KEDATANGAN
Ketua Kampung bersama isterinya ketika hari beransur senja disambut Aleya dan Hani
Fiqah dengan mesra. Anak-anak lain seperti biasa, usai bersalamam dengan tetamu
akan segera berlalu masuk ke kamar masing-masing. Walau tidak sering bertandang tetapi Sabdin
dan isterinya tetap menjenguk sekali sekala, bertanya khabar mereka anak
beranak.
Namun, kedatangan Sabdin dan Zaleha kali itu agak berbeza dari selalu. Wajah pasangan itu muram. Kemesraan mereka suami isteri amat ketara
tawarnya. Memang membawa impak kurang
menyenangkan terhadap Aleya dan Hani Fiqah.
Seperti biasa, Hani Fiqah tetap menghidangkan kopi O panas buat tetamu
mereka. Siapa pun tetamu mereka, Aleya
tidak suka jika tetamu balik tanpa dijamu sedikit air terlebih dahulu. Walau air kosong pun jadilah, kata Aleya.
Mata Sabdin dan Zaleha melirik pada Hani Fiqah yang menuangkan kopi ke
dalam cawan. Resah Aleya dibuatnya. Dengan Wajah tiada kemesraan itu Sabdin dan
Zaleha hanya memerhati, tidak seperti selalunya. Biasanya jika bertandang, mereka menyahut
mesra sapaan Hani Fiqah malah manis mulut mereka bersembang.
“Hah Hani...kamu sudah merancang nak melansungkan perkahwinan ya?” Tiba-tiba Sabdin bertanya.
Hani Fiqah tersentap. Serta-merta
pandangannya melayang ke wajah lelaki yang berusia lebih separuh abad itu. Terjongket keningnya yang lebat.
‘Eh, apalah jenis soalan pulak pak cik ni tanya kat aku? Aku nak kahwin? Masya-ALLAH!’
Perlahan-lahan Hani Fiqah menggelengkan.
“Takdelah pak cik Din...siapa pulak kata saya nak kahwin? Nak kahwin dengan siapa?” jawabnya dengan sopan namum dadanya sudah mulai
berdebar-debar.
“Yalah abang Din. Takdelah pula kami
merancangkan majlis kahwin siapa-siapa.
Hani pun belum ada lagi calonnya...”
ujar Aleya sambil tertawa halus.
“Saya ni ada telinga dengar orang kampung ni sibuk cakap pasal anak kamu,” balas Sabdin dengan intonasi suara yang kurang
ramah.
Hani Fiqah menelan liur. Terusik
juga perasaannya dengan sikap orang tua itu.
Kesalahan apa yang telah dilakukannya atau adik-adiknya sehingga orang
kampung sibuk mengata mereka?
“Masa abah kamu masih ada lagi, pak cik ambil berat pasal kamu apatah lagi
sekarang...abah kamu dah tak ada. Kamu
tu anak sulung...berilah teladan yang baik kepada adik-adik!” marah Sabdin.
“Abang Din...ada apa sebenarnya? Apa
kesalahan yang anak-anak saya ni buat, abang Din?” Sentap hati Aleya mendengar kata-kata Sabdin.
“Aleya...anak kamu perlu dinasihati!
Tak eloklah menjadi bahan mulut orang kampung...sana sini orang cakap
pasal kelakuan anak kamu!” Sabdin
mendengus.
“Ya ALLAH...siapa yang abang Din? Ada
anak-anak saya terlibat mencuri ke? Atau
terlibat dengan dadah ke, abang Din? Ya
ALLAH!”
“Bukan itu maksud saya, Aleya.”
“Habis tu apa dia, abang Din? Anak-anak selalunya kalau ada buat silap,
cepat benar diberitahu kat saya lagipun anak-anak jarang keluar rumah sesuka
hati selepas balik dari sekolah, abang Din.
Saya setiap hari duduk terperap kat rumah ni...takkanlah saya tak nampak
kalau budak-budak ni buat perkara tak elok!”
Aleya memandang tepat wajah lelaki itu.
Sungguh cuak hatinya. Hani Fiqah
sudah menempel di sisi kerusi roda uminya.
“Aleya, kamu pun tahu...sukar nak tutup mulut orang kampung ni, lebih-lebih
lagi dia orang nampak Hani bawa lelaki keluar masuk rumah kamu ni. Itu kan tak elok...salah perbuatan tu,
Hani. Bersubahat pun berdosa,
Aleya!
Kalau sudah berhajat nak berumah tangga, bawa bincang elok-elok...kita ini
terikat pada agama, pada adat istiadat.
Jangan membelakangi orang tua...walaupun zaman ni sudah semakin maju,
makin moden tapi tidak bermakna sesuka hati bawa lelaki bukan muhrim datang dan
bermalam di rumah! Tahu kan apa hukumnya
perbuatan tu, Hani? Sempurnakan yang
wajid terlebih dahulu...elakkan perbuatan maksiat!”
Aleya terkedu. “Astaghfirullahalazim! Abang Din cakap pasal Hani ke?” Bagaikan tidak percaya dengan pendengarannya.
Selama ini, tidak pernah sekali pun Sabdin bertutur kasar seperti itu
terhadap mereka. Direnungnya Hani Fiqah
dengan perasaan sayu, tidak terkata rasa simpatinya.
“Yalah...pasal Hani! Saya ni dah
tua, Aleya. Pernah membesarkan
anak-anak, sama macam kamu juga. Pernah
harungi pengalaman pahit manis besarkan anak-anak tapi taklah memanjakan anak sampaikan
dosa dan pahala pun tak diambil berat!”
Hancur berkecai sekeping hati Hani Fiqah.
Hampir menggigil tubuhnya.
Wajahnya hangat bagaikan ditampar beberapa kali. Pantang
baginya, Aleya dipandang rendah apatah lagi diperkecil-kecilkan kemampuannya. Diketap
bibirnya menahan sebak yang sedang membadai dadanya. Empangan air matanya pecah, melimpah di
hadapan uminya. Jika benar dia bersalah,
tidak perlu membabitkan uminya!
Mengapalah Ketua Kampung itu tidak bertanya kesahihan cerita sebenarnya
terlebih dahulu? Sedikit pun dia dan
uminya tidak diberi peluang untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Malang sungguh dirinya. Pertolongan ikhlasnya terhadap Tengku Daniel
disalah ertikan. Dianggap salah!
“Hani nak masuk ke dalam dulu, umi.
Saya masuk dulu pak cik...mak cik...Assalamualaikum!”
Kaki Hani Fiqah melangkah panjang meninggalkan Aleya berhadapan dengan
Sabdin dan Zaleha. Teramat luluh hatinya
ketika itu.
“Saya sebagai ketua di kampung ini
tidak mahulah dikatakan memekak telinga dan membutakan mata, Aleya. Aduan orang kampung perlu saya ambil
perhatian. Kalau anak buah buat perkara
yang salah, perlulah saya beri teguran...beri nasihat! Itu tanggungjawab saya...” Sabdin merendahkan nada suaranya.
“Abang Din...saya tahu tu tapi Hani
tak buat perkara yang tak baik. Hani
bukan saja-saja bawa balik lelaki tu...Hani tolong dia masa dia
kemalangan. Bukan saya nak menyebelahi
anak saya tapi orang dah salah faham.
Dia orang dah salah anggap, abang Din!”
Sesungguhnya Aleya tidak rela anak
gadisnya menerima tohmahan buruk orang kampung. Dia tidak rela anaknya menerima cercaan tanpa
usul periksa! Dia sangat kenal siapa anaknya.
Kenal hati budinya. Belum pernah
anaknya melukakan hatinya jauh sekali melakukan perkara-perkara tidak
senonoh. Dia sebagai ibu yang melahirkan
anaknya itu sendiri menjadi saksi, anaknya itu tidak pernah melakukan
perkara-perkara tidak elok. Jika adapun
kesalahan yang dilakukan anaknya, dialah yang terlebih dahulu mengadili dan
menasihatinya!
Ketua Kampung Sabdin mengangkat
wajah. Menatap Aleya beberapa
ketika. Isterinya pula diam tidak
berkutik. Entah apa yang difikirkan Zaleha
hingga tidak mahu membuka mulut berkata walau sepatah pun. Di rumah pun isterinya lebih banyak
mendiamkan diri jika dia membebelkan perihal anak gadis Aleya itu.
Aleya menarik nafas agak dalam.
Dalam dadanya terasa ada bongkah.
Ketenangannya benar-benar tergugat.
Ketika itu jiwanya sudah merintih pilu.
Sekian lama menetap di kampung itu, mengapalah hari ini tiba-tiba timbul
masalah buat keluarganya? Dirinya wanita
kurang upaya, tidak berdaya malahan sudah menjadi ibu tunggal. Mengapalah dibebani pula dengan dugaan?
“Kak Leha...akak pun kenal Hani tu
sejak kecik lagi, kan? Takkan akak pun
percaya cakap-cakap tak elok pasal Hani.
Saya tak menyebelahi anak saya tapi anak saya tak salah, kak. Mungkin anak saya tak semupurna tingkah
lakunya tapi Hani tak buat perkara tak senonoh.
Tak sanggup saya nak dengar orang mengata bukan-bukan pasal anak saya
tu!” Luah Aleya dengan genangan air
mata. Kabur pandangannya menatap wajah Zaleha.
Zaleha terharu, sebak dadanya
melihat air mata Aleya berjuraian. “Aleya...kak faham perasaan kamu, Leya. Kak percaya...Hani anak yang baik, dia tak
akan buat perkara tak senonoh!”
Diliriknya wajah Sabdin yang terkebil-kebil.
Zaleha tahu, Sabdin pasti sentap
mendengar kata-katanya. Sesungguhnya dia
tidak mahu berburuk sangka. Walaupun
pernah melihat ada lelaki datang menginap di rumah Aleya, tetapi Hani Fiqah
tidak tinggal bersendirian. Ada ibu dan
adik-adiknya turut berada di dalam rumah itu.
Mengapa perlu berprasangka buruk? Orang kampung terlalu cepat
mempercayai cerita sebelah pihak sahaja.
Sementelah, dia dan suami terlalu banyak mendengar kata-kata orang yang
berlebih-lebih, ditokok tambah. Bukan
dia tidak tahu sikap segelintir jiran mereka, memang gemar bergujirat!
“Berbanyak-banyak sabarlah ya, Leya.
Ini hanya dugaan tapi...kalau memang benar Hani dah merancang nak kahwin,
kita akan saling bantu membantu. Jangan
segan beritahu kami. Kami dah anggap kamu macam adik kami, anak-anak pun kami
dah anggap seperti anak-anak kami juga. Kamu
berbincanglah dengan pihak lelaki, tetapkan tarikh baiknya...kami sedia
membantu kamu, Leya.”
Zaleha menarik nafas panjang. Wajah suaminya dan Aleya dipandang silih
berganti. Walaupun telinganya malar
disumbatkan dengan cerita tentang perangai buruk Hani Fiqah, kepercayaannya
terhadap Hani Fiqah belum tergugat.
“Terima kasih kak Leha. Sampai hati orang tuduh anak saya macam
tu...saya ni masih hidup lagi, abang Din, kak Leha...sayalah saksi kepada anak
saya yang tak berdosa tu. Walaupun
keadaan saya cacat macam ni tapi tak sekali-kali saya biarkan anak saya
gadaikan maruah dia!”
***
KOTAK tisu
Nurul hulurkan kepada Hani Fiqah. Dia
sendiri menarik keluar beberapa helai lalu dilekapkan ke pipinya. Rawan sungguh hatinya berhadapan dengan Hani
Fiqah yang sedang bersedih itu. Dia faham
bagaimana perasaan Hani Fiqah ketika itu.
Jika dia berada di tempat Hani Fiqah, agaknya lebih teruk lagi. Mungkin dia mengongoi-ngongoi melepaskan
ketidakpuasan hatinya.
“Hani...janganlah nangis lagi...aku
sedih tengok kau macam ni.” Dipujuknya
Hani Fiqah meskipun dadanya sendiri masih sebak lagi.
“Aku malu, Nurul. Manalah aku nak letak muka aku ni...patutlah
semua orang dalam kampung ni pandang aku semacam aje!”
Sejak tadi itulah ayat yang malar
terluah dari mulut Hani Fiqah. Nurul
menghela nafas berat. Sesungguhnya dia
dihimpit oleh rasa kesal. Jika dia tidak
beria-ia memaksa Hani Fiqah berterus terang, pasti Hani Fiqah tidak menangis
seperti itu.
“Hani, aku minta maaf, ya? Kau sedih sebab aku tanya kau
macam-macam...tapi...”
“Bukan salah kau, Nurul. Aku tak apa-apalah...” Hani Fiqah segera memintas. Ditariknya beberapa helai tisu lalu
ditekapkan ke wajahnya. Diusap air
matanya sehingga benar-benar kering, tanpa sisa.
“Teruklah aku ni...kenapalah aku
nangis sampai macam ni sekali? Nurul...aku tak bersalah pun. Tak patut aku nangis, kan?” sambung Hani Fiqah lagi lantas tertawa
perlahan.
Nurul yang masih mengalirkan air
mata terkulat-kulat menatap wajah Hani Fiqah.
Biar betul teman baiknya ini.
Sebentar tadi alangkah bersedih, sekelip mata saja sudah mampu
tersenyum.
“Hani...kau ni okeykah? Janganlah buat aku tambah risau...”
“Aku okey, Nurul. Jangan risau...aku tahu, kalau aku nangis air
mata darah sekali pun...tak guna! Aku
tak akan dapat tutup mulut jiran-jiran kita ni, Nurul.”
Hani Fiqah menarik nafas agak panjang lalu dilepaskan. Dilegakan sesakan yang menghimpit dadanya. Sungguh, dia memang sangat berkecil hati
terhadap pak cik Sabdin. Tanpa usul
periksa, turut menuduhnya melakukan perkara yang tidak baik. Dia ada maruah diri, tahu hukum-hukum
agama. Dia masih waras lagi, tidak akan
dia melakukan perkara terbodoh itu terhadap dirinya sendiri. Dia sangat menyayangi umi, melebihi sayangnya
terhadap diri sendiri. Mana mungkin dia
sanggup melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah uminya!
“Tapi Hani...kau mesti bersihkan
nama kau, tahu tak? Orang-orang kampung
ni perlu tahu duduk perkara sebenarnya.
Kau kena jelaskan pada dia orang...”
“Nurul, orang kampung ni bukannya
seorang dua. Takkan kau nak suruh aku pergi dari rumah ke rumah...beritahu pada
dia orang yang aku ni...er...tak melakukan perkara jahat!”
“Hisy...taklah macam tu! Adoi...aku pun bengang dengan hal kau ni,
Hani. Ketua kampung pun satu hal...tanpa
usul periksa turut sama tuduh kau!”
Nurul menenyeh tisu lembap di telapak tangannya bagai melepaskan geram.
“Kesian umi...sampai hati
jiran-jiran kita ini bebankan umi dengan masalah macam ni...” Hani Fiqah mengeluh. Wajah sayu Aleya menghuni benaknya.
Nurul merenung wajah Hani Fiqah yang
sendu semula saat itu. Terangguk-angguk dia
mengakui kata-kata sahabatnya itu.
“Ha’ahlah Hani...kau bukan tak tahu,
jiran-jiran kita ada yang tak berhati perut...tak tahu jaga perasaan dan hati
orang lain. Kau tengok aku...aku dan mak
dah puas telan cacian dia orang. Dia
orang tak suka kami...sebab kami miskin!
Makinlah dia orang tak suka aku bila tunang aku lari...tinggalkan aku kahwin
dengan perempuan lain! Macam-macam dia
orang cakap pasal aku, Hani.”
Hani Fiqah segera mencapai tangan
Nurul. Digenggam erat tangan sahabatnya
itu.
“Ah...kenapalah nasib aku jadi
malang sangat sebab selamatkan mamat tu, Nurul?
Kalau aku tak selamatkan dia...aku tak jadi susah macam ni! Astaghfirullahalazim...apalah pulak aku
merepek ni? Takkan aku sanggup tengok
dia jatuh dalam gaung... mati begitu saja!”
Hani Fiqah mengusap wajahnya.
“Kau dah berbuat baik, selamatkan
nyawa mamat tu tapi jiran-jiran kita tidak tahu menilai...tahu berburuk sangka
saja, Hani.”
“Ya Nurul. Aku tak sangka...begini jadinya. Aku tak patut salahkan Daniel...dia tak salah
pun.”
Nurul terangguk-angguk. “Hani...betul
kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia?”
“Hisy...kau ni Nurul. Berapa kalilah aku nak cakap. Takde...benar-benar takde! Aku kenal dia pun sebab kemalangan
tu...itulah pertama kali kami jumpa. Full stop!
“Yalah...yalah aku percaya pada kau,
Hani. Rizal cakap...abang dia tu handsome sangat...betulkah?” Tersenyum-senyum Nurul, sengaja ditekankan
nadanya ketika menyebut perkataan ‘abang’.
“Betullah agaknya kalau Rizal dah
cakap macam tu...dia berhak menilai tapi aku tak kisah pun, Nurul. Dia bukan siapa-siapa pun pada aku walaupun
aku pernah selamatkan dia!”
Nurul tersengih-sengih. “Ehm...tup-tup kau berjodoh pula dengan orang
tu, macam mana Hani?”
“Ya ALLAH! Kau bermimpi ke apa Nurul?” Hani Fiqah hampir melemparkan kotak tisu pada
Nurul.
Meleret senyuman Nurul tatkala
melihat wajah Hani Fiqah yang muram.
Tapi dia tahu marah Hani Fiqah hanya sejenak.
“Hisy...aku gurau sajalah tapi kalau
betul berjodoh apa salahnya!”
“Dahlah...jangan nak merepek, boleh
tak?”
“Hani, aku bukan merepeklah! Aku cuma nak ingatkan kau, kalau dah jodoh
kau datang takkan kau nak menolak pula, kan?”
“Ah, biarlah jodoh aku bukan dengan mamat
tu, Nurul. Aku bukannya terdesak pun...biarlah
orang kampung sesuka hati fitnah aku yang penting aku tak bersalah!”
Nurul merenung jauh ke dalam mata
sahabat baiknya. Dia sangat simpati pada
Hani Fiqah. Selama ini hidup Hani Fiqah
dengan keluarganya rukun saja meskipun abah mereka sudah meninggal dunia. Disebabkan kehadiran lelaki itu, tiba-tiba hidup
Hani Fiqah jadi tidak keruan. Dilempar
fitnah tanpa usul periksa!
“Hani, walau pun orang dah
permain-mainkan perasaan aku, tetap juga aku berharap...suatu hari nanti aku
dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang benar-benar menyayangi aku,” ujar Nurul perlahan.
“Bekas tunang kau tu yang tak sedar diri,
Nurul. Dapat tunang yang cantik dan baik
baik macam kau pun dia tak tahu bersyukur!”
“Aku tak pernah berdendam dengan
dia, Hani. Mungkin bukan jodoh
kami...biarlah. Semoga, suatu hari nanti
kita sama-sama dipertemukan jodoh...biar tak lawa tapi dia sangat baik, soleh,
jujur dan setia!” ujar Nurul perlahan.
“Amen...” sambut Hani Fiqah lantas mengusapkan tangan
ke wajahnya.
Hani Fiqah mengalihkan wajah,
melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Perlahan-lahan tangannya mengusap air mata yang mulai mengalir di
pipinya.
Nurul menyentuh tangan Hani Fiqah
perlahan. Hatinya akan sayu jika
satu-satunya sahabat yang sangat rapat dengannya sedang menghadapi masalah.
“Hani...kau masih sayangkan Victor lagi?”
tanya Nurul perlahan. Redup
matanya menatap wajah sendu Hani Fiqah.
“Entahlah Nurul tapi...”
“Er, takkan kau masih mengharapkan si Victor tu juga sedangkan emak dia langsung
tak setuju anak dia bercinta dengan kau!
Victor pun sama...tak mampu nak bertegas pertahankan hubungan kau
berdua. Emak dia tu tak mungkin akan
berubah hati,” pintas Nurul. Tidak
berkedip matanya merenung wajah sahabat yang disayanginya itu.
Mata Hani Fiqah redup merenung wajah
Nurul semula. Serba sedikit kata-kata
Nurul itu mengusik hati kecilnya.
Sesungguhnya dia sudah belajar menerima kenyataan bahawa lelaki
peranakan Cina yang bernama Victor itu bukan jodohnya. Dia sudah memujuk hati agar menutup saja
diari hatinya buat lelaki itu. Dia ada
prinsip hidup, pantang baginya orang memandang rendah dirinya terutama terhadap
uminya!