Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,480
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
11

Petang itu, Adik pulang seperti biasa. Hairan dia apabila melihat ruang tamu kosong. Tidak berpenghuni.

“Mak!”

“Mak kat dapur ni, tengah masak!”

Adik senyum. Laju langkah kakinya ke dapur. Tubuh Mak dirangkul erat dari belakang.

“Tak payah nak peluk sangatlah! Cakap je, nak apa,”

Adik sengih. “Mak ni, tahu je apa yang Adik nak cakap,”

“Anak Mak, mesti la Mak tahu. Kalau anak orang lain tu, dah lain ceritanya,”

Terhambur tawa kecil dari bibir mungil Adik. “Mak, Abang mana?”

“Abang?”

“Tadi Adik telefon dia, tak dapat. Lepas tu, Adik telefon pejabat dia. Kawan dia kata dah dua hari dia tak datang kerja. Abang tak sihat ke?”

Mak mengeluh kecil. “Abang ada cakap yang dia tak sihat. Tapi tak nampak macam tu pun,”

Berkerut dahi Adik. “Habis tu, nampak macam apa pula?”

“Nampak macam orang baru putus cinta,”

Terkikih Adik ketawa. Pantas Mak menampar bahunya lembut. “Ada ke gelakkan abang dia…,”

“Mak, setahu Adik, Abang tu tak ada kekasih. Macam mana pula boleh putus cinta?”

“La, ye ke?”

“Tak apa, Adik pergi tanya dia sekarang ye. Er, Mak, boleh tak masakkan tomyam? Mengidam pula,”

“Macam orang mengandung je anak Mak sorang ni,”

Tersentak Adik seketika. Namun segera dimaniskan wajahnya. “Adik masuk dalam dulu ye. Nak letak barang. Lepas tu nak tengok ‘kesihatan’ Abang tu macam mana,”

Adik tersengih. Tergeleng-geleng Mak melihatnya. Adik terus ke ruang tamu untuk mengambil barang-barangnya. Kemudian dia mencampakkan di atas katil dalam biliknya. Tanpa menunggu lagi, dia terus ke bilik Abang yang terletak bersebelahan.

“Abang,” panggilnya sambil pintu diketuk perlahan. Diam. Tiada sebarang respon dari dalam bilik.

“Abang,”

“Masuk je la. Macam tak biasa. Selalu tu main redah je,”

Adik tersenyum. Pantas tombol pintu dipulas dan daun pintu dikuak perlahan. Tersentak seketika apabila melihat Abang terbaring lemah di atas katil.

“Abang, kenapa ni?” Adik meraba dahi Abang. Tak panas pun.

“Abang kecewa…,”

“Kecewa? Kenapa?”

“Dhia nak kahwin…,”

“Dhia nak kahwin? Dengan siapa?”

Abang mengeluh. Kuat. “Mana la Abang tahu. Yang Abang tahu, dia dah nak kahwin,”

“Mana Abang dengar cerita ni?”

“Masa Abang pergi hantar surat la,” air mata Abang kambali ingin mengalir. “Abang dengar kawan-kawan serumahnya rancak bercerita,”

“Siapa nama bakal suami Dhia?”

Abang angkat bahu. “Abang tak dengar pula yang itu,”

Adik senyum. “Kiranya, Abang kecewa sebab gadis pilihan Abang akan jadi milik orang lain? Begitu?”

“Mahunya tidak! Dah bertahun Abang pendam rasa ni,”

“Bertahun Abang pendam rasa, ada Abang cakap dengan dia?” Adik angkat kening. Seolah mencabar Abang.

“Takkan Abang nak bagitahu pula? Malu la Abang!”

“Takkan Abang nak bagitahu pula? Malu la Abang!” ajuk Adik. Abang menggerutu. “Abang ni lelaki ke perempuan? Nak malu-malu segala… Adoi!” hampir terlentang Adik apabila sebiji bantal hinggap betul-betul di dahinya. Abang tarik muncung empat belas.

“Betul la Adik cakap. Abang ni malu tak bertempat! Jadi ‘gentle’ sikit boleh tak? Ini baru dapat tahu cerita, belum tahu berita lagi!”

“Apa beza cerita dengan berita?” tanya Abang, ‘blur’.

“Huruf pertama!” geram betul Adik dengan abangnya seorang ni. “Abangku sayang, cerita itu tak semestinya betul dan benar. Berita itu sememangnya fakta. Bukan auta. Ada faham, abangku sayang?”

Sekali lagi Abang buat muka ‘blur’.

“Abang ni, tahu la saya ni cikgu Bahasa Melayu tapi saya cuma mengajar murid darjah satu! Apa la Abang ni…,”

Abang tersengih. Terhibur juga dia dengan keletah Adik hari ini.

“Pasal Dhia, Abang jangan risau. Selagi belum sah ijab dan kabul, selagi itu peluang Abang masih terbuka,”

“Kau ni bengong ke apa? kalau dah bertunang mana boleh kacau? Haram!”

Adik tersengih.

“Ok, Adik tukar ‘statement’. Selagi Dhia belum bertunang, selagi itu peluang untuk Abang masih ada,”

Abang diam lagi.

“Adik ada satu berita nak bagitahu Abang. Adik ingatkan nak bagitahu Abang semalam tapi Adik ingatkan Abang kerja luar kawasan. Jadi Adik hanya bagitahu dengan Mak je,”

“Berita apa?”

Adik tersenyum-senyum.

*****

Tasik yang berada di hadapan matanya kini direnung dalam-dalam. Bukan berapa dalamnya tasik itu, tapi betapa dalamnya masalah yang dihadapi sekarang ini.

“Assalamualaikum sayangku,”

Suara lelaki itu membuatkan Dhia menoleh. “Waalaikumsalam,”

Aaron melabuhkan duduk di sebelahnya. “Awak kata ada hal penting nak cakap dengan saya. Apa halnya?”

“Awak buat apa sebenarnya ni?”

“Saya? Saya buat apa?”

“Kekalutan yang berlaku sekarang ni, bukan dari mulut awak ke?”

“Apa yang saya cakap?”

“Awak cakap awak nak kahwin dengan saya. Awak cakap yang saya dah terima lamaran awak. Sedangkan awak tahu yang perkara tu tak betul!”

“Apa yang tak betulnya? Saya cintakan awak. Dan saya nak kahwin dengan awak!”

“Tapi awak tak pernah tanya pada saya tentang perkara ni!”

“Okey, kalau macam tu, saya tanya sekarang. Sudi tak awak kahwin dengan saya?”

Dhia tidak menjawab. Membisu.

“Diam tu tandanya setuju,” Aaron tersenyum kemenangan.

“Saya tak cintakan awak, Aaron,”

Aaron tergamam.

“Saya cintakan orang lain. Maaf,” Dhia melarikan matanya daripada bertembung dengan mata lelaki itu. “Lebih baik saya bagitahu awak sekarang…,”

“Yang awak cintakan Mikhail?”

Dhia terkejut. Dia memandang Aaron tepat.

“Aaron Aziz yang ini, takkan pernah terima kekalahan,”

Dhia menggeleng tanda tidak faham.

“Kalau awak tolak saya, tahulah apa yang saya akan buat dengan Mikhail,”

“Mikhail tak ada kena mengena dalam hal ni!”

“Ye ke?” Aaron tersenyum penuh makna. Menakutkan Dhia.

*****

Mata Mikhail menatap peti televisyen. Namun rancangan Safiyya yang disiarkan di TV9 langsung tidak menarik perhatian. Cuit sedikit pun tidak. Fikirannya melayang jauh.

“Mikhail,”

Demi mendengar namanya dipanggil, Mikhail terus membetulkan duduknya dalam kepayahan. Dipandang wajah wanita di hadapannya ini sambil tersenyum.

“Mama,”

“Anak Mama dah baik sikit?” tanya Mama prihatin. Dielus perlahan rambut anak bujangnya itu.

“Alhamdulilah, dah baik sikit. Tengok la siapa yang jaga,” Mikhail mengukir senyuman manis.

“Pandai nak bodek Mama ye,”

“Eh, Mama ke yang jaga?”

“Habis tu, siapa lagi?” Mama jegil mata. Tapi langsung tidak menakutkan Mikhail. Malah makin kuat anak bujangnya itu gelak.

“Mama, Comot mana? Sejak dia hantar Mikhail hari tu, dia terus tak datang dah,”

“Ada hal agaknya. Lagipun dia kan faham Mikhail,” Mama menyudu bubur di dalam mangkuk. “Nak Mama suapkan ke?”

“Boleh jugak. Aaaaa…,” Mikhail nganga mulutnya luas-luas. Tersenyum Mama melihat telatah anaknya yang seorang ini.

Tiba-tiba…

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam,” Mikhail menjawab, bosan. “Mama, perempuan tu tak reti balik rumah ke?”

Tergeleng-geleng Mama mendengarnya. “Kenapa Mikhail tak nak jumpa dia? Mungkin dia boleh beri semangat untuk Mikhail cepat sembuh,”

“Mama tahu kan, Mikhail tak suka terima tetamu kalau Mikhail sakit. Mikhail mahu berehat secukupnya,”

“Habis tu Mama nak buat apa dengan kawan Mikhail tu?”

“Halau je,”

“Mikhail ni…,”

“Mama, dia bukan tak tahu prinsip Mikhail. Saje je dia nak datang. Konon dia la yang paling ambil berat. Huh!”

Mama menggeleng lagi mendengar kata-kata anak bujangnya itu.

Sementara itu di bawah…

“Saya nak jumpa Mikhail. Dia ada di rumah kan?”

“Maaf, Mikhail sedang berehat dan tidak mahu diganggu,”

“Apa tidak mahu diganggu? Saya ni kekasih dia tau! Saya nak jumpa dia!” Niki cuba masuk namun tetap dihalang oleh pembantu rumah Mikhail.

“Maaf, Mikhail sendiri yang keluarkan arahan, dia tidak mahu diganggu,”

“Kau tak kenal siapa aku? Aku Niki Ardilla tau! Aku boleh bayar gaji kau lebih banyak daripada ini. Sekarang bagi aku masuk!”

“Dah Mikhail kata dia tak mahu diganggu, kenapa masih degil?”

“Kau siapa? Sesuka hati kau je halang aku masuk. Tepi la! Aku nak jumpa Mikhail!”

“Kurang ajar betul. Memang patut pun Mikhail tak mahu jumpa sesiapa. Takut jumpa orang yang psiko macam kau. Daripada elok nak sembuh, terus sakit balik,”

“Kau memang kurang ajar kan? Aku kata bagi aku masuk!”

“Yati!”

“Ya puan,”

“Awak tolong tunjukkan jalan keluar kat budak ni. Jangan bagi dia ganggu anak saya Mikhail,”

Niki terkedu. Nafasnya turun naik. Tidak disangka, wanita yang lantang suaranya itu adalah Mama Mikhail. Silap dia kerana melenting membabi buta.

“Adik, itu pintu keluarnya,”

“Aku tahulah!” Niki tergesa-gesa masuk ke dalam kereta. Namun dia tidak berhasrat untuk pergi dari situ. Dia mengecilkan matanya.

“Aku kau tak benarkan masuk ye. Aku nak tengok, kau benarkan ke tidak kalau budak Dhia tu datang. Aku tunggu saat tu!”

Namun sehingga ke malam, jangankan kelibat, bayang Dhia pun tidak kelihatan. Niki mendengus kencang. Di balik tingkap, Mikhail hanya memerhatikan tindak-tanduk Niki.

Psiko!

*****

Perpustakaan pada hari itu sedikit sibuk dengan kehadiran pelajar yang mengunjungi pusat ilmu itu untuk mencari bahan membuat tugasan masing-masing.

Termasuklah Dhia.

“Assalamualaikum, Kak Nurul!”

Nurul yang leka menyiapkan laporan bulanan sedikit tersentak melihat kelibat Dhia. “Waalaikumsalam. Wah, berseri-seri dia sekarang ni…,”

“Akak ni mengada-ngada je la,”

“Bakal tunang mana?”

“Bakal tunang?” tanya Dhia kembali. Tidak mengerti.

“Ye la. Kan Aaron bakal tunang awak,”

“Aaron bakal tunang saya? Apa akak cakap ni?”

“Eh, akak salah cakap ke? Bukan apa, akak dengar kisah cinta korang yang dikatakan bermula dari sini. Sedikit sebanyak akak pun rasa bangga sebab kalau bukan sebab buku tu, korang takkan ke jinjang pelamin,” Nurul tersenyum ceria.

“Er, akak. Saya pergi dulu. Saya terlupa ada hal yang saya kena uruskan,” Dhia tidak menipu. Dia kena cari Aaron! Dhia terus keluar tanpa menunggu kata balas daripada Nurul lagi. Namun ketika keluar…

“Aduh!”

“Allahuakbar!”

Masing-masing jatuh terduduk akibat perlanggaran yang kuat. Habis semua kertas bertaburan. Mereka yang melihat hanya memerhati. Tidak ada seorang pun yang menolong. Apa la diorang ni!

“Maafkan saya,” laju Dhia menghulur kemaafan.

“Saya yang patut minta maaf…,”

Suara itu seakan dikenalinya. Dhia mendongak dan…

“Dhia!”

Dhia mengerutkan dahi. Dia kenal tapi…

“Kau tak ingat aku ke? Aleeya la!”

“Aleeya! Aleeya Zahirah?”

“Dhia Nadhira kan?”

Spontan mereka berpeluk di situ.

“Rindunya aku pada kau Aleeya…,”

“Aku pun sama!”

“Kau dari mana ni?”

“Aku tengah cari kafe, nak minum sekejap sementara tunggu ada orang datang jemput aku. Jom minum sekali! Aku belanja!”

“Jom!”

Hal Aaron terus terluput dari fikirannya.

*****

“Macam tu la cerita aku,” Dhia menghabiskan ceritanya.

“Boleh buat novel macam ni,” Aleeya sudah tersenyum-senyum.

“Kau ni! Tak habis-habis dengan novelnya. Bila aku boleh baca novel kau?”

“Buat masa ni aku buat novel online. Kau baca je blog aku,”

“Betul?”

“Betul la. Cari je nama aku dalam Google, mesti jumpa,” Aleeya tersenyum.

“Kau sekarang buat apa, Aleeya?”

“Aku nak sambung belajar kat sini,”

“Serius?”

“Iya. Dalam bidang pengajian bahasa,”

“Kau dengan bahasa memang tak boleh berpisah kan?”

“Bahasa jiwa bangsa beb!” Aleeya ketawa kecil. Sejurus, telefonnya berbunyi.

“Sekejap ye. Helo?”

Diam seketika. Dhia hanya memerhatikan gelagat Aleeya yang ralit menjawab panggilan telefon.

“Dah sampai? Okey, tunggu sekejap,” Aleeya mematikan talian.

“Siapa?”

“Abang aku,”

“Abang sayang ek?” usik Dhia.

“Kau ni…,” wajah Aleeya memerah. “Aku pergi dulu. Dia dah sampai. Kalau aku lambat nanti dia membebel macam mak nenek,”

“Aku hantar kau sampai ke tepi jalan,”

“Kau ni, macam aku ni budak kecik,”

Dhia ketawa. Mereka terus berjalan, bersembang dan bergelak ketawa sehingga ke bahu jalan.

“Okey la Dhia, abang aku dah tunggu. Nanti kalau ada apa-apa, kau telefon aku. Nombor telefon aku tetap tak berubah tau?”

Dhia mengangguk. “Alhamdulilah, Allah kurniakan kau kembali pada aku,”

“Apa dia?”

“Tak ada apa-apa,”

“Aku pergi dulu ye. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” Dhia hanya menghantar Aleeya ke kereta dengan pandangan matanya. Dan dia perasan sesuatu.

Lelaki yang menjemput Aleeya. Dia memusatkan pandangan hanya padanya. Atau adakah ia ilusi Dhia semata?

Previous: 10
Next: 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.