Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,286
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

TENGKU DANIEL melayangkan pandangan, matanya mencari seseorang. Restoran itu agak ramai pelanggan namun ada beberapa lagi meja yang masih kosong. Memandangkan belum ada di antara pelanggan lelaki yang berbaju warna kelabu, Tengku Daniel duduk di salah sebuah meja yang terletak di sebelah tepi.

Setelah pelayan mengambil pesanannya, Tengku Daniel membuka surat khabar yang dibelinya dari kedai majalah tidak jauh dari restoran itu. Sementara menunggu, dibacanya surat khabar tanpa mengendahkan pelanggan lain. Tidak lama kemudian minuman panas yang dipesannya diletakkan di atas meja. Tengku Daniel sempat mendongak, memandang seketika kepada pelayan, seorang lelaki muda.

“Terima kasih...” ucap Tengku Daniel perlahan. Ditumpukan semula perhatiannya pada surat khabar yang terbentang di hadapannya.

“Assalamualaikum...”

Tengku Daniel sekali lagi mengangkat wajah. Sambil melipat surat khabar di tangannya, Tengku Daniel membalas salam.

“Tengku Daniel, ya?”

“Ya, saya Tengku Daniel. Ni...pak cik Sabdin ke?” Tangan Tengku Daniel sudah terhulur, disalaminya lelaki itu.

“Ya...ya...pak cik Sabdin. Apa khabar Tengku?” tanya Sabdin dengan wajah ceria.

“Khabar baik, pak cik. Panggil saya...Daniel saja, pak cik. Pak cik sihat?” Tengku Daniel menjemput Sabdin duduk.

“Alhamdulillah...pak cik sihat-sihat saja. Tengku Halim apa khabar, Daniel? Lama benar kami tak bertemu...” kata Sabdin. Sukar benar mindanya membayangkan figura Tengku Halim yang lebih sepuluh tahun tidak dijumpainya itu.

Tersenyum Tengku Daniel. “Atuk sihat, pak cik. Atuk kirim salam kat pak cik...”

“Waalaikumsalam. Insya-ALLAH...ada rezeki nanti pak cik ingin benar jumpa dengan Tengku Halim,” ujar Sabdin.

Terangguk-angguk Tengku Daniel. “Insya-ALLAH...ada peluang nanti Daniel akan ajak atuk datang ke sini, pak cik.”

Giliran Sabdin terangguk-angguk. Sekian lama dia menunggu, akhirnya dia dipertemukan juga dengan kerabat Tengku Halim meski hatinya sungguh berharap dia boleh bertemu dengan Tengku Halim sendiri.

Tersekat sebentar perbualan mereka tatkala pelayan tadi menghampiri meja mereka untuk mengambil pesanan Sabdin pula.

“Maaflah pak cik...bulan lepas saya tak sempat jumpa pak cik. Ada masalah sikit...” ujar Tengku Daniel. Perancangannya untuk bertemu Ketua Kampung itu lebih sebulan yang lalu terbatal gara-gara kemalangan yang dialaminya.

“Oh...tak mengapa, pak cik faham. Berjumpa Daniel hari ini pun pak cik bersyukur sangat. Gembira hati pak cik bila Tengku Halim telefon pak cik sebulan lalu...” Rasa gembira jelas terpancar di wajah Sabdin.

Seterusnya panjang perbualan antara Tengku Daniel dan Sabdin. Melalui Sabdin, banyak maklumat tentang tanah milik Tengku Halim itu diperoleh Tengku Daniel. Sekian lama tanah itu di bawah pengawasan Sabdin, kini lelaki berusia separuh abad itu berasa lega. Sudah terlalu lama dia memegang amanah, mengutip dan menyimpan hasil sewa tanah meskipun hanya sebahagian kecil sahaja yang disewakan.

“Sekarang pak cik rasa lega, Daniel. Hasil sewa itu nanti bolehlah pak cik serahkan kepada Daniel,” ujar Sabdin.

“Tak mengapa pak cik...Atuk pun tak pesan apa-apa mengenai hasil sewa tanah tu. Biarlah pak cik bincangkan dengan atuk sendiri. Sekarang...tugas saya nak jalankan projek atas tanah tu, pak cik.” Tengku Daniel memang tidak ingin mengambil tahu soal hasil kutipan sewa sebahagian kecil tanah itu. Dia ada tugas penting yang perlu dilaksanakan terhadap sebahagian besar dari tanah itu.

Sabdin terangguk-angguk lagi. “Bila Daniel memulakan projek tu?” tanya Sabdin. Berlegar-legar keluarga Aleya di benaknya.

“Secepat mungkin, pak cik tapi sebelum memulakan projek tu...saya bercadang nak bina rumah terlebih dahulu,” beritahu Tengku Daniel.

“Bina rumah? Di mana tu, Daniel?” Teruja pula Sabdin ingin tahu.

“Saya dah buat tinjauan tanah tu...tempat yang paling sesuai berhampiran dengan persimpangan masuk ke kampung pak cik tu. Kat sana ada tanah rata, perlu potong sikit bukit tu supaya tanah rata tu lebih luas,” jelas Tengku Daniel. Terbayang-bayang pelan rumah banglo yang diserahkan pihak arkitek kepadanya seminggu yang lalu.

“Oh...Daniel bercadang nak menetap di sinilah ya?” tanya Sabdin lagi sambil tersenyum-senyum.

Tengku Daniel tertawa perlahan. “Rumah tu saya saja nak bina, pak cik. Kalau projek tu mula nanti...saya ada tempat menginap, tak susah-susah duduk kat hotel lagi. Lagipun...kalau dah ada rumah keluarga saya boleh juga datang ke sini nanti,” beritahunya dengan ceria.

“Ya...ya...betul tu Daniel. Tengku Halim pun bolehlah datang ke mari, kan? Teringin sangat pak cik nak jumpa Tengku Halim...” Sabdin sekali lagi menyatakan keinginannya.

“Insya-ALLAH...pak cik. Suatu hari saya pasti akan ajak atuk ke sini...”

“Alhamdulillah...selalulah pak cik dapat jumpa dengan atuk Daniel nanti...” Sabdin ketawa senang hati.

“Er, Daniel...pasal tanah yang disewakan tu, macam mana ya?” tanya Sabdin tatkala teringat semula kepada keluarga Aleya.

Tengku Daniel terdiam seketika. Ditatapnya wajah lelaki peramah itu.

“Tanah yang disewakan tu letak kat sebelah mana, pak cik?” tanya Tengku Daniel.

“Oh...tanah tu agak jauh dari pekan, Daniel. Dekat kampung pak cik...betul-betul sempadan dengan tanah pak cik,” beritahu Sabdin.

“Ehm, kat kampung pak cik juga rupanya...teringin juga saya tengok-tengok tanah tu. Kalau takde aral esok saya masuk ke kampung pak cik...kita pergi tengok tanah tu sama-sama, boleh pak cik?”

“Er, boleh...boleh...esok pak cik bawa Daniel pergi tengok tanah tu.” Sabdin tersenyum tipis lantas menghela nafas perlahan. Bertenggek bayangan Aleya anak beranak di tubir matanya.

***

HANI FIQAH baru selesai mengaji Al Quran, waktu sudah hampir tengah malam. Usai menyiapkan sulaman tangan baju pelanggan uminya pukul 10.00 sebentar tadi, Hani Fiqah terus ke kamar Norfarini. Menjenguk Farhana, adik bongsunya yang manja itu. Malam ini Farhana tidur pula dengan Norfarini. Entah angin apa pula Farhana hendak tidur dengan Norfarini. Nyenyak tidur kedua-dua adik perempuannya itu.

Setelah menutup Al Quran dan melipat sejadah, Hani Fiqah menanggalkan telekungnya. Malam ini, agak panjang masa diambilnya untuk mengaji. Sunyi dan dingin malam membuatkan Hani Fiqah lebih khusyuk. Rusuh perasaannya hampir lesap selepas mendekatkan diri kepada-Nya.

Matanya belum terasa mengantuk lagi. Hani Fiqah membawa langkah ke ruang tamu. Sungguh senyap. Udara nan dingin menyebabkan adik-adiknya tidur lebih awal apatah lagi esok harus bangun awal subuh untuk bersiap-siap ke sekolah. Adik-adiknya sudah lama dibuai mimpi indah. Ya, sudah tentu dunia kanak-kanak hingga meningkat remaja pastinya tenang. Itulah yang dirasainya ketika umur seusia adik-adiknya. Tidak timbul sebarang masalah yang perlu difikirkan hingga menyesakkan fikiran.

Diheretnya kaki menghala ke ruang tamu lalu duduk atas salah sebuah sofa. Sedang menyendiri dalam keadaan sepi dan dingin, Hani Fiqah teringat kepada Tengku Daniel. Lelaki yang pernah menginap di bilik adik lelakinya, Rizal dan Fahmi. Lelaki yang sudah tiga kali bertandang ke rumahnya. Mengapalah lelaki itu yang dia selamatkan ketika kemalangan itu? Mengapa harus Tengku Daniel? Mengapa tidak orang lain saja? Mengapa bukan seorang lelaki tua, seorang wanita tua, seorang gadis atau seorang kanak-kanak? Mengapa mesti lelaki itu? ALLAH, alangkah anehnya takdir yang tersurat!

‘Kalau bukan dia yang aku temui tempoh hari pasti nama aku masih bersih...nama aku tidak dijaja, tak jadi bahan gunjingan ke sana sini pelosok kampung. Sebelum kenal Tengku Daniel, aman damai sahaja hidup aku. Hati tenang, otak tak serabut. Kerana Tengku Daniel, aku dah jadi macam banduan baru keluar dari penjara. Orang pandang aku semacam aje. Orang dah anggap aku ni dah jadi perempuan jahat...takde harga diri! Ya ALLAH, sedihnya hati aku!’ rintih hati Hani Fiqah. Dilepaskan helaan nafasnya.

Kedinginan malam menggigit kulit halus Hani Fiqah. Sesekali bulu romanya meremang, diusap-usap lengannya. Rumah separa tetap mereka terletak beberapa kilometer daripada kaki Gunung Kinabalu sebab itulah udara di luar kian dingin tatkala malam semakin larut. Hani Fiqah memelukkan lengannya ke tubuh. Kedua belah kaki dinaikkan, duduk bertimpuh di atas sofa.

“Hani...”

Panggilan Aleya kedengaran lembut menyapa pendengaran Hani Fiqah.

“Umi...umi tak tidur lagi ke?” tanya Hani Fiqah lantas menurunkan kedua belah kakinya. Dihampirinya kerusi roda Aleya lalu ditarik perlahan agar lebih rapat pada sofa yang didudukinya.

“Dah lewat sangat ni umi...kenapa umi tak tidur lagi?” tanya Hani Fiqah lagi.

Aleya tersenyum. “Hani tanya umi...Hani pula kenapa tak tidur lagi?” Dikembalikan pertanyaan itu kepada anak gadisnya.

Hani Fiqah tertawa perlahan. Lengan Aleya yang berlapik baju sejuk lengan panjang itu diusap lembut. Terlalu sayang dia terhadap uminya. Sayang yang sukar diungkap dengan kata-kata. Setiap kali menatap wajah lembut uminya, setiap kali itulah dia ingin memeluk dan mendaratkan hidung ke pipi, mencium kulit lembut uminya.

“Hani mengaji tadi, umi. Lepas tu tak boleh tidur...rasa ngantuk dah hilang!” beritahu Hani Fiqah.

“Esok kan Hani kena bangun subuh...tak elok Hani tidur lewat setiap malam, sayang. Sejak akhir-akhir ni...Hani lewat sangat tidur. Umi tahu...fikiran Hani tak tenang, kan?” Renungan redup Aleya menikam mata Hani Fiqah. Dihulurkan lengannya lalu diusap penuh kasih pipi gebu Hani Fiqah.

“Takdelah umi...kadang-kadang aje Hani tidur lewat,” nafi Hani Fiqah perlahan.

“Hani jangan risau lagi...umi dah jelaskan kat Daniel. Mungkin Daniel dah tak datang sini selalu. Umi kesian kat dia, niat dia ikhlas nak jenguk kita tapi...tak mengapalah, mungkin ada baik buruknya suatu perkara tu berlaku, Hani.” Aleya menarik nafas agak dalam.

“Umi...Hani tahu, Hani tak patut buat Daniel tu kecik hati tapi Hani...Hani sakit hati kat jiran-jiran kita umi. Rasa dah tebal sangat kulit muka Hani ni, umi. Malu sangat,” luah Hani Fiqah.

“Umi tahu, Hani. Umi faham...Hani bersabarlah ya. Kita berdoa saja Hani, semoga suatu hari...jiran-jiran kita akan sedar, insaf. Semoga mereka tak lagi gemar mengumpat, memfitnah!” Aleya menggelengkan perlahan. Bohonglah jika dia tidak kecewa dengan sikap segelintir jirannya. Bukannya hendak meringankan bebannya malah ditambahkan lagi!

“Hani...macam mana pun janganlah Hani benci kat Daniel, ya? Umi tak nak anak umi jadi orang pendendam...”

“Takdelah umi...Hani tak sampai hatilah nak benci orang lagipun Daniel tak bersalah pun! Entahlah umi...Hani boleh bersabar sampai bila. Tapi...Hani akan bersabar...tawakal, ALLAH sedang menguji Hani, umi!”

“Alhamdulillah...umi tahu anak umi baik hati. Tak mengapalah...mungkin lepas ni pun Daniel tak akan datang lagi ke sini.”

“Umi...”

“Hmm?”

“Umi ingat lagi tak kata-kata terakhir abah?” Lembut jari-jemari Hani Fiqah mengelus lalu menggenggam jari-jemari uminya.

“Ingat...takkan umi boleh lupa, sayang. Umi akan ingat setiap apa pun tentang abah...” Serta-merta saja mata Aleya terasa seperti berpasir, perit rasanya.

“Umi...Hani dah fikirkan...Hani teringin pergi ke kampung arwah abah, umi.”

“Ya ke? Tapi macam mana Hani nak kenal atuk dan nenek tu, Hani? Hani tak pernah jumpa dia orang pun...”

“Hani akan ikhtiarkan, umi. Er, umi ada simpan tak gambar abah...kalau ada gambar datuk dan nenek lagi baik, umi.” Hani Fiqah menatap wajah uminya dengan hati mengharap.

“Gambar arwah abah ada umi simpan tapi gambar datuk dan nenek...takde pulak, Hani.” Aleya menggelengkan perlahan. Kini terasa kesal pula sebab tidak membawa bersama gambar ayah dan ibu mertuanya suatu ketika dulu.

“Umi...Hani rindu sangat pada arwah abah...”

Hampir menitis air mata Aleya, ditahan-tahan agar tidak gugur di hadapan Hani Fiqah. Kenangan bersama arwah Haris menjelma dalam benak. Sesungguhnya kerinduan terhadap arwah tidak pernah luput. Al-Fatihah...bisik hati kecil Aleya.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan