BAB 3: KURSUS DAN PERSIAPAN
Oleh
kerana kesuntukan masa yang tinggal hanya kira-kira 15 hari sahaja sebelum
berlepas ke tanah suci, aku perlu menguruskan masa bagi membuat persiapan
fizikal dan menghadiri kursus yang disediakan oleh Tiram Travel. Dari jadual yang diperolehi kami mungkin sempat mengikuti
sebanyak dua siri kursus yang dianjurkan di Muslimah
Secret, Amanjaya, Sungai Petani.
Aku
sendiri memang kesuntukan masa. Perjalanan setiap minggu dari Putrajaya ke Alor
Setar dan seterusnya ke rumah kediamanku di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas mengambil
masa kira-kira hampir sepuluh jam, jika dihitung masa berlepas dari Putrajaya Sentral
menaiki Bas E1 RapidKL yang berhenti di hadapan pasaraya Maidin di tengah jantung
ibu kota, dicampur dengan masa menunggu bas Plusliner
atau Transnasionaluntuk berlepas
dari Pudu Sentral yang kemudiannya berhenti di Hentian Duta, sebelum meneruskan
perjalanan hingga sampai di Terminal Shahab Perdana, Alor Setar.
Kebiasaannya,
aku hanya sampai pada jam 5.30 pagi setiap kali balik ke Kedah dari Putrajaya.
Habis waktu malamku pada setiap hari Jumaat di dalam perjalanan. Inilah rutin
mingguanku setelah ditukarkan dari Langkawi ke Putrajaya untk meneruskan
khidmat di Bahagian Perancangan Korporat, Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya.
Aku
perlu membuat persiapan perlu. Membeli apa-apa keperluan yang patut untuk
mengerjakan umrah, seperti membeli jubah yang akan dipakai ketika tidak
berihram, kain ihram, jubah untuk isteri, anak-anak dan lain-lain peralatan
yang perlu sebagai persediaan. Dengan masa yang amat terhad aku perlu membuat
persiapan bekalan kepada diriku serta ahli keluargaku seramai enam orang
kesemuanya.
Isteri
dan anak-anakku tinggal di Kedah dan hujung minggu menjadi masa kualiti bagiku
dan keluarga. Hujung minggu menjadi masa yang berbaki untuk kami menjenguk
kedai persiapan barang haji. Sebuah kedai yang bernama “Umrah”, telah wujud
sejak sekian lama di Jalan Ibrahim, Alor Setar menjadi tumpuan jemaah haji, juga
kami kunjungi untuk mendapatkan bekalan yang perlu. Hampir semua bekalan
pakaian telah siap dibeli.
Mengikut
pengamatan aku, bukan semua yang terjual perlu dibeli. Kerana jika ke kedai yang
menyediakan perlatan dan kelengkapan haji, semua disediakan untuk dibeli dan
harganya juga bolehlah tahan. Dari hujung rambut hingga ke kaki barangan
keperluan haji dan umrah dijual di situ. Bayangkan jika semuanya hendak dibeli.
Sebagai
panduan jika ke kedai kelengkapan haji dan berhasrat untuk mengerjakan umrah,
pakaian dan peralatan ini adalah amat mustahak diberi perhatian:
Jubah
bagi lelaki yang akan digunakan ketika tidak di dalam ihram umrah di Makkah.
Jumlahnya bergantung kepada kesesuaian kerana jubah yang dijual di sekitar
Masjidil Nabawi di Madinah lebih murah.
Baju
singlet diperlukan sekurang-kurang dua
helai setiap seorang. Singlet seperti
“T-shirt Pagoda” tetapi mempunyai poket berzip di hadapannya untuk menyimpan
wang kertas dan lain-lain benda.
Botol
semburan air yang digunakan untuk mengambil wudu’ jika tiada wudu’ atau wudu’
terbatal ketika di Masjidil Haram, Makkah.
Kain
ihram. Sekurang-kurangnya dua set perlu dibeli kerana mungkin tidak sempat
basuh jika melaksanakan umrah berulangkali.
Pakaian-pakaian
bagi wanita, kanak-kanak wanita yang sesuai mengikut keperluan seperti
telekung, tudung, jubah dan sebagainya.
Lain-lain
keperluan seperti buku doa, tasbih dan sebagainya bolehlah dibeli mengikut
keperluan sahaja. Tasbih banyak dijual oleh penjual-penjual di sekitar Masjidil
Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram, di Makkah.
Setelah
persiapan bekalan pakaian dan peralatan diselesaikan maka langkah yang
seterusnya adalah menghadiri kursus bagi bakal jemaah umrah. Maka minggu
berkutnya dipenuhi dengan acara menghadiri kursus umrah yang diadakan oleh
pihak Tiram Travel di Muslimah Secret,
Amanajaya, Sungai Petani.
Kursus
yang disediakan ini adalah percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin
mengikutinya. Jadi di dalam sesuatu siri kurus tersebut, pesertanya akan
terdiri daripada berbagai kategori seperti yang bakal menunaikan umrah, dan
mereka yang hanya ingin mendapatkan ilmu sahaja.
Kata
Ustaz Zul “Semua persiapan perlu, cuma yang paling penting adalah persiapan
hati, hati perlu dibersihkan. Kita nak mengunjungi rumah Allah, hati kena
bersih.”
“Ubat
nak bersih hati tidak dijual di farmasi, tak boleh guna sabun, fab berbuku, “Ustaz Zul menambah.
Beliau
telah ke tanah suci sebanyak 13 kali membimbing jemaah haji dan umrah.
“Apa
yang perlu untuk sucikan hati kita? Kalau Sultan jemput makan malam, atau
jemput ke istana, bagaimana persiapan kita?” Ustaz Zul melontarkan pertanyaan
kepada mereka yang sedang mengikuti kursus itu, dengan membandingkan bagaimana
persiapan untuk mengunjungi Baitullah dan jika dijemput oleh sultan.
Satu
tamsilan sebenarnya, bagaimana kita perlu bersedia sepenuhnya, menyucikan hati
dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah ketika di tanah suci.
“Ubat
cuci hati adalah sabra, Hadith Nabi
menyebut bahawa sabar itu separuh dari Iman, “
sambung Ustaz Zul.
“Sabar
atas apa saja dugaan yang ada di tanah suci nanti. Nanti akan ditolak, ditepis,
dipijak bukan sahaja orang lelaki yang perempuan pun kena, tambahan lagi ibu Arab, Pakistan dia lanyak kita macam
tu saja, “kata Ustaz Zul
menggambarkan suasana mengerjakan umrah terutamanya ketika melakukan ibadat
tawaf.
“Lagi
… nak sucikan hati kita kena banyak berdoa. Ada doa yang yang perlu diamalkan.
Nak amalkan bila? Amalkan sekarang dan sehinggalah habis kerja umrah, “tambah
Ustaz Zul. Cara penyampaiannya adalah mudah difahami memang beliau seorang mutawif
yang berpengalaman dan berpengetahuan.
Kata
Ustaz Zul “
, baca doa ini minta
Allah tetapkan hati kita semua, tetapkan hati jangan pesongkan ke arah tarikan
lain. Hanya menyerahkan diri kepada Allah.”
“Bukan
apa, nanti yang lelaki termasuk sayalah, tengok perempuan Arab, Pakistan yang
comel-comel masa bertawaf, kalut,
silap-silap bukan melakukan tawaf tapi mengikut perempuan Arab,” nasihat Ustaz
Zul.
“
Memang … di sana nanti godaan dan cubaan cukup banyak. Kena tahan, “ kata Ustaz
Zul, disambut dengan deraian ketawa oleh para bakal jemaah.
Ustaz
Zul yang baru dikenali pada kursus itu kelihatan seolah-olah lama dikenali.
Bahkan wajahnya bagai pernah dilihat sebelum ini tapi tidak tahu di mana.
Apabila berbual dengannya barulah diketahui bahawa beliau pernah bersekolah di
sekolah Arab, Guar Chempedak, Pondok Pakya[1]
dan seterusnya belajar di Pakistan selama hampir tujuh tahun.
“Saya
dulu pun nakal, pernah kerat telinga orang”, kata Ustaz Zul sambil cuba menggambarkan
keadaan beliau sebelum menjadi mutawif.
Tapi
aku percaya itu hanya selorohnya sahaja, kerana di Kedah tahap “kerat telinga” itu
memang ada di zaman dulu dan boleh setaraf dengan kongsi gelap atau mafia.
Kursus
yang diikuti itu Insya-Allah mudah difahami jika panduan umrah dibaca terlebih
dahulu sebelum berkursus. Berbagai jenis buku panduan dikarang dan dijual di
kedai buku. Boleh dipilih dan dibeli mana yang sesuai. Kebiasannya syarikat
penyedia perjalanan umrah akan membekalkan buku panduan setelah mendaftar
dengan mereka. Buku yang lengkap berkaitan falsafah haji dan umrah termasuk
catatan perjalanan juga boleh diperolehi di mana-mana kedai buku yang menjual
buku-buku agama.
Kami
faham apa yang telah disampaikan. Cuma hatiku terbuku. Satu persoalan masih
belum terjawab. Aku akan membawa seoarang anak perempuan berumur tiga tahun.
Anakku adalah seorang anak istimewa, seorang anak syurga yang mengidapi autisma.
Dua
persoalanku adalah seperti berikut:
Pertama,
perlukah aku berniat ihram di miqat untuknya ketika berihram umrah dan
membawanya bersama-sama. Apabila berniat ihram umrah, segala pantang larang
ihram perlu dijauhkan seperti menanggalkan bulu-bulu di badan termasuk rambut.
Jika tidak, akan dikenakan bayaran dam (denda).
Kedua,
aku tidak perlu berniat ihram umrah untuk anakku dan umrahnya menjadi umrah
sunat. Ini kerana anakku juga tidak tertakluk kepada pantang larang semasa
berihram.
Ustaz
Zul memberi jawapan yang baik sekali dan mudah difahami. Oleh kerana keadaan
anakku yang sukar dikawal di mana perbuatannya yang suka menarik-narik rambut
di kepala, lebih baik tidak berniat ihram umrah bagi memudahkan kawalan. Lagi
pun anakku belum cukup umur.
Jika
aku berniat ihram untuknya maka aku perlu melaksanakan ibadat tawaf untuk
diriku terlebih dahulu sebelum melakukan tawaf untuk anaku. Ini akan mengambil
masa yang agak lama.
[1]
Madrasah Taufikiah Khairiah
Al-Halimiah, Padang Lumat, Kedah. Siaran Astro ada menyediakan sebuah
dokumentari khas pada bulan 19 November 2013, bertajuk “Tragedi Pondok Pak Ya”
bagi mengenangkan peristiwa kebakaran yang menyayat hati di sekolah tersebut di
mana seramai 27 orang murid telah terkorban pada tahun 1989 dalam satu
kebakaran.