Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,477
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
21

“Apa dia???”

Dhia terpaksa menjauhkan telefon dari telinga apabila mendengar suara Hafiza yang bagaikan halilintar.

“Syamil Khairan adalah pengirim surat merah jambu?”

“Iya,”

“Syamil Khairan? Abang Aleeya Zahirah?”

“Iya,”

“Syamil Khairan? Yang muka soleh menantu pilihan tu?”

“Hoi, agak-agak la kau punya perumpamaan tu pun. Muka soleh menantu pilihan. Pilihan siapa?”

Hafiza tergelak di hujung talian. Hampir setengah jam Hafiza menghubunginya, bertanyakan perkembangan dan isu semasa, baru inilah dia menceritakan perihal di tepi tasik.

“Aku suka kalau dia jadi suami kau,”

“Hesh…,” Dhia menggerutu. Namun hatinya berbunga bahagia. Suka!

“Kau kata apa bila dia lamar kau?”

Dhia menggaru kepala perlahan. “Aku cakap, bagi aku masa,”

“Kau nak tunggu apa lagi?”

“Kau ingat senang?”

“Kau masih trauma dengan apa yang berlaku dulu ke?” sebelum Hafiza pulang ke rumah keluarganya, Dhia ada menceritakan tentang dirinya dan Aaron. Pada mulanya memang Hafiza terkejut dengan kenyataan yang disampaikan oleh Dhia namun lama-kelamaan…

“Bila difikirkan, bagus juga kau tak jadi kahwin dengan Aaron tu. Lain macam je aku tengok lelaki tu. Nanti bila dah kahwin, macam-macam yang jadi,”

Dhia terkejut. “Aku tak faham,”

“Ye la. Semua orang tahu, yang Aaron tu pentingkan diri sendiri. Kalau kau kahwin dengan dia, silap-silap kau kena jadi mak turut,”

“Mak turut? Aku tak pernah dengar pun. Istilah bru ya?” Dhia mengusik.

“Haah. Istilah baru. Tahun depan masuk Kamus Dewan,” selamba Hafiza menjawab. Dan Dhia tertawa di hujung talian.

“Aku tanya betul ni. Kau serius ke dengan apa yang berlaku?”

Dhia menarik nafas. “Kau pun tahu, aku memang suka dengan pengirim surat merah jambu. Dan sekarang dia dah tunjukkan dirinya. Apa lagi agaknya yang aku tunggu? Cuma aku perlukan masa,”

“Jadi kau nekad terima lamaran Syamil Khairan a.k.a jejaka surat merah jambu?”

Dhia diam. Namun dia sudah senyum di hujung talian.

“Bila kau nak bagitahu dia?”

“Entahlah. Aku tak tahu lagi. Kenapa?”

“Boleh tak kalau kau tunggu sampai aku balik minggu depan?”

“Kenapa?”

“Ye la. Aku pun teringin nak tengok macam mana reaksi dia tu. Tak sangka ye, dia orangnya. Patutlah aku rasa macam pernah tengok,”

“Kau rehat yang baik. Minggu depan, kau balik, aku belanja kau makan. Okey?”

“Okey. Tak sabar nak tunggu minggu depan!”

Dhia tertawa lagi. Bahagia. “Okey la. Waktu Asar dah nak masuk. Aku nak ke surau. Pergi dulu. Nanti bila nak balik, bagitahu aku. Nanti boleh aku kemaskan bilik,”

“Rupanya selama ni kau tak kemas bilik!”

“Hesh, kau ni ada-ada je. Dah la, aku pergi dulu. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” klik! Talian ditamatkan. Hafiza pandang figura di hadapannya.

“Kau okey, Mikhail?”

Lelaki itu senyum kelat.

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya, dia tak bersama Aaron,”

Hafiza membalas senyuman itu. Tawar dirasakannya.

*****

“Argh!”

Prang!

“Apa jadi ni?” Datin Jamiah meluru masuk ke dalam bilik setelah mendengar bunyi kaca pecah. “Niki, apa yang kau buat ni? Minyak wangi ni mahal tau! Mama beli kat London bulan lepas!”

Niki Ardilla tidak menjawab. Bahunya turun naik menahan marah.

“Mama mana tahu! Habis semua tembelang Niki pecah! Macam mana ni?”

“Apa yang korang cakap ni Niki? Korang anak beranak ni tak habis-habis nak menyusahkan aku la! Dengan papanya begitu, anaknya begini!”

Datin Jamiah sudah mula meroyan. Dia keluar dari bilik itu.

“Argh!!” Niki menepis semua barangan yang terletak di atas meja. Habis semuanya berterabur.

“Dhia Nadhira! Ini semua kau punya pasal. Kalau bukan kerana kau, rahsia aku mengupah Kaisara menyiapkan tugasan aku takkan terbongkar! Papa aku takkan masuk lokap!”

“Jaga kau!”

*****

Dhia hanya melihat Hafiza yang berselera makan dari tadi. Lepas sepinggan, sepinggan nasi goreng yang dimasaknya dimakan tanpa sisa. Tergeleng-geleng kepala Mikhail yang turut ikut sama.

“Kau ni, makan ke, melantak?”

“Biar la. Aku lapar kot,”

Mikhail mencebik. Comel pula di mata Dhia. Spontan dia tersenyum.

“Yang kau sengih macam kerang busuk tu, kenapa?”

Mati senyum Dhia. Hafiza pula yang tersengih lebar.

“Aku tengok kau ni makan macam tak makan sebulan. Apa, tak cukup ke hidangan diraja yang ada kat rumah kau tu?”

Suapan Hafiza terhenti. Mengundang resah Mikhail dan Dhia.

“Aku salah cakap ke?”

“Taklah, Mikhail. Aku yang terasa sendiri,” suara Hafiza berubah sayu.

“Maaf…,”

“Tak perlu minta maaf. Cuma, bila kau sebut ‘hidangan diraja’ tu, aku teringatkan Ibu aku,”

Pantas Dhia meraih tangan Hafiza.

“Ibu sangat suka masakkan untuk kami adik beradik. Katanya, ini ‘hidangan diraja’. Sampaikan ayah aku cemburu. Tapi sekarang…,” Hafiza senyum kelat.

“Sebulan aku berehat di rumah keluarga aku, tapi tak seorang pun yang ambil peduli. Tidak pernah bertanya, aku ni sihat ke, sakit ke. Dah makan ke, belum. Nak apa-apa ke. Tak ada. Semua buat hal sendiri. Seolah-olah aku tiada di situ,”

“Sampai bila kau nak rahsiakan hal ini dari keluarga kau? Lambat laun mereka akan tahu juga,” tanya Mikhail. Padanya, salah sangka ini harus dihentikan. Dia tidak sanggup melihat Comotnya menderita.

“Dari mulut orang lain. Bukan dari mulut aku. Aku.. aku…,”

Dhia menggenggam erat tangan Hafiza.

“Aku tak sanggup nak katakannya,” mata Hafiza berkaca.

“Kalau macam tu, biar aku yang berhadapan dengan keluarga kau. Biar aku yang bertanggungjawab,”

Dhia tergamam. Hafiza terkejut.

“Apa yang kau cakap ni?”

“Biar aku yang bertanggungjawab. Aku akan lindungi kau,”

“Mikhail, jangan korbankan perasaan sendiri boleh tak?”

“Keselamatan kau lebih penting!”

Hafiza merasakan genggaman tangan Dhia semakin longgar. Dia mengeluh perlahan.

Previous: 20
Next: 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.