Kuala Lumpur. Hari ini.
“ Thanks for coming.”
Nadia Asyila tersenyum pada Iqmal Hisyam. Satu senyuman
yang ikhlas.
“ Dah lama Syam rindukan senyuman Nadia.”
Iqmal Hisyam bersahaja. Nadia Asyila menguis-nguis daun
kering yang berada di kakinya. Iqmal Hisyam membuka pintu keretanya dan
mengambil sesuatu. Dihulurkannya kepada Nadia Asyila.
“ Present for your birthday.”
Teragak-agak Nadia Asyila menyambutnya. Dibuka perlahan-lahan kotak sederhana besar yang berada di tangan. Mahu melihat
apa isinya. Sepasang gaun sutera terlihat indah di pandangan.
Nadia Asyila bungkam. Melihatnya sahaja Nadia Asyila
pasti yang angka besar perlu diserahkan kepada penjualnya.
“Syam…”
“ Syam tak bermaksud apa-apa. Just present birthday. Tak
salah kan?”
“ Tapi Syam. Hadiah ni terlalu mahal. Nadia tak layak
untuk milikinya.”
“ Ada
lagi benda yang lebih mahal Nadia. Bagi Syam, senyuman Nadia lebih bernilai
dari gaun itu. Layak atau tidak, hanya Syam yang berhak menentukannya.”
Nadia Asyila
mencari mata lelaki itu. Kata-kata yang diucapkannya tadi menyentuh hati
wanitanya.
“ Thanks Syam.”
Hisyam memejamkan matanya seketika tanda balasan kepada
ucapan itu.
“ Pertama kali melihat gaun tu, hati Syam terpikat dan
mata Syam sempat membayangkan betapa cantik kalau tersarung di tubuh Nadia.
Walau Syam sendiri tak tahu bila Nadia akan memakainya.”
“ Entah sempena apa. Atau, mungkin juga Nadia takkan
pernah memakainya. Apatah lagi semata-mata untuk Syam. Apa pun, yang penting
Syam mahu Nadia memiliki gaun itu. Itu adalah hasrat Syam. Pakai atau tidak,
itu adalah pilihan Nadia. Syam tak dapat menentukannya.”
Sekali lagi Nadia Asyila bungkam. Tidak tahu apa yang
harus diungkapkan untuk membalas kata-kata lelaki itu. Lidahnya kelu.
Melihat kebisuan yang memagari bibir insan yang berada
di hadapannya, Iqmal Hisyam memaksa bibirnya mengukir senyuman. Entah untuk
apa. Sesaat kemudian, dia membuat langkahan. Seakan sedar yang langkahannya untuk
meninggalkan tempat itu sangat direstui.
Kakinya dibawa memijak lantai kereta. Pintu ditutup
sebagai tanda untuk adanya satu perpisahan. Perpisahan yang tidak direlakan
oleh hati lelaki Iqmal Hisyam. Dia mahu masa yang lebih lama dihabiskan untuk
bersama insan yang dicintainya itu.
Kalau boleh, dia mahu menghabiskan hayatnya dengan hanya
memandang wajah putih bersih itu. Hanya itu. Namun apalah dayanya jika gadis
itu sendiri yang telah menolaknya mentah-mentah. Bukan hanya malam ini. Tapi
sejak lapan tahun yang lalu.
Hatinya begitu perit untuk memikirkan masa yang dilalui
kerana setiap saat yang berlalu menyebarkan penderitaan yang tak tertanggung di
lubuk hatinya. Tapi, siapa yang mengerti? Gadis yang bernama Nadia Asyila tidak
pernah cuba untuk memahami.
Diakah yang harus dipersalahkan kerana mempunyai rasa
yang menyintai? Andai itu takdirnya, dia rela dipersalahkan. Kerana rasa itu
telah menghukumnya sejak lapan tahun yang lalu. Sejak saat dia mula menaruh
hati pada insan yang bernama Nadia Asyila.
Untuk menidakkan urusan takdir, sekali lagi dia tidak
berjaya. Bukan sahaja untuk memenangi hati gadis itu. Tetapi juga untuk
mengusir hatinya untuk tidak menyayangi gadis itu. Segalanya membuatkan dia
sesak. Andai ada rasa yang lebih lagi untuk gadis itu, akan gilakah dirinya?
Gila kerana menyayangi.
‘ Ya Allah! Berilah aku peluang untuk aku membuktikan
rasa kasih yang suci ini padanya. Bukalah pintu hatinya agar dia juga mempunyai
rasa yang sama. Supaya kami mampu bahagia dalam mencari rahmatMu.’
Iqmal Hisyam merenung cermin kereta dan melihat gadis
yang dicintainya dengan pandangan kosong. Hati lelakinya amat berharap agar ada
lambaian daripada gadis itu. Tapi harapannya kosong. Sekosong pandangannya.
Setelah agak lama memandu, lelaki itu merasakan nafasnya
sesak. Jiwanya kacau. Iqmal Hisyam memberhentikan kereta di bahu jalan.
Pandangannya kabur. Diletakkan kepalanya pada stereng kereta. Air mata
lelakinya tumpah jua.
Entah kenapa hatinya begitu terasa dengan sikap Nadia Asyila.
Walhal tiada apa yang dilakukan gadis itu kepadanya. Hatinya berdebar dengan rasa
marah. Kemarahan yang bercambah cinta.
Jika tiada sedikit keimanan diahatinya, pasti dia sudah
melakukan sesuatu yang akan menyeksakan batin wanita yang dicintainya itu.
Pasti dia akan melakukan sesuatu yang akan membuatkan wanita itu tidak terlepas
dari menjadi miliknya. Walaupun caranya berbaur dengan kekasaran dan kejahatan.