Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,477
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
02

“Panas dan dingin, api dan air memang harus ada. Harmoni alam agar kita tahu betapa pentingnya kadua-duanya. Begitu juga kebahagiaan, tidak bererti jika tidak ada kesedihan. Justeru kesedihan itulah yang membuat kita mampu memahami kebahagiaan.

Itulah kurniaan Tuhan. Yin dan Yang. Langit dan bumi. Bahagia dan susah. Suka dan duka memang selalunya ada. Yang penting, kita tidak larut tatlaka ditimpa salah satunya.

Kadang-kadang bahagia dapat membenamkan kita ke bawah lahar Gunung Merapi. Kadang-kadang sedih dapat menghempaskan kita ke dalam gelombang tsunami. Sebagai manusia yang beragama, apalagi manusia bijak, kita tidak boleh terlena oleh salah satunya. Senang tidak buat hati hilang, susah tidak buat hati resah.”

Dhia menutup perlahan novel Kalam Cinta Daripada Tuhan yang dipinjamnya daripada perpustakaan hujung minggu lalu, apabila mendengar suara azan yang mendayu-dayu. Tanda waktu Asar sudahpun masuk dan umat Islam harus bangkit mengerjakan suruhanNya. Dhia bangun, novel diletakkan di atas meja sebelum menapak ke bilik air. Keluar sahaja dari bilik air, dia lihat Hafiza sudah baring di katilnya. Terlelap. Letih barangkali.

“Hafiza, bangun. Solat Asar. Tak baik lewatkan solat,”

“Hurm….,” Hafiza mengeliat. Enggan bangun. Godaan bantal gagal ditepisnya. Dhia geram.

“Hafiza, Mikhail Adam datang!”

“Hah? Mana? Mana?” spontan Hafiza bangun. Siap berdiri lagi.

“Tak ada pun?”

Hafiza menoleh kepada Dhia yang sudah ketawa kecil. Dia mengecilkan matanya.

“Dah pandai ek, mengenakan aku,”

“Bukan mengenakan, kreatif sikit. Dah kau tak nak bangun solat Asar,”

“Aku penatlah Dhia, boleh solat kejap lagi tak?”

“Ah, takde. Kau tu kalau terlelap nanti tidur mati. Dah la tak solat lagi. Ada hati nak tidur lepas Asar. Pergi ambil wuduk. Aku tunggu kat sini. Kita solat jemaah,” Dhia mula membebel. Hafiza ketawa kecil.

“Kau jadi imam tau?”

“Iye. Dah pergi ambil wuduk cepat,”

“Ye la, ye la…,” Hafiza melangkah malas.

“Jangan tidur dalam bilik air tu tau! Waktu Asar bukannya lama,”

“Yes mem!” Hafiza angkat tabik. Kemudian dia berlari ke bilik air. Takut dicubit oleh Dhia sebenarnya. Cubitan Dhia berbisa wo!

Dhia tertawa melihat rakan sebiliknya yang satu itu. Sekilas, di melihat sekeping gambar yang terselit di celah-celah buku. Dhia mengambil gambar itu dan….

Dhia menangis. Itu gambar Dhia bersama arwah ibunya.

Dan kenangan itu kembali lagi…

*****

“Ibu, Dhia balik…,” suara Dhia terhenti apabila melihat keadaan rumah yang tunggang langgang bagai baru dilanggar todak.

“Kau memang tak guna!”

Telinga Dhia menangkap suara seseorang. Seseorang yang dikenalinya. Lantas dia menuju ke bilik utama.

“Mama!”

Syasya menoleh ke belakang apabila mendengar namanya dipanggil. Wajahnya bengis.

“Kenapa buat Ibu macam tu? Ibu sakit, tau tak?” Dhia meluru ke arah Suria yang mengerang kesakitan sambil memegang perutnya. Sakit akibat ditendang Syasya tadi.

“Kenapa? Kau nak jadi macam Ibu kau ke?”

“Tak payah la sampai nak pukul Ibu! Ibu tak pernah buat macam ni kat Mama!”

“Kau diam!”

“Sudahlah!” Suria bersuara lirih sambil memeluk Dhia erat. “Syasya, sumpah, bukan akak yang bagitahu Abang Azlan pasal perkara tu!”

“Kalau bukan kau yang bagitahu, macam mana Abang Azlan boleh ada kat depan kelab malam tu cari aku?” Syasya menyinga. Marah betul dia apabila Azlan dapat mengesan kegiatan malamnya.

“Mana la akak tahu! Mungkin ada orang yang bagitahu,”

“Kau nak salahkan orang lain pulak?” Syasya mencengkam rambut Suria menyebabkan wanita itu mengerang kesakitan.

“Tak payah la buat Ibu macam tu! Sakit la!” jerit Dhia sambil menumbuk-numbuk lengan Syasya. Terlalu geram, Syasya menampar kuat anak kecil itu hingga terduduk di lantai.

“Kau tak nak mengaku, ya? Kau tengoklah, apa yang aku akan buat dengan kau,” Syasya bersuara separuh mengugut. Suria jadi gerun.

*****

“Suria pukul Syasya, bang!”

Pang!

Kepala Suria terpusing. Pantas dia memandang Azlan yang merah mukanya.

“Kau ni kenapa? Sampai nak pukul-pukul orang! Nak tegur pun tak payah la sampai nak naik tangan!”

“Sumpah, bang! Suria tak buat semua tu!”

“Habis tu, kau nak kata Syasya tu bohong la? Gitu?”

Suria jeling Syasya yang tersenyum sinis menandangnya.

“Jawab soalan aku, Suria!”

Suria terkejut. Namun dia tidak menjawab soalan Azlan.

“Kau cabar aku ya? Baik, mulai hari ini kau bukan isteri aku lagi. Aku ceraikan kau dengan talak tiga!”

“Abang!” air mata Suria mengalir laju. Senyuman sinis Syasya semakin melebar.

*****

“Ibu, kita nak pergi ke mana?” tanya Dhia. Dia menggenggam erat tangan Suria yang berjalan laju melewati lorong-lorong di situ. Kadang-kadang Dhia menutup mulut dan hidung menahan muntah apabila melihat gelagat mereka di lorong itu yang memualkan.

Suria tidak menjawab. Dia hanya berjalan dan terus berjalan. Sehingga Dhia yang kecil terpaksa berlari bagi menyaingi langkahnya.

“Ibu, kita buat apa kat sini?”

Langkah Suria terhenti. Dia melutut, memegang kedua bahu Dhia. Suria tersenyum pahit.

“Sayang, mulai hari ini, kita akan tinggal di kawasan ini ya? Ibu tak mampu nak sewa rumah macam rumah kita yang dulu tu,”

“Kenapa kita tak boleh tinggal di rumah kita tu, Ibu?”

“Ibu dan Ayah dah bercerai, sayang. Ayah bagi Mama tinggal di sana. Jadi, kita kena pindah keluar dari rumah tu,”

“Cerai tu apa?”

Suria tidak mampu menjawab soalan itu. Dirangkul erat tubuh anak kecil itu.

“Ibu janji, selagi Ibu masih hidup, Ibu tak akan tinggalkan Dhia,”

Namun apalah yang difahami tentang kehidupan daripada seorang anak kecil berusia lima tahun itu?

*****

Hari itu hari Sabtu. Tidak bersekolah. Biasanya, pada hari-hari sebegini, Dhia hanya duduk terperap di rumah. Suria tidak membenarkan Dhia keluar ke mana-mana memandangkan suasana di kawasan perumahan mereka yang ‘tidak mesra kanak-kanak’.

Suria sudah menyiapkan sarapan untuknya sebelum keluar berniaga. Tinggallah Dhia seorang di rumah. Dhia senyum. Lukisan semalam harus disiapkan hari ini. Dhia mahu tunjukkan pada ibu bila sudah siap nanti. Mesti Ibu suka.

“Suria!”

Lamunan Dhia terhenti. Suara lelaki yang memanggil nama Ibunya tadi begitu kuat kedengaran. Takut pula Dhia dengan suara itu.

“Suria!”

“Ibu tak ada kat rumah!” jerit Dhia dari dalam rumah. Hendak dibuka pintu, dia takut. Sangat takut.

“Bos, dia tak ada la. Macam mana ni?”

“Kita datang esok je,”

Dan Dhia tidak mendengar apa-apa lagi. Dia terus bersembunyi di dalam selimut. Dia terlalu takut.

*****

“Ibu, siang tadi ada orang datang cari Ibu,”

Gerak lincah tangan Suria terhenti. Dia pandang anaknya.

“Dhia buka pintu tak?”

“Tak, Ibu. Dhia takut. Tapi Dhia dengar diorang cakap yang diorang nak datang lagi esok,”

Suria tersenyum pahit.

“Tak apa. Esok Ibu ada di rumah,”

“Ibu, diorang tu siapa?”

Gulp!

“Pelanggan Ibu agaknya tu,”

“Ibu, Ibu meniaga nasi lemak kan? Mesti sedap nasi lemak Ibu, sampai pelanggan Ibu datang ke rumah,”

Suria telan liur lagi.

“Ibu, kenapa Dhia dah lama tak nampak Ayah?”

“Dhia, Ibu dan Ayah dah lama bercerai,”

“Cerai tu apa?”

Suria diam. Bagaimana ingin aku jelaskan pada Dhia yang aku dengan Azlan…

“Ibu, “Dhia lapar la. Bila kita nak makan ni?”

Suria tersenyum.

*****

“Bila kau nak bayar hutang kau ni, Suria?”

“Aku nak bayar la ni,” Suria menghulurkan lima keeping not lima puluh ringgit pada lelaki itu. Dhia yang baru keluar dari dapur hanya melihat kedua-duanya itu di muka pintu.

“Sikit ni je? Mana cukup beb!”

“Bisnes aku turun sikit minggu ni. Nak belanja dapur lagi, anak sekolah lagi…,”

“Macam ni bila la hutang kau nak habis ni?”

“Ibu, kenapa Ibu berhutang?”

Suria menoleh. Terkedu apabila melihat Dhia sedang melihat apa yang dilakukannya sekarang ini.

“Kenapa Ibu berhutang?”

“Dhia sayang, pergi baca buku. Jangan kacau pakcik ni. Pakcik ni dah nak balik dah,”

“Kenapa Ibu berhutang?”

“Dhia…,”

Dhia memuncungkan mulutnya. Dia masuk ke dalam bilik.

“Kenapa dia tak tau yang kau berhutang ni, Suria?”

“Dia tak patut tahu yang ayah dia tak pedulikan dia lagi,”

*****

“Dhia!”

Terpisat-pisat Dhia membuka matanya.

“Cepat Dhia, kita pergi dari sini!”

“Kita nak pergi mana ni?”

“Kita pindah dari sini!”

“Pindah? Tapi dah malam ni!”

“Jom je la!” Suria mendesak. Barang-barang Dhia semuanya sudah dikemaskan. Cuma tinggal nak bawa sahaja.

“Ibu, Dhia mengantuk ni…,”

Namun kata-kata Dhia tidak didengari oleh Suria. Ibu muda itu terus menarik tangan Dhia keluar dari rumah itu.

“Ibu, kita bawa beg saja ke? Tak bawa barang lain? Kata nak pindah? Ibu? Ibu?”

“Suria! Mana nak lari!”

Langkah mereka terhenti. Wajah Suria pucat lesi bagaikan mayat.

“Tony…,”

“Kau nak lari ke mana, hah? Kau belum bayar hutang aku lagi!”

“Aku… aku… aku…!”

“Kau ingat kau boleh lari dari aku?”

”Aku akan bayar, Tony! Aku akan bayar!”

“Jangan nak tipu aku! Kau nak lari kan? Nak lari dari aku kan?”

Suria diam. Menggigil.

“Kau ingat kau boleh lari dari aku?”

Pang!

Suria terpaling. Tersungkur ke timbunan sampah. Dhia menjerit.

“Belasah dia!”

Konco-konco Tony yang lain terus membelasah Suria tanpa belas kasihan. Dhia cuba membantu, tetapi lengannya dipegang kuat Tony menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Diam!” Tony menampar anak kecil itu sekuat hati menyebabkan Dhia terdiam. Hanya esak tangis yang kedengaran.

“Kau ingat kau boleh lari dari aku! Kau tengok! Anak kau ada dengan aku!”

“Jangan apa-apakan dia!”

Kepala Suria dicengkam kuat. Seluruh tubuhnya lemah. Dia diangkat menghadap Tony.

Dhia semakin kuat meronta.

“Aku suruh bayar hutang, bukan suruh lari!”

Rontaan Dhia tiba-tiba terhenti apabila melihat Tony sudah menghunus pisau.

“Mati kau!”

“Ergh!”

“Ibu!”

Pegangan Tony terlepas. Dhia segera meluru dan memangku Suria yang berlumuran darah.

“Jom! Kita pergi dari sini!”

Tony dan konco-konconya bergegas pergi dari situ. Tinggallah Dhia menangis memangku Suria yang nyawa-nyawa ikan.

“Maafkan Ibu, nak…,”

“Ibu jangan tinggalkan Dhia…!”

“Jaga diri nak…,”

“Ibu! Jangan la tinggalkan Dhia!”

Mulut Suria terkumat kamit membaca sesuatu. Sebentar kemudian, tangannya terkulai.

“Ibu!”

*****

“Dhia!”

Lamunan Dhia terhenti. Dia memandang wajah Hafiza yang basah. Dhia senyum pahit.

“Dah ambil wuduk?”

“Dah lama dah. Kau tu je yang mengelamun. Ingatkan pakwe mana la tu…,” Hafiza mencebik.

“Orang macam aku ni mana la ada pakwe…,”

“Oh, tak ada pakwe ye. Cakap dengan pengirim surat merah jambu!”

“Hesh! Kau ni! Dah la, jom kita solat. Tunggu kau ambil wuduk macam tunggu kau mandi!”

Hafiza tersengih. Dia kemudian mencapai telekungnya. Dhia menyimpan kembali gambar bersama arwah ibunya.

Ibu, Dhia rindukan Ibu…

Previous:
Next: 03

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.