TENGKU DANIEL
hampir tidak dapat menarik nafasnya. Dadanya
terasa sendat tatkala dia dan Sabdin tiba di lokasi tanah Tengku Halim yang
disewakan. Tempat yang sangat
dikenalinya. Tempat tinggal seorang
gadis yang pernah menyelamatkan nyawanya.
Tapak di mana rumah tempatnya menumpang tidur, makan, minum dan
segalanya untuk beberapa hari. Rumah juga
sudah beberapa kali dikunjunginya yang dihuni oleh insan-insan yang berhati
lembut, penuh dengan kasih sayang.
Stereng kereta digenggam erat. Sungguh tidak menyangka keluarga yang sering
menghuni hati dan fikirannya sejak beberapa bulan itu rupanya duduk di atas
tanah Tengku Halim. Tanah yang bakal
diusahakannya, yang dicita-citakannya menjadi sebuah tempat peranginan yang
moden dan berdaya saing.
“Daniel tak mahu turun tengok tanah ni?”
Pertanyaan Sabdin menyedarkan Tengku
Daniel. Pantas dia mengalihkan
pandangan, merenung wajah lelaki itu.
“Er, Daniel rasa tak perlulah...setakat
tengok dari sini aje pun sudah memadai, pak cik.” Tengku Daniel tersenyum tipis.
Terangguk-angguk kepala Sabdin. “Lain kali Daniel boleh datang bila-bila
masa. Dah tengok dan kenal tempat ni, senanglah
nak datang lagi,” ujarnya perlahan.
“Pak cik...sebulan, berapa sewa
tanah ni?” tanya Tengku Daniel. Ralit matanya memandang ladang ternakan dan
kebun sayur-sayuran itu daripada kejauhan.
“Rendah saja Daniel...hanya 500
ringgit sebulan. Dari mula hingga
sekarang tak pernah dinaikkan sewanya, Daniel.
Pak cik tak sampai hati...penyewa ni pun dah jadi ibu tunggal,” beritahu Sabdin.
“500 ringgit? Oh...okey.
Pak cik tak usahlah kutip sewa lagi mulai hujung bulan ni, ya? Biarlah dia orang tinggal kat sini secara
percuma.”
Sabdin termangu-mangu. Pantas dia menelan liurnya. ‘Alhamdulillah...syukur,’ bisik hatinya serta-merta. Namun dia segera tersedar suatu perkara.
“Er, Daniel...kalau projek Daniel sudah
mahu dimulakan...dia orang perlu berpindahkah?”
Sabdin bagaikan cacing kepanasan duduk di sebelah Tengku Daniel.
“Perlulah ikhtiar...tanah ni tetap
akan dibangunkan. Saya akan beritahu pak
cik bila tiba masanya dia orang perlu berpindah,” jawab Tengku Daniel perlahan.
Sabdin terkulat-kulat mendengar
kata-kata cucu Tengku Halim itu. Sudah
dijangkanya perkara ini akan berlaku juga akhirnya.
“Pak cik...minggu hadapan, kontraktor
pembinaan rumah saya akan memulakan kerja-kerja pembersihan. Saya akan berada di sini sepanjang masa tempoh
pembinaan tu nanti. Mungkin pembinaan
tak mengambil masa yang lama, pak cik.”
“Ya Daniel. Er, nanti saya akan beritahu penyewa tanah
ni...biarlah dia orang bersedia dari sekarang.
Harap-harap anak dia yang kerja sebagai jururawat tu boleh memohon
kuarters hospital,” kata Sabdin perlahan.
Tengku Daniel hanya diam. Sesungguhnya Tengku Daniel cuba mentafsir
intonasi suara Ketua Kampung itu.
Bersedihkah Sabdin jika keluarga itu dikehendaki berpindah dari kampung
itu walhal semua jiran sudah memandang serong terhadap Hani Fiqah? Jika Sabdin tahu bahawa dirinyalah punca Hani
Fiqah difitnah, bagaimanalah agaknya?
Masih terngiang-ngiang di telinganya suara sayu Aleya. Penjelasan Aleya mengenai perubahan Hani
Fiqah disebabkan umpatan dan fitnah melampau jiran-jiran mereka.
“Er, Daniel...kalau boleh berilah
masa untuk dia orang, ya? Kesian...dia cuma
ibu tunggal, hanya bergantung harap pada anak sulung dia saja,” ujar Sabdin perlahan. Buntu fikirannya.
Tengku Daniel terangguk-angguk. Ditatapnya seketika wajah Ketua Kampung itu.
“Saya faham, pak cik. Tak mengapalah...sampai masanya saya perlukan
tanah ni nanti, saya akan beritahu pak cik,” ujar Tengku Daniel.
Selepas menghantar Ketua Kampung
balik ke rumahnya, Tengku Daniel teringin hendak singgah di rumah Aleya namun
dia mengurung keinginannya. Sementelah
dia meminjam kereta Kamil semasa datang ke kampung itu tadi. Disebabkan kemalangan yang berlaku ketika
pertama kali dia masuk ke kampung, Tengku Daniel separuh fobia. Dia perlukan kereta yang lebih besar dan
tinggi untuk datang ke situ.
Tengku Daniel berhenti di pinggir
jalan, memandang daripada kejauhan rumah Aleya.
Rasa rindu menyapa kalbu. Hani
Fiqah. Wajah tanpa secebis senyuman itu
memang sentiasa menghuni ruang minda.
Tengku Daniel tiba-tiba menggelengkan perlahan.
Entah mengapa dengan perasaannya sejak kebelakangan ini. Semakin dijauhkan gadis itu dari hatinya,
semakin mendekat pula rasanya. Wajah
comel Farhana sedang ketawa girang terbayang-bayang di mata. Kelembutan suara Aleya bagaikan
terdengar-dengar menyusup ke lohong telinganya.
Wajah ceria Rizal, Fahmi dan wajah pemalu Norfarini. Semua menggamit rindu. Tengku Daniel menghela nafas. Jika tidak kerana janjinya kepada Aleya,
sudah pasti sekarang dia sudah berada di rumah itu.
Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar
diikuti dengan alunan muzik lembut.
Tengku Daniel sedikit tersentak. Ditatapnya
skrin telefon bimbit. Serta-merta
keningnya terangkat. Umi Aleya?
“Hello...Assalamualaikum
umi...” ucap Tengku Daniel sejurus menekan
butang hijau dan melekapkan telefonnya ke telinga.
“Abang Daniel!”
“Rizal?” Terjongket kening Tengku Daniel.
“Assalamualaikum abang...”
“Ya...waalaikumussalam Riz. Riz sihat ke?
Umi, kak long dan adik-adik...apa khabar?” tanya Tengku Daniel bertalu-talu. Melonjak rasa hati mendengar suara girang Rizal.
“Kami semua sihat aje, bang. Abang sihat?”
“Alhamdulillah...Abang pun sihat
juga, Riz.”
“Abang...bila nak datang rumah? Abang janji nak datang lagi, kan? Kita orang tunggu abang datang...kami rindu
kat abang. Abang datanglah, okey?”
Tengku Daniel ketawa mendengar
kata-kata Rizal. “Abang pun rindukan semua,
Riz,” balasnya perlahan.
“Hah...datanglah kat sini,
abang. Cuti sekolah tak lama lagi dah
nak habis...kalau abang ada waktu cuti ni kan seronok...”
“Ehm...abang masih sibuk kebelakngan
ni, Riz. Insya-ALLAH...kalau abang ada
masa, abang datanglah, okey.”
“Okeylah abang. Tak sabarlah tunggu abang datang...”
“Okey Riz. Nanti sampaikan salam
abang kat umi dan adik-adik, ya?”
“Okey abang...abang jangan lupa
datang sini, ya?”
“Insya-ALLAH, Riz.”
Tengku Daniel ketawa perlahan bagi menutup
rasa hati yang tercuit. Tatkala dia berada
jauh di Kuala Lumpur, jiwanya bagaikan diseru agar segera kembali semula. Kasih sayang keluarga itu bagaikan mengikat
jiwanya agar sering berada di sini. Hatinya
memang berasa rindu. Mengapa dia harus
mempunyai perasaan sedemikian terhadap keluarga itu?
***
MATAHARI sudah
beransur meninggi, Nurul belum mahu melepaskan kepala Hani Fiqah. Sudah hampir tiga jam kepala Hani Fiqah
dijadikan model untuk mendandan rambut.
Entah hatinya sudah jenuh menghitung kekerapan rambutnya disikat,
digulung, dihurai, lalu disanggul semula.
Pelbagai gaya dibuatnya namun Nurul belum berpuas hati dengan hasil
dandanannya. Demi persahabatan, di
merelakan hari cutinya diperuntukkan buat sahabatnya itu menguji bakat.
Sejak pagi hingga hampir tengah hari, Nurul menjadikan dirinya model untuk
disolekkan dan dandanan rambut. Naik
lenguh tengkuk Hani Fiqah.
“Nurul...”
“Hah?”
“Adoi...lama lagi ke ni? Leher aku dah penat...” Hani Fiqah mengelus tengkuknya.
“Eh...eh...diamlah! Sikit saja lagi ni...janganlah gerak-gerakkan
kepala kau, rosaklah kerja aku!” Nurul
memegang kepala Hani Fiqah, menahan kepala sahabatnya itu agar tidak bergerak.
“Kau ni...lain kali aku tak naklah
jadi model kau. Penat sangat...tahu tak?” Hani Fiqah mengomel perlahan.
“Aku tahu tapi sekejaplah Hani...dah
hampir siap ni. Sabarlah...” pujuk Nurul.
Diusap-usap lembut bahu Hani Fiqah.
“Tak patutlah kau Nurul...berjam-jam
kau belek kepala aku ni, buat macam kepala patung kat salon tu aje!” rungut Hani Fiqah.
“Sabarlah...aku buat yang terbaik,
tahu tak? Kau tengoklah nanti...kalau
tak terbeliak biji mata kau tengok hasil tangan aku ni!”
“Ehm...aku dah pening kepala! Kau spray
rambut aku entah berapa banyak kali dah.
Adoi, aku pun dah naik mual!”
omel Hani Fiqah lagi.
“Alah, Hani...sabarlah. Kejap lagi ni. Sabarlah ya...” Nurul memujuk lembut.
“Okey...okey...kalau tak cantik,
siap kau!” ugut Hani Fiqah.
Beberapa minit kemudian, Nurul
melepaskan kepala Hani Fiqah. Dengan
senyuman lebar Nurul berundur, menjarakkan dirinya dari Hani Fiqah.
“Okey...selesai! Nah, sekarang...kau pusing hadaplah cermin
tu!”
Hani Fiqah serta-merta melepaskan
nafas lega. Dia berpusing agar dapat menghadap
pada cermin meja rias di belakangnya.
Seketika, Hani Fiqah terpegun. Gamam menatap cermin di meja rias.
“Ya ALLAH! Aku ke tu Nurul?” Bulat mata Hani Fiqah merenung imej dirinya
dalam cermin. Wajahnya tampak sungguh
berlainan. Tidak pernah mengenakan solekan,
begitu pula hasilnya!
“Ha’ah...kaulah tu! Kau sangat-sangat cantik, kan?” Nurul ketawa lepas.
“Wah...aku macam tak percaya aje...” Hani Fiqah kagum.
“Kenapa tak percaya? Itulah hasil sentuhan tangan aku ni,
Hani. Macam mana?” Nurul menjongket-jongketkan keningnya dengan
senyuman lebar.
“Yalah...aku macam tak percaya kau boleh solek dan dandan rambut aku macam
nilah Nurul...kau dah hebat!” Pujian
Hani Fiqah semakin menggalakkan Nurul ketawa senang hati.
“Tulah kau...marah aku sebab tak
datang jenguk kau dekat sebulan. Aku
sengaja tak beritahu kau ke mana aku pergi!”
Hani Fiqah mengalihkan pandangan
dari cermin, ditatapnya wajah Nurul yang ceria.
“Oh...selama ni kau diam-diam pergi
belajar make-up? Aku bukanlah marah kau tapi aku
risau...dahlah kau tak muncul-muncul, aku call
pun tak dapat-dapat! Apalah kau ni...tak
patut betul!”
“Ehm...patut tak patut! Aku saja nak buat kejutan pada kau...Macam
mana? Okey tak hasil kerja aku?”
“Sangat okey! Tahniah Nurul...kau dah mahir pun
sekarang. Aku doakan...kau akan sukses
selalu, Nurul.”
“Amen! Tapi aku belum tamat belajar lagilah...aku
nak belajar sungguh-sungguh sampai tamat!”
“Takpelah...sekarang pun kau dah
mahirlah, Nurul. Make-up ni aku suka sangat.
Rambut...kemas sangat kau sanggul.
Ehm...cantik juga aku kalau dah berdandan macam ni, kan Nurul?” puji Hani Fiqah lagi sambil meneliti wajah
dan rambutnya di hadapan cermin.
Dikedip-kedipkan matanya yang bermaskara, lentik sungguh bulu
matanya. Cantik.
“Cantik...sangat cantik, Hani. Terima kasih Hani...tunggulah bila aku dah
tamat kursus, aku booking nak make-up dan dandan rambut kau masa kau
kahwin nanti, ya? Kau janganlah cari mak
andam lain...aku buat untuk kau.
Semuanya percuma aje!” ujar Nurul
lalu ketawa lagi. Senang sungguh
hatinya.
“Kahwin? Siapalah pulak yang nak kahwin?” Terjegil mata Hani Fiqah memandang Nurul.
“Eh, kau kan dah nak kahwin? Kau pun diam-diam tak cakap pada aku,
kan? Sampai hati kau tak ingat kawan
sedari kecil kau ni! Tulah...hari tu
bukan main kau cakap tak ada apa-apa dengan dia...tup-tup dah nak kahwin!” Nurul mencebikkan bibirnya. Buat-buat merajuk.
Hani Fiqah senyap. Hampir bercantum keningnya tatkala dahinya
dikerutkan. Hatinya tersentap.
“Hani...” Nurul menyentuh bahu Hani Fiqah.
“Nurul, kau dengar daripada siapa
aku ni nak kahwin?” tanya Hani Fiqah
perlahan.
Nurul tersengih. “Alah...mak cik Sahuda beritahu mak minggu
lepas. Mak cik Ros pun ada cakap pada
mak juga. Mak tanya aku, betulkah kau
nak kahwin...aku pun tak tahu nak jawab sebab dah lama aku tak jumpa kau. Eh, bilakah tarikhnya kau nak nikah
sebenarnya? Beritahulah aku...”
“Astaghfirullahalazim...mengarut
betul! Aku nak kahwin dengan siapa,
Nurul? Ya ALLAH...boyfriend pun aku takde.
Teruk betullah! Jiran-jiran kita
ini anggap aku ni takde perasaan ke? Suka
hati aje jaja nama aku seluruh kampung!
ALLAH...” Hani Fiqah menekup
wajahnya seketika lantas menghela nafas.
Nurul ternganga. Terkebil-kebil matanya menatap wajah
kemerahan Hani Fiqah. Elok-elok wajah
cantik itu ceria sebentar tadi, sekarang sudah bertukar rona. Mendung serta-merta!
“Hani...aku minta maaf, ya? Aku...”
“Nurul, aku kesian kat diri aku
sendiri...susahnya jadi anak dara, kan?
Silap sikit aje dah macam ada cap tanda kat dahi ni...” Jari telunjuk Hani Fiqah ditunjukkan ke
dahinya sambil mengeluh perlahan.
“Janganlah sedih Hani...aku tak tahu
hal sebenar. Aku sangka memang betullah
kau nak kahwin dengan Tengku Daniel tu...”
“Aku ni bukan siapa-siapa pun bagi
Tengku Daniel tu, Nurul. Dia takkan pandang
sebelah mata pun pada orang macam aku ni...dia bukan orang sembarangan!”
“Hani, Tengku Daniel tu selalu
datang ke sini, betul ke? Kenapa dia
datang, Hani?” tanya Nurul perlahan.
“Aku...aku pun tak tahulah,
Nurul. Dia jenguk umi...nak jumpa adik-adik...tu
aje!”
“Tapi...kenapa jiran-jiran cakap
lain pula, ya? Pelik!”
“Nurul, aku bukannya tinggal seorang
diri, tahu tak? Dalam rumah ni ada umi, Rizal,
Norfarini, Fahmi dan Farhana...kalau aku duduk sorang diri memang patut pun
orang buruk sangka kat aku! Aku terima
orang mengeji aku, Nurul...tapi tak pernah pun aku jumpa dia kat
mana-mana. Aku tak pernah keluar berdua-duaan
dengan dia pun,” luah Hani Fiqah dengan perasaan sebak.
“Ha’ahlah Hani...aku percaya pada
kau. Kau sabarlah ya. Mungkin ada hikmahnya semua ni berlaku...kau
jangan sedih sangat, okey.” Diusap
lembut bahu Hani Fiqah. Nurul menghela
nafas.
“Nurul, entah apalah malangnya nasib aku.
Aku malu sangat jiran-jiran jadikan aku bahan gujirat...kalau didengari Tengku Daniel, kat manalah aku nak letak muka aku ni? Macamlah aku ni terhegeh-hegeh kat dia pulak...seolah-olah
keluarga aku sengaja canang cerita konon dia suka aku...Ya ALLAH!”
Nurul menelan liur. Kecut lidahnya.