Lima tahun kemudian..
Debaran di dada Nadia Asyila memuncak.
Hari ini sejarah akan hadir dalam hidupnya. Lelaki yang dicintainya akan bebas
dari hukuman dunia. Debarannya semakin memuncak apabila pintu penjara dibuka
dari dalam. Menandakan ada jasad insan yang akan menembusi ruang itu.
Setelah beberapa langkah diatur untuk
melangkah keluar dari kawasan tirai besi yang menempatkan dirinya, langkahan
kaki Iqmal Hisyam kaku saat dirinya terpandang Nadia Asyila.
Tubuh gadis itu dibaluti dengan gaun
sutera yang pernah dihadiahkan olehnya suatu waktu dahulu. Jelas memperlihatkan
betapa gadis itu menghargai dirinya. Tiada kata yang mampu terluah untuk
menggambarkan kesyukuran. Nyata cinta gadis itu masih miliknya.
Harapannya kosong yang dirinya akan dijemput
oleh kekasih hatinya apabila kakinya melangkah keluar dari kurungan dunia itu
setelah sebulan yang lepas adalah tarikh terakhir Nadia Asyila menjenguknya di
penjara.
Namun ternyata anggapannya silap
apabila gadis yang berdiri hampir sepuluh meter di hadapannya adalah orang yang
dinantikan selama ini. Mungkin gadis itu mempunyai alasannya yang tersendiri
kerana tidak menghadirkan diri sebagai pelawatnya.
Perlahan-lahan langkahan kaki diatur
mendekati insan yang setia menunggunya dengan senyuman.