Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,287
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

HANI FIQAH meninjau-ninjau buah betik yang sudah boleh dipetik. Ada beberapa biji yang sudah bertukar warna, sudah separuh berwarna kekuningan. Renek saja pokok betik itu, separas kepalanya. Betik jenis eksotika, jenis betik yang menghasilkan buah yang lebat. Kelihatan menarik buah betik atau nama saintifiknya Carica Papaya L. Varieti betik eksotika di kebun itu, ada yang bulat dan ada yang bujur. Adik-adiknya sangat gemar makan buah betik jenis ini kerana rasanya yang manis dan warnanya yang merah itu pula tampak menarik.

Di kebun itu, ditanam pelbagai lagi varieti betik sebenarnya. Betik Subang 6, betik setiawan dan batu arang pun ada. Setiap kali ada peniaga dari pasar datang memborong sayur-sayuran, buah betik pun serba sedikit menyumbangkan hasil pendapatan buat keluarganya.

“Hani!”

Terlepas dan terpelanting pisau kecil daripada pegangan Hani Fiqah. Sungguh terperanjat disergah begitu.

“Astaghfirullahalazim...Nurul!”

Dicerlung matanya menatap wajah Nurul. “Kau tahu tak...kau kurangkan umur aku lima minit sebab terkejut macam ni?” sambung Hani Fiqah.

“Hahaha..” Terbahak-bahak Nurul ketawa. Sehingga berair matanya.

“Nasib baiklah aku tak tersepak terajang kau tadi! Kau ni nak galak aku buat dosa ke?” marah Hani Fiqah.

“Hisy...mentang-mentanglah kau dah capai black belt! Takkan kau nak belasah aku? Hah, tulah siapa suruh kau tak sedar? Aku tercegat di belakang kau tadi tapi kau langsung tak perasan pun!”

“Nurul...Nurul...kau ni dari dulu sampai sekarang tak berubah-ubah perangai! Macam budak-budak! Orang ni bagilah salam...bukan main sergah macam tu aje!”

“Hoi...kau kata aku macam budak-budak, Hani?”

“Memang!”

“Eh, tolong sikit ya. Kita sebaya...aku tua lebih tiga bulan daripada umur kau, tahu tak?”

“Tahu...tapi perangai kau tu yang tak matang-matang!”

“Eh...mulut kau tu, aku cili nanti baru tahu!”

“Lah...kau lupa ke, cili tu kegemaran aku? Tak berasa makan aku tanpa cili!”

Nurul ternganga. Kehabisan modal untuk menyakat. Jika beradu kata dengan Hani Fiqah, dia tidak pernah menang!

Hani Fiqah menjongket keningnya. “Aik, kenapa pula kau tiba-tiba senyap?”

Tersengih-sengih gadis yang sejak kecil menjadi sahabatnya itu. “Aku malaslah nak gaduh dengan kau hari ni. Aku penat sangat hari ni...” Rendah saja nada suara Nurul.

Giliran Hani Fiqah pula ketawa. “Tahu penat, kau nak juga merayau-rayau kat kebun sayur aku ni...kan elok kau duduk berehat tunggu aku balik aje kat rumah tadi?”

Nurul tertawa. “Aku rindu pada kaulah Hani. Dah seminggu aku tak hadap muka pahit kau!”

“Ehm, tahu pun kau rindu kat aku! Ingatkan aku aje yang rindu kat kau...”

Hani Fiqah mencebik bibir namun tersenyum manis selepas itu. Dia tahu sahabatnya itu bercakap benar. Nurul, sikapnya agak ‘gila-gila’ sikit namun hatinya sangat baik. Sejak kecil berkawan, Hani Fiqah sangat faham perangai gadis bernama Nurul itu.

Sesungguhnya, tidak ada di kalangan gadis-gadis kampung itu mahu berkawan dengan Nurul. Nurul dipinggirkan. Puncanya hanya kerana emak Nurul bekerja sebagai penjaga tandas awam di pekan. Nurul sering diejek-ejek kerana pekerjaan emaknya itu. Hinakah bekerja sebagai penjaga dan pembersih tandas awam? Bukan itu sahaja, Nurul juga terpaksa pekakkan telinga dirinya digelar shampoo girl sebab bekerja sambilan sebagai pencuci rambut di salah sebuah salun di pekan. Salahkah mencari rezeki halal dengan pekerjaan begitu? Ah, orang memang sering bersikap tidak adil!

Namun, Nurul jenis gadis yang tahan tukul. Tidak sedikit pun dia kisah pandangan orang terhadap dirinya. Segala tohmahan itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya. Dia mencari rezeki, dia lakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh. Malah Nurul berangan-angan, suatu masa nanti dia ingin menjadi hair stylist. Bercita-cita memiliki premis salon sendiri suatu hari kelak.

“Lantaklah apa orang nak cakap pasal aku, Hani. Orang kampung tahu nak mengumpat saja, Hani. Kalau aku dengan mak dalam kesusahan, dorang tak sudi pun hulurkan bantuan pada kami. Kau sekeluarga juga yang bersusah bantu aku...” Nurul pernah mengungkit sikap jiran mereka.

“Eh, jomlah balik rumah...kau tentu terliur nak minum milo ais air tangan aku, kan?” ajak Hani Fiqah.

Mengekek Nurul ketawa. “Kau macam tahu-tahu saja hajat aku datang!”

“Eleh...bukan susah pun nak baca niat kau tu. Dahlah...jom balik!”

“Eh, kau tak jadi petik buah betik tu? Aku tolong kau...” Telunjuk Nurul menunjuk lurus pada buah betik yang sudah kekuningan.

“Eh, takpelah...aku tunggu Rizal balik.” Lantas Hani Fiqah mengorak langkah. Nurul menyaingi langkahnya.

“Eh, Hani...kau tahu tak...”

“Tak tahu!” Spontan saja Hani Fiqah memintas.

“Kau ni Hani...suka sangat buat hati aku menggelegak tahu!” Nurul pura-pura geram.

Hani Fiqah tersengih-sengih. Entah mengapa, dia sendiri suka menyakat Nurul. Dia suka melihat Nurul merajuk dan marah-marah sayang padanya.

“Kau dengar ni...hari ini aku berjaya gunting rambut tiga orang budak. Tahu tak?”

“Gunting rambut budak? Oh...syukurlah. Budak umur berapa?” tanya Hani Fiqah seraya berhenti melangkah.

Berkerut dahi Nurul dengan pertanyaan itu. Apa pula kena mengena gunting rambut dengan umur? Benaknya tertanya-tanya.

“Er, umur...agak-agak lingkungan tiga empat tahun. Kenapa kau tanya umur budak-budak tu pula?”

“Ehm...patutlah...”

“Wei...apa pula yang patut?” Nurul pantas menggamit lengan Hani Fiqah yang bersedia hendak melangkah semula itu.

Hani Fiqah tertawa perlahan. “Yalah...budak umur tiga empat tahun mana pandai nak gaya, kan? Mak dia minta kau gunting botak, aku pun mampu nak buat!”

Ternganga Nurul. Terkebil-kebil matanya menatap wajah Hani Fiqah lalu akhirnya memuncungkan bibir.

Sorry Nurul...aku gurau aje!”

Terasa bersalah pula mempermainkan kawannya. Hani Fiqah menyentuh bahu Nurul lantas diusap perlahan. Nurul tersenyum manis. Dia tahu, Hani Fiqah tidak berniat pun memperkecil-kecilkan kebolehannya.

“Eh, aku tak kecil hati pun...”

“Aku sentiasa doakan kau sukses capai cita-cita kau, Nurul. Aku tahu...semangat kau tinggi, kau gigih asah kemahiran kau. Tak lama lagi kau pasti mahir gunting rambut orang dewasa pulak. Kau hanya perlu yakin pada diri kau.”

“Terima kasih Hani...kaulah satu-satunya kawan yang sudi doakan dan beri aku semangat.” Terharu hati Nurul.

“Eh, kau tak minat ke nak belajar make up, Nurul?” tanya Hani Fiqah sambil meneliti raut wajah Nurul. Nurul cantik orangnya, comel walaupun terlalu ringkas penampilannya.

“Minat...tapi kau pun tahu kos belajar make up tu mahal, Hani. Tak mampulah aku. Mak pernah suruh aku cari tempat kursus make up tapi aku kesian pada mak...tak sanggup nak menyusahkan dia lagi.”

Hani Fiqah terdiam. Menghayati ujaran Nurul. Susah kehidupan Nurul dengan mak dia, sejak kecil ditinggalkan bapanya. Nurul tidak tahu ke mana sebenarnya bapanya pergi. Maknya ditinggalkan tanpa punca pendapatan.

Syukurlah maknya mendapat mandat daripada pihak Majlis Daerah menjaga kebersihan tandas awam di pekan Ranau. Sebagai ganjaran, maknya dibenarkan mengutip dua puluh sen daripada setiap seorang pengguna tandas awam itu. Pendapatan itulah yang menampung perbelanjaan harian mereka dua orang anak-beranak. Ditambah sedikit dengan gaji Nurul bekerja di salun, itu pun hanya RM350 sebulan!

                                                                   ***

LAMA mata Aleya tertancap tepat ke wajah Hani Fiqah yang tertunduk menumpukan perhatian pada baju yang sedang disulamnya dengan tekun. Cekap jemari halus itu menjahit sulaman tangan.

Semenjak Haris meninggal dunia, Aleya berusaha bertahan berdepan dengan kesukaran dan beban tanpa Haris di sisinya lagi. Hani Fiqah sedaya upaya meringankan bebannya. Sejak bertugas di Hospital Ranau tiga tahun yang lalu setelah menamatkan Kursus Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Hospital Besar Kota Kinabalu, Hani Fiqah tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai anak sulung malah sebagai pengganti tempat arwah abahnya. Amat berat tanggungjawab Hani Fiqah.

Setiap bulan menjelaskan sewa tanah, ansuran bulanan kereta, bil eletrik, bil air, bil telefon dan bil astro. Termasuklah sewa bulanan bas sekolah dan kelas tusyen adik-adiknya serta perbelanjaan harian mereka sekeluarga. Hani Fiqah sudah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab itu sejak Haris sakit, sering keluar masuk wad.

Gaji Hani Fiqah, pendapatan Aleya hasil daripada kerja-kerja jahitan dicampurkan pula dengan pendapatan hasil ternakan dan hasil tanaman sayur-sayuran memang cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga. Keluarga mereka tidak akan putus wang perbelanjaan namun sudah tentu tidak lagi 'semewah' seperti ketika arwah Haris masih ada.

“Umi...” Tiba-tiba Hani Fiqah memanggil setelah agak lama mereka menyepi.

Hani Fiqah meletakkan baju di tangannya di atas riba. Lenguh juga tengkuknya asyik tertunduk memberi tumpuan pada baju itu.

“Hmm?”

“Umi, Hani cadang nak cari pekerja untuk bantu kita urus ternakan dan kebun sayur kita tu. Lepas kerja kat ladang, bolehlah dia bantu kerja kat rumah ni pula, sambil tu boleh temankan umi. Rizal dah tingkatan lima...Hani bimbang pelajaran dia terganggu kalau asyik bantu Hani setiap hari. Boleh ke umi?”

Aleya memberi perhatian pada kata-kata anak gadisnya. Sudah lama simpatinya tumpah buat anak sulungnya itu. Semenjak suaminya meninggal dunia, secara tidak langsung Hani Fiqahlah menjadi ketua keluarga. Segala-galanya diurus oleh Hani Fiqah. Sangat besar tanggungjawab Hani Fiqah apatah lagi perlu mengurus empat orang adiknya.

“Umi serahkan aje pada Hani...apa-apa Hani rasa baik, baiklah juga bagi umi, sayang. Carilah...” balas Aleya dengan lembut.

Sesungguhnya dia amat faham betapa berat beban yang terpikul di bahu anak gadisnya sekarang. Namun dia tidak berdaya meringankan beban anaknya itu. Saban hari Hani Fiqah berebut masa dengan tanggungjawabnya terhadap keluarga sebelum meninggalkan rumah ke tempatnya bertugas. Setiap petang balik daripada bekerja pun sama, Hani Fiqah jugalah yang teramat sibuk.

Aleya hanya mampu mengeluh dalam diam. Dia ingin membantu malah sangat-sangat ingin meringankan sedikit beban anak gadisnya itu namun apa dayanya. Bergerak dengan kerusi roda, kerja-kerja yang dapat dilakukannya memang sangat terhad. Sudah enam tahun dirinya tidak lagi bergerak sebebas dulu. Ah, takdir yang menimpa dirinya memang sangat sukar untuk diterima namun itulah hakikatnya. Dirinya seorang wanita lumpuh!

“Hani usaha cari, umi. Hani pun risau umi keseorangan kat rumah. Mungkin Hani dapatkan melalui perkhidmatan ejen, umi.”

Aleya mengangguk. Dia sudah lama mengharapkan beban Hani Fiqah dapat diringankan.

“Umi, mulai sekarang...umi pun kurangkan sikit terima kain jahitan, ya? Hani bukan apa...Hani cuma tak nak umi kurang rehat sebab nak siapkan jahitan. Hani kerja...tak banyak masa lagi nak bantu umi. Umi mesti jaga kesihatan, ya umi?”

Sekali lagi Aleya menadah telinga dengan penuh perhatian. Sesungguhnya dia sangat terharu setiap kali Hani Fiqah memberi keprihatinan berlebihan terhadap dirinya. ALLAH maha pengasih dan pemurah, dianugerahkan anak-anak yang baik kepadanya. Saban hari berdoa, rasa bersyukurnya memang tidak pernah putus meski dipisahkan Haris darinya terlalu awal.

“Umi hadkan jumlah jahitan...tak perlu terima pelanggan yang tergesa-gesa nak mintak siapkan baju. Boleh ya, umi?” sambung Hani Fiqah lagi.

Tersenyum Aleya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Hani Fiqah tidak habis-habis dengan keprihatinannya.

“Okeylah Hani. Umi pun sebenarnya dah tak larat siapkan jahitan kalau yang nak cepat. Umi dah menolak...banyak lagi tempat menjahit pakaian kat pekan tu kalau dia orang nak cepat tapi dia orang merayu juga, nak juga umi yang jahitkan.”

“Lepas ni...kalau yang nak cepat, umi tak usahlah ambik lagi ya? Hani kesiankan umi. Hari-hari tidur lewat, tak elok untuk kesihatan umi...”

“Yalah, umi faham. Nanti umi tak ambik lagi yang nak cepat siap tu. Hani tak usahlah risau sangat.”

Giliran Hani Fiqah melemparkan senyuman. Jika tidak kerana uminya minat menjahit, sudah tentu diminta uminya itu berhenti saja menjahit. Bukan mereka tidak cukup belanja, hasil jualan sayur-sayuran dan ayam itik ternakan pun sudah lebih daripada cukup. Uminya pula bukan jenis yang suka berbelanja, membeli pakaian pun hanya sekali dua dalam setahun, itu pun setelah dia mendesak.

“Umi bukannya nak ke mana-mana...tak usahlah bazirkan duit beli pakaian baharu. Yang ada tu pun masih baharu lagi, Hani.” Begitulah Aleya selalu berkata.

Redup mata Hani Fiqah menatap wajah lembut Aleya. Dia terlalu mencintai uminya itu. Satu-satunya wanita yang sangat menyayangi dirinya dan adik-adiknya. Tidak ada wanita lain lagi dalam hidup mereka melainkan umi mereka itu.

“Hani sayang umi,” ucap Hani Fiqah perlahan.

Aleya tersenyum. “Umi pun sayang sangat pada Hani...pada adik-adik. Tak bermakna langsung hidup umi tanpa anak-anak umi,” balasnya dengan nada sayu. Memiliki Hani Fiqah sebagai anak, hati Aleya tidak pernah berhenti bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya. Hani Fiqah seorang anak yang sangat sempurna baginya.

Lebar senyuman Hani Fiqah. Diteruskan kerjanya yang tertangguh beberapa minit itu. Ditekuni kerjanya hingga selesai. Hani Fiqah menghela nafas lega tatkala sulaman pada leher baju kurung itu sudah sempurna sepenuhnya.

“Dah siap yang ini umi. Esok Hani nak mula sulam manik baju kak Syura tu pulak.”

“Yalah...baju Syura tu dia tak minta cepat, Hani buat perlahan-lahan ajelah.”

“Okey umi. Er, umi...Hani ada perkara nak tanya umi...dah lama Hani nak tanya sebenarnya. Hani pernah tanya arwah abah tapi...abah keberatan sangat nak jelaskan pada Hani.”

Tertengadah kepala Aleya. Ditatap wajah lembut dan manis anak gadisnya itu.

“Apa dia, Hani?” tanya Aleya.

“Umi...selama ini kita tak pernah ziarah saudara mara kita...saudara pun tak pernah jenguk kita. Hari raya pun kita sambut kat sini aje. Ehm, dah lama Hani rasa pelik. Hani nak tahu tentang...keluarga umi dan keluarga abah. Kat mana saudara mara kita, umi?”

Aleya terkesima seketika. Lama tatapannya terpaku pada wajah ayu Hani Fiqah.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan