Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 25 (Bab terakhir di Ilham)

"Ingat tau apa yang mama cakap ni! Pintu kunci. Kalau ada orang datang jangan bukak pintu. Rumah ni bukan macam rumah bandar. Tak ada grill. Kalau bukak memang tak ada apa-apa keselamatan lagi." Anisah membebel dengan Marissa.

"Mama ni. Berapa kali nak beritahu?! Marissa fahamlah mama." Rungut anak gadisnya itu.

Entah mengapa petang itu sebelum meninggalkan rumah Anisah rasa tidak sedap hati. Terasa jantungnya berdegup dengan tidak sekata. Ada kala lebih pantas daripada biasa.

"Kakak Lili tak dapat datang malam ni, sebab ada kematian. Mama terpaksa harapkan kamu Marissa. Jaga adik-adik. Esok kalau mama balik lambat, kamu tolong siapkan sarapan untuk adik-adik. Mama ada belikan Koko Krunch dengan susu. Boleh buat sarapan. Bekal air adik-adik kamu tolong sediakan. Boleh?" Anisah memberi arahan lagi.

"Mama jangan risau. Marissa tahu apa nak buat nanti."

"Mama pergi dulu." Anisah bersalam dengan anak-anak. Namun hatinya masih dihantui rasa gundah. Seperti petanda sesuatu yang tidak elok akan berlaku pada malam itu. Kepada dirinya atau mungkin kepada anak-anaknya. Namun kerana tugas, dia menggagahkan diri meninggalkan rumah.

***

"Assalamualaikum," suara wanita dari luar rumah menyebabkan jantung Marissa berhenti berdegup buat seketika.

"Waalaikumsalam. Siapa?" Tanya Marissa sambil mengintai dari tingkap.

"Mak Eton ni."

"Oh, ingatkan siapa tadi? Ada apa Mak Eton."

"Tak ada apa-apa. Saja nak tengok sama ada kamu semua okey. Lili tak datang hari ni?"

"Tak. Ada saudara di kampung dia meninggal. Mak Eton nak masuk?"

"Tak payahlah. Cuma Mak Eton nak pesan. Jangan layan kalau ada orang datang. Kalau ada apa-apa masalah, telefon Mak Eton ya?"

"Yalah Mak Eton. Terima kasih." Marissa terharu dengan sikap prihatin jirannya, walaupun hubungan wanita itu dan ibunya semakin dingin.

"Sama-sama. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam.” Jawab Marissa sambil menutup semula tingkap.

“Kunci tingkap tu elok-elok." Pesan Zaiton sebelum meninggalkan rumah Anisah.

***

Anisah rasa lega. Akhirnya sudah tiba masa untuk pulang. Fikirannya tidak tenteram sepanjang malam memikirkan keadaan anak-anak.

'Harap-harap tak ada apa yang berlaku di rumah. Aku nak telefon Marissa bimbang mengganggu dia nak berehat. Pagi ni dia nak bangun awal. Tapi rasanya sempat kalau aku yang uruskan sarapan mereka. Kalaulah Kak Eton ada, kan senang.' Keluh Anisah sendirian.

Anisah bergegas ke Toyota Vios hitam. Dia perlu tiba di rumah secepat mungkin.

Tut!

Bunyi alat penggera apabila punat ditekan Anisah.

Sebaik sahaja dia membuka pintu, tiga orang lelaki muncul. Entah dari mana mereka datang. Mereka muncul dengan tiba-tiba di kawasan yang hanya disinari lampu jalan.

Mulut Anisah dicekup dengan tangan bersarung tangan kulit.

"Jangan menjerit kalau kau nak selamat. Ikut saja kalau kau nak hidup."

Anisah tergamam. Nafasnya bagaikan terhenti seketika. Jantungnya berdegup pantas dengan deruan darah yang deras. Dia rasakan tubuhnya diheret ke tempat duduk belakang kereta. Dua orang lelaki duduk di bahagian belakang. Seorang lagi memandu, membawa mereka jauh dari tempat itu.

Pelbagai perkara singgah di minda Anisah tentang apa yang mungkin dilakukan ke atas dirinya. Ketika itu rasa menyesal teruk menghantui dirinya.

'Inilah akibatnya aku terlalu berani. Kononnya nak membalas dendam. Sekarang apa yang dah jadi?!'

Namun tiada apa yang mampu dilakukannya lagi. Hanya berserah dengan harapan nasibnya akan berubah.

Dia dibawa ke kawasan jalan kampung berturap tapi agak berlubang-lubang. Di kiri kanan hanya pokok kelapa sawit yang kelihatan apabila pantulan cahaya lampu kereta tersimbah ke kiri dan kanan jalan. Tiada lampu jalan atau rumah di tepi jalan.

Anisah mula menggigil. Tubuhnya terasa dingin walaupun tubuhnya berpeluh dalam keresahan.

'Kau memang seorang wanita yang cantik. Rugi kalau kami sia-siakan peluang keemasan ini.' Suara lelaki yang duduk di sebelah kanannya. Rambut Anisah dielus-elus lembut.

'Jangan lepaskan peluang bro! Bukan selalu kesempatan macam ni datang.' Suara lelaki yang sedang memandu.

'Fuh! Makan besar kita hari ni...' Suara lelaki di sebelah kiri.

'Ya Allah! Aku dah banyak lakukan kesilapan. Tapi aku berharap kau keluarkanlah aku dari keadaan yang bahaya ini.' Bisikan doa Anisah dalam hati. Tiada apa yang mampu dilalkukan lagi dalam keadaan begini. Nasi sudah menjadi bubur.

Enjin kereta dimatikan di kawasan bersemak yang terlindung. Harapan untuk diselamatkan dalam keadaan begini begitu tipis kerana terlalu jauh dari kawasan orang lalu lalang. Tambahan pula dalam keadaan tidak berlampu seperti ini.

Air mata Anisah sudah tiris dalam ketakutan yang sukar digambarkan. Dia tidak sangka begini akhirnya segala tindakan berani yang disangkakan satu kejayaan.

Lelaki di kanannya sudah mula merapatkan mukanya ke rambut Anisah dengan dengus nafas yang hangat terkena di leher Anisah. Dia dapat rasakan gejolak nafsu lelaki yang tidak mengenal erti dosa itu.

Dengan tidak disangka-sangka ada cahaya lampu menerangi kereta dari cermin depan. Sebuah kenderaan sedang lalu di situ. Sebuah kenderaan agak besar. Mungkin sebuah MPV atau Jeep.

Anisah berharap kenderaan itu akan berhenti dan seorang lelaki akan menyelamatkannya. Namun harapannya hancur berkecai apabila Jeep yang lalu tidak berhenti, malah terus berlalu meninggalkan Toyota Vios yang diparkir dalam keadaan mencurigakan itu.

Tangan lelaki di kanan Anisah sudah dilabuhkan ke lututnya dan mula merayap ke peha. Gigil tubuh Anisah sudah semakin teruk. Hanya menunggu nasib yang bakal menimpa dirinya.

Ketika itu dia dikejutkan apabila cahaya terang menyuluh tempat duduk belakang. Lelaki bertiga bertindak pantas dengan keluar dari kereta. Sukar Anisah lihat apa yang sedang berlaku, hanya terdengar bunyi seperti pergelutan. Tanpa membuang masa Anisah keluar dari kereta dan bersembunyi di dalam semak. Dia sudah tidak memikirkan sama ada mungkin ada binatang berbisa di situ. Apa yang menimpanya lebih teruk daripada itu.

Setelah bunyi pergelutan terhenti, Anisah terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan. Kemudian Toyota Vios meninggalkan tempat itu dengan meluncur laju tanpa menghiraukan jalan yang berlopak-lopak.

Hanya kedengaran suara tangisan Anisah yang jelas dalam keadaan sunyi seperti itu.

"Cik okey?" Suara lelaki yang menuju ke arahnya dengan lampu suluh. Dalam samar cahaya lampu itu, Anisah dapat lihat seorang lelaki bersama kayu besbol di tangan kanannya.

Anisah tidak mampu menjawab. Dia cuba bangun dalam keadaan menggigil yang masih belum surut.

Lelaki itu memimpin Anisah ke Jeep yang diparkir beberapa meter dari situ. Tentu lelaki itu sengaja meninggalkan kenderaan di situ supaya dapat membuat serangan hendap tanpa disedari penculik Anisah.

"Beg saya ... dalam kereta ... IC ..." Anisah tidak mampu mengatur ayat dalam trauma yang melanda.

"Tak apa. Nanti kita ke balai polis buat laporan." Suara lelaki itu sambil menutup tubuh Anisah dengan jeket yang sedang dipakai.

Anisah masih menggigil ketika Jeep meninggalkan kawasan ladang kelapa sawit itu. Namun jauh di lubuk hatinya ada rasa lega yang sukar digambarkan. Dia memanjatkan syukur yang tidak terhingga kerana terselamat daripada bala yang terlalu besar itu.

Selepas membuat laporan di balai polis, lelaki yang menyelamatkan Anisah membawanya ke sebuah warung yang lengang.

Lelaki itu tidak berkata-kata sepanjang perjalanan. Dia seperti memahami trauma yang dialami Anisah dan membiarkan Anisah tanpa diganggu.

"Cik minum kopi?" Tanya lelaki tu selepas mereka melabuhkan punggung di kerusi. Anisah hanya mampu mengangguk.

Trauma Anisah masih bersisa, tetapi dia sudah tidak menggigil lagi. Jeket yang dipakai juga membuatkan dia rasa lebih tenang dengan rasa hangat.

"Encik ni siapa?" Tiba-tiba Anisah bersuara, memulakan perbualan mereka berdua. Kehangatan dan aroma kopi yang diminum memberikan kesegaran menjelang pagi itu.

"Saya Shamron. Cik?"

"Anisah. Macam mana encik boleh ada di tempat macam tu?" Anisah melahirkan rasa hairan.

"Itu kebun kelapa sawit saya. Akhir-akhir ni kerap sangat ada kecurian. Maklumlah, bila harga naik ramailah yang nak cari duit poket."

Anisah menghirup kopi dengan penuh selera.

"Siapa lelaki yang culik cik? Cik kenal?"

"Tak. Tapi saya rasa saya tahu siapa yang rancang semua ni."

"Siapa?"

"Bekas pelayan di kelab. Dia berhenti disebabkan saya."

"Apa yang cik dah buat?"

"Panjang ceritanya. Saya terlalu ikut perasaan untuk balas dendam. Saya tak sangka boleh jadi macam ni."

"Dendam ni memang bahaya. Mula-mula kita rasa puas dan gembira bila berjaya balas dendam. Tapi bila dah berjaya, baru kita sedar sebenarnya apa yang kita buat tu tak mendatangkan faedah. Malah jiwa kita akan jadi kosong lepas tu."

Anisah mengamati kata-kata lelaki bernama Shamron itu. Ternyata itulah yang sedang dialami sekarang. Jiwanya rasa kosong walaupun pada mulanya dia rasa puas hati setelah berjaya membalas dendam.

"Boleh hantar saya pulang?" Anisah tiba-tiba teringat anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga malam itu.

Shamron mengangguk.

"Anak Cik Anisah berapa orang?" Shamron bertanya semasa mereka dalam perjalanan pulang.

"Lima. Sorang sekolah menengah, tiga sekolah rendah, satu down syndrome."

"Down syndrome? Tentu besar dugaan membesarkan anak-anak dengan status ibu tunggal."

"Hmm... masa baru lepas kematian suami dulu, saya rasa macam dunia ni dah nak kiamat. Tapi selepas dah alami macam-macam peristiwa, saya kuatkan semangat. Lalukan saja walau apapun rintangannya."

"Macam-macam peristiwa? Bunyinya macam banyak dugaan tu."

"Memang banyak dugaan. Orang tuduh, hina, pandang serong, berlakon sandiwara. Entah, dah banyak sangat sampai dah tak boleh ingat dah." Anisah sudah mula mesra dengan lelaki yang menyelamatkan dirinya malam itu.

"Saya harap kita dapat jumpa lagi lepas ni. Saya tertarik dengan cerita Cik Anisah. Saya sebenarnya kagum dengan wanita yang tabah dan cekal macam cik."

Jeep Shamron sudah tiba di pekarangan rumah Anisah.

"Tak payah bercik-cik dengan saya. Panggil Anisah saja. Boleh. Tak jadi masalah. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Saya tak boleh bayangkan nasib saya kalau Encik Shamron tak ada."

"Sama-sama. Panggil Sham aje. Ini kad saya. Kalau ada masa lapang nanti telefonlah saya. Missed call pun tak apa, supaya saya tahu nombor Anisah."

"Okey." Jawab Anisah sambil menutup pintu Jeep.

Dia hanya memerhatikan Jeep yang dipandu Shamron meninggalkan tempat itu hinggalah ia sudah tidak kelihatan lagi.


Ini adalah bab terakhir yang disiarkan di portal ini.

Terima kasih atas sokongan anda. Saya mengharap doa kalian agar manuskrip ini berjaya diterbitkan kelak.

Terima kasih sekali lagi.. ^_^

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.