
Wahai
orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan
sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk
mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah
berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah Al-Jumaah, Ayat 9)
Hari
Jumaat adalah hari yang amat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan orang Islam.
Jumaat adalah penghulu segala hari. Dalam Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah, Nabi bersabda dengan maksudnya[1]:
“Hari
yang paling baik bagi matahari memancarkan sinarnya adalah Hari Jumaat. Adam
diciptakan pada Hari Jumaat dan dikeluarkan dari syurga pada Hari Jumaat, serta
dimasukkan ke Syurga pada Hari Jumaat”
Hari
itu, hari ke-enam dalam jadual perjalanan umrah serta hari ke-2 di Kota Makkah.
Buat pertama kalinya dapat bersolat Subuh di pagi Jumaat di Masjidil Haram.
Ramai yang mengimpikan untuk bersolat Subuh di pagi Jumaat.
Kebiasaannya
di tanahair, Solat Subuh di pagi hari Jumaat akan sertai dengan sujud sajadah.
Bacaan dari Surah As-Sajadah dan Surah Al-Insan akan dibacakan oleh Imam,
dengan sujud sajadah pada rakaat pertama. Bagaimanapun, tiada Sujud Sajadah
yang dilakukan di Masjidil Haram.
Setelah
azan pertama dilaungkan aku dan syauqi turun dari hotel penginapan ke Masjidil
Haram, bersiap untuk bersolat Subuh di pagi hari Jumaat. Sepertimana yang
diketahui, Jumaat adalah penghulu bagi segala hari atau disebut “Saiyiddul
Aiyam”.
Sungguh
ramai jemaah bergerak kelar dari hotel penginapan masing-masing ke Masjid,
memenuhi segenap pelusuk dan jalan-jalan yang menuju ke Masjid. Di dataran
masjid, telah ramai jemaah berkumpul. Mereka menunaikan ibadat-ibadat sunat.
Keadaan
di Pintu No.1 juga kelihatan sesak dengan jemaah yang mula membanjiri kawasan
solat di dalam masjid dan kawasan di Dataran Haram, di mana terletaknya Kaabah.
Solat
subuh di pagi jumaat di Masjidil Haram dilakukan tanpa sujud sajadah. Selain
daripada itu kebiasaannya tiada bacaan doa qunut pada solat subuh, sepertimana
yang diamalkan di kebanyakkan masjid di negeri Perlis.
Selesai
Solat Subuh, diteruskan dengan membaca Al-Quran, Solat-solat sunat yang lazim
dilakukan. Selepas solat Isyra’ diselesaikan, kemudian kami bergerak ke Dataran
Haram untuk melakukan tawaf sunat. Keadaan di dataran itu tidaklah terlalu
sesak kerana masih awal pagi. Lantai atau tempat jemaah bertawaf juga tidaklah
terasa panas, kerana tempat itu telah dipersiapkan dengan menggunakan marmar
putih yang membalikkan cahaya matahari.
Seperti
biasa terdapat pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di
dataran itu. Mereka melaksanakan tugas dalam lebih kurang sepuluh orang.
Apabila
selesai melakukan tawaf sunat, seperti biasa bersolat sunat dua rakaat di
kawasan belakang Makam Ibrahim, berdoa dan meminum air Zam-Zam.
Seterusnya
kami masuk ke dalam Hijir Ismail bersolat dan berdoa dengan sesungguh hati,
mengalirkan air mata kerana di bawah pancuran emas yang terdapat pada bucu
Kaabah yang terletak di dalam kawasan Hijir Ismail, adalah tempat doa mustajab.
Sejak
kedatangan kami di Makkah, entah berapa kali telah berpeluang bersolat dan
memohon doa di dalam kawasan Hijir Ismail. Ketika itu belum ada sekatan atau
pintu pada arah kiri dan kanan, yang dipasangkan seperti sekarang. Bermula pada
bulan Rejab tahun 1424, satu pintu kawalan telah dipasang oleh pihak pentadbir
Masjidil Haram.
Di
dalam kawasan Hijir Ismail itu, ramai jemaah yang berebut-rebut untuk bersolat
dan berdoa. Tidak kurang juga yang terus kelihatan melekat pada dinding Kaabah,
terutamanya di bawah pancuran emas. Mereka kelihatan tidak mahu melepaskan
pegangan mereka pada dinding Kaabah. Mereka kelihatan meratap dan menangis pada
dinding Kaabah sambil mendepakan tangan mereka seboleh mungkin.
Terdapat
juga amalan-amalan yang pelik dilakukan oleh kumpulan Jemaah, mungkin dari
Iran. Mereka kelihatan menggunakan jari-jari mereka, menulis secara isyarat
pada dinding Kaabah. Dikatakan mereka menulis nama dan dosa-dosa yang dilakukan
sepanjang hidup. Dengan tujuan untuk memohon keampunan. Wallahu’aklam.
“Kita
berdoa untuk keluarga kita, untuk Iris,” pesanku kepada anakku Syauqi.
“Ya
Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadaMu agar diberikan aqal yang cerdik, lidah
yang fasih dan kesihatan yang berkekalan kepada anakku Iris, semoga dia dapat
menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa sekarang dan masa akan datang”.
“Ya
Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadaMu agar diberikan ilmu yang manafaat
kepada anak-anakku. Semoga mereka maju jaya dalam pelajaran, sepertimana Engkau
memberikannya kepadaku. Ya Allah berikanlah kesihatan yang baik dan jadikanlah
mereka anak-anak yang Soleh dan Solehah”.
Itu
adalah sebahagian doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah, di hadapan Kaabah serta
di bawah pancuran emas. Doa ini juga turut dibacakan setiap kali selesai solat
dan bertawaf sunat. Kami bermohon agar Allah mengurniakan aqal yang sempurna
dan pertuturan yang fasih kepada anak kami, Iris yang dilahirkan istimewa itu.
Selesai
tawaf sunat kami pulang ke hotel penginapan dan bersarapan pagi di dewan makan.
Kemudian rehat sebentar bagi melepaskan penat.
Solat
Jumaat di Masjidil Haram dikatakan luar biasa, kerana jumlah jemaah berlipat
kali ganda. Mungkin terdapat ramai penduduk tempatan dan sekitar Kota Makkah
membanjiri Masjidil Haram pada hari jumaat, untuk mendapatkan keberkatan.
“Perlu
datang awal ke Masjid pada Hari Jumaat, orang terlampau ramai untuk bersolat,”
Ustaz Zul pernah menjelaskannya di dalam perjalanan suatu hari itu.
“Tambahan
la ni musim cuti sekolah, orang-orang
Makkah akan membawa keluarga dan anak-anak beranak datang beramai-ramai ke
Masjid,” jelas Ustaz Zul lagi.
Kami
bergerak turun dari bilik Hotel ke ruang lobi. Pada ketika itu jam menunjukkan
pukul 11.15 pagi. Waktu Solat Jumaat masih jauh. Siaran TV Mubasyir yang ada
pada lobi hotel, yang menyiarkan siaran secara langsung keadaan Masjidil Haram
dan Dataran Kaabah menunjukkan ramai jemaah telah memenuhi ruang-ruang dalam
kawasan Masjid.
Melihatkan
keadaan itu, kami bergerak keluar dari hotel menuju jalan ke masjid, melalui
laluan berbatu dan berdebu. Ketika itu berpusu-pusu Jemaah lelaki dan perempuan
menuju ke masjid. Mereka datang dari berbagai arah dan pelusuk kawasan hotel
penginapan. Keadaan jalan sesak ditambah pulak kenderaan membunyikan hon di
sana-sini membuatkan kelihatan keadaan hiruk-pikuk sepanjang perjalanan ke
masjid. Memang sungguh luar biasa keadaan waktu itu.
Kami
bergerak sehingga ke dalam kawasan dataran masjid, seperti biasa dipenuhi jemaah
yang siap berada di hamparan sajadah masing-masing. Mereka melakukan
ibadah-ibadah seperti biasa.
Kedaaan
di pintu-pintu masuk utama ke dalam masjid melalui pintu No.1 dan seumpamanya
telah sesak dengan para Jemaah. Ini membuatkan kami beralih ke tingkat satu
dari arah Pintu No.1. Dari Dataran Haram menaiki laluan pejalan kaki ke tingkat
satu. Kemudian menaiki tangga bergerak ke tingkat satu. Masih terdapat
kerja-kerja pengubahsuaian di kawasan itu untuk persediaan musim haji 1434H.
[1] Dari Sahih Muslim, Hadith yang
ke 854