Fazar Azameer melangkah mendekati Iqmal Hisyam yang
duduk memandang lantai. Keizinan diminta daripada pegawai polis yang mengawal Iqmal
Hisyam untuk meninggalkan mereka seketika.
“ Syam.”
Lelaki itu menegur sambil menepuk bahu perlahan-lahan.
Jelas di penglihatannya yang mata lelaki di depannya itu begitu setia dengan
air mata. Begitu mendalam cinta untuk wanita yang bernama Nadia Asyila.
“ Kenapa aku diberi dugaan yang sebegini? Kenapa kau
masih datang jumpa aku? Kalau peluru tadi tak terkena Nadia pasti akan tembus
badan kau. Kau masih lagi nak jumpa aku? Aku jahat Fazar. Aku tak layak untuk
jadi kawan kau. Aku tak sepatutnya berdendam dengan kau dan tak patut salahkan
kau sebab Nadia cintakan kau.”
Iqmal Hisyam mengusap-usap rambutnya ke belakang. Suara
serak basahnya tenggelam timbul.
“ Tapi kau tak patut hina dia.”
Jerkahan yang kuat kedengaran. Fazar Azameer terperanjat
dan terpinga-pinga. Nada lelaki di hadapannya berubah dengan tiba-tiba. Iqmal
Hisyam menerkam laju tepat ke dada Fazar Azameer. Pegawai polis yang berada
berhampiran segera menenangkan Iqmal Hisyam. Amarahnya yang datang dengan
tiba-tiba memeranjatkan mereka.
“ Memang aku silap kerana tak pernah cuba untuk memahami
dia. Memang semua yang berlaku kerana kesilapan aku. Tapi kau tak dapat nak
paksa dia untuk cintakan kau. Aku tahu yang aku takkan dapat tandingi cinta
kau. Mungkin sebab itulah takdir tak benarkan aku cintakan dia.”
Iqmal Hisyam memandang wajah temannya itu. Teman yang
cuba diambil nyawanya.
“ Tolong pergi dari sini.”
“ Tapi kiranya takdir menyebelahi aku, dan memang
kehendak takdir yang mahukan kami bersatu, aku akan belajar untuk menghargai
dia. Aku akan sambut cintanya.”
Fazar Azameer meluahkan kata-kata itu. Iqmal Hisyam
terkulai. Fikirannya melayang dengan tiba-tiba. Entah apa yang mengawal
fikirannya, dia sendiri tidak tahu. Apakah Fazar Azameer semakin kejam terhadap
dirinya? Dia seakan tidak dapat mengawal fikirannya lagi.
Sekali lagi Iqmal Hisyam meluru untuk rapat kepada
lelaki itu namun kali ini dia dihalang. Dia benci dengan kata-kata yang
dirasakan penuh keegoan yang keluar daripada mulut lelaki itu. Dia benci untuk
memberikan derianya itu mendengar kata-kata yang merobek hatinya. Dia amat
bencikannya.
“ Syam jangan lakukan sesuatu yang aku tak dapat nak
tolong kau. Aku takut kau akan dibawa keluar dari hospital ni dan kau tak
sempat dengar perkhabaran tentang Nadia. Jangan buat rayuan aku untuk menjamin
kau berada di sini terbang macam tu jer. Jangan buat hal. Tolonglah! Seperti
mana aku memahami kau, aku harap kau faham aku.”
Iqmal Hisyam memandang wajah Syazwan.
“ Maafkan aku.”
Syazwan memberikan isyarat mata sebagai tanda yang dia
mempercayai lelaki itu. Pegawai polis yang berada berhampiran melangkah agak
jauh apabila mendapat arahan daripada Syazwan. Memberikan jaminan yang penjenayah
yang dikawal takkan bertindak di luar batasan.
Pintu bilik kecemasan dibuka dari dalam. Iqmal Hisyam
dan semua yang ada pantas meluru.
“ Macam mana dengan dia doktor?”
“ Kami berjaya mengeluarkan peluru. Dia bernasib baik
sebab peluru itu tidak mengenai jantung. Keadaan dia sekarang serius dan masih belum melepasi tahap kritikal. Sebelum
dia sedar, saya tak dapat nak cakap apa-apa. Semuanya bergantung kepada
tindakan fizikal dan dalaman apabila dia sedar nanti. Buat masa sekarang,
sama-samalah kita berdoa.”
“ Boleh saya lihat dia sekarang doktor?”
“ Maaf. Pesakit perlu berehat. Kamu boleh melawat dia
esok pagi.”
“ Esok pagi? Kau gila? Macam mana aku nak tengok dia
esok pagi kalau aku terikat dengan undang-undang?”
Iqmal Hisyam menjerkah agak kuat. Syazwan dan yang ada
terperanjat dengan tindakan lelaki itu yang berani bertindak sedemikian.
“ Doktor, kalau boleh diberi kelonggaran, biarlah dia
menjenguknya untuk seketika.”
Syazwan cuba memujuk pakar perubatan itu untuk
bersimpati dengan nasib Iqmal Hisyam.
“ Baiklah. Cuma, jangan bising. Pesakit memerlukan
rehat. Keadaannya masih dalam kritikal. Walaupun dia tak sedar tapi ada
kemungkinan deria dia akan memberikan tindakan positif dengan apa yang berlaku
di sekeliling dia. ”
Doktor muda itu terus berlalu dengan jawapan yang membingungkan
semua orang. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Iqmal Hisyam menyandarkan badannya
ke dinding. Punggungnya rapat ke lantai. Berkali-kali digelengkan kepalanya.
Seakan-akan tidak dapat menerima apa yang sedang terjadi
dan akan terjadi jika nyawa tidak menyebelahi orang yang amat dicintainya.
Langkahnya diatur laju menuju ke arah insan yang
dicintainya. Hanya dirinya dan Syazwan yang dibenarkan memasuki bilik tersebut.
Itu atas arahan doktr tadi dan kawalan dialakukan oleh jururawat yang berada di
situ.
Lutut dirapatkan di lantai hospital. Badannya rapat di
katil yang menampung tubuh Nadia Asyila. Wayar berselirat di badan wanita itu.
Oksigen yang disedut hanya dibantu oleh alat bantuan pernafasan.
Keadaan itu amat memberikan kepiluan kepada Iqmal
Hisyam. Tidak sanggup untuk dia melihat insan itu yang terbaring kaku seperti
mayat hidup. Benar. Hatinya terlampau sedih. Dia kecewa dengan dirinya sendiri
yang telah melakukan kesilapan itu.
Seandainya takdir akan mengejami dirinya dengan apa yang
diperlakukan, pastinya dia tidak dapat menerima. Dia tidak dapat menerima
apa-apa berita buruk tentang wanita yang amat dicintainya itu.
Dia mengawal dirinya untuk ttidak menyentuh mana-mana
bahagian badan wanita itu. Bimbang kiranya jasad itu akan mengalami kesakitan.
Juraian air mata tidak berhenti sedari tadi. Terlalu murah untuk dihadiahkan
sebagai satu harapan agar insan itu bangkit dari pembaringan.
“ Maafkan Syam kerana meletakkan Nadia dalam keadaan
seperti ni. Kalau Syam tahu yang kesudahannya akan seperti ini, takkan pernah
Syam cuba untuk melakukan sedikitpun perkara yang akan menyakiti Nadia. Bangunlah
sayang. Syam rela Nadia bahagia dengan Fazar. Cuma, berikan Syam peluang untuk
melihat pandangan mata Nadia sebelum Syam pergi. Berikan Syam satu ketenangan
untuk Syam jadikan bekalan dalam kurungan besi kelak. Tolonglah. Jangan hukum Syam
seperti ini. Syam tak dapat terima dengan apa yang sedang berlaku sekarang ni.
Semuanya mendera Syam. Bangunlah. Renung mata Syam untuk kali yang terakhir. Untuk
hukuman yang bakal Syam terima, Syam rela apa sahaja. Asalkan pada saat
ini, sebelum Syam pergi, Nadia bangun
dan melihat ke dalam mata Syam. Syam rela dan restu seandainya hubungan Nadia
dengan Fazar akan memberikan syurga dalam kehidupan Nadia. Syam rela. Cuma,
berikan Syam kesempatan untuk perjumpaan yang terakhir ini. Syam rela walaupun
Nadia takkan pernah melawat Syam di penjara nanti. Tolonglah! Bangun. Pandang
Syam. Syam merayu.”
Iqmal Hisyam terus karam dengan rasa hati yang membebani
jiwanya. Terasa amat kecewa dengan situasinya sekarang. Seperti hidupnya telah
berakhir dengan apa yang akan dilaluinya.
Syazwan meyapu air hangat yang mengalir keluar dari
tubir matanya. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibir Iqmal Hisyam
seketika tadi sangat jelas di pendengarannya. Dia bersimpati. Tetapi dia tiada
daya untuk membantu. Hanya kuasa Tuhan yang dapat menguasai segalanya.
Perlahan-lahan langkahnya diatur mendekati Iqmal Hisyam
apabila dia menerima isyarat daripada jururawat supaya mereka terpaksa
meninggalkan bilik itu. Dia perlu melakukan tanggungjawabnya.
“ Maafkan aku.”
Setelah mengungkapkan kata-kata itu, diambil tangan
lemah lelaki itu dan digari. Dia tidak mahu melakukannya tapi itu adalah tugas
dan tanggungjawab yang tidak dapat dielak oleh sesiapapun jika berada di
tempatnya.
“ Kenapa aku terlalu kejam Syazwan? Aku tak nak sikitpun
menyakiti dia. Tetapi kenapa dia sanggup untuk menghukum aku dengan cara yang
sebegini? Aku lebih rela menggantikan tempatnya. Aku jauh lebih rela begitu.
Sebab aku memang layak. Terlalu berat hukuman ini.”
Syazwan pantas membawa lelaki itu ke dalam pelukannya.
Dia tahu dan dapat menyelami dengan mendalam apa yang dilalui oleh kawannya
itu. Satu kesakitan yang sukar untuk dicari ubatnya. Tersungkur sebegitu rupa
dengan penderitaan yang entah bila akan berkesudahan.
Syazwan dibantu seorang lagi konstabelnya untuk memapah
Iqmal Hisyam. Lelaki itu perlu berserah yang dia tidak lagi dibenarkan untuk
berada di situ. Terpaksa meninggalkan kekasih hatinya dengan harapan yang
tinggal harapan. Entah untuk subur atau terkubur.