TENGKU FATIN menggeletar menahan rasa marah yang sedang beraja di hati. Hampir sahaja dia memekik sekuat hati. Bagaikan hendak pecah jantungnya. Antara percaya dan tidak namun pandangan
sepasang matanya tentu sekali tidak akan salah.
Terang dan jelas. Lelaki itu memang
Tengku Daniel dan siapa pula perempuan itu?
Apakah itu kekasih baharu Tengku Daniel?
Sebab inikah lelaki itu sudah jauh berubah?
“Izwan, you bawa I balik
ke hotel sekarang jugak. Meluat benar I...makin
mendidih hati I ni!” Tengku Fatin
mendengus kasar. Jika tidak disabarkan
hatinya mungkin habis diganyangnya perempuan itu.
“You sabarlah...jangan
ikutkan perasaan. Tak guna you
marah-marah, buat you semakin tertekan aje,” pujuk lelaki itu sambil
tersenyum-senyum. Wajah Tengku Fatin
kian kelat.
“Nak sabar macam mana? Patutlah Daniel asyik berulang alik ke
sini...macam dah takde tempat lain dia nak pergi, asyik ke sini! Perempuan tu memang mata duitan...pisau
cukur! Tengoklah...budak-budak tu tentu
adik-adik dia, kan? Perempuan tu memang
nak kikis harta Daniel!” rungut Tengku
Fatin. Sakit sungguh hatinya ketika itu.
“Alah...baguslah, biar
luak kekayaan dia. Sebab dia kayalah perempuan asyik
terkejar-kejar kat dia. Hah, salah
seorangnya you!” Sindir lelaki itu lalu
ketawa bebas.
“Hey...jaga mulut you tu,
okey? I tak sama dengan perempuan mata
duitan tu...I bersama Daniel sebab I mencintai dia!” Teramat sakit hatinya melihat kewujudan
perempuan muda itu bersama Tengku Daniel.
Tengku Fatin bertambah
geram mendengar dekahan Izwan. Lelaki
itu seolah-olah mengejek dirinya.
“Cinta? Fatin...you masih mengharapkan cinta lelaki
tu? Ow...no! Agaknya dia sedang kemaruk bercinta dengan
perempuan tu sekarang!” Lelaki itu
menepuk dahinya sendiri dengan perlahan.
Suara ketawanya memenuhi ruang kereta.
Lantas stereng kereta turut ditepuk-tepuk. Sengaja dia mengapi-apikan
perasaan wanita itu.
“Apa yang kelakar sangat you
ketawa sampai keluar anak tekak ni? I
mencintai Daniel tu sangat-sangat, tahu tak?
Walaupun dia bukan kekasih pertama I tapi dialah satu-satunya lelaki
yang I percayai banding lelaki macam you ni!”
Kutuk Tengku Fatin sambil mencebik bibirnya.
“Amboi...sedap aje mulut you
mengutuk I? Eh, you sendiri dah nampak
apa lelaki yang you cintai tu sedang lakukan. Cinta dia sudah beralih, tahu
tak? Tak nampak ke betapa bercahaya wajah dia bersama perempuan tu tadi? You percayalah sangat...”
“Eh, sudahlah! I malas nak cakap dengan you...hantarlah I
balik ke hotel sekarang!” Tengku Fatin
menghentak beg tangannya yang berjenama mahal itu di depan dashboard,
berdentum bunyi.
“Alah...janganlah marah,
Fatin. Daripada you duduk bersedih kat
bilik hotel...lebih baik kita jelajah daerah Ranau ni...kita berseronoklah, sayang. Banyak tempat peranginan cantik kat sini,
tahu tak?” Lelaki itu tanpa rasa jenuh
memujuk lembut.
“Hati I sedang sakit, you
tahu tak? Macam mana nak berseronok
kalau hati luka..sakit macam ni?” bebel
Tengku Fatin sambil mendengus kasar.
“Fatin...you janganlah
ikut perasaan sangat. Relaks aje...you
tu masih muda, cantik...jangan seksa hidup you mengharapkan Daniel tu. You takut sangat kehilangan Daniel tu, kenapa? Lelaki tak guna tu tak setia...tak setia
macam I!” Lelaki itu mulai memasang
jerat hasutan.
“Senang aje you
cakap...sekian lama kami bercinta takkan nak lepas dia begitu aje. Tak boleh!
Kalau I tak boleh dapat dia...sesiapapun tak boleh!” Dilepaskan geramnya pada beg tangan. Sekali lagi dashboard kereta itu
berdentum.
Lelaki itu mengeluh
perlahan. Jika dibiarkan kemarahan
menguasai hati Tengku Fatin, bimbang dashboard kereta sewa itu pula yang
pecah. Dia juga yang susah! Dilayangkan pandangan ke arah pasangan yang kelihatan
hendak meninggalkan restoran itu.
Perempuan bersama Tengku Daniel itu tampak sangat muda, juga tampak
sangat manis. Sesungguhnya hati Izwan
mendoakan, semoga Tengku Daniel bercinta sakan dengan perempuan muda itu. Bukankah satu keberuntungan baginya jika itu
terjadi!
“Perempuan tu muda lagi,
cantik tapi you jauh lebih cantik, Fatin.”
Kata-kata yang bercanggah dengan kata hati Izwan. Perempuan itu bukan hanya masih muda tetapi
sangat cantik, ayu jelita. Memang dia sangat hipokrit!
Tengku Fatin mengangkat
muka, menghalakan anak mata ke arah perempuan yang sedang berjalan bersama
Tengku Daniel. Mata Izwan pasti bermasalah atau sengaja mahu menyenangkan
hatinya!
“Daniel suka kat
dia...” keluh Tengku Fatin perlahan.
“Daniel cakap macam tu
ke?” Berkerut dahi Izwan.
Tengku Fatin menggelengkan
kepala. “Takdelah...I sangka aje. Tapi you tengoklah muka Daniel...ceria aje,
asyik senyum!”
Izwan akhirnya malas
hendak mengulas lagi. Bosan sungguh
berbicara tentang lelaki bernama Tengku Daniel itu. Hatinya sama juga seperti hati Tengku Fatin. Sedang sakit!
Sejak dahulu, dia langsung tidak menyukai lelaki itu. Baginya, Tengku Daniel itu merupakan
penghalang baginya selama ini.
Disebabkan lelaki itu, dia tidak dapat memiliki gadis pujaannya. Disebabkan lelaki itu juga, dirinya hanya
layak menjadi sahabat Tengku Fatin!
Sungguh menyakitkan hati!
“Okeylah...sekarang you betul-betul
nak balik ke?” tanya lelaki itu
perlahan. Ditatapnya wajah mendung
Tengku Fatin dari sisi.
Tengku Fatin terdiam. Dipandangnya lelaki itu dengan perasaan
berbaur. Dia tidak tahu kehendak sebenar
hatinya ketika itu. Rasa marah masih
menyengat segenap hati. Sakit rasanya.
“Fatin...dahlah tu. Kita pergi dari sini, okey?”
“Okeylah...you bawa ajelah
I ke mana-mana. Malaslah nak fikir
sangat, buat tambah pening kepala I aje!”
“Ehm...that is my girl! Okey...I bawa you pergi tempat-tempat yang
menarik, you pasti suka...I akan pastikan you akan seronok nanti!”
Senang sungguh hati
lelakinya. Tengku Fatin, gadis yang
pernah 'dijinakkannya' suatu ketika dahulu.
Namun itu kisah ketika mereka masih remaja. Menginjak dewasa, Tengku Fatin sudah membuka
pintu hati kepada lelaki lain. Akhirnya
dia gigit jari tatkala muncul Tengku Daniel dalam hidup gadis pujaannya itu. Namun, benarkah dia hanya mampu gigit
jari? Mungkin dia tidak lagi memiliki
hati perempuan itu tetapi hakikatnya dia telah pun ‘memilikinya!’
Sama-sama bertugas sebagai
'anak kapal' di syarikat penerbangan, sudah tentu masanya lebih banyak bersama
dengan Tengku Fatin dalam setiap kali penerbangan ke luar negara. Menjadi Pramugara dan Pramugari, itu
cita-cita mereka bersama sejak masih sekolah menengah rendah. Izwan sering mengimpikan, Tengku Fatin itulah
gadis yang mengisi ruang hatinya yang masih kosong. Gadis yang bakal melengkapi hidupnya namun
itu cuma impiannya. Tengku Fatin tiba-tiba
menyerahkan hatinya kepada lelaki lain!
***
TENGKU DANIEL
menebarkan pandangan seluas-luasnya.
Kawasan tanah yang ditanami pelbagai jenis sayur itu sungguh menarik
hatinya. Sebentar tadi dia melihat
bagaimana gigih Hani Fiqah dan Rizal memberi makanan kepada ayam dan itik
ternakan mereka. Sekarang matanya
dihidangkan pula dengan kebun sayur-sayuran seluas lebih satu hektar. Kehijauan sayur-sayuran menyejukkan mata yang
memandang. Pokok-pokok betik pula tumbuh
subur, berbuah lebat sangat menguja perasaannya.
“Abang...abang...tumpang lalu...”
Suara Rizal mengejutkan Tengku
Daniel. Kelam-kabut dia menghindar. Akibatnya Tengku Daniel tersilap langkah,
terundur lalu jatuh terduduk di atas batasan sayur.
“Ya ALLAH...Abang Daniel!”
Terbelalak mata Rizal lalu
melemparkan saja baldi dari pegangannya.
Segera dibantunya Tengku Daniel bangkit.
“Abang...Riz minta maaf! Abang okey ke?” Rizal membantu membersihkan seluar Tengku
Daniel yang dilekati tanah dan daun kering.
Terpapar jelas kebimbangan di wajah Rizal. Tubuh tegap Tengku Daniel yang sudah berdiri
tegak dipandang dari bawah ke atas.
“Er...kaki abang tak apa-apa
ke? Riz tak sangka abang boleh
terjatuh...” Rizal menatap pada kaki
Tengku Daniel yang pernah cedera.
“Abang tak apa-apa...Riz jangan
risaulah, okey.” Tengku Daniel ketawa perlahan.
Tidak lama kemudian Hani Fiqah sudah
tercegat di hadapan Tengku Daniel dan Rizal.
Pandangan Hani Fiqah jatuh ke kaki Tengku Daniel. Dahi licinnya sedikit berkedut.
Rizal menatap bimbang wajah kakaknya
yang serius. Memang silapnya. Dia memang sengaja bergurau dengan Tengku
Daniel sebentar tadi.
“Kak long...Riz mintak maaf...”
Hani Fiqah menarik nafas agak
dalam. “Tak mengapalah...lain kali Riz
hati-hatilah, ya. Kalau sebabkan orang
tercedera, kan susah nanti? Riz pergilah
siapkan kerja...sekejap lagi kita balik,”
ujar Hani Fiqah perlahan namun tegas.
“Okey kak long. Abang Daniel...Riz minta maaf, ya?” Rizal menghulurkan tangan. Disalami dan diciumnya tangan lelaki itu
dengan ikhlas.
“Riz jangan risau...bukan salah Riz
pun. Abang yang tak hati-hati, terjatuh
sendiri. Abang memang tak apa-apa,
okey.” Tengku Daniel mengusap perlahan
kepala Rizal. Dia tersenyum.
“Okey, abang. Terima kasih...” Wajah Rizal ceria semula. Diambilnya baldi lalu segera meneruskan
kerja-kerjanya.
Sejurus Rizal berlalu, Tengku Daniel
menghadap Hani Fiqah. Ditatapnya wajah
gadis itu dengan sedikit rasa malu terselit di hatinya. Hendak bagaimana lagi, dia tidak menyangka
jika dia boleh jatuh terduduk sebentar tadi.
Keadaan itu sungguh di luar jangka.
Terasa calar sedikit imej diri!
“Awak tak apa-apa ke?” tanya Hani Fiqah perlahan.
Tengku Daniel menggeleng dengan
senyum simpulnya. “Tak apa-apa...”
“Sepatutnya awak tak perlu datang ke
sini...tak sesuai untuk awak!” Usai
menuturkan kata-kata itu, Hani Fiqah berpaling hendak berlalu.
“Hani...”
Panggilan Tengku Daniel mematikan
langkah Hani Fiqah namun dia langsung tidak berpaling. Tengku Daniel menghampiri.
“Ada apa?” tanya Hani Fiqah sebaik
saja Tengku Daniel berdiri di sisinya.
Tengku Daniel menghela nafas. Ditatapnya wajah bersih itu dari sisi. Sejak kedatangannya ke daerah itu tiga hari
lalu, matanya belum ‘dijamu’ walau secebis pun senyuman manis dari bibir gadis
itu. Ini kali kedua dia datang ke rumah
Hani Fiqah.
Tengah hari tadi, dia sengaja mengajak adik-adik Hani Fiqah ke pekan. Setelah puas adik-adiknya memujuk, akhirnya
Hani Fiqah turut serta. Meskipun
sambutan Hani Fiqah dingin, dia tetap sanggup berulang alik dari hotel di pekan
Ranau. Tengku Daniel tidak kisah asal hatinya senang. Dia gembira berada di tengah-tengah keluarga
itu. Sejak mengenali keluarga Hani
Fiqah, terasa keluarga itu bagaikan sudah menjadi keluarganya.
“Awak nak cakap apa?” tanya Hani Fiqah lagi. Kali ini ditatapnya wajah Tengku Daniel. Entah mengapa, kehadiran Tengku Daniel
menyebabkan hati dan fikirannya runsing.
“Hani macam marah kat saya. Saya ada buat silap ke?” tanya Tengku Daniel perlahan.
Terjongket kening Hani Fiqah. “Takde apa...Itu aje awak nak tanya? Saya banyak kerja ni...awak baliklah ke
rumah. Tempat ini tak sesuai untuk awak,
kaki awak tu...kalau terjatuh, kan susah!”
“Hani...”
Sekali lagi langkah Hani Fiqah tidak
menjadi. Ditariknya nafas lebih dalam. “Tengku Daniel...kalau awak
perlu teman untuk bersembang, pergilah balik...umi dan adik-adik ada kat rumah. Saya sibuk ni...nak cepat. Cepat selesai lagi baik...saya perlu sediakan
makan malam untuk keluarga saya!”
Tergamam seketika Tengku
Daniel. Serta-merta tatapannya berubah
menjadi redup. Sikap Hani Fiqah sedingin
air batu. Malah sejak ketibaannya tiga
hari yang lalu, gadis itu sedikit pun tidak menunjukkan keramahan terhadapnya. Namun hatinya terasa semakin terikat. Dilepaskan Hani Fiqah berlalu, diiringi
dengan tatapan sayu.
‘Kenapa dengan aku sebenarnya? Semakin Hani tak suka, semakin menjauhiku...terasa
Hani semakin dekat pula di hati!’ bisik hati
Tengku Daniel.
Lama Tengku Daniel melayan
perasaannya. Dia tercegat memerhati
pemandangan di hadapannya, batas-batas sayur yang tumbuh subur kehijauan
sedikit melegakan perasaannya. Namun
bayangan wajah tanpa senyum Hani Fiqah terpapar juga di pelupuk mata. Apa yang perlu dilakukannya bagi menyenangkan
hati Hani Fiqah? Dilepaskan keluhan
mengiringi helaan nafasnya.
Daripada kejauhan, dilihatnya susuk tubuh Rizal kian mara
menghampirinya. Melihat Rizal yang
ceria, bibir Tengku Daniel mengukir senyum.
“Abang...” laung Rizal memanggil sambil melambai-lambaikan
tangannya.
Tengku Daniel membalas, turut
mengangkat lengan. Berlari-lari anak Rizal
menghampirinya. Mengalir peluh di
dahinya. Rizal tampak sungguh cergas dan
bersemangat.
“Penat?” tanya Tengku Daniel tatkala remaja itu sudah
tegak di hadapannya.
Rizal menggelang sambil ketawa. “Taklah...Riz dah biasa buat kerja ni setiap petang,
abang. Kak longlah yang paling bertenanga...sebelum
pergi kerja, kak long ke sini terlebih dahulu, balik daripada kerja pun begitu
jugak. Kesian kak long...Riz tahu kak long
penat sebenarnya tapi tak pernah tunjuk kat kami!” ujarnya perlahan sambil melayangkan pandangan,
memandang Hani Fiqah yang jauh beberapa meter daripada mereka.
“Kak long buat kerja ni setiap pagi
dan petang? Riz juga?” tanya Tengku Daniel seperti tidak percaya.
“Ha'ah bang...tapi Riz sebelah
petang aje. Pagi-pagi Riz tak
sempat...nak pergi sekolah. Kak longlah
yang buat semuanya waktu awal pagi selepas siapkan sarapan. Sekarang...Riz selalu ada kelas tambahan
waktu petang, tak sempat nak tolong kak long,”
beritahu Rizal.
“Kenapa kak long tak cari pekerja
aje? Ringankan sikit beban dia...”
“Kak long dah cuba cari, abang
tapi...sampai sekarang tak dapat-dapat jugak,”
jawab Rizal.
“Riz sekarang tingkatan lima...bantu
kak long buat kerja macam ni tak terganggu ke pelajaran Riz?” Ditatap simpati remaja itu. Tengku Daniel dapat membayangkan, keletihan
tubuh Rizal dan Hani Fiqah.
Rizal menggelengkan kepala perlahan,
bibirnya tersenyum. “Riz mampu buat,
abang. Kalau kak long mampu
buat...kenapa pulak Riz tak mampu? Riz
lelaki...”
Tengku Daniel terangguk-angguk bagai
burung pelatuk. Sungguh tidak menyangka
kehidupan Hani Fiqah sedemikian, sangat berdikari dan sangat bertanggungjawab!