USAI
menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah subuh itu, Hani Fiqah
berniat ke dapur bagi menyediakan sarapan.
Meski tidurnya tidak lena sepanjang malam itu, dia tetap bangun seperti
biasa. Adik-adiknya perlu bersarapan
sebelum berangkat ke sekolah setiap pagi.
Melihat waktu masih terlalu awal, Hani
Fiqah menghalakan langkah ke kamar adik-adik lelakinya terlebih dahulu. Rizal pasti sudah terbaring semula setelah
menunaikan solat subuh. Dia tidak perlu
risau kerana adiknya itu tidak pernah culas menunaikan tanggungjawabnya. Namun sebagai kakak sulung, Hani Fiqah sudah
tentu perlu mengambil berat terhadap adik-adiknya.
Rizal menyelak selimut dari kepala
tatkala menyedari kehadiran Hani Fiqah di kamarnya. Katil bujangnya kini terpaksa dikongsi dengan
adiknya, Fahmi. Katil Fahmi pula kini
sedang menampung tubuh tegap 'tetamu' mereka yang sedang sakit itu.
“Kak long...” panggil Rizal perlahan seakan berbisik.
Rizal tahu kakaknya hampir tidak
tidur kerana memantau keadaan 'tetamu' mereka itu sepanjang malam. Suhu badannya meningkat, tubuhnya panas. Hampir sepanjang malam 'tetamu' itu mengerang
dalam tidurnya.
“Riz dengan Fahmi dah solat?” tanya Hani Fiqah meski dia tahu adiknya tidak
mungkin melewat-lewatkan waktu wajib itu.
“Ha’ah...sudah kak long,” jawab Rizal perlahan. Beberapa ketika kemudian dia menarik semula
selimut menutupi kepalanya. Di kampung
itu udara waktu subuh memang sangat dingin.
Jika tidak tahan sejuk, sudah pasti menggigil-gigil kedinginan.
Hani Fiqah menghampiri katil Fahmi. Telapak tangannya diletakkan perlahan ke dahi
'tetamu' itu. Syukur, demamnya sudah
kebah. Buat beberapa detik Hani Fiqah
memakukan tatapan ke raut wajah itu.
‘Handsome
jugak muka dia ni. Ehm, siapalah kau ni
sebenarnya? Tiba-tiba aje kau muncul
masuk kampung ni, pertama kali kot kau datang sini. Kesian...kemalangan pula kau!’ Bisik kalbu Hani Fiqah dengan perasaan
simpati.
‘Kalau keluarga kau tahu keadaan kau
macam ni, tentu dia orang terkejut.
Nanti selepas aku hantar kau ke hospital, aku akan cuba hubungi keluarga
kau...’ Hati Hani Fiqah bermonolog
lagi. Dia yakin, pasti ada nombor
telefon keluarga lelaki itu di dalam telefon bimbitnya yang ditinggalkan di
dalam kereta lelaki itu.
Ketika hendak berlalu, tiba-tiba
tangan Hani Fiqah dipegang lalu digenggam erat.
Hani Fiqah pantas berpaling semula.
Tergamam.
“Ya?”
“Saya...” Lelaki itu cuba berkata-kata.
Hani Fiqah menunduk sambil menarik
tangannya perlahan-lahan daripada genggaman lelaki itu. Ditatap lembut wajah lelaki itu. Dia tahu, lelaki itu sedang menanggung rasa
sakit. Sesungguhnya dia tidak sabar
menunggu hari siang. Lelaki itu perlu
mendapat rawatan lanjut di hospital.
“Saya kat mana ni?” tanya lelaki itu perlahan. Berkerut-kerut dahinya. Mungkin kepalanya sedang berdenyut ketika itu.
“Encik kat rumah...kami. Er, encik nak bangun ke?” tanya Hani Fiqah. Dalam fikirannya mungkin lelaki itu hendak ke
bilik air atau hendak minum air.
“Kenapa dengan saya?”
Semerta kening Hani Fiqah
terjongket. Apakah lelaki itu tidak
mampu mengingati apa yang telah terjadi terhadap dirinya? Minta-minta jangan sampai dia hilang
ingatan. Ah, dahinya cuma luka...eh,
bukan luka tapi cuma tercalar saja takkan boleh menyebabkan lelaki itu hilang
ingatan pula!
“Encik...”
“Saya nak air!”
“Oh...encik tunggu sekejap ya, saya
ambilkan air.”
Bergegas Hani Fiqah berlalu. Panjang langkahnya menghala ke dapur. Dituangkan air panas ke dalam separuh gelas,
ditambah pula dengan air sejuk lalu tergesa-gesa semula balik ke kamar adiknya.
Setibanya di kamar Rizal dan Fahmi,
Hani Fiqah tergamam. Lelaki itu sudah
bangun dan sedang duduk di pinggir katil.
Dengan mata terpejam rapat, lelaki itu memelukkan tangannya ke tubuh. Dia menggigil kedinginan.
“Encik...”
Tengku Daniel mendongak. Kelopak matanya terangkat. Teramat redup pandangannya meneliti wajah
gadis muda di hadapannya.
Hani Fiqah menghulurkan gelas berisi
air suam. Tatkala lelaki itu sedang
meneguk air, Hani Fiqah menghulurkan tangan mencapai selimut tebal di sebalik
punggung lelaki itu. Diletakkan selimut
tebal itu ke bahu, menutupi seluruh tubuh tegap itu.
“Encik berbaringlah...masih terlalu
awal untuk bangun. Di sini memang sangat
sejuk waktu awal pagi,” tutur Hani Fiqah sambil mengambil gelas kosong daripada
pegangan lelaki itu.
Lelaki itu tidak bergeming, hanya
anak matanya saja menelusuri ruang bilik yang sempit itu. Seketika pandangannya beralih ke wajah Hani
Fiqah. Ketika kening Hani Fiqah
terangkat, terukir senyum nipis di bibir lelaki itu. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Kereta saya mana?” tanya lelaki itu perlahan.
Hani Fiqah tersenyum. “Kereta encik ada kat depan rumah. Jangan risau...kereta encik dalam keadaan
baik!” Intonasi lembut tanpa niat menyindir.
“Saya di mana sekarang? Er...maksud saya...”
“Encik...”
“Nama saya Daniel...panggil saja
Daniel!”
“Ehm, okey. Encik...er, Daniel, awak kat rumah kami. Kampung ni jauh dari pekan...sebab tulah saya
terpaksa bawa awak balik selepas kemalangan semalam. Nanti saya bawa awak buat rawatan di
hospital, ya?”
“Saya kemalangan semalam? Er, ya...saya tergelincir!” Berkerut-kerut dahi lelaki itu. Sekarang baru dia mampu mengingati apa yang
terjadi kepadanya semalam.
“Ha’ah...kebetulan saya berada di
tempat tu semalam. Jangan bimbang...awak
tak cedera teruk tapi elok juga awak buat pemeriksaan lanjut di hospital.” Wajah lelaki itu ditenung seketika.
“Er, tapi bukan ke saya jatuh masuk
gaung? Macam mana saya...”
Hani Fiqah tersenyum. “Awak taklah sampai jatuh masuk dalam
gaung...tak mampu saya nak bayangkan kalau awak jatuh masuk gaung tu. Ngerinya!”
Hampir bertaut kening lelaki itu. Melihat lelaki itu terdiam, Hani Fiqah
menyambung lagi. “Awak bernasib
baik...kaki awak tersangkut pada akar kayu kat tebing gaung tu, saya tarik awak
sebelum awak jatuh terus dalam gaung.
Syukurlah...awak tak cedera teruk, luka kaki awak tu dalam sikit tapi
saya yakin kaki awak tak patah. Awak
jangan bimbang.”
Usai menjelaskan kepada lelaki itu,
Hani Fiqah berlalu menghampiri katil adik-adik lelakinya. Adik-adiknya perlu dikejutkan.
***
RIZAL terus
menghampiri kakaknya sejurus dia masuk ke ruang dapur. Hani Fiqah yang sedang menggoreng mihun,
menoleh seketika memandang adiknya.
“Wah, sedapnya...kak long!” kata Rizal sambil memandang kuali yang
berasap.
Tersenyum Hani Fiqah. “Ehm, dah siap! Riz tolong kak long sediakan pinggan dan
cawan, ya.”
Rizal segera melaksanakan apa yang
diarah oleh kakaknya. Setelah meletakkan
jumlah pinggan dan cawan secukupnya di atas meja, dia duduk di kerusi. Hani pula sudah meletakkan sepinggan besar
mihun goreng di tengah meja. Tertelan
liur Rizal tatkala terhidu keenakan terbit dari mihun goreng itu.
“Kak long...”
“Hmm?”
“Abang tu duduk kat rumah kita
sampai bila, ya?”
“Hari ni kak long hantar dia ke
hospital, biarlah dia dapat rawatan lanjut kat hospital...kalau terpaksa duduk
wad lagi bagus!”
“Ya ke? Tak boleh ke kak long rawat dia kat rumah ni
aje?”
“Riz ni...mana boleh. Kak long jururawat aje bukannya doktor. Lagipun dia tu lelaki...orang yang kita tak
kenal pulak tu!”
“Oh...lelaki? Tapi...Riz dan Fahmi kan ada? Kenapa pulak dia tak boleh duduk dengan
kita?”
Hani Fiqah menghela nafas sambil
menggeleng perlahan. “Tak boleh! Kita kenalah hubungi keluarga dia, beritahu
keluarga dia pasal keadaan dia. Riz
beria-ia ni, kenapa pulak?”
“Taklah...tapi kereta dia tu cantik
sangat kak long. Ya ALLAH...kak long, best
gila bawa kereta abang handsome tu semalam!”
Sejak semalam, Rizal yang teruja
tidak putus-putus meluahkan kekaguman dan keterujaannya terhadap kereta mewah milik
lelaki itu. Kejadian semalam memaksa
Hani Fiqah bersusah payah 'mengangkut' lelaki bernama Daniel itu balik ke
rumah. Semalam, setelah membersihkan dan
merawat luka-luka di tubuh lelaki itu, Hani Fiqah mengajak Rizal membawa kereta
lelaki itu. 'Pengalaman manis' pula bagi
Rizal kerana berpeluang memandu kereta mewah itu balik ke rumah mereka.
Rizal yang sudah mahir memandu itu
terlebih pula terujanya walhal dia belum mempunyai lesen memandu. Hani Fiqah tidak akan bertangguh mengurus
adiknya itu untuk memiliki lesen memandu jika umur adiknya itu sudah layak
mendapat lesen. Acap kali sudah adiknya
itu mengingatkan, umurnya sudah hampir 17 tahun, tidak lama lagi dia sudah
layak mendapatkan lesen memandu.
“Riz ni...dari semalam tak
habis-habis pasal kereta tu,” tegur Hani Fiqah.
Tangannya sibuk mengacau air milo di dalam jag.
“Kak long...kereta tu bukan kereta
biasa tahu kak long. Oh...kalaulah Riz
boleh dapat kereta macam tu suatu hari nanti...”
“Tengok tu...berangan-angan
lagi!” Hani Fiqah menghela nafas sambil
menggeleng.
“Alah...berangan-anganlah sebelum
bercita-cita, kak long.” Rizal tidak
mahu mengalah.
“Dahlah tu...Riz pergi ajak
adik-adik, sarapan dah siap ni,” gesa Hani
Fiqah
“Boleh Rizal ajak abang tu sarapan
sama-sama, kak long?” tanya Rizal sebelum
berlalu.
“Riz ajaklah kalau dia tak tidur...kak
long ke kamar umi.”
Aleya tidak berada di kamarnya
ketika Hani Fiqah masuk. Aleya sedang
berada di dalam bilik air. Tanpa
berlengah tempat tidur Aleya dikemaskan.
Bukan Aleya tidak mampu melakukannya namun Hani Fiqah berasa itu
merupakan salah satu tanggungjawabnya, sudah menjadi tugas rutinnya setiap
pagi.
Beberapa ketika kemudian Aleya
terkial-kial menggerakkan kerusi rodanya untuk keluar dari bilik air. Hani Fiqah segera merapati uminya, kerusi
roda uminya ditarik perlahan.
“Assalamualaikum umi...” ucap Hani Fiqah lantas satu kecupan hinggap di
pipi Aleya.
Aleya membalas salam sambil memaut
tubuh anak gadisnya. Dahi Hani Fiqah
dicium agak lama. Bagai satu kewajipan
bagi mereka setiap pagi.
“Adik-adik Hani dah bangun?” Pertanyaan yang serupa juga menyapa lohong
telinga Hani Fiqah setiap pagi.
“Sudah umi. Jom umi, kita sarapan. Hari ni, Hani sediakan mihun goreng campur seafood.
Hani goreng telur dadar campur cincang isi ayam,” beritahu Hani Fiqah dengan lembut.
Terserlah senyuman Aleya. Anak gadisnya tidak pernah bosan memancing
seleranya. Meski seleranya tidak pernah
pulih sebaik dahulu namun tidak pernah dia menolak pelawaan untuk menikmati
rezeki yang disediakan Hani Fiqah.
Ketika Hani Fiqah bersedia hendak
menolak kerusi roda untuk keluar dari kamar, Aleya bersuara.
“Hani...”
“Ya umi?” Hani melangkah ke depan uminya.
“Orang yang Hani bawa balik semalam
tu...dah okey ke? Luka dia teruk
ke?” tanya Aleya.
Hani Fiqah tersenyum manis. “Dia okey aje umi. Luka dia pun taklah teruk sangat. Hani dah bersihkan dia luka semalam tapi
kenalah dapatkan rawatan sempurna kat hospital, umi.”
“Macam mana dia boleh kemalangan,
Hani? Oh...semalam hujan lebat, agaknya
dia memandu tak hati-hati.” Serkap jarang
Aleya.
Meletus tawa halus Hani Fiqah. Dia tunduk, mencangkung di hadapan uminya.
“Umi...sebenarnya dia bukan
kemalangan kereta, dia tergelincir..hampir masuk gaung, umi.”
“Astaghfirullahalazim...macam mana
boleh tergelincir? Dia buat apa
dekat-dekat gaung tu? Tak tahu ke tempat
tu bahaya?”
Bertindih-tindih pertanyaan
Aleya. Berkerut-kerut dahinya. Tidak masuk dek akal baginya, tempat yang
perlu dihindarikan itu pula dikunjungi lelaki itu. Apalah sangat yang hendak dicari sampai
membahayakan diri? Benak Aleya
tertanya-tanya.
“Entahlah, umi. Masa Hani lalu tempat tu...kereta dia memang berhenti
kat situ. Dahlah jalan tu sempit, jalan
tu dah jadi macam sungai. Hujan pulak makin
lebat tu yang Hani nak cepat sampai rumah...
Hani rasa pelik tiba-tiba aje dia keluar dari
kereta...redah hujan lebat. Jalan dah
banjir, licin sangat. Agaknya tu yang
buat dia tergelincir. Nasib baiklah kaki
dia tersangkut pada akar kat tebing gaung...kalau tak memang terus masuk
gaunglah dia, umi. Rasa nak putus tangan
Hani tarik badan dia!” Hani menceritakan
kejadian cemas semalam namun, kini dia menghela nafas lega. Lelaki itu sudah selamat malah kini berada di
rumah mereka.
“Ya ALLAH...Alhamdulillah, syukur
Hani sempat selamatkan dia. Tak dapat
umi bayangkan kalau takde orang nampak kejadian tu, Hani.” Tergeleng-geleng Aleya bagi meredakan rasa
ngeri.