Sampai
di hotel penginapan yang terletak tidak jauh dari masjid, kelihatan para jemaah
lelaki dan wanita dalam kumpulan umrah yang sama berpusu-pusu menaiki lift
untuk ke tingkat atas. Sarapan pagi disediakan di sana. Sajian makanan di hotel
tersebut diuruskan oleh pengendali katering dari Indonesia. Jadi seleranya
adalah selera Indonesia.
Terima
sajalah seadanya. Ketika itu aku cuba membayangkan bagaimana orang dulu-dulu
yang datang ke tanah suci di musim haji membawa tong bekalan makanan yang
lengkap yang dipanggil ‘Tong sara’.
Banyak
barang makanan dimasukkan, bahkan seperti yang diceritakan oleh Dato' Syed Omar
Al-Sagoff, bekas duta besar ke Arab Saudi, kelapa pun ada yang dibawa melalui
tong tersebut. Ketika itu beliau menjadi seorang pelajar di Makkah dan membantu
syeikh-syeikh haji ketika musim haji, sebelum wujudnya Sistem Muasasah seperti
sekarang
.
Sekarang
kemudahan katering telah disediakan oleh pengendali pakej umrah dan haji. Tidak
perlu bersusah payah. Semua telah tersedia. Pilihan makanan ala-Arab yang
popular di Malaysia seperti “Nasi Mandy” juga tersedia. Cuma siapkan riyal
banyak-banyak. Semua tersedia, berbagai makanan dari India, Pakistan, Arab,
tersedia di restoran-restoran yang bertaburan di sekitar Madinah.
Tradisi
membawa bekalan makanan oleh para jemaah haji ketika zaman pengangkutan air
melalui kapal haji, tidak berakhir. Nampaknya akan berterusan sampai bila-bila.
Pada tahun 2013, ada isu rampasan barang-barang makanan oleh pihak berkuasa
Arab Saudi di LTA Jeddah.
Ada
jemaah haji yang membawa makanan termasuk biskut turut dirampas dan tidak
dibenarkan dibawa masuk. Memang kita melihat nilai sekotak atau sebungkus
biskut adalah kecil dibawa masuk. Jika berjuta-juta biskut dibawa masuk oleh jemaah
tentulah kesan dari segi penawaran dan permintaan di pasaran ketika musim haji
terjejas.
Semua
telah disediakan di hotel-hotel atau maktab-maktab yang dikendalikan oleh pihak
Tabung Haji, yang ditempatkan di hotel-hotel di Madinah dan Makkah. Oleh itu jemaah
telah dinasihatkan supaya tidak perlu bersusah payah membawa barang-barang
makanan.
Apabila
aku dan Syauqi sampai di dewan makan, kelihatan mutawif dari Tiram Travel yang terdiri daripada Ustaz
Zul, Ustaz Zakaria dan Ustaz Roslan telah punberada bersama-sama dengan jemaah.
“Ada
sesiapa yang sesat tak semalam, ada yang tak jumpa pintu keluar?” Ustaz Zul
cuba mengambil kepastian daripada jemaah. Bunyinya seperti berjenaka, tetapi
ada insiden yang telah berlaku sebenarnya.
“Ada
sesiapa nampak Pak Long, sampai sekarang ini tak balik”? Ustaz Zul memaklumkan
bahawa seorang Pak Cik berumur dalam lingkungan 80an dalam kumpulan umrah kami
tidak dapat dikesan.
Beliau
datang bersama isterinya, dan sejak dari malam pertama hingga pagi itu, Pak
Long tidak dapat dikesan. Pak Long dikatakan ada penyakit lupa. Usaha telah
dibuat oleh jemaah yang lain, Pak Long dapat dikesan dan dibawa balik ke hotel.
Sejak daripada hari itu sehinggalah berada di Makkah, Pak Long diletakkan di
bawah jagaan ketat Ustaz Zul
“Hari
ini bebas, boleh buat acara sendiri. Besok kita buat ziarah luar secara
ringkas”, Ustaz Zakaria membuat pengumuman.
“Petang
nanti lepas solat Zohor dalam 2.30 petang’, kita berkumpul. Kita ada majlis
Ta’aruf”, sambung Ustaz Zul sambil membaca hadith Nabi Muhammad
berkaitan
kepentingan ta’aruf. Saling kenal mengenali dalam satu jemaah.
Selesai
sarapan, aku mengambil makanan sarapan dan membawa masuk ke dalam bilik hotel.
Ini kerana sukar bagi kami untuk mengawal Iris, jika bawa bersama bersarapan.
Jika anakku menunjukkan perangainya mungkin menganggu ketenteraman jemaah yang sedang
bersarapan.
Kami
pun bersiap-siap untuk ke Masjidil Nabawi. Iris nampaknya cukup ceria dibawa
berjalan. Dia kelihatan amat sihat dan cergas. Memang anakku yang istimewa ini
amat suka berjalan-jalan. Sejak dari kecil habis kawasan padang rumah sewa
tempat kami bermukim di Tennyson,
Australia menjadi tempat permainannya.
Adalah
menjadi kegemarannya berjalan. Bagaimanapun, dia perlu dikawal kerana
kanak-kanak autisma tidak ada respon kepada bahaya dan persekitaran. Pintu
rumah kami biasanya dimanggakan dengan ketat kerana sedikit laluan akan
menyebabkan Iris keluar ke jalan besar, tanpa memperdulikan bahaya dari motor dan
kereta yang sedang lalu-lalang di jalan.
Terdapat
juga laporan akhbar mengenai kanak-kanak autisma yang dijumpai merayau-rayau
hingga ke R&R di tanahair. Ini semua kerana mereka tidak bertindakbalas
kepada bahaya, dengan kata lain tidak faham suasana bahaya dan tidak menyedari
apa yang sedang mereka lakukan.
Sampai
di dataran Masjidil Nabawi yang luas, Iris dibiarkan berjalan. Mula-mula
berjalan kemudiannya berlari laju. Anak lelakiku, Syauqi mengawal keadaan,
berkejar mendapatkan Iris yang kelihatan bergerak laju dalam dataran yang amat
luas itu.
Ini
kerana selain daripada orang ramai yang berjalan, berehat dan berbual di
kawasan dataran, terdapat beberapa kenderaan mesin-mesin pembersih dataran yang
sedang bekerja. Pekerja pembersihan yang dipegang oleh Syarikat Ben Laden akan
sentiasa melakukan kerja pembersihan hampir selalu, setiap hari. Ini bagi
memastikan kawasan dataran bersih dari kekotoran dan najis.
Kami
bergerak ke kawasan dataran berhampiran Kubah Hijau. Aku menerangkan serba
sedikit kepada isteriku, Haida yang tidak dapat melakukan ziarah malam semalam.
Seperti
biasa petugas masjid melarang kami berdoa di kawasan hadapan kubah, di dataran
masjid. Jadi, mengikut pesan Ustaz mengadap ke arah kiblat dan kami sama-sama
membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan umrah yang dibawa bersama.
“Assalamu’alaika
Ya Ayyuhannabiyyul Karim. Warrasulul ‘Azim, warra u furrahim. Warahmatullhi
Wabarakatuh”
Selamat
sejahtera ke atasmu wahai junjungan yang mulia, rasul yang agung, pemurah lagi
penyayang, moga-moga dirahmati dan diberkati Allah ke atasnya.” Ini lah doa
yang dianjurkan dibaca sebagai salam kepada baginda Rasulullah
.
Ketika
doa dibacakan, buat kali pertama aku melihat anakku Iris, turut sama mengangkat
tangan berdoa sambil tersenyum. Sedangkan sebelum ini Iris langsung tidak
pernah berbuat demikian. Kami percaya Ini semua adalah satu rahmat dari Allah.

Bahkan
Iris juga tidak sibuk membuang air dalam pampersnya ketika keluar berjalan.
Satu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah bagi memudahkan kami melakukan
ziarah.
Bayangkan
jika seperti biasa perlu ke tandas atau bilik air, dan bilik air juga terletak
dalam lokasi yang jauh, perlu mencari bilik air yang sesuai dan sebagainya.
Mengenangkan ini kami menitiskan air mata, terharu dengan kemudahan yang Allah
beri.
Setelah
lama berdoa dan bermunajat di kawasan Kubah Hijau kami pun beredar dari kawasan
dataran menuju ke luar masjid. Mungkin isteriku hendak melihat barang-barang
yang ditawarkan oleh puluhan peniaga di luar masjid. Kebanyakkan daripada
penjual tersebut adalah wanita yang memakai cadur[1].
Kelihatan
mereka bukanlah orang dari Tanah Arab. Kelihatannya dari negara-negara afrika
seperti Sudan dan Somalia. Peniaga-peniaga Arab biasanya akan berjual di
gedung-gedung perniagaan yang telah dikhaskan.
Manakala
wanita bercadur hitam dan berjubah hitam akan datang secara berkumpulan
memenuhi kawasan luar masjid, dengan menggendong barangan mereka terutamanya
selepas waktu solat fardhu, kerana ketika itu ribuan jemaah akan keluar dari masjid
menuju ke hotel-hotel untuk berehat.
Wanita-wanita
bercadur hitam dan peniaga lelaki tidak dikepung atauatau dihalang dari
berniaga sepertimana kumpulan wanita dan lelaki yang sama yang berniaga sekitar
Makkah, oleh pihak berkuasa. Mungkin dasar untuk mereka berbeza di Madinah.
Dalam
perjalan pulang kelihatan ramai jemaah yang membawa beg pakaian. Mereka
meletakkan beg mereka di sepanjang dinding luar masjid arah ke dataran. Mereka
juga turut kelihatan tidur di sebelah beg mereka tanpa di ganggu oleh petugas.
Mereka mungkin tidak menyewa hotel atau rumah penginapan kerana sewa yang mahal.
Mereka kelihatan memakai “kurta”, mungkinkah mereka daripada India, Pakistan
atau pun Bangladesh.
Kami
berjalan pulang meninggalkan dataran, di pertengahan jalan menuju ke Pintu
No.15, tiba-tiba Iris berlari menuju ke hadapan. Di sekitar kawasan itu
terdapat empat buah mesin pencuci sedang bekerja dengan pekerja pembersihan sibuk
mencuci kawasan dataran dengan mesin.
“Abah,
Iris dah lari ke depan, cepat’, kata Syauqi kepadaku
“Ya
Allah, “kata isteriku yang agak tereranjat dengan keadaan itu.
Memang
apabila terlepas daripada pegangan memang Iris akan berlari tanpa memperdulikan
sekeliling. Terdapat beberapa orang kanak-kanak arab, mereka juga berlari-lari,
mereka boleh dikawal, mereka tidak seperti Iris.
Aku
berkejaran ke arah Iris. Apabila mendapatkannya aku membongkokkan badan
menyuruh Iris memanjat belakangku untuk didokong dari arah belakang. Keadaan neuron pada kakinya menyebabkan kakinya
sukar dibengkokkan.
Ketika
itu apabila aku menoleh ke belakang, kelihatan berderetan empat buah mesin
pencuci di belakangku, mereka menungguku selesai mendokong Iris. Sesuatuyang
kelihatan lucu jika diambil gambar ketika aku membongkok dengan berderetan
mesin pencuci dataran di belakangku.
Kami
seterusnya meneruskan perjalanan balik dan singgah di tempat wanita-wanita
bercadur hitam menjual barangan, sebelum balik ke hotel penginapan. Banyak
barangan keperluan boleh dibeli terutamanya jubah dan barang-barang hiasan.
Sesiapa
yang tidak membeli jubah ketika di tanahair, bolehlah mendapatkannya di sini
dengan harga yang jauh lebih murah. Jubah boleh dipakai ketika beriktikaf di dalam
masjid atau pun ketika ziarah luar Madinah.
Sebelum
balik ke hotel kami singgah di arked niaga yang ada di sekitar Hotel Mawaddah
As-Safwa. Banyak barangan keperluan tersedia di sana. Boleh pilih dan beli mana
yang berkenan. Jika belum mendapatkan tali pinggang untuk kain ihram atau kain
ihram bagi mengerjakan umrah boleh diperolehi di sini.
"Fatimah,
Zahrah, Ummi Kalthum, sila-sila mari masuk, boleh tawar, Halal". Itu
adalah panggilan para pekerja arked perniagaan kepada kaum ibu dan wanita dari
Malaysia yang mengunjungi atau melintasi arked perniagaan mereka. Mereka sangat
ramah dan boleh berbahasa Melayu asas untuk melariskan jualan. Penduduk Madinah
memang ramah tamah, tradisi sejak turun temurun.
Penduduk
Madinah sebelum kedatangan atau penghijrahan Nabi Muhammad
, adalah terdiri
daripada dua kaum utama iaitu Aus dan Khazraj. Suku Aus dan Khazraj adalah dua
bangsa Arab yang membantu penghijrahan Nabi Muhammad
. Mereka menyambut
dengan gembira rombongan hijrah Nabi Muhammad
.
Dikisahkan
semasa penaklukan Mekah dari kaum musyrikin Quraisy pada tahun ke-lapan Hijrah,
seramai 4000 orang dari suku Aus dan khazraj membantu Nabi Muhammad
. Mereka dikatakan
berasal dari Yaman dan mendiami kawasan timur yang kaya dengan pertanian dan
bahagian tengah Yathrib (Madinah).
"Boleh
tawar, boleh kurang, halal, mari masuk, mari masuk."
"Harga
boleh kurang, Ya Siti Aminah, Fatimah."
Pekerja
arked terus melaung-laung memanggil pengunjung ke arked perniagaan mereka. Kami
berlalu kembali ke hotel penginapan.
[1] Jilbab, hijab atau juga disebut
purdah