Oktober 2006
Nadia Asyila berteleku di dalam telekung sembahyang.
Seketika kemudian diletakkan kepalanya rapat ke lantai. Terus dibaringkan
badannya di sudut bilik itu. Semangatnya lemah. Dia telah tewas.
Air matanya turun mencurah-curah. Betapa sakit hatinya.
Pedih luluh dirasakan di segenap jiwanya. Sudah sebulan pertemuannya dengan
Fazar Azameer. Selama sebulan juga Nadia Asyila cuba memujuk lelaki itu untuk
menyambung kembali persahabatan mereka yang terputus.
Pernah lelaki itu menghinanya di tempat umum. Apabila
gadis itu tersenyum, lelaki itu pantas menjeling. Nadia Asyila yakin yang Fazar
Azameer benar-benar membencinya.
Tapi tidak aku. Kenapa aku masih terlalu menyintainya
walaupun dia menghina aku berkali-kali? Kenapa aku tidak boleh membencinya?
Semakin lebat air mata gadis itu membasahi sejadah. Rasa hatinya sendiri telah mengkhianatinya kini.
Meletakkan dia di antara insan yang lemah dalam mengawal perasaan.
Lelah untuk dia bernafas dalam suasana yang semakin
kalut dengan rasa kebencian yang telah diwujudkan oleh Fazar Azameer.
Walaupun berita itu masih belum tersebar kepada
kawan-kawan rapatnya, namun dia bimbang kiranya satu hari nanti segalanya akan
kedengaran di telinga mereka. Angin Fazar Azameer sudah tidak boleh diduga.
Dia tidak lagi semesra dulu. Sifat mesra itu seakan
langsung sudah tiada di dalam dirinya. Ataupun, mungkin sudah tiada hanya untuk
dirinya.
Air mata yang menitis diseka dengan belakang tangan. Dia
mahu menahan sendu yang semakin kuat. Tidak mahu kedengaran sehingga ke luar
bilik. Bimbang nanti ibunya akan menjengah dan menyiasat usul yang menyebabkan
keadaannya begitu.
Bukan dia meminta untuk sesedih itu. Tetapi dia langsung
tiada daya untuk menahan tangisan apabila mengenangkan sikap Fazar Azameer
sekarang. Terlalu memilukan hatinya.
Lama dirinya merenung apa yang telah terjadi dalam
hidupnya dalam masa yang singkat ini. Terbayang juga wajah Iqmal Hisyam yang
mula berjinak-jinak bermain di ruang matanya. Dia perlu melakukan penyelesaian
dengan lelaki itu.
Sesuatu perlu dilakukan. Segalanya perlu diselesaikan.
Dan sekarang, dia punya caranya. Mungkin itu adalah yang terbaik.
******************************************************************
Pagi sabtu yang cerah menggerakkan hati Nadia Asyila
untuk menghubungi Iqmal Hisyam. Salam diberi dan dijawab. Hati lelaki itu
berbunga riang.
Wajahnya yang kelat bertukar ceria. Bingung apabila
gadis itu tiba-tiba menghubunginya. Selama ini tidak pernah sekalipun gadis itu
berbuat demikian.
“ Syam, boleh kita jumpa?”
Iqmal Hisyam bingkas dari pembaringan. Betulkah apa yang
menyapa gegendang telinganya? Lelaki itu pantas menjawab.
“ Sure.”
Setelah mengucapkan apa yang patut, Nadia Asyila
meletakkan gagang.
“ Apakah apa yang aku nantikan selama ini akan menjadi
kenyataan? Apakah dia sudah mula membuka hatinya untuk aku?”
Iqmal Hisyam memandang wajahnya di cermin bilik.
Perlahan-lahan dia melemparkan senyuman. Khas untuk dirinya sendiri. Entah
kenapa yang dia merasakan akan ada berita baik yang akan disampaikan oleh Nadia
Asyila.
Segala kekalutan yang dialaminya sejak sebulan yang lalu
dapat ditangkis dengan hanya penggilan daripada gadis itu. Hatinya begitu
berbunga. Tidak sabar menunggu hari minggu yang bakal menjelang.
******************************************************************
Nadia Asyila memandang air tasik yang beralun di
hadapannya. Dia sedar Iqmal Hisyam sedang memerhatikan setiap apa yang
dilakukannya. Lelaki itu sedikit resah. Tiada patah perkataan yang keluar
daripada bibir gadis kesayangannya.
Hari ini, dia sanggup ponteng kuliah yang digemarinya.
Sanggup memandu lebih dua jam meredah lebuh raya. Sekarang dia buntu. Tidak
tahu apa yang perlu dilakukan. Diperhatikan gadis itu yang mematah-matahkan
jemarinya.
Dilihat seakan ada beban yang ditanggung oleh wajah itu.
Tidak seceria selalu. Wajah itu pucat pada pandangannya kala ini.
Apakah diri itu berada dalam keadaan yang tidak stabil?
Apakah kesihatannya berada dalam pantauan doktor? Iqmal Hisyam menggeleng
kepalanya setelah kembali ke alam realiti. Telah jauh dia berfikir untuk satu
jawapan yang dia sendiri tidak tahu. Segalanya hanya agakan yang tiada jawapan.
“ Nadia sihat?”
Lelaki itu sedar yang dia perlu memulakan bicara.
“ Alhamdulillah. Syam?”
Ada senyuman yang terukir di bibir keduanya.
“ Syam pun sihat. Kenapa Nadia nak jumpa Syam? Ada
masalah ke?”
Nadia Asyila memandang wajah tampan di hadapannya.
Senyumannya melebar buat lelaki itu. Seketika kemudian, dia menggeleng.
Tersentuh hatinya dengan sikap yang ditunjukkan oleh
Iqmal Hisyan. Namun, dia tidak boleh memaksa hatinya untuk mencintai lelaki
itu. Cintanya hanya untuk Fazar Azameer. Jelajahilah setiap ruang di hatinya.
Hanya nama lelaki itu yang ada. Sahabat Iqmal Hisyam sendiri.
“ Mungkin untuk kali terakhir Nadia boleh meminta diari
yang Syam simpan.” Nadia Asyila memandang wajah Iqmal Hisyam. Tiada lagi
senyuman pada wajah itu. Berubah menjadi kelat.
Iqmal Hisyam kalut seketika. Melarikan pandangannya dari
bertembung dengan pandangan Nadia Asyila.
“ Err.. Syam.”
Tidak tahu apa yang harus diperkatakannya.
Sebulan yang lalu, dia bagaikan orang gila apabila
mengetahui yang diari Nadia Asyila hilang. Silapnya sendiri kerana cuai
sehingga beg sandangnya tertinggal di dalam bilik kuliah.
Berhari-hari makannya tidak menentu. Bimbang jika diari
itu jatuh ke tangan seseorang yang tidak bertanggungjawab. Apa yang paling
dirisaukan seandainya diari itu diambil oleh Fasha.
Puas dia bertanya perempuan itu sekiranya ada ternampak
beg sandangnya di dalam bilik kuliah. Hatinya kuat mengatakan yang kehilangan
beg sandangnya tanpa jejak adalah kerja Fasha.
Jika mahu dituduh kawan-kawan sekelas yang lain,
semuanya tidak mungkin akan mengkhianati dirinya. Pasti beg sandangnya akan
dipulangkan kepadanya.
Namun, untuk masa yang telah lebih daribada sebulan, tetap
juga tiada sesiapa yang mengembalikan beg sandang itu. Memang hatinya kuat
mengatakan yang Fasha telah mengambil beg sandang tersebut.
Untuk memaksa, dia tiada hak. Bimbang kiranya sesuatu
yang lain akan dilakukan oleh Fasha. Bukannya dia tidak mengenali perempuan
itu. Sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingannya.
Hanya orang buta sahaja yang tidak dapat melihat
muslihat yang dicipta oleh perempuan licik itu. Tetapi ada seseorang yang jelas
telah dibutakan oleh perempuan itu. Kawan baiknya sendiri. Fazar Azameer.
Dia malas mahu memberitahu apa sebenarnya yang
direncanakan oleh perempuan itu. Bimbang kira hati kawannya itu akan beralih
kepada si pencinta setia yang sedang dicintai oleh dirinya saat ini.
Dia tidak mahu Nadia Asyila menjadi milik Fazar Azameer.
Biarlah takdir yang akan menetukan apa yang terbaik di antara hubungan Fasha
dengan Fazar Azameer.
Dia malas mahu masuk campur. Biarlah onar yang dilakukan
oleh Fasha diketahui sendiri oleh Fazar Azameer. Pasti masanya akan tiba.
Iqmal Hisyam kembali kaget apabila dunia realitinya
telah kembali. Dia tidak tahu untuk menyuarakan apa yang sepatutnya.
Tidak tahu alasan apa lagi yang harus diberikannya untuk
mengelak permintaan gadis kesayangannya itu. Dia bimbang kiranya dirinya akan
terperangkap dalam jerat sendiri.
Nadia Asyila memerhati gerak langkah lelaki itu yang
serba tidak kena. Dia tahu yang lelaki itu resah. Dia tidak mahu cepat melatah
dengan membuat andaian tanpa mendengar penjelasan daripada Iqmal Hisyam.
“ Diari itu ada dengan Nadia sekarang.”
Lelaki itu pantas mencari anak mata Nadia Asyila. Tidak
sedar yang mulutnya sedikit ternganga. Gadis itu memandang mulut lelaki itu
tanpa segan silu. Iqmal Hisyam pantas menutupnya. Nadia Asyila tersenyum.
“ Macam mana boleh ada dengan Nadia?”
Gugup dia menuturnya.
“ Nadia ingat jawapan yang pasti ada dengan Syam.”
Gadis itu menjungkitkan sedikit keningnya.
Iqmal Hisyam hilang punca. Akhirnya dia membuka satu
persatu cerita tentang kelalaiannya. Nadia Asyila tenang mendengarnya. Dia
yakin yang lelaki itu tidak akan mengkhianatinya.
Iqmal Hisyam yang dikenalinya terlalu baik peribadinya.
Memang dia tidak patut menyalahkan jejaka tampan itu. Segalanya adalah kehendak
takdir. Hanya pegangan itulah yang mampu memujuk hati Nadia Asyila.
“ Maafkan Syam.”
Perasaan bersalah menyerbu jiwa lelakinya. Gadis itu
tersenyum.
“ Nadia tak salahkan Syam.”
Perasaan terharu menerpa di hati lelaki itu. Bibir itu
turut sama mengukir senyuman. Bersyukur!
“ Kenapa Nadia terlalu baik dengan Syam? Macam mana Syam
nak lepaskan Nadia bila kita berpisah nanti?”
Iqmal Hisyam mendongak ke dada langit dan melepaskan
satu keluhan kasar. Seakan-akan melepaskan pergi semua masalahnya.
Nadia Asyila memandang Iqmal Hisyam dengan pandangan yang
dia sendiri sukar untuk menafsirkannya. Bagaimana mungkin dia menyalahkan
lelaki itu. Semua yang berlaku berpunca dari kelalaiannya sendiri.
Lelaki itu terlalu baik untuk disakiti. Walaupun dia
tidak dapat menafikan yang selama ini dia menyeksa batin lelaki itu dengan
menolak cinta sucinya.
Maafkan Nadia Syam.
“ Nadia, betul yang Nadia tak dapat terima Syam dalam
hidup Nadia?”
Lelaki itu inginkan kepastian. Nadia Asyila merasa pelik
dengan soalan yang tiba-tiba lari dari topik itu.
Gadis itu tahu yang dia perlu memberi jawapan pada
persoalan yang diutarakan Iqmal Hisyam. Jawapan yang akan mengecewakan lelaki
itu entah untuk kali yang keberapa. Lagipun itulah tujuan sebenar dia melakukan
pertemuan ini. Untuk memujuk lelaki itu memadamkan kasihnya yang memekar.
Dia tidak mahu terus mendera dan tidak mahu lelaki itu
terdera. Keadaan akan menjadi lebih rumit. Dia hanya perlu kekuatan untuk
menggali rasa kejujuran yang dikumpulnya sebelum pertemuan.
Dia mahu meluahkan setelah berlaku perpisahan mereka
pada petang ini, tidak akan ada lagi rasa yang melebihi ikatan persahabatan.
Itulah sejujurnya apa yang dia mahukan.
Disedut udara yang menginggah rongga pernafasannya
sedalam mungkin. Setelah itu dilepaskan keluhan yang panjang. Mencari sedikit
kekuatan.
“ Syam, Nadia langsung tak bermaksud untuk kecewakan
Syam.”
Dipandang wajah Iqmal Hisyam dengan satu rasa yang dia
sendiri tidak pasti. Entah rasa bersalah atau apa. Tapi dia harus meneruskan
patah perkataan yang disusunnya sekian lama.
“ Hati ini memang tak boleh nak menerima Syam. Bagi
Nadia, Syam memang tiada cacat celanya pada pandangan ni. Tapi, cinta Nadia
bukan untuk Syam. Biarlah kita terus berkawan Syam. Jodoh kita tak lebih
daripada tu. Maafkan Nadia.”
Nadia Asyila menunduk memandang rumput yang menghijau di
kakinya. Hatinya resah. Dia tidak sanggup memandang insan yang terluka di
hadapannya. Terluka dengan apa yang baru dikatakannya. Terluka dengan sikapnya.
Hati Nadia Asyila tenang. Setenang air tasik yang beralun megah di hadapannya.
Iqmal Hisyam menyedari yang hatinya benar-benar terluka
saat ini. Apakah dia telah benar-benar tewas?
Apakah sudah tiada ruang langsung untuk dia melebarkan
rasa cintanya? Dirasakan pada saat itu juga dia mahu menangis. Kalaulah dia
tidak punya ego, pasti dia akan menangis dan merayu kepada gadis yang sedang
menolak cintanya.
Benar, yang dia terlalu mencintai. Kasihnya tidak pernah
surut malah sentiasa memekar. Kalaulah gadis itu boleh memahami. Sudah puas dia
mengatakan cinta. Namun, dia sedar yang dia tetap kalah. Selama ini dia telah
kalah dan hari ini dia benar-benar kalah.
Dia tidak mahu menerima kekalahan pada hari-hari yang
lepas kerana dia yakin pasti akan ada waktu untuk dia mengubah rasa cinta Nadia
Ayila untuk beralih kepadanya.
Kini, dia tahu yang dia tidak pernah diberikan peluang
untuk terus mempersembahkan cintanya. Percakapan gadis itu terlalu jujur di
pendengarannya kini.
Dia tahu yang dia harus menerima kekalahannya pada saat
ini. Dia malu dengan kelalaian dirinya yang menyebabkan kehilangan diari milik
gadis itu.
Pastinya ramai yang telah membacanya dan pastinya Fazar
Azameer salah seorang daripada insan yang telah merendahkan maruah Nadia
Asyila. Sejujurnya dia malu.
Malu kerana meletakkan situasi gadis itu dalam keadaan
yang pastinya merumitkan. Semuanya adalah silap dirinya. Pasti Fazar Azameer
telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada Nadia Asyila. Bukan dia
tidak mengenali kawan baiknya itu.
Iqmal Hisyam memejamkan matanya seketika. Kini ruang
untuknya pula mengaku satu kejujuran. Dia mahu menyusun ayat yang terbaik agar
dia tidak terus menangisi kegagalannya.
“ Nadia. Syam tak mahu jadi kawan Nadia. Syam nak lebih
dari itu. Kalau Nadia betul-betul tak boleh bagi hati Nadia pada Syam, Syam
akan cuba terima. Tak mungkin kita akan jadi kawan Nadia. Maafkan Syam kerana
mengganggu hidup Nadia selama ini. Syam akan pergi. Syam janji Syam takkan
ganggu Nadia lagi. Cuma, sebelum Syam pergi. Syam ada satu permintaan.”
Nadia Asyila mendongak mencari wajah Iqmal Hisyam. Dia
sedar, dari tutur kata lelaki itu ada sebak yang cuba ditahan. Nadia Asyila
juga begitu. Dadanya turut sebak.
“ Apa dia Syam?”
“ Izinkan Syam simpan kenangan yang Nadia pernah hadir
dalam hidup Syam.”
Air mata Nadia Asyila merembes keluar. Baginya, tidak
ada salahnya jika itu adalah permintaan terakhir lelaki itu. Mungkin hatinya
tidak terlalu parah jika dia pergi dengan kenangan itu.
Mungkin dia tidak patut menghampakan harapan yang
menggunung lelaki yang menanti jawapannya. Akhirnya gadis itu mengangguk
perlahan. Betapa luluh hatinya saat ini dengan kedegilan Nadia Asyila yang
terlalu mengagungkan cintanya kepada Fazar Azameer.
Kenapa cinta Syam terlalu dalam untuk Nadia? Syam
sebenarnya kabur dengan janji yang Syam buat. Syam tak yakin dapat hidu tanpa
kasih dan cinta Nadia.
Dilontar kata-kata itu jauh ke lubuk hatinya.
Maafkan Nadia Syam. Kalaulah Nadia punya kuasa untuk
membuatkan hati Nadia turut menyintai Syam, pasti dari dulu lagi Nadia lakukannya.
Namun, Nadia tak mampu untuk lakukan semua itu. Maafkan Nadia.
Gadis itu terus bermonolog.
Hatinya hiba apabila Iqmal Hisyam dilihatnya menahan
perasaan. Dia amat memahaminya. Tapi, dia tiada daya untuk membantu. Kesakitan
mereka sama. Menyintai insan yang tidak menyintai mereka. Rumit! Dipandang
wajah ayu milik Nadia Asyila. Bagaikan mahu terus bersatu. Sekian lama dia cuba
bertahan. Menahan segalanya. Menahan air mata jatuh ke bumi. Tapi hari ini dia
tewas.
Ditenung dalam mata gadis yang dicintainya. Dihadiahkan
senyuman. Hambar!
Walaupun matanya masih kabur dek air mata, wajah gadis itu masih
dapat dilihatnya dengan penuh kejernihan. Satu keindahan wajah yang takkan
pernah padam untuk terus menjadi kenangannya. Nadia Asyila mengesat sisa air
mata dengan belakang tangannya.
“ Terima kasih Nadia. Syam akan pergi. Hilang dari
pandangan Nadia.”
Gadis itu semakin sebak. Bukan itu yang dia mahukan
sebenarnya. Tapi, ada betulnya keputusan lelaki itu. Jika dia berterusan ada di
hadapan mata Iqmal Hisyam, jiwa lelaki itu akan terseksa. Akan merasa sakit
yang teramat. Dia sedar kerana dia juga merasai perkara yang sama. Untuk
mengambil keputusan seperti lelaki itu, tidak mungkin baginya. Kerana wajah
Fazar Azameer adalah ubat segala kesengsaraan. Dialah racun dan dialah penawar.
“ Nadia akan tunggu Fazar?”
Gadis itu tersenyum kelat. Iqmal Hisyam dapat
menilainya.
Jika itulah mahumu sayang, apa dayaku untuk menghalang.
Setelah lama jiwa mereka berkocak dengan perasaan yang
berbagai, Iqmal Hisyam berlalu dengan langkah yang longlai.
*****************************************************************
Iqmal Hisyam menjeling ke arah Fasha yang sedang galak
bergelak ketawa dengan Syed Faizal. Rasa meluatnya benar-benar membukit untuk
gadis itu. Apa yang dia rasakan selama ini memang benar.
Fasha yang mengambil diari Nadia Asyila dan membuat
khianat kepada gadis itu bagi melepaskan dirinya dari terperangkap dengan
permainan cinta yang dilakukannya.
Tiga hari lalu dia menghubungi Fazar Azameer untuk
bertanyakan tentang diari Nadia Asyila. Marah lelaki itu keterlaluan kepada
Nadia Asyila. Namun itu bukan apa yang menjadi persoalan.
Apa yang dia tahu memang Fasha yang menyerahkan diari
itu kepada Fazar Azameer. Sudah banyak tangan yang memegang diari itu. Apa yang
ditakutkannya selama ini sudah menjadi kenyataan.
Geramnya semakin kuat kepada perempuan yang sedang
menempelkan kepalanya di bahu Syed Faizal. Lantaklah! Lagipun, Fazar Azameer
ada mengadu dengannya tentang perpisahan yang berlaku.
Cuma, apa yang membuatkan hatinya berbulu adalah kerana
alasan yang digunakan untuk melakukan perpisahan. Sungguh biadap perempuan yang
bernama Fasha.
Namun, apabila direnung kembali apa yang telah berlaku,
mungkin itu juga memberikan keuntungan kepada dirinya.
Fazar Azameer menumbuhkan rasa bencinya kepada Nadia
Asyila. Pasti takkan wujud rasa cinta. Untuk itu juga, dia mengambil keputusan
untuk merahsiakan hal yang sebenarnya tentang apa yang berlaku dari pengetahuan
Fazar Azameer.
Sekali lagi pandangannya dikerlingkan kepada Fasha yang
semakin galak dengan sikap mengada-ngada yang ditunjukkannya. Digelengkan
kepalanya berkali-kali.
“ What’s wrong with you Syam? Apa yang kau tak puas hati
dengan aku?”
Fasha menjerit lantang secara tiba-tiba. Kelas yang pada
awalnya agak riuh kerana menanti kedatangan pensyarah bertukar sunyi.
Iqmal Hisyam hanya membetulkan duduknya. Malas mahu
melayan perempuan yang sebegitu.
“ Hei. Aku bukan bercakap dengan tunggul.”
Sekali lagi dikuatkan suaranya. Syed Faizal yang berada
di sebelahnya hanya diam. Seakan menyokong. Bukan dia tidak melihat jelingan
yang dibuat oleh Iqmal Hisyam seketika tadi.
Fasha bangun dari tempat duduknya. Mendekat dengan
tempat yang diduduki oleh Iqmal Hisyam. Merampas buku yang kononnya dibaca oleh
lelaki itu.
“ Kau tu apahal? Aku tak nak cari fasal dengan kau. Jadi
kau tak payah nak kacau aku.”
“ Yang kau duk jeling aku dari tadi tu kenapa? Aku ni
belum buta lagi.”
“ Dah tu kenapa? Suka hati akulah. Mata aku.”
“ Kau jangan nak cakap bodoh macam tu lah dengan aku.”
“ Jadi kau sakit hati?”
“ Kau tau yang sebenarnya sakit hati dengan aku kan?”
“Tak ada faedahnya aku nak sakit hati dengan orang macam
kau. Kau duduklah Fasha. Aku malas nak bertekak fasal hal yang remeh temeh
macam ni.”
“ Hal apa? Atau kau cakap hal tentang diari kekasih hati
kau yang mencintai kawan baik kau sendiri? Hal tu?”
Iqmal Hisyam bangun dari duduknya.
“ Kau jangan nak melampau. Kau tak ada hak nak campur
hal peribadi aku. Dan bukan ke kawan baik aku tu kekasih kau yang kau curangi
dan bermain cinta dengan mamat tak guna ni?”
Dituding jari telunjuknya ke muka Syed Faizal.
“ Ho ho… kau jangan melampau bro.”
Syed Faizal mula mendekat.
“ Tak ingin aku nak masukkan hidup aku ni dalam kamus
hidup kotor korang.” Iqmal Hisyam mencapai beg sandangnya dan berjalan menuju
pintu keluar dari bilik kuliah. Sudah tiada mood untuk dia menghadiri kuliah
pada petang itu.
“ Kau telah lama masuk campur dalam hidup aku selama ni.
Bukannya aku tak perasan dengan setiap pandangan kau.”
Fasha membidas. Iqmal Hisyam mematikan langkahnya.
Kembali berpaling memandang wajah Fasha.
“ Kalau betul aku nak masuk campur, dah lama aku kacau
hidup kau. Dah lama aku bocorkan segala rahsia kau. Cuma aku malas. Kesian
dengan perempuan yang macam kau ni. Dan untuk pengetahuan kau, aku ni masih ada
hati perut. Bukan macam kau yang tak pernah puas hidup atas kesengsaraan orang
lain.”
“ Kau…”
Iqmal Hisyam senyum sinis dan menggalas beg sandangnya
kemas ke belakang badan. Serentak itu dibuka pintu bilik kuliah dan dia keluar
dengan rasa yang puas.
Fasha memandang sekeliling. Pandangan mata kawan sekelas
dibalas dengan tajam.
“ Apa tengok-tengok? Apa korang tu insan suci sangat?
Hahhh!”
Dilepaskan geramnya dengan menolak kerusi yang berada di
hadapannya. Syed Faizal menenangkannya dan menyuruhnya kembali melabuhkan
duduk.
“ Tak payahlah nak hiraukan orang macam tu. Bukannya dia
boleh buat apa-apa pun.”
Cuba ditenangkan teman wanita yang sedang panas. Wajah
Fasha mencuka. Geram apabila terbayang wajah Iqmal Hisyam yang senyum sinis
seketika tadi. Seakan mengejeknya. Setiap patah yang diperkatakan lelaki itu
juga tadi membuatkan dia rasa terpukul.
Semakin menambahkan geram di hatinya. Namun dia tahu
yang tidak mungkin Iqmal Hisyam akan menceritakan perihal dirinya kepada Fazar
Azameer.
Dia boleh mengagak akan kebimbangan lelaki itu tentang
rasa cinta yang mungkin terbit di antara Fazar Azameer dan Nadia Asyila. Itu
merupakan sesuatu yang tidak menguntungkan dirinya.
****************************************************************
Iqmal Hisyam memandang nama yang tertera di telefon
bimbitnya. Dia mengeluh. Pasti Fazar Azameer akan membincangkan perkara yang
sama lagi. Pasti meminta pertolongannya lagi untuk berjumpa dengan Fasha.
Dia bukan tidak mahu menolong. Cuma, dia tidak mahu
melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan Fasha. Diangkat juga telefon
itu apabila kedengaran nada dering yang agak bingit itu seakan mengganggu
beberapa orang yang turut berada di situ.
“ Hello.”
“ Apasal kau lambat angkat?”
“ Tak ada apa. Kenapa?”
“ Tolong aku Syam. Aku betul-batul nak jumpa dengan
Fasha. Hanya kau jer yang boleh tolong aku. Dah puas aku call aku sms dia
langsung tak ada respon.”
“ Kau lupakan je la dia. Keadaan kau macam ni, tak elok.
Nanti melarat.”
“ Aku Cuma nak kau bawa dia keluar jer Syam. Bagi je
apa-apa alasan supaya dia sudi keluar dengan kau. Lepas tu aku take over la.”
“ Senangnya kau cakap kawan. Aku ni dah la lama dah tak
ngam dengan dia. Kau nak suruh aku ajak dia keluar pulak. Nanti orang fikir
dunia ni dah nak kiamat.”
“ Alah Syam. Takkan tu pun kau tak boleh tolong. Aku
tahu dia masih sayang dan cintakan aku.”
Iqmal Hisyam menjuihkan bibirnya. Susah untuk dia buat
kawan yang seorang ni faham.
“ Dah dia minta putus maknanya dia suruh kau lupakan dia
la tu.”
“ Susahlah kau ni Syam. Takkan kawan sendiri pun kau tak
boleh tolong.”
“ Yelah. Nanti la aku cakap dengan dia.”
“ Eh kau jangan cakap yang aku nak jumpa dia pulak.”
“ Yelah! Tahu lah aku.”
“ Thanks Syam. Kau lah kawan aku dunia akhirat.”
Setelah menjawab salam yang diberikan Fazar Azameer,
Iqmal Hisyam memandang telefon bimbit yang berada di tangannya. Terbayang wajah
Fasha dengan muka manja yang dibuat-buatnya. Sekali lagi Iqmal Hisyam mengeluh.
Walau apa sekali pun, janji kepada Fazar Azameer harus
dipenuhi. Kasihan dengan kawannya yang tak pernah putus mengejar cinta perempuan
yang tidak pernah jujur dalam sebuah perhubungan. Memang lelaki itu telah
dibutakan.
Cuma satu persoalan sahaja yang terlintas di fikirannya.
Macam mana caranya untuk dia melakukan pertemuan kedua-duanya. Baru seketika
tadi dia telah membuat ribut dengan perempuan itu.
Apakah dia perlu meminta maaf dan memujuk untuk keluar
bersama? Ngeri dia memikirkannya. Tidak sanggup untuk dia keluar berdua dengan
perempuan licik itu. Tapi dia perlu melakukan sesuatu. Dan apakah ‘sesuatu’
itu? Sekali lagi dia pening.