BAB 2: JIKA ALLAH
MENOLONG, TELUR JADI INTAN
Allahummarzuqna Halalan Tayyiba
Warzuqna Min Hai Sula Yah Tasib
Ya
Allah Limpahkan Rezeki Yang Halal Dan Rezeki Yang Baik Buat Kami. Dan
Kurniakanlah Rezeki Ini Daripada Sumber-Sumber Yang Datangnya Dari Arah Yang Tidak
Kami Sangka-Sangka Rezeki.
Aku
terkenangkan apa yang diceritakan dalam koleksi cerpen karangan Allahyarham
Rahim Kajai dalam cerpen "Kalau Allah menolong telur pun jadi Intan".
Kisah ini telah dimuatkan dalam sebuah koleksi yang dikenali sebagai “Satira
Kajai"[1].
Mungkin inilah yang juga berlaku kepada kami sekeluarga.
Tempoh
untuk pergi ke tanah suci hanya tinggal kira-kira 15 hari saja lagi. Banyak
persiapan perlu dilakukan. Banyak persediaan juga perlu diambilkira kerana kami
akan melaksanakan umrah satu keluarga, beserta empat orang anak termasuk yang
bongsu, yang bernama Iris. Iris adalah seorang anak yang dilahirkan istimewa,
yang juga dikenali sebagai “Anak Syurga”.
Aku
menefon ibuku di kampung dan memberitahu khabar gembira bahawa aku telah
mendaftar sebagai jemaah umrah. Semuanya berjalan lancar, ibuku turut bersyukur
kerana kami sekeluarga akan mengunjungi Baitullah dalam masa yang terdekat itu.
Memang
sudah ribuan, malahan mungkin jutaan jemaah telah mengunjungi Baitullah untuk
mengerjakan umrah. Bahkan ramai yang telah berulangkali melakukannya.
Mengerjakan umrah bagi kali pertama adalah wajib. Manakala umrah yang
berikutnya menjadi umrah sunat.
Pun
begitu, para ulama' berselisih pendapat. Pendapat yang pertama mengatakan
bahawa umrah adalah wajib dan menjadi fardhu ke atas mereka yang di wajibkan
haji. Pendapat ini disandarkan kepada Umar, Abdullah bin Abbas, Zaid bin
Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, Saied bin Musaiyyib, Saied bin Jubair, Ato’,
Towuss, Mujahid, Asyafie, Ahmad dan al-Bukhary. Imam al-Bukhary telah menamakan
satu bab dalam kitabnya dengan nama “Wajib Umrah Dan Kelebihannya”. Pendapat
ini mengambil dalil dari Ayat ke 196 Surah Al-Baqarah yang bermaksud "Dan
tunaikanlah Haji dan Umrah kerana Allah.”
Pendapat
kedua pula mengatakan umrah adalah tidak wajib, pendapat ini disandarkan kepada
Abdullah bin Masu’d, Malik, Abu Hanifah, Abu Saur, Syafie dalam pendapatnya
yang lama dan ianya menjadi pilihan kepada Ibnu Taimiyyah, Sonaani serta
Syaukani.
Dalil
kepada pendapat ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh
Jabir bin Abdullah. Nabi Muhammad
bersabda
yang bermaksud "Nabi
ditanya tentang umrah adakah ianya wajib?
Jawab Nabi: tidak, tetapi mengerjakan umrah itu adalah baik.”[2]
Bagaimanapun,
para ulama' lebih bersependapat mengenai pandangan yang pertama iaitu umrah
(haji kecil) adalah wajib bagi kali pertama jika seseorang itu mampu. Umrah
kali kedua dan seterusnya menjadi umrah sunat. Inilah juga yang disampaikan
oleh mutawif[3]
umrah.
Tapi
bagi kami yang hanya mempunyai kira-kira 15 hari dari tarikh berlepas, adalah
sesuatu yang masih sukar dipercayai. Ini kerana mengunjungi tanah suci untuk
mengerjakan umrah atau haji bukanlah seperti kunjungan biasa ke mana-mana
tempat lain di dalam dunia ini.
Menghadirkan
diri di hadapan Baitullah tidak sama seperti mengunjunjungi kotaraya-kotaraya
dunia seperti Brisbane, Sydney, Tokyo atau Bangkok yang telah aku kunjungi
ketika bertugas. Mengunjungi Masjidil Nabawi di mana terletaknya Makam
Rasulullah
juga tidak
sama dengan melawat mana-mana tempat di seluruh dunia ini.
Tidak
semua orang diberi peluang mengunjungi Baitullah, menjejakkan kaki ke bumi
tanah haram. Bahkan, mereka yang sudah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi
pun tidak akan sampai di sana kerana semuanya adalah di atas jemputan dan izin
Allah pencipta seluruh alam.
Aku
masih teringat satu kisah yang disampaikan oleh Ustaz Othman, ketika
menyampaikan kuliah Maghrib di surau, di tempat kediamanku dan keluarga iaitu di
Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, Kedah.
Kisah
bagaimana sekumpulan jemaah haji dari Malaysia yang akan ke tanah suci atas
jemputan Raja Arab Saudi. Mereka adalah kumpulan ahli perniagaan yang telah berjaya
atau disebut “Ahli Korporat”. Mereka mendapat jemputan khas dari Raja Arab
Saudi bagi mengerjakan haji di suatu musim haji.
Kata
mereka “Kami tidak perlu bersusah payah dan tak perlu lama di Makkah."
Ustaz Othman memulakan kisah benar dalam pengetahuannya.
Kata
mereka lagi “Kami dijemput oleh Raja Saudi, semua telah disediakan." jelas
Ustaz Othman untuk menggambarkan bahawa kumpulan itu langsung tidak bimbang
tetapi lebih yakin dapat melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah, pada musim
haji tahun itu.
Dipendekkan
kisah, sekumpulan lima orang berkenaan berlepas ke tanah suci sehari sebelum
Hari Wukuf, yang jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun mengikut kalendar Hijrah.
Dari Malaysia kumpulan tersebut dapat berlepas dengan jayanya kerana semua
telah tersedia, dari segi urusan imigresen, visa haji dan apa saja yang
berkaitan.
Bagaimanapun,
apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA)[4]
Jeddah, kumpulan ini menghadapi masalah berkaitan dengan urusan Imigresen.
Mereka perlu menghadapi pemeriksaan yang ketat dan dalam keadaan bersesak-sesak,
tambahan pula jumlah jemaah yang semakin bertambah di lapangan terbang.
Ini
kerana masih terdapat jemaah yang lain yang tiba pada hari yang sama. Dengan
masalah itu mereka tersadai di lapangan terbang dan akhirnya gagal untuk
melaksanakan ibadat wukuf di Padang Arafah.
Tuntasnya,
mereka tidak dapat melaksanakan Rukun Islam yang ke lima itu kerana berdasarkan
rukun haji, tanpa wukuf di Padang Arafah, haji dikira tidak sah.
Daripada
kisah ini menunjukkan bahawa walaupun Raja Arab Saudi yang menjemput, tetapi
jika Allah tidak menyeru dan menjemput, siapa pun tidak akan berjaya
menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah.
Oleh
sebab itu, apabila seseorang bakal menjejakkan kaki ke tanah suci, dia juga dikatakan
sebagai “sudah sampai seru”. Bagaimanapun, kadang-kadang mereka yang naif akan
berkata “belum sampai seru” sebagai alasan, jika masih belum bersedia ke tanah
suci beserta alasan-alasan yang lain.
Selain
daripada persiapan dari segi fizikal dan spiritual, beberapa persiapan mengenai
dokumen adalah amat diperlukan bagi urusan visa umrah seperti berikut:
•
Satu salinan kad pengenalan.
•
Salinan surat nikah yang disahkan oleh Pejabat Agama.
•
Empat keping gambar bersaiz passport.
•
Salinan surat lahir bagi kanak-kanak dan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran
Negara.
•
Passport antarabangsa Malaysia.
Sebagai
tambahan kad suntikan kesihatan yang diperlukan oleh Kementerian Haji dan
Wakaf, Arab Saudi perlu disediakan. Kad ini diperolehi apabila suntikan
kesihatan dilakukan di mana-mana klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan
suntikan kesihatan.
Bayaran
perkhidmatan beserta kad suntikan akan dikenakan bergantung kepada klinik
tertentu. Kami membayar sebanyak RM50.00 setiap orang untuk mendapatkan kad
suntikan, di Klinik Mutiara yang terletak di Jalan Sultanah, Alor setar.
[1]
Satira Kajai adalah
kumpulan cerpen Abdul Rahim Kajai (1894-1943) yang diselenggarakan oleh Hashim
Awang dan diterbitkan oleh Penerbitan Fajar Bakti, 1985.
[2] Hadith ini dipegang oleh Mazhab
Hanafi dan Mazhab Maliki berhubung dengan umrah sebagai sunat yang dituntut.
[3] Mengikut daftar ejaan DBP,
Mutawif ialah pemandu orang yg mengerjakan tawaf (biasanya dirujuk juga kepada
mereka yg membuat kebajikan kepada orang yg mengerjakan haji).
[4] Selepas ini akan disebut sebagai
LTA yang bermaksud Lapangan Terbang Antarabangsa