BAB 34
SEBAIK saja
pintu kamar terkuak lebar, Hani Fiqah meluruh masuk ke dalam kamar tidur. Dilepaskan saja beg sandang dari bahunya lalu
diletakkan di atas meja rias.
“Ya ALLAH...letihnya! Rasa nak
sambung tidur jer...” keluh Hani Fiqah
perlahan.
Tengku Daniel yang sedang membawa beg pakaian mereka tersenyum mendengar
keluhan isterinya.
“Abang, Hani nak tidur sekejap...” sambung Hani Fiqah lantas melangkah longlai
ke sofa di kamar tidur mereka.
Tengku Daniel tertawa perlahan memandang isterinya yang terus saja merebahkan
tubuhnya di atas sofa. Beg pakaian tadi
sudah dimasukkan ke dalam bilik pakaian.
Esok-esok Hani Fiqah pasti akan mengemas semula pakaian mereka itu.
Sepuluh hari mereka berada di Kuala Lumpur, terasa singkat saja masa
itu. Tengku Daniel hanya sempat membawa
Hani Fiqah ke Pulau Langkawi itu pun sekadar dua malam. Hendak diturutkan perasaan memang ingin
meluangkan masa hanya berdua-duaan. Saat
itu memang terlalu indah dan manis.
“Bulan madu yang paling singkat!
Orang lain bulan madu seminggu paling kurang. Rancanglah pergi tempat lain lagi...tempat
yang dingin sikit!” Begitu komen Tengku
Khalidah.
“Lain kalilah, nek. Hani rancang
cuti panjang lagi...” Hanya itu jawapan
Hani Fiqah.
Memang benar, jika Hani Fiqah masih bercuti mungkin mereka belum lagi balik
ke Sabah. Tengku Daniel mengajak Hani
Fiqah ke Bali namun isterinya menolak.
Masa tidak mengizinkan.
“Hani bukan tak ingin, bang. Tapi tak
seronoklah kalau masa singkat aje nanti asyik berkejar masa...kelam kabut
aje!” Alasan Hani Fiqah yang berasas.
Oleh sebab cuti persekolahan masih agak panjang lagi, Tengku Khalidah memujuk
Aleya agar tinggal lebih lama lagi di Kuala Lumpur. Mungkin belum puas lagi bersama anak dan
cucu-cucunya. Sementelah adik-adik Hani
Fiqah juga seronok berada di sana.
“Nak tidur jugak ke? Dah hampir nak senja...tak
elok tidur senja-senja, sayang.”
“Hani nak rehat aje, bang.”
“Hani bersihkan diri dululah baru rasa selesa nak rehat,” kata Tengku Daniel lagi.
“Hani nak tidur sekejap aje, bang.
Penat sangat...” balas Hani Fiqah lalu mengeliat sedikit.
“Sepanjang perjalanan Hani tidur...takkan masih mengantuk lagi?” usik
Tengku Daniel sambil melangkah menghampiri sofa lalu duduk di pinggir tempat
isterinya berbaring.
“Penatlah, bang. Dua jam setengah dalam kapal, dalam kereta
pun lebih dua jam...lenguh seluruh belakang Hani ni. Kepala pun berdenyut rasanya...”
“Ya ke? Duduk diam-diam aje pun boleh lenguh?”
“Yalah...dah dalam kereta tu hanya boleh
duduk aje nak berdiri tak boleh!”
Tengku Daniel ketawa. “Hisy...boleh loyar buruk pulak dengan
abang! Lenguh yer? Bak sini...abang tolong urutkan,” usiknya lagi. Tangannya sudah sedia melekap di pinggang
ramping isterinya.
Hani Fiqah yang tersentak dengan
sentuhan itu spontan bangkit pantas menolak tangan Tengku Daniel. Ditariknya kaki lalu duduk tegak.
“Eh...tak payahlah. Hani tak apa-apa pun!” ujar Hani Fiqah laju.
Tengku Daniel ketawa geli hati
dengan gelagat isterinya.
“Hani...Hani...pantang aje abang usik sikit, dah macam nak melatah pun
ada abang tengok. Ehm...jangan sampai
betul-betul melatah, sayang.”
“Takdelah Hani melatah! Abang ni...”
“Hmm...okeylah, abang nak mandi
dulu.”
Ditinggalkan Hani Fiqah yang
terpinga-pinga menatap Tengku Daniel melangkah ke bilik air.
Akhirnya Hani Fiqah tertawa sendiri.
Kata-kata Tengku Daniel sebentar tadi mencuit hatinya. Memang benar dia hampir melatah dek
terkejut. Bagaimana tidak terkejut jika
tiba-tiba pinggangnya bagaikan diterkam saja rasanya!
Lesap rasa letih dan kantuknya. Hani
Fiqah berdiri lalu melangkah menuju ke bilik pakaian. Dia pun sepatutnya membersihkan diri terlebih
dahulu. Hari ini masanya lebih banyak
berada di tempat awam. Selepas mandi
nanti bolehlah dia turun menjenguk dapur.
Malam nanti dia ingin memasak sendiri.
Sudah terlalu lama dia tidak makan masakan air tangan sendiri.
Di dalam bilik pakaian, Hani Fiqah termangu-mangu seketika. Tatkala terfikir dia sekali pun tidak pernah
memasak untuk suaminya sejak bergelar isteri, terasa alangkah teruk dirinya
sebagai isteri. Malam ini dia
nekad. Dia akan memasak sendiri. Sebentar nanti akan dimintanya Masnah
menyediakan bahan-bahan mentah dan segala rempah sahaja.
Sebelum berkahwin, tanggungjawab Hani Fiqah terhadap keluarga sangat
besar. Hampir tidak menang tangan,
segala-galanya diurus sendiri. Celik mata
saja pada waktu subuh, selepas bersolat dia akan terkocoh-kocoh di dapur
menyediakan sarapan. Usai menyediakan
sarapan dia berlari ke ladang ternakan dan kebun sayur. Selesai dari ladang dan kebun, dia bagaikan
lipas kudung memasak makan tengah hari untuk umi dan adik-adiknya. Makanan hanya perlu dihangatkan selepas
adik-adiknya balik dari sekolah.
Menjelang petang pula setibanya di rumah, Hani Fiqah akan bergegas ke kebun
sayur-sayuran dan ladang ternakan selepas menyalin pakaiannya. Balik dari kebun, sekali lagi dia bagai lipas
kudung menyediakan makan malam. Tugas
rutinnya terlalu padat.
Hani Fiqah menghela nafas. Tugas
rutinnya itu tidak lagi dilakukan setelah ladang ternakan dan kebunnya lesap,
dimusnahkan dengan kejam! Kini setelah
menjadi isteri Tengku Daniel, dia tidak lagi terkocoh-kocoh di dapur setiap
awal pagi dan lewat petang.
Segala-galanya dilakukan oleh pembantu rumah. Masnah memang seorang pembantu rumah yang
cekap dan baik.
“Ya ALLAH...isteri abang ni! Dalam
bilik pakaian pun boleh termenung panjang?”
Hani Fiqah mengurut dada. “Abang ni
kalau tak buat Hani terkejut, tak boleh ke? Asyik buat orang terkejut aje,” rungutnya.
Tengku Daniel ketawa. “Hani tengah
fikirkan apa ni sebenarnya? Berat sangat
ke perkara tu sampai kat bilik pakaian ni pun boleh termenung panjang?”
“Takdelah termenung...Hani nak ambik pakaian ajelah!”
Bergegas Hani Fiqah mengambil pakaiannya.
“Hani mandi dululah,” ujarnya
lalu meninggalkan Tengku Daniel di situ.
Tengku Daniel menggelengkan perlahan sambil tertawa. “Gelabah tak tentu pasal aje isteri aku ni” desisnya perlahan.
Hani Fiqah yang sudah lengkap berpakaian keluar dari bilik air tidak lama
kemudian. Tengku Daniel yang duduk
separuh berbaring di atas sofa mengalihkan pandangan dari kaca TV. Ralit matanya memerhati Hani Fiqah yang sibuk
menyikat rambutnya yang baru dikeringkan. Cantik rambut isterinya yang panjang beralun
lembut namun rambut isterinya hanya terdedah jika dia berada di rumah.
Usai menyikat rambutnya, Hani Fiqah membalikkan tubuh memandang Tengku
Daniel.
“Abang, Hani nak turun...jenguk dapur sekejap,” beritahu Hani Fiqah.
“Hani buat apa kat dapur?” tanya
Tengku Daniel pula.
“Hani nak masak.”
“Masak? Hani nak masak?” tanya Tengku Daniel seperti tidak percaya.
“Ya...Hani nak masak untuk abang!”
“Eh, tak usahlah...kan ada Masnah?”
Berkerut dahi Tengku Daniel.
“Malam ni Hani nak masak sendirilah, bang.
Dah lama Hani tak masak...”
“Alah...Hani masak hari lainlah.”
“Lah...kenapa pulak? Abang tak nak
makan masakan Hani ke?”
“Lain hari...Malam ni Hani rehat aje.
Kan tadi Hani kata lenguh-lenguh belakang? Dahlah...Hani tak perlu masak. Hani kat sini aje temankan abang!”
“Abang ni...”
“Hani ikut aje cakap abang, sayang.
Sini...” Tengku Daniel menepuk
perlahan tempat duduk di sisinya.
Besar mata Hani Fiqah menatap wajah selamba suaminya. Pelik sungguh dengan sikap Tengku Daniel
sekarang. Cakap dia saja yang perlu
didengar. Arahan dia saja yang perlu
dipatuhi!
***
DR. RAFIQ
masuk ke Unit Kecemasan dengan langkah yang santai. Demi melihat kelibat Hani Fiqah di ruang staf,
bibirnya mengukir senyuman. Adik
kembarnya itu sudah kembali bertugas rupanya setelah lama bercuti. Dua hari selepas majlis perkahwinan Hani
Fiqah dan Tengku Daniel di Kuala Lumpur, dia balik sendirian terlebih
dahulu. Dia bercuti hanya tiga hari
kerana desakan kerja. Sementelah dia
sudah bercuti lima hari ketika majlis sebelumnya.
“Assalamualaikum, Hani. Ceria sangat pagi ni...”
Mendengar sapaan itu, Hani Fiqah
mengangkat wajah. Dr. Rafiq sedang tersenyum
ceria. Pantas Hani Fiqah membalas salam
dengan ceria.
“Aik, pengantin baru dah mula kerja
hari ni?” usik Dr. Rafiq. Ralit matanya memerhati adik kembarnya yang
sibuk membetulkan tudung di kepalanya.
Hani Fiqah menghulurkan tangan
menyalami Dr. Rafiq yang berdiri di hadapan meja. Syura memandang dengan mata
terkebil-kebil. Namun didiamkan sahaja
rasa pelik yang menjentik hatinya.
“Awalnya Hani sampai? Daniel apa khabar?” tanya Dr. Rafiq.
“Daniel sihat jer. Kebetulan Daniel ada urusan kat pekan awal
pagi tadi...Hani pun berangkat sekalilah tadi,”
beritahu Hani Fiqah.
“Hah, Dr. Rafiq...doktor nampak tak
seri wajah Hani tu...bersinar-sinar tanda sedang dilanda bahagia!” Syura mengusik tatkala Dr. Rafiq dan Hani
Fiqah berhenti berbual.
Hani Fiqah hanya
tersenyum-senyum. Jika dibalas usikan
itu pasti berjela pula panjangnya.
“Tengok tu, Dr. Rafiq. Dia buat tak dengar aje...maklumlah hati
masih kat rumah!”
Dr. Rafiq ketawa sambil
tergeleng-geleng. “Ya ke? Tu tanda protes ke, Hani? Agaknya Hani belum nak kerja lagi...masih nak
bercuti, nak honeymoon berpanjangan!”
“Hmm...selepas ni saya nak ambik
cuti lagi panjang, Mungkin dalam dua
tiga bulan...Eh, cukup ke lama tu? Ah,
nantilah saya fikirkan lagi,” balas Hani
Fiqah selamba. Sengaja dijongketkan
keningnya.
Dr. Rafiq ketawa lagi. Syura mencebikkan bibir.
“Eh, mengada-ngada betul! Teruk aku kalau kau bercuti panjang, tahu
tak? Adakah patut Sister Rosie hantar Staff
Nurse junior, ganti kau di sini. Teruk
aku buat semua prosedur...budak tu takut-takut aje nak buat!” rungut Syura.
Hani Fiqah tersenyum. “Kan...mula-mula kau masuk kat sini pun macam
tulah jugak. Ingat tak? Nak cucuk jarum pun menggeletar tangan! Kejap-kejap panggil aku,” usiknya.
“Hisy...kau ni, Hani. Janganlah sebut terang-terang! Itu cerita dulu...tapi aku cepat aje
belajar...sekarang aku dah mahir, kan?”
Syura tersengih-sengih macam kerang busuk.
Hani Fiqah ketawa sambil menggeleng
apabila Syura mula puji diri sendiri.
Namun, Syura memang rakannya yang peramah dan ceria.
“Hani, abang laparlah.” Dr. Rafiq mengusap-usap permukaan
perutnya. Semalam dia makan malam
terlalu awal mungkin sebab itu dia berasa lapar pagi ini.
“Abang tak sarapan lagi ke?” tanya
Hani Fiqah.
“Mana ada masa nak sediakan sarapan...tadi abang keluar awal.”
“Lah...kenapa abang tak datang rumah aje...kita boleh sarapan sama-sama.”
“Alah, malaslah nak ganggu Hani dengan Daniel awal pagi kalau takat nak
sarapan. Seganlah abang! Kalau ada umi lainlah...” Dr. Rafiq tertawa perlahan.
“Hisy, nak segan apa pulak? Macam
tak biasa pulak!”
“Eh, jom temankan abang sarapan sekejap.
Awal lagi ni...” Dr. Rafiq
menatap jam tangannya seketika. Masih
ada masa 25 minit lagi sebelum memulakan tugas.
“Ehm...okey juga tu. Hani pun dah rindu minuman kat kantin...”
Syura yang sejak tadi tergamam kini
terbelalak mata mendengar Dr. Rafiq dan Hani Fiqah berbalas kata. Tadi, bersalaman. Hani Fiqah siap cium tangan Dr. Rafiq. Sekarang, siap panggil abang pula. Sangat mesra!
“Abang? Eh...biar betul apa yang aku dengar ni!” Mulut Syura melopong.
Dr. Rafiq dan Hani Fiqah
berpandangan. Kedua-duanya menjongketkan
bahu. Muka Syura tampak kalut sahaja.
“Sejak bila pula bukan main mesra
ni? Salam cium tangan, siap panggil
abang bagai ni?” tanya Syura
bersungguh-sungguh. Kebingungan.
“Eh...itu rahsia kita orang. Kau jangan salah faham pulak, yer?” Hani Fiqah mengeryitkan matanya. Sengaja mengusik Syura.
“Dahlah tu...Syura tak nak sarapan
dulu ke? Jomlah...” pelawa Dr. Rafiq.
“Tunggu! Sebelum mengisi perut...aku nak tahu, kau
orang berdua ni...apa cerita sebenarnya?”
Syura mendesak. Dia tidak mahu
berburuk sangka.
“Ya ALLAH...kau ni Syura. Takde
apa-apalah...sajalah nak panggil abang.
Tak salah pun, kan? Hah, mulai
sekarang...kau pun belajarlah panggil abang kat Dr. Rafiq ni.” Hani Fiqah sengaja mendera perasaan ingin
tahu Syura.
“Hisy...kau ni Hani. Mustahil tak ada apa-apa? Kau beritahu aku, cepat!” Desak Syura lagi.
Hani Fiqah tertawa perlahan. Ditepuk-tepuk perlahan bahu rakannya
itu. Syura semakin tidak sabar. Terasa geram.
“Eh, kau jangan main-main,
Hani. Seriuslah sikit! Aku tanya betul-betul, tahu tak?” ujar Syura dengan nada merajuk.
“Hisy, janganlah marah...nanti muka
masam, tak comel pulak!” Hani Fiqah
tetap mengusik walaupun wajah rakannya sudah kelat.
“Hani, sudahlah mengusik Syura
tu. Asyik tunggu ni nanti perut abang
yang berkeroncong...cakap ajelah kat Syura,”
kata Dr. Rafiq. Kasihan pula
melihat Syura yang tidak puas hati.
Hani Fiqah ketawa. Diusap-usapnya bahu Syura sebagai tanda
pujukan.
“Syura...sebenarnya aku dengan Dr.
Rafiq ni adik-beradik. Adik-beradik
kembar...Dr. Rafiq abang dan aku adik,” kata
Hani Fiqah dengan nada gurauan.
“Eh, otak kau dah tak betul pula
sejak dah kahwin ni, Hani. Agak-agaklah
juga kalau nak kelentong aku!” Marah
Syura.
“Ya ALLAH...aku cakap perkara betul,
kau kata kelentong? Eh, dahlah kau paksa
aku cakap hal sebenar...aku cakap kau tak percaya pulak. Eh, kau tak dengar ke wali masa aku nikah kan
ke Dr. Rafiq?” ujar Hani Fiqah
“Yalah...macam mana aku nak percaya
kalau kau cakap benda tak masuk akal?
Logikkah kau dengan Dr. Rafiq adik beradik...bin dan binti
berlainan? Kau lupa ya...aku kan datang
lambat masa kau nikah. Aku tak tahu pun
siapa wali kau!”
Hani Fiqah terdiam. Wajah muram Syura ditatap lalu beralih ke
wajah Dr. Rafiq.
“Syura...Hani cakap betul. Kami memang adik-beradik kembar, adik-beradik
kandung...lahir daripada seorang ibu dan ayah yang sama. Masa saya baru lahir...emak saudara ambik
saya jadi anak angkat sebab tu bin saya lain.
Begitulah hal sebenarnya...kami tetap adik-beradik walau pun tak
membesar bersama.” Dr. Rafiq menjelaskan
secara padat. Tidak sabar dia ingin
mengakhiri sengketa ringan Hani Fiqah dan Syura. Perutnya bagaikan sudah menjerit minta diisi.
“Kau okey ke, Syura? Dahlah...jangan difikirkan perkara tu
lagi. Jom kita pergi minum sebelum naga
kat perut Dr. Rafiq mengamuk!” kata Hani
Fiqah bergurau sambil tertawa.
“Okeylah...maafkan aku, ya?” Syura tersenyum-senyum.
“Takde apalah, Syura. Aku faham...jomlah.” Hani Fiqah menguis lengan Syura.
Dr. Rafiq yang sudah berlalu dikejar
dengan langkah tergesa-gesa.