Amierah dan Radlina terus menghempaskan badan ke atas
tilam sebaik sahaja mereka menapak masuk ke dalam bilik hotel. Melepaskan semua
lelah yang terkumpul di pulau yang mereka jelajahi seketika tadi.
Sememangnya semuanya menyeronokkan walaupun hasilnya
mereka mendapat kepenatan yang teramat. Dirasakan semuanya berbaloi. Dengan
jamahan mata yang memberikan pemandangan yang amat mengasyikkan, sememangnya
anugerah Tuhan tidak ternilai dengan apa yang telah bertapa di pandangan mereka
seketika tadi.
Ikan-ikan yang berenang bebas dalam lautan yang airnya
jernih kehijauan amat memberikan keindahan pemandangan yang menarik. Rasa
kegelian yang menyinggah di tubuh mereka saat terasa ikan-ikan menggigit manja
badan mereka ketika berada di air cetek, merupakan satu kenangan yang akan
diingati.
Menyelam di dasar laut yang selama ini tidak pernah
diteroka secara realiti akan keindahannya, tersergam megah di hadapan mata. Berteriakan
bebas sewaktu laju menyusur ombak dengan menaiki banana boat begitu
mengasyikkan mereka.
Pakej yang lengkap dengan payung terjun juga turut
diambil oleh mereka. Tidak mahu melepaskan peluang bagaimana rasanya ditarik
dengan bot laju meredah lautan dengan payung terjun selama sepuluh minit.
Segalanya memberikan mereka kebebasan. Bebas dari kerja
yang bertimbun. Bebas dari rasa berkecamuk dengan perasaan cinta yang
bermasalah. Bebas dengan segalanya yang tidak pernah jemu menyemak di
kepala.
“ Woi bangun mandi lah dulu. Nanti melekat bau laut kat
tilam tu.”
“ Alah kejaplah. Penat sangat ni.”
“ Bangun.”
Nadia Asyila menarik kaki kedua-dua kawannya. Namun,
tarikan itu tidak juga diendahkan oleh mereka. Radlina memejamkan matanya
rapat. Terasa sudah malas untuk mahu membukanya.
“ Korang nak bangun atau nak aku siram kat sini?”
Nadia Asyila memberi amaran. Amierah mengeluh dan
akhirnya bangun lambat –lambat.
“ Kau ni leceh lah. Nak tidur kejap pun tak boleh.”
“ Kau nak tido sepuluh jam pun lepas ni terpulang. Apa
yang penting mandi dulu.”
“ Yelah! Mak cik ni susah betul.”
Nadia Asyila tersengih manja dan membentuk-bentukkan
mulutnya mengejek Amierah yang mula mengalah.
“ Kau mandi la dulu Mierah. Lepas ni aku pulak.”
Radlina mengungkapkan ayat itu dengan matanya yang masih
terpejam. Nadia Asyila hanya menjungkitkan bahunya tanda tidak kisah dengan apa
yang diperkatakan oleh Radlina.
Amierah mengambil bantalnya dan pantas dilemparkan ke
arah Nadia Asyila. Tepat mengenai mukanya yang tidak sempat mengelak. Sesaat
kemudian, laju langkahannya dibawa ke bilik air. Bimbang akan diserang balas.
“ Kalau bukan aku yang pakai bantal dan penjenayah yang
pakai pistol, dah arwah kau sekarang ni.”
Amierah pantas menutup pintu bilik air apabila melihat
Nadia Asyila mengangkat bantal yang berada di tangannya.
Nadia Asyila tergelak kecil dengan telatah kawan yang
seorang itu. Dilihat Radlina yang juga
turut memandangnya dengan senyuman. Barangkali lucu dengan apa yang
diperkatakan Amierah.
Mana tahu satu hari nanti aku kena tembak betul. Siapa
tahu. Takdir Allah tiada siapa dapat menduga. Ya Allah. Apa yang aku merepek
ni.
Nadia Asyila meraup mukanya dan beristigfar di dalam
hati. Tidak mahu selitan takdir yang sebegitu akan menyinggah di dalam diari
hidupnya. Memang kematian itu pasti. Cuma, biarlah dia pergi dengan rasa penuh
ketenangan dan bukan dalam keadaan yang tragis.
***********************************************************************
“Geng, aku nak jalan-jalan kat tepi pantai kejap. Nak
ambil angin malam.”
Nadia Asyila memberitahu niatnya setelah selesai
menikmati makan malam di lobi hotel.
“ Eh kau ni. Kejap lagi lah. Kami pun nak pergi.
Tunggulah nasi jatuh ke perut dulu.”
Aini cuba menghalang Nadia Asyila yang mahu bangun dari
duduknya.
“ Tak apa lah. Nanti korang pergi lah. Aku pergi depan
tu jer.”
Aini masih lagi mahu berbicara namun dihalang oleh
Azrin. Memberikan isyarat kepada Nadia asyila untuk meneruskan langkahannya.
“ Pergilah. Nanti kejap lagi kami datang.”
Nadia Asyila mengangguk.
“ Thanks kerana memahami.”
Dikerdipkan matanya kepada Aini yang memandangnya tanpa
perasaan.
“ Hati-hati mak cik. Nanti kena cekup.”
Dilaungkan kata itu kepada Nadia Asyila yang semakin
menjauh. Namun tidak lagi dihiraukan oleh wanita itu. Bukannya dia tidak
dengar. Cuma, dia malas untuk mendengar.
“ Isy cabul betul mulut kau ni.”
Shahrina menampar lembut mulut Aini yang berbicara
sedikit berbisa itu.”
“ Alah, tak ada penjahat yang nak cekup polis ganas
macam dia tu.”
Aini kembali dengan ayat untuk mempertahankan dirinya.
Untuk kali ini, Shahrina diam. Tidak mahu lagi berbalas kata.
Bukannya boleh dilayan sangat minah senget ni.
Bebelannya hanya diluahkan di dalam hati.
Langkah Nadia Asyila diperhatikan oleh mata mereka. Ada
senyuman yang menyinggah di bibir Amierah.
“ Dah lama aku tak tengok dia happy macam hari ini.
Teringat masa kat pulau tadi. Dah lama aku rindukan gelak tawa dia yang macam
tu.”
Aini, shahrina dan Azrin mengiyakan. Azrin menghabiskan
kunyahan stik daging yang berada dalam mulutnya. Mahu menghulurkan bicara.
“ Samalah. Kalau tak silap aku lepas dia jumpa dengan
Fazar. Terus dia jadi muram. Macam mati laki.”
“ Emm aku pun setuju. Apa yang paling aku tak boleh lupa
masa korang gaduh hari tu. Tak pernah aku tengok kau dengan dia bergaduh sampai
macam tu sekali. Sampai kau hancurkan bingkai gambar Fazar.”
Shahrina menokok. Menjurus pandangannya ke arah Amierah.
“ Jadi apa perkembangan Fazar sekarang?”
“ Kami pun tak tahu Lin.”
“ Masih berhubung dengan Nadia?”
Radlina masih galak dengan soalannya.
“ Entah Lin. Nadia tak ada pulak cakap yang si Fazar tu
masih ganggu dia ke apa ke. Tak ada dah dia sebut tentang Fazar lepas kami
gaduh hari tu.”
“ Kau tak cuba check handphone dia? Mana tahu ada mesej
dari lelaki tu.”
“ Ishk takkanlah aku nak check handphone dia tak tentu
fasal.”
“ Kawan-kawan polis dia? Kau tak tanya? Syazwan ke? Mana
la tahu ada dia ganggu masa di ofis. Macam yang aku dengar dia duk call desak-desak
macam sebelum-sebelum ni.”
“ Aku tak tanya dan tak tahu pulak kalau ada kes yang
macam tu. Kau ni soal siasat aku macam aku dalam kandang pesalah pulak.”
Amierah mengerutkan dahinya dengan setiap persoalan
Radlina yang ditujukan kepadanya.
Radlina memandang setiap mata yang sedang memandang
tepat ke arahnya. Seperti dia kini seorang pesalah. Dia tergelak kuat. Lucu.
“ Kot ya pun janganlah pandang aku macam nak sambung
dinner korang.”
Radlina berhenti seketika. Terasa mahu tersedak. Ditelan
air melepasi anak tekaknya. Sejurus itu dia menyambung.
“ Okey. Sorry! Aku ni kadang-kadang terbabas juga dengan
profession aku sebagai peguam ni. Sampai melarat ke luar mahkamah. Aku gurau je
lah tadi. Saja. Nak jugak ambik kisah tentang Nadia tu.”
“ Kau ni Lin, buat suspen je.”
Radlina kembali menyambung gelaknya.