Nadia Asyila membuka kembali kotak yang berisi gaun yang
diterimanya sekejap tadi. Satu keluhan dilemparkan. Fikiran gadis itu
bercelaru.
‘ Kenapa Hisyam tidak pernah memahami aku? Atau dia
sengaja buat tak faham? Mungkin perasaan dia sama dengan aku. Mungkin dia juga
sedang merana. Kenapa mesti dia menunggu aku dan kenapa mesti aku menunggu Fazar?’
Nadia Asyila merenung siling biliknya. Seakan mencari
jawapan di situ. Andai dikira jarak masa, sudah terlalu lama dia menunggu.
Menunggu untuk dicintai.
‘ Ah! Terlalu
banyak persoalan. Kenapa hidup ni begitu rumit?’
Lamunan gadis itu berkecai saat telefon bimbitnya
memberikan isyarat bahawa dia menerima pesanan.
Matanya dialihkan ke arah jarum jam yang tergantung di dinding.
Senyumannya hambar. Dia sememangnya tahu siapa gerangannya yang menghantar
pesanan itu. Seakan ia sudah menjadi rutin.
Sejak bila dia sendiri sudah lupa. Apa yang pasti hampir
setiap malam dan tepat jam dua belas akan ada satu pesanan yang akan diterimanya.
Tidak lain dan tidak bukan daripada Iqmal Hisyam. Lelaki yang mengharapkan
kasihnya.
Layangan pantun untuk mengucapkan selamat malam. Dan dia
pasti untuk malam itu juga tidak akan terkecuali. Pasti ada lagi pantun yang
akan diterimanya.
Jarinya memicit-micit telefon bimbit dan dibaca apa
yang tertulis.
Saatnya berlabuh
senja di angkasa,
Sampainya hukum
alam langit menjadi kelam,
Sejak hati
mengatakan dirimu insan teristimewa,
Menjadi
kewajipanku menyampaikan salam selamat malam.
Nadia Asyila tidak membalas pesanan itu. Sememangnya dia
jarang untuk membalas setiap kata-kata jiwang lelaki itu. Dia tidak mahu
membuatkan lelaki itu terus mengharapkan kasihnya.
Nadia asyila malas untuk menyesakkan akalnya dengan
memikirkan sesuatu yang mampu membebankan fikirannya. Badannya mengiring ke
bahagian kiri katil. Membelakangi Amierah yang berkongsi katil dengannya.
Mahu mengosongkan fikirannya yang kusut. Akhirnya dia terlena tanpa disedari.
*********************************************************************************
Iqmal Hisyam bingkas bangun dari katilnya. Badannya
berpeluh. Nafasnya tidak seimbang. Sekejap tadi Nadia Asyila hadir di dalam
mimpinya.Mimpi yang jalannya menceritakan bahawa Nadia Asyila
akan meninggalkan dirinya untuk selama-lamanya. Lidahnya kelu untuk seketika.
Apabila menyedari yang semua itu hanyalah mimpi, diusap
muka sambil matanya dipejamkan. Setelah itu istighfarnya kedengaran untuk Yang
Maha Esa.
Pandangannya dibawa kepada gambar Nadia Asyila yang
berada di atas meja kecil di sebelah katilnya. Gambar yang ditangkapnya secara
curi-curi menggunakan handphone semasa dia keluar bersama polis wanita itu.
Walaupun sekadar gambar curi, ia terlalu cantik pada
mata lelakinya. Tidak lama gambar itu berada di dalam handponenya. Kedai gambar
dicari untuk mendapat tilikan yang lebih jelas. Dengan melakukan begitu, dia
puas!
“ Bila agaknya kau akan menerima cinta aku? Entah apa kurangnya aku
berbanding dengan Fazar. Kalaulah aku punya kekuasaan untuk mengubah rasa cinta
kau, pasti sesaat pun takkan ku buang untuk memberikan ruang derita hadir dalam
hidup aku.” Diambil
gambar itu. Diusap cermin frame yang terdedah.
Seketika kemudian, dia senyum sendiri. Dibawa pula foto
itu rapat menyentuh dadanya yang tidak berbaju. Sesaat kemudian, dia terlena.
Kembali menyambung tidurnya yang terjaga seketika tadi.
***************************************************************************************
Syazwan memandang wajah di hadapannya itu tanpa kelip. Memang
Nadia Asyila seorang yang cantik. Rambut paras leher yang dipotong elok
membantu menambahkan kecantikannya. Ulas bibir yang merah merekah mampu menarik
perhatian setiap lelaki.Wajah yang putih bersih tanpa sebutir jerawat pun
semakin menambahkan kejelitaan gadis itu. Kening yang cantik terbentuk dihiasi
dengan sepasang mata yang agak bulat. Cukup sempurna.
Uniform yang tersarung di badannya menambahkan lagi
karisma wanita itu yang sememangnya tidak selekeh. Syazwan berdehem seketika.
Cuba menimbulkan satu persoalan tentang apa yang selama
ini terkubur di benak Nadia Asyila. Sekadar mencuba atau mungkin juga memerli.
Entahlah! Dia sendiri ragu.
“ Apa cerita Fazar sekarang? Kau ada jumpa dia?”
Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan Nadia Asyila
sedikit tersentak.
Soalan yang telah lama tidak diutarakan oleh bibir lelaki
itu. Syazwan memandang tepat pada wajah putih bersih di hadapannya mencari
jawapan. Nadia Asyila membalas pandangan itu. Balasan pandangan yang penuh
kekecewaan.
Suapan yang hampir singgah di mulutnya dibiarkan sepi.
Tiada kata yang dapat diutarakan. Kisah lelaki itu diungkit lagi. Nama lelaki
itu disebut lagi. Semuanya menyesakkan nafasnya.
Dadanya tidak menentu dengan degupan yang adakalanya
laju dan adakalanya perlahan. Semuanya kerana seorang lelaki yang telah lama
mendapat tempat di hatinya. Fazar Azameer.
“ Rasanya dah lapan tahun kita keluar dari sekolah.
Masing-masing mencari hala tuju jalan hidup sendiri. Kau ada dengar apa-apa
berita tentang dia?”
Nadia Asyila kembali menyambung suapannya yang terhenti.
Digagahkan rahangnya untuk melembutkan makanan yang terisi di dalam mulutnya.
“ Entah-entah dia dah tinggalkan dunia ni pun kita tak
tahu.”
Syazwan berkata selamba. Renungan kawan yang berada di
hadapannya dibalas dengan pandangan bersahaja.
“ Entah apa yang kurang pada Syam. Kau tak nampak ke apa
yang dia lakukan pada kau selama ni? Jangan kerana nak kejar apa yang tak pasti
kau terlepas apa yang sepatutnya kau dapat. Jangan realitikan peribahasa kuman
di seberang laut nampak gajah di depan mata tak nampak.”
Nadia Asyila
mengerling Syazwan yang selamba menghirup sup di hadapannya. Geramnya membuak
dengan kata-kata lelaki itu.
semua orang hanya memandang salahnya. Entah apa yang
mereka semua nampak pada Iqmal Hisyam. Semuanya cukup sempurna. Rasa macam nak
cair tahi telinga dia mendengarnya. Selalu sangat dibandingkan dengan Fazar
Azameer.
“ Apa salahnya kalau kau beri Syam peluang. Kesian aku
tengok mamat tu. Macam dah angau sangat. Sejak dulu lagi dia menyintai kau tak
pernah jemu. Takkan tak pernah ada sikit pun perasaan kau pada dia?”
Nadia Asyila hanya menyepi. Malas mahu membalas apa yang
diperkatakan oleh lelaki itu. hanya membiarkan bebelan itu dibawa angin lalu.
Bebelankah itu? Entahlah! Dia sendiri malas untuk memikirkannya.
Syazwan menyedari kesepian itu. Rasa bersalah menerjah
jiwanya. Dia tahu yang sejarah itu tidak patut diungkit. Apatah lagi mengenai
lelaki yang sentiasa mendapat tempat di hati gadis itu. Fazar Azameer. Walaupun
hanya sekadar nama.
Seingatnya pertanyaan terakhir tentang lelaki itu hanya
sebulan yang lepas. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia mengungkapkan pertanyaan
itu lagi hari ini. Dia juga tahu yang pertanyaan itu menyakitkan batin milik
Nadia Asyila.
Sebenarnya segalanya dapat dielak jika wanita itu
mahukannya. Tetapi hatinya mahu kekal begitu. Terkurung dengan perasaan yang
entah bila akan memberikan harapan untuknya.
Sudah letih dia dan kawan-kawannya memberitahu. Namun,
hasilnya hanya kesenyapan gadis itu yang seringkali menimbulkan kebisingan di
benak mereka. Akhirnya mereka semua harus mengakui bahawa tiada apa yang dapat
mengubah hati wanita itu melainkan dia sendiri yang mahu merubahnya. Sekalipun Iqmal
Hisyam.