DOKTOR RAFIQ
bergegas ke wad kecemasan tatkala menerima panggilan daripada Syura. Dia baru duduk di cafe, belum pun sempat
meneguk teh tarik special yang dimintanya. Sebentar tadi, unit kecemasan lengang saja
sebab itu dia 'melarikan diri' sekejap.
Kering tekaknya setelah lebih setengah hari memberi rawatan kecemasan kepada
pesakit, lebih sepuluh kes kecemasan untuk pagi sehingga tengah hari.
Petang ini pun sudah sepuluh kes
kecemasan. Sekarang, seorang wanita
warga emas diangkat ke wad kecemasan setelah tidak sedarkan diri hampir dua jam
lamanya. Itu yang buat Dr. Rafiq
bergegas balik ke wad kecemasan, ditinggalkan teh tarik special kegemarannya.
“Syura, Hani Fiqah mana?” tanya Dr. Rafiq.
“Hani...tu...” panjang muncung Syura menghala pada Hani
Fiqah.
“Hey...Hani, awak nak ke mana
tu?” tanya Dr. Rafiq, matanya menatap
gadis itu.
“Saya dah nak balik, doktor. Ada apa doktor?” Hani yang sudah membasuh tangan
sebersih-bersihnya, bersiap-siap hendak balik.
“Eh, dah nak balik? Shift
awak dah habis ke?” tanya Dr. Rafiq lagi.
Spontan dia menatap jam tangannya
“Ha’ah doktor. Ada yang perlu saya bantu?”
“Tak mengapalah...”
Hani Fiqah tidak jadi melangkah ke locker, mengambil beg tangan dan
jaketnya. Langkahnya menghala ke katil
pesakit. Dihampirinya doktor muda yang
sedang sibuk memeriksa nadi wanita warga emas yang baru sedarkan diri. Hani Fiqah memerhati, dia berdiri di sisi
doktor muda itu. Dr. Rafiq baru tiga bulan
bertugas di hospital itu. Hari pertama
doktor muda itu bertugas di hospital itu, Hani Fiqah ketawa tatkala mendapat
tahu tarikh lahir Dr. Rafiq sama dengan tarikh lahirnya. Sama tarikh, bulan dan tahun. Mereka berdua seusia. Satu kebetulan yang sangat unik dan menarik!
“Aik...kata nak balik...pasal apa
tak balik lagi?” Sempat lagi Dr. Rafiq
bertanya.
“Ada apa-apa yang perlu saya bantu ke
doktor?” tanya Hani Fiqah tanpa menjawab
pertanyaan doktor muda itu.
“Ikhlas ke nak bantu ni? Waktu kerja awak dah tamat...”
Tanpa menjawab soalan Dr. Rafiq,
Hani Fiqah membantu apa yang patut.
Sejenak dia menatap wajah wanita warga emas itu. Pucat sungguh wajahnya. Simpati menjalar relung hati namun itulah
hakikat yang perlu dia hadapi setiap hari.
Kemasukan pesakit tidak pernah putus di wad kecemasan itu tanpa kira waktu.
Lebih tiga tahun bertugas di unit kecemasan, Hani Fiqah sudah semakin tabah. Tempoh lebih tiga tahun itu dia sudah
mendepani pelbagai pesakit dengan pelbagai penyakit. Ada kalanya pesakit yang dihantar dalam
keadaan tenat, kritikal malah kerap pesakit menghembuskan nafas terakhir di
depan mata.
“Hani...” Syura menguit siku Hani Fiqah.
“Hmm?” Hani Fiqah mengalih pandangan. Dijongketkan kening pada Syura.
“Kau tolong ambik darah nenek tu...”
Syura tersengih-sengih.
“Aik, kita kan dah handing over
tadi!” Hani Fiqah merenung wajah
rakannya.
“Alah...kau tolonglah aku sementara
kau belum balik. Kau kan cun...sekali
cucuk aje, confirm dapat...aku susah sikit!” Sengihan Syura kian lebar.
Tanpa berlengah Syura menyediakan
peralatan, dihulurkan kepada Hani Fiqah. Terkedip-kedip mata Hani Fiqah menatap
wajah miring Syura yang menayangkan muka seposennya!
“Kau ni...ambik kesempatan kat aku!”
“Taklah...saja nak bermanja-manja
dengan kau!”
Hani Fiqah menggelengkan perlahan. Diterima juga peralatan yang dihulurkan oleh
Syura. Setelah mengambil darah, Hani
Fiqah memasangkan infusi ke lengan warga emas itu. Dilihatnya Syura sudah menyelimuti wanita
malang itu.
“Family
nenek ni ada ke, Syura?” tanya Hani
Fiqah sambil membantu Syura membetulkan selimut di sebelah kaki wanita itu.
“Er, entahlah Hani...tadi nenek ni
dihantar oleh jiran dia. Saya pun tak
sempat nak tanya. Jiran dia tu masih ada
di ruang menunggu,” beritahu Syura.
“Tak mengapalah...harap-harap jiran
tu dah hubungi keluarga nenek ni. Nenek
ni sah masuk wad...” bisik Hani Fiqah
perlahan tatkala melihat keadaan pesakit itu.
Rawan hatinya.
Dr. Rafiq yang sedang memberi
rawatan, memeriksa dada wanita itu hanya mendiamkan diri. Tidak diendah perbualan perlahan kedua-dua
jururawat itu sementelah dia perlu meneliti denyutan jantung pesakit itu.
“Nenek ni dah mula sedarkan
diri...Hani, awak sediakan ECG,” arah Dr. Rafiq.
Tanpa berlengah, Hani
Fiqah menarik mesin Elektrokardiogram (ECG) dirapatkan ke katil pesakit. Syura pula membuka butang baju bahagian dada.
12-ECG elektrod diletakkan di posisi standard pada dada serta di kedua-dua
anggota bahagian atas dan bawah buah dada wanita itu, memang berselirat badan
dengan wayar. Wanita itu mula bernafas,
pendek sahaja tarikan nafasnya.
“Kesian nenek ni...tentu
payah tanggung sakit bila dah tua, kan Hani?” bisik Syura perlahan.
Hani Fiqah hanya
menganggukkan. Diperhatikan Dr. Rafiq
memeriksa keputusan ECG, berkerut dahi doktor muda itu.
“Abnormal! Syura call
Doktor Suraj. Sekarang ya,” arah Dr. Rafiq.
Syura segera berlalu menuju ke meja kerja tidak jauh dari
katil pesakit itu. Dr. Rafiq memberi
isyarat kepada Hani Fiqah agar membantunya menanggalkan beberapa elektrod lalu
dilekapkan semula. Ujian dilakukan
sekali lagi bagi memastikan keputusan pemeriksaan benar-benar tepat. Seperti biasa, dada Hani Fiqah akan berdebar
halus jika keadaan pesakit tidak stabil.
Semua itu mengusik kotak memorinya, dia akan teringat arwah abahnya!
“Syura kenal dengan jiran yang hantar nenek ni ke sini,
kan? Syura tolong panggilkan dia, saya
nak tanya sesuatu...” Sekali lagi Dr. Rafiq
mengarah Syura dan gadis itu menganggukkan kepala. Lebar kakinya membuka langkah.
“Hani...sediakan prosedur pesakit masuk wad.” Dr. Rafiq memandang Hani Fiqah seketika.
Hani Fiqah melaksanakan arahan tanpa sebarang kata. Namun tiba-tiba dia teringatkan uminya,
segera dikeluarkan telefon bimbitnya.
Jika dia tidak memaklumkan kelewatannya balik, uminya pasti akan
bimbang. Tatkala mendengar suara uminya,
Hani Fiqah terus memberi salam.
“Habis kerja nanti Hani terus baliklah ya. Daniel ada kat rumah ni...dia sampai sejak
tengah hari tadi. Senang hati sangat
adik-adik Hani tu...”
Bagaikan tertelan buah keras rasanya kerongkong Hani
Fiqah mendengar kata-kata uminya.
***
LEMBUT tatapan
Aleya pada wajah Hani Fiqah yang tidak ceria.
Sudah hampir setengah jam anak gadis sulungnya itu 'bertapa' dalam kamar
tidurnya. Aleya tidak kisah berapa lama
pun Hani Fiqah berada di kamarnya tetapi Farhana sudah berulang kali melaung, memanggil-manggil
kak longnya itu. Si bongsu itu jika
kakak kesayangannya sudah berada di rumah, ada saja kehendaknya. Anak manjalah katakan.
“Hani...kita keluar, ya? Tak elok Hani menghindari Daniel macam
ni...kesian kat dia, jauh dia datang,”
pujuk Aleya buat kesekian kalinya.
“Ah, biarlah dia umi...kita takde
jemput pun dia datang sini!”
“Astaghfirullah...Hani ni!” Tergeleng Aleya dengan kerenah anak sulungnya
itu. Wajah mencuka Hani Fiqah ditatap.
“Umi, Hani dah cakap kat dia...tak
usahlah datang sini. Buat apa dia nak
datang? Kita bukannya ada kena mengena
dengan dia tu umi. Hani tak sukalah...jiran-jiran
akan mengata, mengumpat Hani. Masa balik
tadi, kak Rita cakap macam-macam kat Hani.
Rasa nak terbakar telinga Hani ni!”
Aleya terdiam seketika. Dihelakan nafasnya perlahan. Petang tadi, sebaik saja melihat kereta mewah
Tengku Daniel menuju ke rumah mereka, Sahuda juga sudah berkejar ke rumah
mereka bagaikan ‘paparazzi’. Sahuda
memotret mangsanya melalui mata dan mulutnya.
Apa yang dilihat, sungguh cepat disebarkan bahan gunjingan itu ke merata
rumah kejiranan mereka.
Namun, tidak disampaikan kepada Hani
Fiqah bagaimana kecohnya Sahuda petang itu.
Bimbang pula jika Hani Fiqah bertindak 'mengusir' Tengku Daniel.
Pernah berlaku suatu ketika dahulu,
dua orang rakan sekolah Rizal datang bertandang ke rumah mereka. Kebetulan Hani Fiqah sampai ke rumah, Rizal
dan rakan sekolahnya bersembang di beranda rumah. Hani
Fiqah tidak terus masuk ke rumah sebaliknya berdiri tegak di hadapan Rizal dan
dua orang rakannya.
“Roslan, Jusle, umur kamu sebaya Rizal,
kan?” tanya Hani Fiqah dengan intonasi
tegas.
“Ha'ah, kak Hani...” Hampir serentak remaja itu menjawab.
“Riz...”
“Ya, kak long?” Rizal yang duduk berhadapan dengan kedua-dua
rakannya berdiri. Ditatap wajah serius
kakaknya.
“Riz juga hisap rokok macam Roslan dan Jusle tak?” tanya Hani Fiqah tanpa berselindung.
Riak wajah ketiga-tiga remaja itu
tampak terkejut. Lekas sungguh kedua-dua
remaja itu melemparkan batang rokok yang masih tinggal separuh itu ke halaman
rumah.
“Er, tak kak long. Sumpah!
Riz tak pernah hisap rokok, kak long...betul!” Kelam kabut Faris menjelaskan.
“Okey...kak long percaya tapi
awas...sekali saja kak kong nampak, tahulah apa kak long nak buat nanti!” ugut Hani Fiqah.
“Tak kak long...Riz tak pernah dan
tak akan hisap rokok...Riz janji, kak long.”
Rizal menghampiri kakaknya dengan wajah serba salah.
“Roslan, Jusle, kalau masih nak
datang rumah akak ni, jangan sekali-kali bagi akak tengok kamu berdua hisap rokok
kat rumah ni. Seperkara lagi...umur kamu
belum pun enam belas tahun tapi dah berjinak-jinak dengan benda tu. Tahu tak berapa peratus benda tu rosakkan
organ dalaman kamu yang masih terlalu muda ni?
Tahu tak kesan benda tu terhadap orang lain? Pernah baca tak amaran bahayanya merokok?
Kat rumah ni, bukan hanya ada Rizal tetapi umi dan adik-adik. Ada baca tentang kesan-kesan buruk jika hisap
rokok? Tahu tak kesan buruk orang yang
turut sama sedut asap rokok tu? Tak
sayang diri kamu sendiri ke? Tak kesian
ke dengan ayah dan ibu kamu? Cuba
belajar fikirkan perasaan orang tua.
Mulai hari ini...kalau Roslan dan Jusle tak berhenti lagi hisap rokok...jangan
datang lagi ke rumah ni, faham?
Sekarang...kamu pergilah balik!”
Sejurus 'ceramah percuma' Hani Fiqah
itu selesai, kedua-dua remaja itu bagaikan dikejar hantu, bergegas turun lalu
mendapatkan basikal masing-masing. Laju
sungguh kaki mengayuh.
Aleya hanya mendengar di sebalik
pintu semasa Hani Fiqah berceramah. Diperhatikan
saja Roslan dan Jusle ‘diusir’ Hani Fiqah.
Lari ketakutan kedua-duanya hingga hampir tumbang tatkala roda basikal
terlanggar sebiji batu besar di pinggir jalan.
“Umi...” panggil Hani Fiqah.
Buyar lamunan Aleya. Cepat saja bibirnya mengukir senyuman buat
anak gadisnya. Hani Fiqah sangat manis,
masam mencuka pun mukanya tetap tampak ayu.
“Hani, apa-apa pun Daniel tu tetamu
kita...umi tak sedap hati pulak Hani buat tak kenal kat dia. Kesian dia, sanggup datang dari jauh
semata-mata nak jenguk kita. Biarlah
orang mengumpat...kita tahu kita tak buat salah, tak buat dosa...”
“Hani malu, umi. Jiran-jiran pandang Hani macamlah Hani ni dah
jadi pelacur!”
“Astaghfirullahalazim...Hani ni! Tak payahlah fikir perkara yang tak elok
macam tu! Takkanlah jiran-jiran kita
sampai hati nak tuduh anak umi macam tu sekali?
Dahlah...jangan fikir yang bukan-bukan.
Hani belum masak lagi, kan? Kejap
lagi Nana manja terjerit-jerit lagilah tu...”
Aleya menolak roda kerusinya,
dihampiri Hani Fiqah yang duduk di pinggir tempat tidurnya. Paha Hani Fiqah ditepuk lembut.
“Umi...kenapa umi beri muka sangat
kat Daniel tu?”
Aleya tertawa halus. Terasa pertanyaan Hani Fiqah itu soalan
kebudak-budakan.
“Umi dah anggap Daniel tu macam anak
umi juga, Hani. Tak salah kita
berbaik-baik dengan orang kalau orang tu baik budi pekertinya...”
“Umi...umi sebenarnya suka sangat kat
Daniel sebab dia pun keturunan tengku juga ke umi?”
Aleya menggeleng perlahan lalu
ketawa geli hati. Entah mengapa pula
tiba-tiba Hani Fiqah ‘kurang bijaknya’ petang ini! Digamitnya tangan Hani Fiqah
lalu digenggam perlahan.