peguam tu. Lelaki tu pun ada sama,” beritahu Sofi sambil
menanggalkan kasutnya.
Dia terpaksa
juga pergi ke pejabat peguam itu demi sahabat yang seorang ini. Tidak
diturutkan, merana pulak si Danisha ini. Dia pun tidak tahan apabila Danisha
asyik merayu-rayu kepadanya.
“Lelaki tu cakap
apa?” Tidak sabar-sabar pula Danisha hendak tahu.
“Kut ya pun,
bagilah aku duduk dulu. Buatkan air untuk hilangkan dahaga aku ni,” tegur Sofi
yang sedikit rimas dengan Danisha yang asyik bertanya. Kalah orang yang mati
laki!
“Maaflah tapi
air untuk kau, aku memang dah siap-siap buat.” Danisha termalu sendiri.
Kemudian segera menghidangkan air minuman kepada Sofi.
Sofi hanya
tersenyum melihat gelagat sahabatnya yang seorang ini. Gaya penampilan dan
tindakan selalunya brutal. Begitupun, apabila bab-bab begini, mengalahkan
kucing hilang anak. Mengiau-ngiau, tidak henti-henti!
“Apa ceritanya?”
Danisha bertanya setelah memberi ruang untuk Sofi berehat dan menghirup air oren
yang telah dia sediakan.
“Kalau kau nak
bersama dengan budak-budak tu, boleh aje diuruskan,” beritahu Sofi dengan gaya
selambanya. Bagaikan masalah Danisha dapat diselesaikan dengan begitu mudah
sahaja.
“Betul ke apa
yang kau cakap tu?” Wajah Danisha sudah berubah ceria.
“Ya, tapi ada
syaratnya.”
“Apa pun
syaratnya, aku setuju aje.” Pantas sahaja Danisha memberi persetujuan.
“Kau ni… aku tak
sebut lagi apa syaratnya, kau main setuju pulak,” marah Sofi. ‘Memang Danisha
ini sudah terdesak sungguh!’ desisnya.
“Apa syaratnya?”
Danisha pantas bertanya. Dia memang duduk dekat-dekat dengan Sofi.
“Kahwin dengan
ayah budak-budak tu,” terang Sofi, kemudian ketawa di hujung kata-katanya.
“Itu kerja gila
namanya! Kenal pun tak, alih-alih ajak berkahwin?Tak naklah aku
kalau macam tu.” Terus merudum harapan Danisha.
“Tadi bukan main
nak setuju aje,” tempelak Sofi sambil menggeleng. Kadang-kadang dia pun tidak
faham dengan sahabatnya yang seorang ini.
“Yalah, takkan
sampai kena ikut syarat mengarut tu?” tingkahnya.
“Kau nak ke tidak?” soal Sofi pula.
“Payahlah kalau kena berkahwin pulak,” keluh Danisha.
Muka yang tadinya ceria semacam, kini memang telah mencuka pula.
“Hmm... yang bagusnya, tawaran lelaki tu tiada tarikh
luput!” tambah Sofi lagi.
“Syarat yang mengarut, memanglah tak ada tarikh luput.
Saja nak kenakan akulah tu.” Danisha sudah mengeluh panjang.
“Dia bukan nak kenakan kau. Itu aje caranya supaya kau
dan dia sama-sama boleh menjaga budak-budak tu. Tak adalah yang bising dan
menyibuk,” terang Sofi.
“Alah, mesti ada cara lain.”
“Itu anak dia dan dah jadi tanggungjawab dia untuk
jaga budak-budak tu. Dulu, dia dah kehilangan mereka. Apabila dah berjumpa,
mestilah dia tak nak berpisah lagi.” Sofi cuba membuat Danisha faham situasi
lelaki itu.
“Amboi, hendak pulak lelaki tu bercerita dengan kau.”
Danisha berasa pelik pula mendengarnya.
“Dah aku bertanya, mestilah dia bercerita. Lupa pulak
aku, dia kirim salam dengan kau. Dia pun nak ucap banyak-banyak terima kasih
sebab jaga anak dia selama ini.”
“Terima kasih aje ke? Yang aku berhabis jaga anak dia,
tak nak hulur pulak,” balasnya geram.
“Tahi hidung masin betullah kau ni. Kata ikhlas jaga
budak-budak tu, sekarang ungkit-ungkit pulak.” Naik pening Sofi dengan
sahabatnya ini.
“Paling-paling pun, bagilah aku jaga budak-budak tu
setiap hujung minggu atau semasa cuti sekolah ke.” Danisha meluahkan
keinginannya. Dapat berjumpa pada hujung minggu pun sudah cukup baginya.
“Aku ada cakap,
tapi dia tak setuju. Kau tu duduk sorang-sorang, bahaya katanya. Lagipun dia
risaukan keselamatan anak-anaknya.”
“Sekarang baru
lelaki tu nak risau?” tanya Danisha dengan perasaan bengang.
“Suka hati
kaulah nak cakap apa pun. Tapi kan, aku rasa kau patut pertimbangkan tawaran
lelaki tu,” cadang Sofi dengan senyuman meniti di bibirnya.
“Pertimbangkan?
Baik tak payah kalau begitu gayanya,” balas Danisha.
Hening seketika
antara mereka. Sofi sambung menghirup air orennya. Tekak dia haus kembali
apabila asyik bercakap tanpa henti.
Danisha pula
melemparkan pandangan ke banjaran Titiwangsa. Mujur semua banglo dan rumah semi
D yang dibina di Vila Kristal Heights hanya tiga tingkat. Dapatlah dia
menikmati pemandangan hijau melalui balkoni apartmennya. Andai apartmen juga
yang tersergam di situ, memang tiada apa yang indah dipandang.
“Aku sebenarnya
bukan mahu mengada-adakan cerita, tapi ayah budak-budak tu memang handsomegila…”
beritahu Sofi. Dia memang ingin melihat reaksi Danisha yang telah bermuram
durja.
“Handsome,
tapi gila buat apa?” Danisha berasa geram pula dengan telatah Sofi. Dalam
keadaan dia tertekan begini, lagi mahu mengusiknya.
“Kau sendiri
jugak yang cakap, wajah dan senyuman Aiman cukup manis. Kalau anak dia dah buat
kau tertawan, ayahnya pasti buat kau tertambat!” gurau Sofi lagi. Namun, tidak
dinafikan lelaki itu memang kategori sedap mata memandang.
“Buat apa muka
lawa, kalau sebelum ini tak ambil berat pasal anak sendiri?” bidas Danisha
pula.
“Mana tau, dulu
bini dia yang bawa lari anak-anak dia? Kan aku dah cakap yang dia terpisah
dengan anak-anak dia,” balas Sofi pula.
“Entah-entah,
kau yang reka cerita nak sedapkan hati aku,” ujar Danisha pula.
“Kau terima
ajelah tawaran ayah budak-budak tu.Lagipun, kau kan nak bersama mereka?”
cadang Sofi. Melihat keadaan sahabatnya itu, dia tahu Danisha terlalu rindukan
Aiman dan Aishah.
“Ini soal hati
dan perasaan. Berkahwin nanti, aku kena taat dan sayang suami aku. Perasaan itu
kena ada sebelum berkahwin lagi. Kalau tak, terseksa jiwa dan raga aku. Tambah
parah kalau aku sayang pada yang lain,” luah Danisha.
“Kejap, kau
sayang pada orang lain? Siapa?” Pantas Sofi bertanya. Dia memang pantang kalau
terdengar Danisha sukakan sesorang. Mesti dia mahu tahu juga.
“Aku cakap aje.
Mana ada aku sayangkan sesiapa.” Segera Danisha menafikan.
“Kau jangan nak
berahsia dengan aku pulak,” ujar Sofi yang sudah mula mengesyaki sesuatu.
“Mana ada?”
nafinya.
“Baik kau cakap
cepat. Siapa orangnya? Pak naga ke?” Sofi cuba serkap jarang.
“Tak adanya aku
nak suka kat dia.” Cepat sahaja Danisha menafikan.
“Sudahnya dia
jugak yang kau suka.Kalau Iman dan Rani tahu, mahu dia orang gelakkan kau!”
Sofi sudah tertawa.
“Eh! Masa bila
pulak aku kata sukakan pak naga tu? Kau jangan nak memandai pulak.” Danisha
sudah gelabah.
“Hmm… mulut
memang boleh menafikan, tapi aku dapat rasakan yang kau memang suka dekat pak
naga tu,” balas Sofi kemudian sambung ketawa.
Dia bukan budak
kecil yang tidak tahu apa-apa. Wajah Danisha memang tidak bereaksi seiring
dengan apa yang dia ucap. Nampak sangat dia cuba berselindung.
“Kau ni pandai
aje,” sangkal Danisha lagi.
“Aku kenal kau
bukan baru Nisha. Sejak zaman kolej lagi.Apa rahsia kau
yang aku tak tahu?”
Danisha senyap
lagi. Memang Sofi tahu banyak perkara pasal dirinya. Pada Sofilah tempat dia
berkongsi cerita dan masalah selain umi dan ayahnya. Begitupun, pasti sahaja
ada yang disembunyikan dan dirahsiakan.
Andai sahabatnya
itu pandai meneka apa dalam hatinya, memang hebat sungguhlah si Sofi ini. Tapi,
rasanya dia memang tidak tahu rahsia hati yang tidak pernah diluahkan kepada
sesiapa pun.
“Termenung pulak
dia. Apa keputusan kau?” tanya Sofi sambil menepuk bahu Danisha.
“Kau ingat,
pasal nikah kahwin ni boleh jawab sekarang jugak ke?” marahnya.
“Tapi jangan
fikir lama-lama pulak walaupun tak ada tarikh luput. Dibuatnya ayah budak-budak
tu jatuh cinta dengan gadis lain, melepas pulak kau. Tak pun terpaksa jadi
isteri kedua pulak.”
“Kau ni… sengaja
nak buat aku tension!”Danisha sudah berasa tidak senang.
Sofi bagai sengaja mendesaknya agar segera membuat keputusan.
“Benda ni
sebenarnya mudah aje.Kalau kau kahwin, selesai masalah. Yang nak fikir pasal
hati dan perasaan tu buat apa? Cuba tengok orang dulu-dulu, elok aje walaupun
tak pernah bercinta sebelum berkahwin.”
“Kau cakap
senanglah, sebab kau tu dah berkahwin,” balas Danisha pula.
“Susah-susah,
kau suruh aje ayah kau cari calon. Lepas tu proses anak sendiri, lagi puas
hati. Tak ada sesiapa nak berebut anak selepas ini,” ujar Sofi.
“Kau ni… ke situ
pulak?”
“Dah budak-budak
tu memang bukan anak kau, buat apa kau nak susah-susah fikir?Lama-lama nanti,
budak-budak tu pun dah tak ingatkan kau lagi.”
“Budak-budak tu
lain, tau tak? Aku tak pernah sayang orang lain macam aku sayang dia orang.”
Danisha meluahkan apa yang dirasa kepada Sofi.
“Berapa kali aku
nak cakap? Kau sayang macam mana pun, tetap anak orang. Kau upahlah peguam
paling hebat sekalipun, kau takkan berjaya rebut daripada lelaki tu.”
“Aku bukan nak
berebut dengan ayah dia.Aku cuma nak tolong jaga.”
“Jadi, apa
keputusan kau sebenarnya?”Bingung Sofi kalau begini gaya
Danisha.
“Tengoklah macam
mana,” ujar Danisha sambil mengeluh berat.
Hati dan
perasaan bukan boleh dipaksa. Andai berkahwin tanpa apa-apa rasa di hati,
apalah maknanya? Danisha berbicara sendiri.
“Cinta dan kasih
itu, boleh dipupuk. Andai sudah berkahwin dan ada yang jadi pengikat hubungan,
aku rasa tiada masalah.” Sofi memberi pendapat peribadinya setelah mereka
berdua menyepi seketika.
Danisha cuba
merenung kata-kata sahabatnya itu. Memang ada benarnya, tetapi dia tidak
sanggup mempejudikan nasibnya dengan berkahwin dengan orang yang tidak
dikenali.
“Dahlah Nisha!
Daripada aku melayan kau, baik aku balik. Anak-anak aku pun dah menunggu di
rumah tu.” Akhirnya Sofi bangun setelah menghabiskan air minumannya.
“Habis tu macam
mana sekarang ni?” tanya Danisha lagi.
“Lagi nak tanya?
Cepat-cepat kahwin dan proses anak sendiri!” usik Sofi lagi.
Danisha segera
menutup pintu sebaik Sofi keluar dari apartmennya. Geram sungguh dia dengan
telatah Sofi.