TENGKU HALIM
menghela nafas beberapa kali sebelum menutup sebuah album di pangkuannya.
Setiap kali menyelak album lama itu, dadanya terasa sendat. Setiap kali itulah juga peristiwa silam
menghambat perasaannya. Bertahun-tahun
dia berusaha, membuang peristiwa silam itu dari kotak memorinya namun semakin
melekat pula bila usia sudah semakin menginjak senja itu.
Tingkah Tengku Halim diperhatikan
Tengku Khalidah sejak tadi, tidak diganggu suaminya itu. Sejak beberapa tahun, begitulah tingkah
suaminya. Apakah sudah terbit
bibit-bibit penyesalan di hati suaminya itu?
Tengku Khalidah bukan berharap rasa penyesalan itu menghambat nurani
suaminya namun jika rasa itu mampu menginsafkan, salahkah dia berharap
demikian?
25 tahun yang lalu, Tengku Halim
begitu tega melihat sepasang kaki Tengku Amani melangkah longlai keluar dari
rumah hanya sehelai sepinggang. Sedikit
pun tiada riak simpati di wajah lelaki itu.
Betapa remuk hatinya sebagai seorang wanita yang bergadai nyawa
melahirkan zuriat itu namun hanya dengan seringkas kata, Tengku Halim
melahirkan kata-kata usiran terhadap seorang anak. Terasa malap dunianya ketika itu.
Tengku Khalidah tahu, anaknya
melakukan kesilapan tapi benarkah anaknya bersalah? Bersalahkah jika mencintai dan dicintai
seseorang? Namun, apa pun kesilapan
Tengku Amani bukan tidak boleh dimaafkan.
Tengku Amani hanya keras hati, tidak mahu kehendaknya ditegah. Itu sahaja!
Kalaulah masa itu dapat diundurkan
semula. Kalaulah...Namun sudah 25 tahun
berlalu, sebenarnya tidak pernah ada istilah 'kalaulah'. Masa tetap akan berlalu tanpa hentinya. Sekian lama berlalu, rasa kesal di hatinya tidak
pernah luput. Sebagai ibu yang
melahirkan Amani, sudah tentu hatinya masih terasa sangat sakit. Luka hatinya tidak pernah sembuh sehingga
kini!
“Sudah 25 tahun Amani tinggalkan
kita...”
Tengku Halim mengangkat dagu, tatapan
anak matanya Tengku Khalidah tepat ke matanya.
“Abang tahu...abang sudah berusaha,
Idah tapi...” jawab Tengku Halim, lemah
nadanya.
“Sepanjang tempoh lebih 25
tahun...langsung tiada khabar berita daripada Amani. Entah berada di mana Amani sekarang...entah
bagaimana kehidupan dia. Idah kesal
sangat...”
“Idah...”
“Abang tak pernah faham perasaan
Idah...penderitaan hati Idah. Sakit
perasaan Idah ni abang tak pernah tahu!”
Tengku Halim menghela nafas. Sesungguhnya selama ini bukan dia tidak
pernah mengambil kisah keadaan isterinya namun apa lagi yang mampu dia
lakukan. Perkara itu sudah terjadi,
sudah terlalu lama terjadi. Terlajak
perahu boleh berundur, terlajak kata???
“Abang tak pernah tahu...jiwa Idah
selama ini tak pernah tenang. Andainya
Idah tutup mata esok-esok...tentu terkilan roh Idah sebab tak sempat tatap
Amani buat kali terakhir!”
“Idah!”
Tiba-tiba bunyi loceng pagar
kedengaran nyaring. Tengku Halim dan
Tengku Khalidah sama-sama terdiam. Daripada
ruang dapur, tergesa-gesa salah seorang pembantu rumah keluar ke ruang
tamu. Pandangan Tengku Halim dan Tengku
Khalidah terpaku di muka pintu, menunggu siapa gerangan yang akan muncul. Tidak lama kemudian muncul seorang pemuda
dengan senyuman ramah di bibirnya.
“Assalamualaikum
atuk..nenek...” seru pemuda itu.
Hampir serentak Tengku Halim dan
Tengku Khalidah membalas salam.
Tengku Daniel melangkah lebar
menghampiri datuk dan neneknya. Dicium
penuh hormat tangan kedua-dua orang tua itu.
“Daniel seorang aje ke? Papa dan umi tak datang sekali?” tanya Tengku Khalidah sejurus anak muda itu
melabuhkan punggung di sofa, di sampingnya.
“Ha’ah, Daniel seorang aje nek...daddy
dan mummy ada jemputan kahwin,” beritahu
Tengku Daniel.
Senyap seketika. Mata Tengku Halim singgah sebentar merenung
wajah isterinya. Tenang saja wajah itu
kini. Bijak sungguh isterinya
menyembunyikan kesuraman wajah di hadapan cucu mereka walhal beberapa ketika
tadi, wajah itu bagaikan diselaputi kabus tebal, sungguh mendung. Dihelakan
nafasnya perlahan.
“Daddy dan mummy kirim salam kat
atuk dan nenek...kalau takde aral melintang, esok petang daddy dan mummy nak
datang makan malam bersama atuk dan nenek,”
beritahu Tengku Daniel lagi.
Sekali lagi Tengku Halim dan Tengku
Khalidah hampir serentak membalas salam.
“Hmm, eloklah daddy Daniel datang
esok...atuk nak ajak daddy bincang sesuatu,” ujar Tengku Halim perlahan.
Tengku Daniel hanya
mengangguk-anggukkan kepala tanpa berniat bertanya tentang perkara yang ingin
dibincangkan oleh Tengku Halim dengan daddynya, Tengku Farid.
Milah, salah seorang pembantu rumah
masuk dengan penuh adab, memberitahu majikannya bahawa makan malam sudah siap dihidangkan.
Tengku Khalidah terlebih dahulu
berdiri, mendahului Tengku Halim dan Tengku Daniel melangkah ke ruang makan.
“Daniel, macam mana perkembangan
urusan niaga kat Sabah tu?” Tengku Halim
bertanya sejurus mengaminkan doa makan.
“Abang, Daniel...biar habis makan
dulu barulah cerita pasal perniagaan,”
sampuk Tengku Khalidah. Nadanya
sangat perlahan dan lembut namun sungguh dalam maknanya.
Kurang senang jika bab perniagaan diselitkan dalam acara makan malam,
terasa kurang nikmat pula makanan rasanya.
Tengku Daniel tidak jadi memberi
jawapan pada pertanyaan datuknya. Dia
tersengih menatap wajah tenang neneknya.
Sebenarnya, memang sangat banyak ingin dilaporkan kepada datuknya tentang
perkembangan perniagaan mereka.
“Hmm...lepas makanlah kita bincang ya,
Daniel?”
Anak muda itu hanya mengangguk.
***
USAI makan
malam, Tengku Halim sudah mengajak cucu sulungnya itu ke dalam bilik kerja. Dia lebih selesa berbincang di dalam bilik
kerjanya berbanding di ruang tamu, di depan isterinya. Tengku Khalidah tidak akan tenang jika
hal-hal perniagaan dibincangkan di depannya.
Sejak dahulu lagi, isterinya paling tidak berminat untuk mengetahui
hal-hal perniagaan. Tengku Halim pernah
bertanya namun jawapan isterinya ringkas sahaja. Tidak berminat! Jadi tak usahlah didesak, begitu kata hati
Tengku Halim.
“Atuk...Daniel rasa kita perlu
segerakan pembukaan tanah kat Kundasang tu.”
Belum pun sempat Tengku Halim
melabuhkan punggung di kerusinya, Tengku Daniel sudah menyuarakan hasrat.
“Tanah kat Kundasang? Maksud Daniel kat Sabah tu ke?” tanya Tengku Halim, lurus pandangannya
menatap wajah tampan cucu yang sering dibangga-banggakannya itu.
“Ha’ah atuk. Dah lama sangat tanah tu terbiar, apa kata
kita bina resort, bangunkan hotel kat
sana.” Lancar Tengku Daniel meluahkan perancangan.
“Ehm, Daniel berminat dengan tanah
tu ke? Betul-betul semangat nak usahakan
tanah tu?” tanya Tengku Halim dengan nada teruja. Senang hatinya, satu-satu cucu yang dia ada
itu sangat berbakat dalam bidang perniagaan.
Bangga dengan keturunannya itu.
Ke manakah tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?
Tengku Daniel mengangguk laju. Lebar senyumannya. Jika sambutan datuknya sedemikian, itu tanda
‘lampu hijau’ sedang menyala. Petanda
yang sangat baik!
“Daniel berminat sangat...Daniel
sudah tinjau dan pantau kawasan tu, atuk.
Kalau atuk izinkan...tanah tu akan Daniel usaha bangunkan sedaya upaya.”
Tengku Halim terangguk-angguk dengan
senyuman tidak lekang di bibir. Tanah itu sudah lama menjadi miliknya. Lebih 20 tahun tahun yang lalu, dibelinya
tanah itu melalui seorang kenalan di Sabah.
Hanya berpandukan pelan lakaran lokasi tanah yang dibawa oleh kenalannya
itu akhirnya Tengku Halim bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Geran tanah
seluas lebih 30 hektar itu diserahkan kepadanya setelah urusan tukar milik
selesai.
“Okeylah...atuk serahkan pada
Daniel, uruslah tanah tu ikut kehendak Daniel.
Atuk akan beri sokongan dan modal sekali,” ujar Tengku Halim tanpa perlu
berfikir panjang. Selama ini cucunya itu
tidak pernah mengecewakannya.
Bagai orang mengantuk disorongkan
bantal, Tengku Daniel benar-benar teruja.
Datuknya memang tidak pernah menghampakan apa sahaja permintaannya
selama ini dan begitu juga sebaliknya.
Semenjak balik ke tanah air, Tengku Daniel terus berkhidmat di syarikat
datuknya. Menimba ilmu berniaga daripada
datuk dan ayahnya sendiri. Tidak sukar
bagi Tengku Daniel untuk menguasai selok-belok perniagaan, apa yang
dipelajarinya di universiti itulah yang dimanfaatkannya. Sementelah Tengku Farid tidak pernah jenuh
membimbingnya.
“Daniel kemukakan kertas
kerja...seperti biasa. Atuk nak tengok
kertas kerja Daniel. Kena ikut prosedur,
cadangan Daniel perlu diluluskan dalam mesyuarat ahli lembaga. Kertas kerja kemukakan sebelum atuk dan nenek
berangkat ke Australia minggu depan,”
ujar Tengku Halim.
“Insya-ALLAH, atuk. Daniel akan kemukakan kertas kerja tu secepat
mungkin, hanya tinggal sikit lagi nak siap.
Terima kasih sebab mempercayai Daniel, atuk.” Lebar senyuman Tengku Daniel. Terlalu gembira.
Tengku Halim ketawa perlahan. “Daniel ni...atuk nak percayakan siapa lagi
kalau bukan darah daging atuk sendiri.
Atuk dah tua, Daniel. Tak lama
lagi atuk nak serahkan tampuk pengurusan pada daddy Daniel. Daniellah harapan atuk untuk bantu daddy...”
Terangguk-angguk kepala anak muda
itu. Jika Tengku Halim tidak sering
mengingatkan pun, dia tetap akan sentiasa ingat. Tengku Farid merupakan anak sulung dalam
keluarga Tengku Halim, sudah pasti Tengku Farid sudah bersedia memikul
tanggungjawab memastikan kemajuan syarikat keluarga itu berterusan. Dan, sudah
tentu Daniel akan sentiasa bersama daddynya.
“Atuk...tanah kat Sabah tu luas tapi
tanah bukit. Sebahagian dari tanah tu
bukit curam, atuk. Atuk pernah tengok
tak tanah tu?” Tengku Daniel menatap
wajah tua datuknya.
Tengku Halim menggeleng
perlahan. “Tak pernah...atuk tak pernah
sampai ke sana walau pun atuk kerap kali ke Sabah.”
Jauh di lubuk hatinya, Tengku Halim merintih. ‘Alangkah baiknya andai ayah tahu di mana
Amani berada...ayah sudah berusaha menjejaki Amani tapi ayah gagal!’
Tertawa perlahan Tengku Daniel. Sekian lama memiliki harta itu, bagaimana
datuknya langsung tidak berminat untuk menjenguk tanah itu? Tengku Halim memberikan salinan geran tanah
itu setahun yang lalu dan Tengku Daniel tidak pernah bertangguh. Setahun yang lalu, daripada kejauhan saja dia
memandang lokasi tanah itu namun tahun ini dia berazam, dia harus menerokai
tanah itu walau dengan apa cara sekalipun.
Istilah ‘sukar’ itu biar dia ketepikan, yang penting dia hendak majukan
tanah itu.
“Atuk, Daniel dah tinjau-tinjau
tanah atuk tu...ada potensi untuk dimajukan tapi memang perlukan modal yang
tinggilah atuk.”
Terangguk-angguk kepala Tengku
Halim. Tiba-tiba dia teringatkan
sesuatu.
“Ehm, kalau atuk tak silap...kawan
atuk pernah beritahu atuk. Ada orang
sewa beberapa hektar tanah tu, buka kebun sayur...atuk tak pasti ada lagi ke
tak masih orang sewa...”
“Orang sewa? Daniel tak tahu...masa Daniel melawat tanah
tu, Daniel tak masuk pun kawasan tanah tu.
Tanah tu luas, atuk. Tak ada
dokumen perjanjian sewa ke, atuk?”
“Takde...atuk suruh kawan tu urus
dan sewanya pun atuk suruh simpankan untuk bayar cukai tanah tu. Atuk pun tak pernah minta lagipun atuk tak
ingat langsung tentang tanah tu...dah terlalu lama.” Tengku Halim cuba menyelongkar memorinya,
mengingati seraut wajah kenalannya itu.
Termangu seketika Tengku Daniel.
Rasa hairan menyapa benaknya. Mengapa
datuknya tidak mengambil kisah tentang tanah itu? Disewakan dan diharapkan saja kepada orang
tanpa pertalian untuk memungut hasil sewaan?
Pelik pula tindakan datuknya!
“Minggu depan Daniel akan ke Sabah,
atuk. Atuk nak pergi dengan Daniel tak,
atuk?” pelawa Daniel.
Buat seketika Tengku Halim menimbang
pelawaan cucunya namun akhirnya dia menggeleng perlahan.
“Minggu depan atuk dah janji dengan nenek...nak
pergi melawat sepupu daddy kamu kat Australia, Daniel.”
Ketukan di pintu kedengaran tidak
lama kemudian. Tersembul wajah Milah
sambil tersenyum sopan. Wanita muda itu
sudah lebih tiga tahun bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Tengku Halim
itu.
“Er, maaf mengganggu Tengku. Tengku Daniel, Tengku Fatin datang...sekarang
ada kat ruang depan,” beritahu Milah.
“Ya ke? Apa hal pulak datang ke sini?” tanya Tengku Daniel spontan.
Terkebil-kebil Milah diajukan
pertanyaan begitu.
“Sudah tentulah cari Daniel...takkan
nak cari atuk atau nenek pulak?” seloroh
Tengku Halim lalu ketawa.
“Tak apalah Milah...sekejap lagi
saya keluar.” Tengku Daniel menghela
nafas. Rasa terganggu kerana masih ada
lagi yang ingin dibincangkan dengan Tengku Halim.
“Daniel pergilah jumpa Fatin
tu...nanti muncung dia panjang sedepa pulak!”
Terasa hangat kulit wajah Tengku
Daniel. Meskipun dengan nada bergurau
namun bagi Tengku Daniel gurauan itu mengandung makna bahawa gadis itu punyai
sikap yang kurang menyenangkan hati datuknya.
“Atuk bergurau aje...Daniel
janganlah ambik hati.” Tengku Halim
ketawa lagi.
“Eh, taklah atuk...Daniel
faham.” Daniel tersengih.
“Ehm, Daniel dah tetapkan tarikh
ke?” Entah sudah acap kali pertanyaan
itu meniti bibir Tengku Halim. Cucunya
itu sudah hampir genap 28 tahun. Saudara
maranya yang lain, lebih muda daripadanya sudah lama mengendong anak.
Daniel menggelengkan kepala. “Daniel tak terfikir lagilah atuk...nantilah!”
“Aik, nak tunggu berapa lama
lagi? Fatin tu pun dah hampir 28 tahun
umur dia...lama-lama hilang pulak seri dia kalau asyik tunggu Daniel aje!”
“Fatin tu, bukan atuk tak
tahu...sibuknya mengalahkan kita! Macam
mana nak jadi isteri kalau kerja dia asyik terbang ke luar negara? Tak lekat kat rumah...yang tinggal kat rumah Daniel
juga sorang. Agaknya kalau dah kahwin
pun nanti Daniel masih asyik balik rumah daddy dan rumah atuk ni!”
Tengku Halim ketawa mendengar omelan
cucunya.
“Alah, bila dah kahwin nanti tahulah Fatin tu kedudukan dia kat mana,
Daniel. Daniel kan ketua
keluarga...pandai-pandailah bimbing dia nanti.
Atuk doakan yang terbaik buat Daniel.
Jodoh itu ketentuan takdir, perlu terima pasangan kita seadanya dengan
hati terbuka. Dah kahwin nanti, perlulah
saling penuhi dan melengkapkan kekurangan masing-masing, Daniel.”
Nada suara Tengku Halim berubah sayu. Seandainya begitu pandangan dan
pengertiannya tentang takdir jodoh suatu ketika dahulu, sudah tentu dia tidak
akan kehilangan insan yang begitu disayangi dalam hidupnya. Hatinya sudah tentu
tidak berasa kesal berpanjangan.
‘Amani...Amani berada di mana?
Kembalilah Amani...jangan biarkan ayah menanggung kekesalan sepanjang
hayat ayah, Amani. ALLAH...ringankanlah
beban ini,’ bisik hati tua Tengku Halim.
Gumpalan kekesalan kian menghambat jiwa.