Hari
ke-tiga berada di bumi Madinah.
Selesai
makan tengahari di Hotel Mawaddah As-safwa yang disediakan pada jam 12.30
tengahari, kami berehat sebentar di hotel sebelum bergerak semula ke Masjidil
Nabawi bagi menunaikan solat Zohor pada jam 1.30 tengahari waktu tempatan.
Tinggal di bumi Madinah yang terlalu dekat dengan tempat-tempat sejarah
terutama Masjidil Nabawi, memang rugi tidak melakukan ziarah dan beritikaf di
dalam masjid.
Sementelah
amat hampir dengan makam Rasulullah dan para sahabat, membuatkan rasa ingin
sentiasa berada di dalam Masjidil Nabawi, melakukan iktikaf, membaca Quran dan
lain-lain ibadat sunat. Yang paling utama ialah dapat menziarahi makam Rasullah
, Saidina Abu Bakar dan
Saidina Umar, apabila selesai waktu Solat fardhu.
Kerana
ketika itu sudah menjadi kebiasaan para jemaah dari seluruh pelusuk dunia akan
bersesak-sesak dan berbaris melintasi makam sambil mengucapkan salam dan
berdoa. Jika mahu boleh diulang kembali dengan memasuki Babussalam (Pintu
Salam), sebanyak yang mungkin. Kerana peluang berada di tanah haram Madinah,
bukan selalu diperolehi oleh sesiapa pun.
Anakku
Iris tinggal bersama ibunya di hotel penginapan. Manakala Syafiqah dan Iman
mengikut Mak Cik yang tinggal di bilik bersebelahan dengan kami. Ibu mereka,
Haida masih tidak boleh menunaikan Solat kerana masih uzur.
Telah
menjadi rezeki Iris, untuk dijaga oleh ibunya sendiri. Jika tidak, mungkin
Syafiqah dan Iman perlu mengambilalih tugas menjaga Iris kerana ibunya perlu ke
Masjidil Nabawi. Ini adalah sebab musabab yang tidak diprogramkan. Semuanya
adalah ketentuan Allah di bumi tanah haram Madinah.
Seperti
biasa aku dan anakku Syauqi bergerak ke Masjidil Nabawi untuk menunaikan solat
Zohor. Kami tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di Babussalam. Hari itu
seolah-olah terdapat kebanjiran jemaah dari pelusuk dunia yang datang setelah
mengerjakan umrah di Makkah.
Selain
daripada itu terdapat jemaah yang akan meninggalkan Madinah bagi mengerjakan
umrah di Makkah. Mereka boleh dilihat dari pakaian Ihram yang dipakai. Biasanya
jemaah akan bersolat musafir di Masjidil Nabawi sebelum bertolak ke Makkah.
Samada melakukan solat Qasar atau solat Jama’ Taqdim bagi waktu Zohor dan Asar.
Mereka
perlu segera bertolak ke Makkah kerana perjalanan seterusnya akan mengambil
masa selama tujuh jam dengan menaiki bas. Jemaah yang memakai ihram akan
singgah di Masjid Bir Ali yang terletak sejauh tujuh kilometer dari sempadan
tanah haram Makkah untuk berniat umrah dan melakukan solat Sunat Ihram.
Kami
masuk melalui Pintu Salam (Babussalam). Ketika itu ramai yang sedang bersesak-sesak
di kawasan Mihrab Uthmani. Ada yang sedang tidur mungkin kerana keletihan, dan
ada yang melakukan amal ibadat. Setelah masuk seperti biasa kami berniat
iktikaf di dalam masjid dan mendapat barisan di bahagian belakang, jauh
daripada Mihrab Hanafi yang bersebelahan dengan tempat muazzin mengalunkan
azan.
Azan
Zohor dilaungkan, suasana sunyi sepi seketika. Azan dilaungkan dari atas platform
mengadap ke Mimbar Nabi. Beberapa Syeikh yang bertugas kelihatan berada di atas
platform tersebut. Sekali lagi, laungan azan itu adalah laungan azan yang
paling merdu pernah didengar, Masya’Allah. Tabarakallah. Kemudian semua jemaah
menunaikan solat Zohor apabila iqamah dialunkan.
Selesai
solat Zohor, kami membaca Al-Quran. Al Quran banyak disediakan di atas rak-rak
khas di ruangan solat. Al-Quran disusun cantik pada rak-rak yang terdapat pada
tiang-tiang masjid dan rak-rak khas yang ada pada dinding masjid. Selain
daripada itu terdapat juga rak-rak penyimpanan Al-Quran di ruang-ruang solat.
Bagi
penyimpanan Al-Quran pada tiang-tiang, Kitab suci itu disusun mengelilingi
beberapa tiang utama di dalam masjid. Untuk mendapatkan Al-Quran tidaklah susah
walaupun kita berada jauh dari rak penyimpanan Al- Quran. Kita boleh memohon
pertolongan dengan memberi isyarat kepada jemaah yang lain yang berada
berdekatan dengan rak. Kebanyakkan mereka bersedia membantu kerana apa sahaja
amalan baik digandakan pahalanya di Masjidil Nabawi.
Oleh
itu, terdapat jemaah yang sukarela membantu di tempat-tempat pengedaran air
Zam-Zam. Ada yang menolong mengambil dan menuangkan air Zam-Zam kepada jemaah,
dan ada yang membantu mengedarkan roti serta kurma kepada para Jemaah setelah
selesai solat. Roti dan kurma itu biasanya diletakkan di hadapan saf, di
ruang-ruang tertentu di dalam masjid.
Setelah
keadaan reda di kawasan itu, kami bergerak ke hadapan makam dari kawasan tempat
solat di hadapan Mimbar Nabi. Walaupun telah reda, masih ramai jemaah
bersesak-sesak tetapi tidaklah sepertimana ketika selesai waktu Zohor. Terdapat
ruang yang kelihatan lengang di bahagian hadapan laluan makam mengadap ke
dinding masjid mengikut arah kiblat.
Kawasan
itu adalah kawasan yang tidak dibenarkan berhenti. Biasa ditempatkan polis pengawal
yang mengawal aliran jemaah di hadapan makam Nabi. Aku dan Syauqi mengambil
kesempatan mengeluarkan telefon berkamera dan merakamkan aliran perjalanan jemaah
di hadapan makam. Rakaman itu dilakukan hampir 20 minit sebelum dihalang oleh
anggota polis pengawal yang bertugas.
Setelah
kembali ke hotel, melalui rakaman video itu, kelihatan berbagai ragam jemaah
ketika melintasi kawasan hadapan makam. Ada yang menangis, berdoa, menyapu
pagar makam dengan tangan, kain atau baju, sebelum dihalang oleh polis pengawal
yang sedang bertugas.
Terdapat
juga jemaah yang sempat memujuk polis bergambar ketika bertugas. Kelihatannya
seperti orang tempatan, melihatkan dari segi percakapan dan keakraban dia
dengan polis bertugas.
Patah-patah
perkataan polis dan rakan-rakannya yang sedang berbual boleh difahami kerana
aku telah pun berkawan dengan rakan-rakan pelajar dari Arab Saudi, Qatar dan
seumpamanya yang membanjiri tempat menuntutku di Tanah Ratu (Queensland),
beberapa tahun yang lalu.
Ketika
itu kebanyakkan daripada mereka mendapat biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi
untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Slah Al Saleh, Malik, Suhail dan
seumpamanya menjadi rakan-rakan pengajianku. Kami sama-sama bersolat waktu di
Tingkat 13, bangunan QUT di Margaret Street, Brisbane. Malik dan rakannya mengusahakan
permohonan mendapatkan ruangan solat di Tingkat 13 bangunan itu sebagai
Musolla.
Ketika
mendengar perbualan polis dan jemaah itu, aku mendapati bahawa ternyata dia
adalah rakyat tempatan. Ketika itu juga rasa sesal kerana tidak mendalami
Bahasa Arab. Bahasa Al-Quran. Bahasa Arab sangat indah sepertimana indahnya
Al-Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab amat penting tertamanya
ketika berada di Madinah dan Makkah.
Melihatkan
anakku sedang merakamkan pergerakan jemaah, anggota polis yang sedang berbual
dengan rakannya itu datang dan berkata “Don’t,
don’t use Camera”, dalam telor Arab. “Salam … salam …” dan beberapa
perkataan Arab yang tidak difahami oleh kami.
Menggunakan
kamera memang amat dilarang di dalam masjid. Bagaimanapun perkembangan
teknologi yang menyediakan telefon berkamera atau gadjet-gadjet berkamera, yang
mudah dibawa menyebabkan telah menjadi trend di mana sahaja. Melihat para jemaah
membuat rakaman video atau mengambil gambar dengan menggunakan telefon bimbit
atau tablet adalah perkara biasa, di mana-mana saja pada masa ini.
Sehari
sebelumnya, telefon berkamera aku telah dipukul hingga jatuh ketika aku sedang
merakamkan suasana jemaah di Makam Jibril dan bahagian belakang makam Nabi
Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam. Ketika itu kami sedang menunggu waktu zohor
dan aku cuba untuk memasuki kawasan Raudhah.
“La Yu kau ni yahudi yan!” kata seorang
Syeikh yang bertugas, yang bermaksud jangan jadi seperti Yahudi.
Syeikh itu kemudiannya membaca
beberapa hadith dan menghuraikannya di dalam Bahasa Arab. Syarahan dan
nasihatnya ditumpukan kepada semua jemaah yang sedang leka dan menggunakan
kamera di dalam masjid.
Ini
kerana pada zaman ini sudah menjadi kemestian jemaah menggunakan kamera di mana
sahaja, di ruang solat dan lain-lain tempat di dalam dan sekitar masjid. Mereka
akan merakamkan suasana di dalam masjid, di luar masjid dan sebagainya.
Kegilaan menggunakan kamera sekarang berlaku hampir di seluruh dunia.
Samalah
seperti di Malaysia, jemaah dan pengunjung dari luar negara yang datang ke
Masjid Putrajaya akan merakamkan kehadiran mereka di sana. Apatah lagi kita
yang berpeluang berada di tanah haram. Merakamkan detik-detik berada di sini,
berkongsi gambar dan video di laman media sosial dan sebagainya.
Bahkan
mulai musim haji tahun 2013, pihak Tabung Haji menyediakan laman Facebookdan Twittersesuai dengan perkembangan teknologi, bagi membolehkan jemaah
yang mahir menggunakan gadjet-gadjet
seperti telefon pintar dan tablet berkongsi
maklumat dengan jemaah yang lain serta saudara-mara di tanahair.
Jika
di tahun-tahun 70an dan 80an sehingga 90an, jemaah haji akan mendapatkan
‘Kamera Mekah’ untuk dibawa balik sebagai buah tangan kepada anak-cucu,
sebaliknya sekarang mungkin semua jemaah membawa telefon pintar berkamera, Android tablet atau pun iPadke Makkah dan Madinah, atau
sepanjang mengerjakan ibadah haji.
“Kamera
Makkah” sebenarnya adalah seperti sebuah teropong yang memaparkan slaid-slaid
bergambar tanah haram Madinah dan Makkah yang amat popular pada suatu ketika
dahulu. Ianya sebenarnya adalah keluaran dari negara China, atau “Made in China”.
Pun begitu, ianya tetap dikenali oleh orang Kedah sebagai “Kamera Mekah”.
Ketika kami berada di Mekah, kami dapati masih terdapat “Kamera Mekah” itu
dijual dalam bentuk dan rekaan terbaru yang lebih moden.
Aku
mengesyorkan kepada anakku “Syauqi, kita masuk semula ke dalam Masjid. Kali ini
kita ke Raudah.” Kami akan cuba masuk ke Raudah untuk ke sekian kalinya.
“Kali
ini kita mesti beriktikaf dalam Raudhah lama-lama. Bukan senang nak dapat
peluang macam ini,” aku terus meyakinkan anakku.
Dia
akur dengan sarananku. Setelah masuk semula melalui Babussalam, kami terus ke
kawasan di mana terletaknya pintu kepungan yang dibuka. Seorang polis menarik
aku ke kawasan Raudhah sebelum sempat aku melangkah masuk. Aku dan Syauqi dapat
masuk ke Raudhah buat kali kedua.
Ruang
yang ada di dalam Raudhah hanya cukup-cukup untuk mengerjakan solat sunat
kerana ramai jemaah bertumpu di situ. Ada yang bersujud lama-lama tidak
bangun-bangun. Terlalu lama, mungkin untuk mengelak diarah keluar oleh polis
yang mengawal. Kesempatan yang ada seperti biasa harus diambil dengan
menunaikan solat sunat dua rakaat dan berdoa semahunya. Sepertimana masuk ke
Raudhah kali pertama, begitu jugalah kesempatan yang ada sebelum waktu Asar
digunakan sepenuhnya. Berdoa dan berdoa di Raudah.
“Fasallu rak’atain.”
“Fasallu rak’atain.”
“Fasallu rak’atain.”
Suara
pengawal keselamatan yang mengawal menyuruh jemaah menunaikan solat sunat dua
rakaat ketika di dalam Raudhah, sambil mengarahkan jemaah lain yang berada di
luar kawasan masuk ke dalam kawasan Raudhah. Jika telah selesai solat dua
rakaat, jemaah tidak boleh menunggu lama-lama kerana pengawal keselamatanyang
mengawal akan mengarahkan jemaah bergerak ke hadapan dan meninggalkan kawasan
Raudhah, kerana ramai lagi jemaah yang akan masuk.
Dalam
tempoh hampir 30 minit berada di Raudhah dan ketika sedang asyik memanjatkan
doa, belakangku ditolak oleh seseorang. Seorang jemaah warga tua, kelihatannya
seperti dari India atau Pakistan jika melihatkan dari segi pakaian kurta dan serban
yang dipakainya. Dia menolak dan mengatakan sesuatu kepadaku.
Aku
tidak memahami apa yang dikatakannya tetapi bolehlah diagak bahawa jemaah itu
meminta ruang di tempat aku sedang berada. Jemaah itu sebelum ini kelihatan telah
melanggar beberapa orang jemaah di hadapannya untuk ke depan, telah berada
betul-betul di belakangku, di tepi sebelah kanan.
Dengan
menjinjing beg kain dan seolah-olah meminta ruang di situ. Seorang jemaah
kelihatannya warga emas yang berada di kiriku memberi isyarat supaya aku
menetap di tempat di mana kami duduk sekarang, tidak perlu berganjak dari
kedudukan sekarang.
Di
bahagian tengah kelihatan ramai jemaah yang telah duduk terlalu lama. Mereka
berada jauh dari pengawal keselamatan yang mengawal. Mereka mungkin sudah terlalu
lama berada di situ, mungkin menunggu masuk waktu Asar, kerana ketika itu 40
minit lagi azan Asar akan dilaungkan. Jemaah warga emas yang menjinjing berg tersebut
tidak terus bergerak ke hadapan, kerana mungkin dia tidak berpeluang mendapat
ruang kepadanya untuk bergerak ke hadapan.
Jemaah
tua yang menjinjing beg itu terus menolak belakangku meminta ruang. Kemudian
dia bersuara dengan agak keras, mungkin marah agaknya. Adalah sukar untuk kami
bergerak ke hadapan melainkan terus keluar dari kawasan Raudhah. Ini kerana
jika kelihatan tercari-cari tempat di dalam Raudhah sambil berdiri, polis
pengawal akan mengarahkan supaya keluar dari kawasan Raudhah.
Aku
terpaksa akur dengan kemahuan jemaah tua yang datang menghampiriku itu. Aku
kemudiannya bergerak ke hadapan sedikit dari kedudukan asalku. Syauqi turut
mengikutku dari belakang. Kemudian, jemaah tua itu mengambil kedudukanku, di
sebelahnya seorang jemaah menggeleng-gelengkan kepala mungkin hairan dengan
tindakan jemaah tua tadi, kepada kami.
Setelah
bergerak di hadapan, tiada ruang langsung diberikan oleh jemaah yang telah lama
berada di ruang hadapan kami. Aku terpaksa berdiri sambil tercari-cari tempat
untuk bersolat dan terus kekal di dalam ka. Seperti dijangka polis pengawal
memanggil dan mengarahkan kami keluar dari Raudah melalui laluan tepi Mihrab
Nabi. Kami akhirnya keluar melalui makam Nabi dan seterusnya melalui pintu
hadapan.
Banyak
yang perlu diambil perhatian. Perlu banyak bersabar dengan karenah jemaah. Ini
semua adalah ketentuan dan cubaan yang perlu dihadapi. Mendapat sesuatu yang
terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Bayangkan banyak lagi halangan dan cubaan
ketika melakukan ibadah umrah di Makkah nanti.
Kami
masuk semula ke dalam masjid melalui Pintu Mesir dan menunaikan solat Asar
apabila masuk waktunya. Di ruang solat melalui pintu ini disediakan sedikit
makanan seperti kurma dan roti. Maka air Zam-Zam yang tersedia di tempatnya
diteguk bersama sedikit kurma bagi mengisi perut.
Kesal
kerana tidak dapat bersolat Asar dalam kawasan Raudhah. Bagaimanapun rasa puas
juga kerana dapat berada di dalam kawasan Raudhah bagi kali ke-dua untuk
bersolat sunat dan berdoa.
Dapat
memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah lalu. Selain dari itu juga turut
memohon keampunan kepada kedua-dua ibu dan bapa. Untuk kali kedua dapat masuk
ke Raudhah dalam tempoh yang agak lama, hampir 40 minit.
Bersyukur,
itu yang mampu dizahirkan. Bersyukur kerana membandingkan dengan nasib ramai jemaah
yang beberapa kali mencuba untuk masuk tetapi tidak berjaya. Tempoh empat hari
berada di Masjidil Nabawi terlalu singkat bagi mereka yang uzur, kerana
adakalanya terpaksa berebut-rebut di hadapan makam Nabi dan Raudhah.
Kami
seterusnya cepat-cepat kembali ke hotel. Aku terkenangkan anak syurga kami,
Iris yang telah ditinggalkan bersama ibunya sejak sebelum waktu Zohor hinggalah
ke waktu Asar.