Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 2

Nadia Asyila membuka kembali kotak yang berisi gaun yang diterimanya sekejap tadi. Satu keluhan dilemparkan. Fikiran gadis itu bercelaru.

‘ Kenapa Hisyam tidak pernah memahami aku? Atau dia sengaja buat tak faham? Mungkin perasaan dia sama dengan aku. Mungkin dia juga sedang merana. Kenapa mesti dia menunggu aku dan kenapa mesti aku menunggu Fazar?’

Nadia Asyila merenung siling biliknya. Seakan mencari jawapan di situ. Andai dikira jarak masa, sudah terlalu lama dia menunggu. Menunggu untuk dicintai.

‘ Ah! Terlalu banyak persoalan. Kenapa hidup ni begitu rumit?’

Lamunan gadis itu berkecai saat telefon bimbitnya memberikan isyarat bahawa dia menerima pesanan.

Matanya dialihkan ke arah jarum jam yang tergantung di dinding. Senyumannya hambar. Dia sememangnya tahu siapa gerangannya yang menghantar pesanan itu. Seakan ia sudah menjadi rutin.

Sejak bila dia sendiri sudah lupa. Apa yang pasti hampir setiap malam dan tepat jam dua belas akan ada satu pesanan yang akan diterimanya. Tidak lain dan tidak bukan daripada Iqmal Hisyam. Lelaki yang mengharapkan kasihnya.

Layangan pantun untuk mengucapkan selamat malam. Dan dia pasti untuk malam itu juga tidak akan terkecuali. Pasti ada lagi pantun yang akan diterimanya.

Jarinya memicit-micit telefon bimbit dan dibaca apa yang tertulis.

Saatnya berlabuh senja di angkasa,

Sampainya hukum alam langit menjadi kelam,

Sejak hati mengatakan dirimu insan teristimewa,

Menjadi kewajipanku menyampaikan salam selamat malam.

Nadia Asyila tidak membalas pesanan itu. Sememangnya dia jarang untuk membalas setiap kata-kata jiwang lelaki itu. Dia tidak mahu membuatkan lelaki itu terus mengharapkan kasihnya.

Nadia asyila malas untuk menyesakkan akalnya dengan memikirkan sesuatu yang mampu membebankan fikirannya. Badannya mengiring ke bahagian kiri katil. Membelakangi Amierah yang berkongsi katil dengannya. Mahu mengosongkan fikirannya yang kusut. Akhirnya dia terlena tanpa disedari.


                  *********************************************************************************


Iqmal Hisyam bingkas bangun dari katilnya. Badannya berpeluh. Nafasnya tidak seimbang. Sekejap tadi Nadia Asyila hadir di dalam mimpinya.

Mimpi yang jalannya menceritakan bahawa Nadia Asyila akan meninggalkan dirinya untuk selama-lamanya. Lidahnya kelu untuk seketika.

Apabila menyedari yang semua itu hanyalah mimpi, diusap muka sambil matanya dipejamkan. Setelah itu istighfarnya kedengaran untuk Yang Maha Esa.

Pandangannya dibawa kepada gambar Nadia Asyila yang berada di atas meja kecil di sebelah katilnya. Gambar yang ditangkapnya secara curi-curi menggunakan handphone semasa dia keluar bersama polis wanita itu.

Walaupun sekadar gambar curi, ia terlalu cantik pada mata lelakinya. Tidak lama gambar itu berada di dalam handponenya. Kedai gambar dicari untuk mendapat tilikan yang lebih jelas. Dengan melakukan begitu, dia puas!

“ Bila agaknya kau akan menerima cinta aku? Entah apa kurangnya aku berbanding dengan Fazar. Kalaulah aku punya kekuasaan untuk mengubah rasa cinta kau, pasti sesaat pun takkan ku buang untuk memberikan ruang derita hadir dalam hidup aku.” Diambil gambar itu. Diusap cermin frame yang terdedah.

Seketika kemudian, dia senyum sendiri. Dibawa pula foto itu rapat menyentuh dadanya yang tidak berbaju. Sesaat kemudian, dia terlena. Kembali menyambung tidurnya yang terjaga seketika tadi.

***************************************************************************************

Syazwan memandang wajah di hadapannya itu tanpa kelip. Memang Nadia Asyila seorang yang cantik. Rambut paras leher yang dipotong elok membantu menambahkan kecantikannya. Ulas bibir yang merah merekah mampu menarik perhatian setiap lelaki.

Wajah yang putih bersih tanpa sebutir jerawat pun semakin menambahkan kejelitaan gadis itu. Kening yang cantik terbentuk dihiasi dengan sepasang mata yang agak bulat. Cukup sempurna.

Uniform yang tersarung di badannya menambahkan lagi karisma wanita itu yang sememangnya tidak selekeh. Syazwan berdehem seketika.

Cuba menimbulkan satu persoalan tentang apa yang selama ini terkubur di benak Nadia Asyila. Sekadar mencuba atau mungkin juga memerli. Entahlah! Dia sendiri ragu.

“ Apa cerita Fazar sekarang? Kau ada jumpa dia?”

Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan Nadia Asyila sedikit tersentak.

Soalan yang telah lama tidak diutarakan oleh bibir lelaki itu. Syazwan memandang tepat pada wajah putih bersih di hadapannya mencari jawapan. Nadia Asyila membalas pandangan itu. Balasan pandangan yang penuh kekecewaan.

Suapan yang hampir singgah di mulutnya dibiarkan sepi. Tiada kata yang dapat diutarakan. Kisah lelaki itu diungkit lagi. Nama lelaki itu disebut lagi. Semuanya menyesakkan nafasnya.

Dadanya tidak menentu dengan degupan yang adakalanya laju dan adakalanya perlahan. Semuanya kerana seorang lelaki yang telah lama mendapat tempat di hatinya. Fazar Azameer.

“ Rasanya dah lapan tahun kita keluar dari sekolah. Masing-masing mencari hala tuju jalan hidup sendiri. Kau ada dengar apa-apa berita tentang dia?”

Nadia Asyila kembali menyambung suapannya yang terhenti. Digagahkan rahangnya untuk melembutkan makanan yang terisi di dalam mulutnya.

“ Entah-entah dia dah tinggalkan dunia ni pun kita tak tahu.”

Syazwan berkata selamba. Renungan kawan yang berada di hadapannya dibalas dengan pandangan bersahaja.

“ Entah apa yang kurang pada Syam. Kau tak nampak ke apa yang dia lakukan pada kau selama ni? Jangan kerana nak kejar apa yang tak pasti kau terlepas apa yang sepatutnya kau dapat. Jangan realitikan peribahasa kuman di seberang laut nampak gajah di depan mata tak nampak.”

Nadia Asyila mengerling Syazwan yang selamba menghirup sup di hadapannya. Geramnya membuak dengan kata-kata lelaki itu.

semua orang hanya memandang salahnya. Entah apa yang mereka semua nampak pada Iqmal Hisyam. Semuanya cukup sempurna. Rasa macam nak cair tahi telinga dia mendengarnya. Selalu sangat dibandingkan dengan Fazar Azameer.

“ Apa salahnya kalau kau beri Syam peluang. Kesian aku tengok mamat tu. Macam dah angau sangat. Sejak dulu lagi dia menyintai kau tak pernah jemu. Takkan tak pernah ada sikit pun perasaan kau pada dia?”

Nadia Asyila hanya menyepi. Malas mahu membalas apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. hanya membiarkan bebelan itu dibawa angin lalu. Bebelankah itu? Entahlah! Dia sendiri malas untuk memikirkannya.

Syazwan menyedari kesepian itu. Rasa bersalah menerjah jiwanya. Dia tahu yang sejarah itu tidak patut diungkit. Apatah lagi mengenai lelaki yang sentiasa mendapat tempat di hati gadis itu. Fazar Azameer. Walaupun hanya sekadar nama.

Seingatnya pertanyaan terakhir tentang lelaki itu hanya sebulan yang lepas. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia mengungkapkan pertanyaan itu lagi hari ini. Dia juga tahu yang pertanyaan itu menyakitkan batin milik Nadia Asyila.

Sebenarnya segalanya dapat dielak jika wanita itu mahukannya. Tetapi hatinya mahu kekal begitu. Terkurung dengan perasaan yang entah bila akan memberikan harapan untuknya.

Sudah letih dia dan kawan-kawannya memberitahu. Namun, hasilnya hanya kesenyapan gadis itu yang seringkali menimbulkan kebisingan di benak mereka. Akhirnya mereka semua harus mengakui bahawa tiada apa yang dapat mengubah hati wanita itu melainkan dia sendiri yang mahu merubahnya. Sekalipun Iqmal Hisyam.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah