“ Nadia, aku baru dapat berita tentang kes orang hilang.
Kemungkinan besar diculik. Juga curi kereta.”
“ Tak habis-habis dengan curi kereta. Kat mana”?
“ Di kelab malam di jalan Tun Abdul Razak.”
“ Bila?”
“ Malam tadi.”
“ Lokasi tepat?”
“ Di lorong belakang kelab. Daripada rakaman cctv yang
ditunjukkan, aku percaya sebenarnya ni kerja kumpulan curi kereta yang sama.”
“ Maksud kau?”
“ Kesimpulan awal yang dapat dibuat melalui rakaman cctv
tu, dua orang suspek cuba memecah masuk sebuah kereta. Niat mangsa adalah untuk
menghalang suspek. Sebaliknya, dia yang diculik.”
“ Aku percaya, sebenarnya yang suspek tak ada niat nak
menculik. Tetapi mungkin kerana wajah mereka dilihat oleh mangsa, itu yang
membuatkan suspek bertindak menculik mangsa.”
Panjang lebar Syazwan menerangkan apa yang dirasakan
tepat.
“ Dapat cam wajah suspek dalam rakaman tu?”
“ Ada sedikit peluang. Tetapi kena diteliti dengan penuh
teliti. Sebab tak jelas sangat.”
“ Ada aduan yang dibuat tentang orang hilang?”
“ Belum ada. Tapi, aku ada bukti yang mangsa memang
hilang kerana diculik.”
“ Maksud kau.”
“ Konstabel ada menunjukkan aku barang bukti.”
“ Apa?”
“ Dompet mangsa. Dan bukti itu buat aku betul-betul
terperanjat.”
“ Kenapa?”
“ Dompet tu milik Fazar.”
“ Maksud kau, mangsa tu Fazar?”
Jantung Nadia Asyila berdegup kencang. Lemah dirasakan
lututnya yang tadinya gagah. Anggukan Syazwan semakin mendebarkan dadanya.
“ Ya.”
“ Kau pasti?”
“ Aku dah call office dia. Dia tak masuk pejabat hari
ni. Handphone tak dapat dihubungi. Di rumahnya juga tiada. Keretanya masih ada
di belakang kelab tu.”
“ Ya Allah.”
Nadia Asyila duduk di kerusi yang dengan rela menampung
berat badannya yang semakin lemah. Sudah tiada daya untuk dia berdiri. Segala
urat nadinya lemah.
“ Rakaman cctv tu dah sampai balai?”
“ Ada. Di bawah.”
“ Aku nak tengok.”
Nadia Asyila bangun dan pantas menuju pintu keluar
biliknya. Langkahannya itu diikuti oleh Syazwan.
Setelah melihat rakaman, Nadia Asyila pasti yang tidak
lama lagi suspek akan dapat dikenalpasti. Walaupun wajah yang kelihatan agak
kabur, dia yakin yang proses mencari penjenayah itu tidak serumit seperti yang
sebelumnya.
“ Ada anggota kita di tempat kejadian?”
“ Ada. Beberapa orang konstabel. Aku dah arahkan mereka
untuk mengawasi tempat tu.”
“ Aku nak gerak pergi tempat tu. Mungkin ada petunjuk
yang tersembunyi.”
“ Aku ikut kau.”
Nadia Asyila mengangguk dan mereka berdua pantas keluar
dari balai menuju ke arah parkir kereta. Perut kereta Nadia Asyila dibolosi.
Syazwan dapat melihat ketegangan yang tergambar di wajah
kawannya. Dia tahu yang perkara yang dihadapi sekarang bukanlah perkara yang
remeh. Mereka harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Fazar Azameer.
Untung atau malang nasib lelaki itu tidak diketahui.
Mereka perlu cepat dalam melakukan apa-apa tindakan sekalipun. Pihak polis
tidak menolak kemungkinan sekiranya nyawa lelaki itu berada dalam keadaan yang
bahaya.
Nadia Asyila serius dengan pemanduannya. Kepalanya
bercelaru. Lelaki yang dicintai kini berada dalam tahanan penjenayah. Walaupun
dia telah belajar untuk cuba melupakan rasa hatinya kepada lelaki itu, namun
dia perlu bijak dalam mengawal apa sahaja tindakannya.
Apa yang harus dilakukannya sekarang merupakan satu
tanggungjawab yang pasti untuk seorang anggota polis. Bukan kerana
memperjuangkan rasa cinta yang ada di dalam jiwa.
******************************************************************
“ Nadia, Syazwan, saya nak kamu berdua irirngi saya ke
sidang media.”
Tuan Badrul memberikan arahan itu sebaik sahaja mereka
berdua menapak masuk ke dalam pejabat bos mereka.
“ Sekarang Tuan?”
“ Ya. Pihak media sudah berkumpul di bilik mesyuarat di
bawah.”
“ Tuan sudah bersedia dengan setiap soalan yang bakal
mereka tanya?”
“ Apa sekali pun kita memang kena menghadapinya.”
“ Tapi Tuan, macam mana kalau mereka timbulkan tentang
kecekapan kita dalam menangani kes ni?”
“ Setiap apa yang berlaku punya cara dan jalan
penyelesaiannya Nadia. Sudah! Bergerak sekarang.”
“ Baik Tuan.”
Kedua-dua mereka berkata serentak. Arahan ketua mereka
pantang seandainya dibangkang.
Mereka beriringan keluar dari pejabat itu dan terus
menuju ke pintu lif untuk ke tingkat bawah. Sidang media perlu dilakukan
terhadap kes penculikan yang masih tidak menunjukkan sebarang pertemuan.
Permintaan pihak media itu perlu diikut kerana tidak
mahu mereka bising dengan membuat spekulasi yang salah dan tidak berasas.
Pelbagai tohmahan yang didengar apabila pihak polis
mengambil tindakan berdiam diri dengan tidak memberikan sebarang komen terhadap
pertanyaan mengenai kes penculikan yang melibatkan Pengarah Urusan Danau
Mahligai Sdn. Bhd.
Demi mengelakkan berlakunya apa-apa yang tidak diingini,
akhirnya Tuan Badrul bersetuju dengan permintaan pihak media yang mahu sidang
media diadakan untuk menjelaskan apa yang sepatutnya.
Tuan Badrul memberikan isyarat tanda dia sudah bersedia
dihujani dengan berbagai soalan. Nadia Asyila menyampaikan isyarat itu kepada
pihak media dan sempat memberitahu supaya apa yang dipersoalkan nanti tidak
seharusnya melampaui batas.
Bukan pihak mereka mahu berfikiran negatif. Cuma dengan
apa yang berlaku, mereka berhak untuk memberi had kepada apa yang tidak
sepatutnya dijadikan isu.
Permintaan itu diterima dengan baik dari kesemua pihak.
Apa yang mereka mahukan hanyalah menuju kepada satu titik yang pasti. Hanya
mahukan penyelesaian yang tidak akan merugikan sesiapa.
“ Tuan, apa motif penculikan ni sebenarnya? Adakah
melibatkan wang memandangkan mangsa adalah Pengarah Urusan di syarikat yang
mempunyai tiga buah cawangan?”
“ Pihak kami percaya yang penculikana ini adalah sesuatu
yang tidak dirancang. Penculikan ni berlaku kerana mangsa berada di tempat
kejadian sewaktu suspek cuba mencuri sebuah kereta. Ini memperkukuhkan lagi
kenyataan kami kerana tiada wang tebusan yang diminta daripada keluarga mangsa
sehingga ke hari ni.”
“ Boleh kami tahu setakat mana tindakan pihak polis
sekarang?”
“ Kami sudah mengedarkan gambaran wajah suspek yang kami
dapat melalui rakaman cctv yang berada di tempat kejadian. Sebarang tindakan
akan diambil apabila kami mendapat maklumat daripada sumber yang boleh
dipercayai.”
“ Sudah seminggu mangsa diculik. Apakah berkemungkinan
mangsa masih hidup?”
“ Itu kami tidak pasti. Semuanya masih berada dalam
siasatan.”
“ Bagaimana sekiranya suspek bertindak agresif dan cuba
mencederakan mangsa dengan tersebarnya gambar wajah suspek di tempat awam?”
“ Kami tidak menolak kemungkinan tersebut. Cuma apa yang
dapat kami lakukan sekarang adalah dengan menggiatkan operasi pencarian.”
“ Apakah penculikan ini dilakukan oleh kumpulan sama
yang mencuri dan menyeludup kereta yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga
ke hari ini?”
“ Ya! Kami percaya yang penculikan ni dilakukan oleh
kumpulan yang sama.”
“ Bagaimana dengan penerimaan pihak polis terhadap
pandangan orang luar tentang kes ini yang masih tidak mendapat jalan
penyelesaian memandangkan sudah seminggu mangsa diculik.”
“ Kami menjalankan tugas dan sentiasa mengutamakan
keselamatan mangsa. Pandangan orang awam terhadap kecekapan kami itu di luar
kawalan kami. Apa yang mampu kami lakukan adalah menjalankan tanggungjawab
dengan sebaik mungkin.”
“ Berkemungkinankah kes ini adalah satu konspirasi?”
“ Itu bukan motif dalam kes ni.”
Setelah lebih setengah jam sidang media itu berlangsung,
Tuan Badrul meminta supaya ianya dihentikan. Pihak media menerimanya dengan
baik dan lima minit selepas itu mereka semua bersurai.