Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Pertemuan di Awan Biru ~ Fragmen 24

Lapangan Terbang Narita, Jepun

PENERBANGAN JL 723 dari Tokyo ke Kuala Lumpur akan berlepas pada jam 11.25 pagi waktu tempatan. Pengumuman agar para penumpang menaiki pesawat sudah diumumkan. Sudah tiba masanya Khaleed al-Nahyan berangkat ke Malaysia untuk menemui adiknya Abu Afdhal.

Di sana, dia tidak akan menginap di hotel. Sebaliknya, dia akan menetap di rumah Tan Sri Saiful, seorang usahawan berjaya yang juga merupakan sahabatnya. Ada sesuatu yang penting ingin dibicarakan kepada Tan Sri Saiful bila berada di negara itu. Khaleed al-Nahyan terus bangun. Akbar turut bangun menghampiri. Mereka bersalaman dan berpelukan.

“Akbar. Setakat di sini sahaja kau menemani aku. Kalau umurku panjang, kita akan bertemu lagi,” ucap Khaleed.

“Wahai Khaleed. Mengapa berkata begitu?” soal Akbar penuh tanda tanya.

Khaleed hanya tersenyum. Uringnya diurut-urut. Pada pagi ini, Khaleed bukan sahaja tidak memakai jubah, malah beliau hanya berkemeja dan berkot. Misai dan janggutnya habis ditebas, menjadikan wajahnya yang tampan dan berkarisma kelihatan biasa-biasa sahaja.

“Kenapa kau bertanyaku? Bukankah pertemuan dan perpisahan itu adat kehidupan? Bukankah nyawa itu sentiasa di tangan ALLAH ya-Qayyum?”

Kata-kata itu membuatkan Akbar turut tersenyum walaupun berasa tidak sedap hati. Lelaki bertubuh agam ini adalah pembantu peribadi yang paling setia. Walau ke mana pun Khaleed pergi, dia pasti menemani. Inilah kali pertama dia tidak bersama.

Dia tahu majikannya akan ke Malaysia untuk bertemu adiknya, Abu Afdhal seorang pengumpul dana untuk Jemaah Intifada Sedunia, sebuah pertubuhan yang dianggap pertubuhan pengganas oleh pihak barat.. Kerana itu, kebimbangannya tidak dapat disembunyikan. Kasihnya kepada Khaleed sudah sama seperti kasihnya kepada kedua ibubapanya. Lagipun, mereka teman sepermainan di perkampungan Faraheen di selatan Gaza.

Mereka sama-sama handal membaling batu ke kereta kebal Israel, sama-sama pernah dengan beraninya memecah masuk ke kuarters menyimpan makanan askar Yahudi lalu mencurinya dan sama-sama pernah meraung menatap sejujur tubuh ibu bapa masing-masing yang hancur ditembusi peluru zionis. Walaupun Khaleed kini kaya raya dan terkenal, dia masih tidak lupa akan dirinya. Di khalayak ramai, Akbar adalah pengawal peribadi. Bila di pejabat Khaleed, Akbar adalah sahabat sejatinya.

Bila panggilan akhir dihebahkan melalui siaraya lapangan terbang, baharulah Khaleed bergerak. Meninggalkan Akbar yang menghantarnya pergi dengan pandangan yang sayu. Ada sesuatu yang merisaukan sedang menendang-nendang fikiran Akbar.

“HELLO…” tegur Khaleed pada seorang lelaki berambut kerinting dan bermisai tipis yang sedang asyik memandang ke luar tingkap kapal terbang.

“Hello. Awak duduk di sini, ya?” jawab lelaki itu dengan suara yang agak kuat hingga menarik perhatian mereka di sekeliling mereka. Nyata dia terkejut disapa secara tiba-tiba lalu berkira-kira hendak bangun kerana duduk di kerusi Khaleed.

“No, no, no! Awak boleh duduk di situ. Saya tidak kisah duduk di mana-mana pun,” jawab Khaleed untuk menghilangkan rasa bersalah lelaki itu.

Lelaki itu duduk kembali lalu mengangguk penuh hormat. Mereka bertukar-tukar senyuman.

“Siapa yang duduk di sini?” tanya Khaleed sambil mengunjukkan kerusi di bahagian tengah yang masih tidak berpenumpang.

“Oh, sepatutnya isteri saya yang duduk di sini. Ah, dia profesor yang tak habis-habis dengan konvensyen. Saya sudah tempah percutian bersamanya tiga bulan lalu. Tapi dua hari lepas dia terpaksa batalkan percutian kerana ada konvensyen di New York. Jadi, saya bercuti di Malaysia bersendirian. Sedih saya, sedih…” kata lelaki itu lalu mencebikkan bibir secara bergurau.

“Ha, ha, ha!” Hati Khaleed tercuit dengan gelagat lelaki ini. “Saya pun bercuti berseorangan di Malaysia. Boleh kita bercuti bersama-sama?” ajak Khaleed.

“Boleh, boleh. Terima kasih. Duduklah,” kata lelaki itu dengan ceria.

“Assalamualaikum,” ucap Khaleed seperti orang berbisik lalu menggenggam erat tangan lelaki itu. Sesekali matanya meliar memandang ke kawasan sekeliling.

“Waalaikumussalam, wahai saudaraku Khaleed…”

“Kamu nampak kurus, wahai Abu Afdhal,” ujar Khaleed. Matanya terus menatap wajah adiknya yang sudah tak ditemui lebih sedarsawarsa. Ingin sekali dia berjabat dan memeluk adiknya untuk melepas rindu. Namun, suasana tidak mengizinkan.

“Biarlah kurus asalkan sihat sejahtera, abangku.”

“Ceritakan sedikit mengenai sahabat-sahabat kita yang lain. Abang dah lama tak mendengar khabar sahabat-sahabat kita seperti Fareed al-Tasyrif, Youssef al-Rajhi, Tareeq Ibnu Muaz…”

Maka dua saudara itu pun berbual mesra di sepanjang penerbangan selama 7 jam ke Malaysia. Banyak yang dibicarakan. Tentang perjuangan, fasal keluarga dan yang paling penting, merangka rancangan bagaimana Khaleed boleh menyalurkan wangnya ke dana Jemaah Intifada Sedunia.

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED