Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,468
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
08

Suasana di perpustakaan itu sedikit lengang. Maklumlah, ia baru sahaja dibuka pagi tadi. Sungguhpun begitu, sudah ada dua tiga orang pelajar yang mengunjunginya kerana ingin mendapatkan bahan untuk tugasan, mengulangkaji dan membuat perbincangan dengan rakan-rakan. Jaraknya dengan kolej kediaman yang agak dekat memudahkan pelajar berulang-alik ke sini.

“Assalamualaikum,”

Pembantu perpustakaan yang berada di kaunter mengangkat muka. Dia tersenyum. “Waalaikumsalam. Ada apa boleh saya bantu?”

“Saya nak baharui pinjaman saya. Tapi dah terlewat sehari. Boleh tak cik…,” lelaki itu melihat tag nama pembantu itu. “Boleh tak Cik Nurul buat sesuatu? Macam, pulangkan buku ni dan pinjam balik,”

“Tak apa. Saya akan uruskan,” Nurul mengambil buku yang ada di tangan lelaki itu. Kad matrik lelaki itu turut diminta bagi memudahkan urusan. Setelah beberapa ketika…

“Adik, maafkan akak. Buku ni tak boleh dipinjam lagi,”

“Kenapa?”

“Ada orang nak pinjam buku ni dan dah hantar nama pada system. Mengikut peraturan, buku yang ada senarai nama tidak boleh dipinjam semula apabila dipulangkan,”

“Habis tu macam mana? Saya nak guna buku ni lagi,”

“Maafkan akak, dik. Akak tak boleh nak buat apa-apa,”

Lelaki itu mengeluh. Tatkala itulah, Dhia masuk dan terus kek kaunter.

“Assalamualaikum, Kak Nurul. Buku yang saya nak pinjam tu, dah dipulangkan ke belum?”

“Waalaikumsalam. Amboi, straight to the Ampang Point!”

Dhia tersengih.

“Ni buku yang awak nak pinjam tu. Apa lagi, bagi la kad matrik!”

Pantas Dhia mengeluarkan kad matrik yang terletak kemas di dalam begnya.

“Awak nak pinjam buku ni?”

Dhia pandang lelaki yang berdiri di sebelahnya ini. Wajah lelaki itu merah padam. Marahkah lelaki itu padanya? Buat apa? Dia bukan kenal lelaki itu pun!

“Awak tahu tak yang saya belum habis guna buku ni lagi? Yang awak sibuk nak pinjam sekali tu kenapa?”

Eh, ini sudah lebih!

“Awak ingat awak sorang je yang nak guna buku ni? Saya pun perlukan sangat buku ni tau! Kalau tak saya takkan terhegeh-hegeh buat macam ni,”

“Awak tunggulah saya habis guna buku ni!”

“Awak, saya dah tunggu awak tiga minggu tau! Awak nak saya tunggu awak berapa lama lagi?”

“Sampai saya habis guna buku ni la!”

“Bila?” kesabaran Dhia sudah menjadi senipis kulit bawang.

“Jangan la bergaduh…,”

Namun suara Nurul tidak dipedulikan oleh mereka berdua.

“Saya nampak awak ni kecik je tau…!”

“Habis tu awak ingat awak tu besar sangat la?”

“Sudah!”

Spontan Dhia dan lelaki itu memandang Nurul di kaunter.

“Apa kata, kalian kongsi buku ni?”

“Tak nak!” serentak mereka berdua menjawab. Buntu Nurul mendengarnya.

*****

Tersengih-sengih Hafiza sepulangnya dari kelas. Mana tidaknya, tugasannya mendapat pujian daripada pensyarah kesayangan. Siapa tak kenal dengan Prof Nasaruddin, yang wajahnya ada iras-iras Fahrin Ahmad tu? Bukan sahaja baik, malah dalam bidang sukan juga tidak mengecewakan.

Namun sengihannya terhenti apabila melihat Dhia menongkat dagu di meja. Sengihan bertukar menjadi senyuman nakal. Perlahan-lahan dia mendekati Dhia yang membelakanginya. Kemudian…

“Huargh!!”

“Allahuakbar!”

Terkekeh-kekeh Hafiza ketawa. Dhia sudah melayangkan jelingan maut namun Hafiza buat tidak tahu.

“Adoi!” mati tawa Hafiza tiba-tiba apabila sebiji bantal mendarat tepat di kepalanya. “Sakitlah!”

“Main-main lagi,” Dhia bersuara serius. Tiada senyuman di wajahnya.

“Kenapa ni?” Hafiza bertanya lembut sambil mengusap-usap perlahan bahu Dhia. Tahulah dia kini, bukan masanya untuk bergurau.

Dhia tidak menjawab.

“Tadi kau pergi perpustakaan kan? Buku tu dah dipulangkan ke belum?”

“Itu yang aku bengang tu…,”

“Fuyo! Dhia Nadhira dah pandai bengang!”

Dhia jeling tajam. Hafiza tersengih. “Okey, sambung cerita kau tu,”

Dan Dhia pun membuka cerita…

“Apa kata, kalian kongsi buku ni?”

“Tak nak!” serentak mereka berdua menjawab.

“Kalau macam tu…,” barkod pada buku itu diimbas dan buku itu dicop. Dhia dan lelaki itu bingung. Apa yang cuba Nurul lakukan sebenarnya?

“Saya dah pinjam buku ni,” kata Nurul selamba.

“Mana boleh!” serentak mereka berdua bersuara.

“Boleh. Kalau sebab buku ni kalian bertekak, baik saya yang pinjam buku ni terus,”

“Tapi saya nak guna buku ni…,”

Dhia angguk. “Saya pun..,”

“Kalau macam tu, setiap hari kalian kena datang sini. Akak akan benarkan kalian guna buku ni di sini sahaja. Tak boleh bawa keluar. Buku ni ada sistem keselamatannya sendiri. Kalau cuba bawa keluar, ia akan berbunyi. Macam mana?”

“Habis tu, kau setuju la?” tanya Hafiza.

“Terpaksa la setuju. Cuma tugasan itu yang belum siap. Yang lain semua dah siap dan dah dihantar,”

“Bila kau kena hantar tugasan tu?”

“Minggu depan,”

“Padan muka. Siapa suruh gaduh kat kaunter. Gaduh macam laki bini je aku dengar. Memang patut pun Kak Nurul buat macam tu,”

“Hafiza!”

Hafiza ketawa.

*****

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” Dhia hanya memandang sekilas lelaki itu, kemudian dia menyambung pembacaannya.

“Cuba la senyum sikit. Tak luak pun,”

“Tak perlu saya senyum dengan awak yang bukan mahram saya,”

Termalu lelaki itu seketika dalam 15 saat.

“Awak memang macam ni ek?”

“Macam mana?”

“Garang tak bertempat,”

“Buat apa saya nak buat baik dengan awak?”

“Apa salahnya?”

“Tak payah la. Lagipun, saya memang garang dengan lelaki yang bukan mahram saya,”

Lelaki itu tersenyum. Namun tidak terlihat oleh Dhia.

“Assalamualaikum. Maaf, akak lambat. Akak sakit perut tadi,” Nurul muncul dari pejabat secara tiba-tiba. Dia meletakkan buku yang dipegangnya di atas meja. “Nah, gunakan buku ni seaik-baiknya. Akak perhati kalian di kaunter,”

Tanpa membuang masa, Dhia dan lelaki itu menyiapkan kerjanya. Menjelang petang, namun tugasan yang dibuat masih belum selesai.

“Awak nak teruskan sampai malam ke?” tanya lelaki itu.

“Awak nak mengalah?”

Lelaki itu menggeleng. “Masih banyak data dalam buku ni yang saya belum gunakan,”

“Sama juga dengan saya. Saya kena hantar tugasan saya lagi dua tiga hari. Saya nak gunakan setiap saat ni untuk siapkan tugasan saya,”

Lelaki itu tersenyum.

“Adik-adikku…,”

Empat pasang mata tertumpu ke wajah Kak Nurul yang menghampirinya.

“Perpustakaan akan ditutup,”

“Eh, bukan ke dibuka sampai malam?”

“Hari ni hari Sabtu. Sabtu dan Ahad, memang perpustakaan dibuka sampai petang je,”

“Oh…,” tergambar riak kekecewaan di wajah lelaki itu.

“Esok kita datang lagi. Boleh kak?”

“Boleh. Lagipun, esok akak kerja,”

“Ahad pun akak kerja?”

“Akak gantikan kawan akak yang terpaksa balik kampung,” Nurul mencapai buku di atas meja. “Jumpa esok ye,”

Dhia dan lelaki itu mengangguk dan tersenyum.

Selang beberapa hari…

“Alhamdulilah, siap juga tugasan saya ni,” Dhia meraup wajahnya dengan tangan sebagai tanda bersyukur.

“Saya punya pun,” lelaki itu tersenyum lebar. Lega rasanya apabila telah selesai menyiapkan sesuatu yang penting.

“Mana Kak Nurul?”

“Dia susun buku agaknya,”

“Hah, panjang umur dia,” lelaki itu bersuara sebaik sahaja melihat kelibat wanita itu. “Kak!”

Nurul segera menghampiri mereka apabila mendengar namanya dipanggil. “Ya?”

“Kak, kami nak ucapkan terima kasih kat akak sebab buat macam ni pada kami. Kalau tak, saya takkan bertungkus lumus siapkan tugasan saya,” ujar lelaki itu.

“Dah siap dah?”

Lelaki itu mengangguk.

“Kak, kami juga nak minta maaf sebab susahkan akak,”

“Kami? Heh, awak sorang je tau. Saya tak susahkan akak. Kan kak?”

“Banyak la. Siapa yang mulakan dulu? Saya ke awak?”

Dah nak gaduh dah laki bini ni… Nurul hanya ketawa kecil.

“Bergaduh pun nak bersaya awak…,”

Dhia tersedar sesuatu. Dia tunduk. Dan dia ternampak sesuatu.

Tangan itu! Spontan dia mengangkat wajahnya semula.

“Saya nak minta maaf juga kalau saya ada buat salah,”

Alamak, kenapa kacak sangat kau di kala ini? Haduh…

“Dhia?”

“Oh…,” Dhia tersedar. “Saya juga nak minta maaf dengan awak kalau selama ni saya ada sakitkan hati awak,”

“Hah, taaruf la kalian. Akak ada kerja sikit ni,” Nurul terus berlalu dari situ.

“Awak ni garang bertempat juga kan?”

“Lain kali jangan tuduh sebarangan,”

Lelaki itu tersenyum.

“Nama saya Dhia. Dhia Nadhira,”

“Saya Aaron. Aaron Aziz,”

*****

“Aaron Aziz?”

“Yup,” Dhia silang kaki. “Tak sangka kan?”

“Aaron Aziz yang berlakon drama Adam dan Hawa tu?”

“Haip! Bukanlah. Aaron Aziz tu dah tua. Yang ni muda lagi. Sebaya kita tau,”

“Sampai hati kau kata Aaron Aziz aku tua…,”

Dhia ketawa kecil.

“Bila kau nak kenalkan dengan aku?”

“Perlu ke kenalkan dengan kau?”

“Perlu la. Mana la tau kalau ada apa-apa jadi, dia boleh cari aku,”

Dhia tergeleng-geleng.

“Jom,”

“Ke mana?”

“Kau kata nak kenalkan dia dengan kau,”

“Sekarang?”

“Ye la,”

“Eh?”

“Dia ajak aku keluar makan malam. Dan aku dah janji nak bawa kau sekali,”

*****

“Jadi ini la Hafiza, kawan sebilik awak tu?”

“Ya,” Dhia menyiku Hafiza untuk kali ke berapa entah. “Maaf la. Dia tak cukup tidur, siapkan tugasannya. Sebab tu macam ni,”

“Tak apa. Saya faham. Jemput duduk,”

Tiba-tiba Dhia memegang perutnya. “Alamak, saya rasa saya kena ke tandas la. Maaf ya,” Dhia terus ke tandas yang terletak tidak jauh dari meja mereka.

“Dhia memang begitu?”

Hafiza mengangguk.

Dan begitulah segalanya bermula. Mereka bertiga sering keluar bersama. Sehinggalah pada suatu hari…

“Makanan kat sini sedap ke, Aaron?”

“Mama saya kata begitu,”

“Kalau tak sedap, awak kena belanja kami Tutti Frutti,” ugut Hafiza. Dia memang gemarkan yogurt sejuk itu.

“Okey,” Aaron menyatakan persetujuannya.

“Dhia,”

“Ya?”

“Mikhail,” Hafiza menunjukkan ke satu arah, di mana Mikhail sedang duduk memandang mereka. Dhia senyum.

“Biarkan dia,”

Previous: 07
Next: 09

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.