TANGISAN bayi
pertama bergema menyapa seluruh ruang dewan pembedahan di Hospital Daerah
Papar. Ruang yang dingin itu membuatkan
tubuh kaku wanita muda dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana pengaruh ubat
bius tampak pucat namun keadaannya stabil.
“Tepat 2.15 kilo berat bayi
pertama. Ehm, sihat...comelnya dia...” Suzana memberitahu dengan nada ceria sejurus
selesai menimbang berat bayi yang masih merah itu.
Suzana, Ketua Jururawat di
Hospital Daerah Papar. Sudah lebih 15
tahun dia berkhidmat di hospital itu.
Selang beberapa minit kemudian,
tangisan bayi kedua turut bergema di ruang bilik pembedahan. Sekali lagi Suzana menyambut tubuh kecil kemerahan
itu dari tangan seorang doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan
sebagai proses menyambut kelahiran bayi kembar itu.
“Yang adik ni pula...kecik
sikit, doktor. 2.08 kilo saja berat
dia...comel sangat,” umum Suzana lagi sejurus selesai menimbang berat bayi yang
kedua itu.
Memandangkan ada seorang
doktor, seorang pakar bius dan dua orang jururawat sedang menangani Aleya, Suzana
mengurus sendiri bayi kembar itu dengan senang hati. Sementelah bayi kembar itu anak saudaranya
juga. Bagaikan terasakan aura ibu mereka
di situ, bayi-bayi itu senyap sahaja selepas meredakan tangisan pertama mereka.
Bibir Suzana tersenyum
sambil mengucap syukur beberapa kali.
“Syukur alhamdulillah. Aleya selamat melahirkan anak kembar
dia...ALLAH permudahkan segala-galanya walaupun Aleya terpaksa dibedah.” Gumam Suzana perlahan. Matanya ralit menatap
kedua-dua bayi yang sudah dibersihkan dan sudah berselimut kemas itu.
“Kedua-dua bayi ni putih
bersih kulitnya macam emak dia, kan kak Zana.” Jururawat muda yang bernama Lucy
berbisik perlahan pada Suzana, lebar senyumannya.
Terangguk-angguk Suzana mengiakan
kata-kata rakan setugasnya. Lesap sudah
kebimbangannya melihat isteri adik sepupunya itu berjuang melahirkan anak
sulung. Apatah lagi melihat anak
saudaranya lahir dengan sifat yang sempurna, tampak sangat sihat. Aleya isteri Haris. Haris pula adik sepupunya.
“Bertuah sungguh Haris dan
Aleya...dapat anak kembar yang comel.
Anak sulung pula tu,” kata Suzana
perlahan.
Jururawat Lucy
tersenyum-senyum. Bayi kembar comel itu
memang mengujakan malah membangkitkan rasa kasih bagi sesiapa saja yang melihatnya.
Di ruang menunggu di luar Dewan
Bedah, Serina sejak tadi berdiri di tepi jendela kini perlahan-lahan merapati
emaknya. Hajah Jenab yang sedang runsing
membuatkan hati Serina resah bercampur cuak.
“Mak, tenanglah...dari tadi
mak tak keruan. Risau sangat...sekejap
lagi pembedahan Aleya tu akan selesailah.”
Serina menegur Hajah Jenab yang duduk tidak pernah tenang itu.
“Macam mana mak nak
tenang...dah berjam-jam Aleya di dalam tu.
Entah macam mana keadaan dia...keadaan anak dia!” jawab Hajah Jenab
lantas mengeluh panjang. Serina tidak
akan faham bagaimana runsing perasaan saat itu.
“Aleya tu takkan apa-apalah
mak...kita sabar sajalah. Yang paling
penting anak-anak dia tu selamat, mak.”
Serina merenung dalam ke mata Hajah Jenab. Renungan yang menyampaikan hasrat. Mustahil emaknya sudah lupa apa yang mereka
sudah rancang.
Kata-kata Serina membuatkan
hati Hajah Jenab bertambah galau.
Semakin kencang degup jantungnya.
“Serina...kita patut mendoakan
keselamatan Aleya juga...bukan anak-anak dia saja!” Hajah Jenab mengalihkan pandangan. Tubir matanya terasa hangat.
“Mak...”
“Serina...kita bincang hal
ni nanti saja, ya?”
Serina tergamam
sedetik. “Baiklah mak!”
Hajah Jenab menarik nafas
panjang tatkala terdengar keluhan berat dari mulut Serina.
“Dah masuk waktu solat
zuhur...mak ke surau dulu. Kamu tak
solat, Serina?” tanya Hajah Jenab sambil
berdiri meluruskan tubuhnya.
Serina menggeleng. “Er...saya sedang cutilah, mak.”
“Hmm, yalah. Mak pergi dulu...”
Serina yang ditinggalkan
terkebil-kebil keresahan. Berkali-kali
dia menatap jam di pergelangan tangannya.
Sesungguhnya sejak Aleya dibawa masuk ke dalam dewan pembedahan, dadanya
tidak pernah tenang. Berdebar-debar
dadanya menunggu.
“Agak-agaknya...anak kembar
Aleya perempuankah lelaki? Tak sabar
pula rasanya!” gumam Serina perlahan.
Sehinggalah Hajah Jenab
datang semula, Serina melayan perasaannya.
Termenung memanjang. Sesungguhnya
penantian itu menyeksa perasaan. Kini, punggung
Serina pula tidak tenang berlabuh. Hajah
Jenab hanya memerhati.
Penantian Hajah Jenab dan
Serina berakhir tatkala pintu dewan pembedahan terkuak lebar hampir sejam
kemudian. Hajah Jenab meluru merapati Suzana
yang keluar bersama seorang lagi jururawat muda.
“Suzana...macam mana keadaan
Aleya?” tanya Hajah Jenab dengan
perasaan cuak. Diketepikan seketika
perasaan teruja terhadap cucu kembarnya.
Suzana menatap wajah emak
saudaranya dengan senyuman tipis. “Mak
Hajah...Aleya masih di dalam. Sekejap
lagi akan dihantar ke wad. Jomlah kita
ke wad dahulu...”
“Aleya tak apa-apa,
kan?” tanya Hajah Jenab lagi. Resah perasaannya selagi belum mengetahui
keadaan anak menantunya itu.
“Er...Aleya tak apa-apa cuma
belum sedar sepenuhnya, Mak Hajah.
Nantilah saya ceritakan pada Mak Hajah...”
“Tapi mak risaulah, Suzana!” Hajah Jenab belum berganjak. Berat sungguh hatinya meninggalkan ruang
menunggu di luar Dewan Bedah itu.
Berkerut-kerut dahi Hajah
Jenab. Bagaimana hatinya tidak risau
jika belum mengetahui keadaan sebenar anak menantunya itu. Apa kata Haris nanti jika dia tidak mengambil
berat tentang Aleya walhal itulah yang dipesan berkali-kali oleh anaknya itu.
“Mak Hajah...Aleya tak
apa-apa cuma buat masa ini tekanan darah dia belum stabil. Mak Hajah janganlah bimbang...Aleya akan okey
nanti. Jomlah ke wad dahulu...”
“Betul Aleya tak apa-apa, Zana?”
Suzana mengangguk. Akhirnya Hajah Jenab mengorak langkah
perlahan.
Serina mengepal
jari-jemarinya yang dingin. Ralit
matanya menatap bayi kembar yang masih merah.
Perasaannya yang sedang teruja bagaikan disentak-sentak, tidak keruan!