Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Mainan Mimpi Faryna - Fragmen 12

Pusat Perubatan Damansara One, Petaling Jaya

PUAN SRI SALWA sedang tekun melakar sebuah modul kursus pengurusan untuk kliennya. Sebagai seorang perunding pengurusan berkelulusan sarjana dalam bidang psikologi perniagaan dari The Chicago School of Professional Psychology, dia telah membuka sebuah syarikat pengurusan yang mengendalikan kursus, seminar dan pameran.

Bila suaminya mengambil keputusan untuk pulang ke pejabat, Puan Sri Salwa membuat keputusan untuk menjaga Faryna. Meskipun, anak gadis itu hanya lebam di pipi, dia tahu Faryna memerlukannya di sisi.

Dia lebih suka Faryna berehat di pusat perubatan ini. Lagi pun, di rumah bukannya ada sesiapa kecuali pembantunya, Yanti. Biarlah pembantu itu menguruskan rumah. Tambahan pula, menurut kata doktor, jika tiada apa-apa masalah, esok pagi, Faryna boleh keluar.

Sesekali Puan Sri Salwa tertoleh ke katil bila terdengar anak gadisnya itu merengek. Faryna kerap berkalih walaupun suhu di bilik ini amat dingin. Tentu dia masih trauma kerana insiden hampir diragut hingga mengganggu tidurnya. Begitulah tekaan hati Puan Sri Atika.

Dia teringat bagaimana seketika tadi, Faryna berbohong kepada Bruce mengatakan yang dia pengsan kerana pitam akibat cuaca panas. Bukannya kerana ketakutan dan lemah semangat. Bila Faryna berkata begitu, dia dan suaminya tidak boleh berkata apa-apa meskipun mereka tidak bersetuju dengan auta gadis itu. Lebih-lebih lagi Faryna telah memalukan Fariz di depan Bruce. Dia dan suaminya nampak air muka pemuda itu berubah bila mendengar apa yang diucapkan Faryna.

Walaupun Fariz hanyalah pemandu peribadi suaminya, Faryna tidak sepatutnya berbohong begitu. Lebih-lebih lagi kata-katanya itu hanyalah untuk mempermainkan perasaan Fariz. Suaminya ada menceritakan perihal Faryna yang selalu sangat bercakap kasar dengan Fariz di pejabat. Kenapa Faryna begitu, sedangkan dengan pekerja-pekerja yang lain, dia lebih tertib?

Puan Sri Salwa melepaskan keluhan. Rasa terkilan menyelinap di hatinya. Memang sukar membentuk peribadi anak gadisnya ini. Agaknya kerana terlewat mendidik Faryna, dia jadi liat dan degil. Dia tahu, Faryna menjadi anak yang terlalu manja kerana tinggal dengan neneknya sejak berusia lima tahun.

Kemalangan jalanraya yang menimpa Puan Sri Salwa ketika itu membuatkan dia berada di hospital lebih daripada tiga bulan. Kerana itulah ibunya mencadangkan Faryna tinggal sahaja di kampung. Bila dia pulih, neneknya pula tidak mengizinkan Faryna kembali ke pangkuan keluarga sehinggalah dia menduduki PMR.

Setelah neneknya meninggal dunia, baharulah Faryna dapat tinggal di rumahnya. Namun, rebung telah menjadi buluh. Faryna sudah sukar dilentur. Kadangkala dia terfikir, mengapalah dia sukar sangat membentuk anak gadisnya itu padahal dia sendiri seorang pakar psikologi. Mungkin dia selalu mati akal bila ibunya pula yang merajuk setiap kali dia meleteri Faryna. Mahu tak mahu dia seolah-olah pasrah dengan apa yang dihadapi. Namun, dia kerap mendoakan agar satu hari nanti anaknya dapat juga berubah menjadi seorang gadis yang sopan santun, berbudi bahasa dan mendengar kata seperti anak gadis Melayu selain sikap-sikap yakin diri, bijak dan berdikari sudah ada di dalam diri anaknya itu. Bila? Entahlah…

“Mama…” kedengaran Faryna merengek.

Puan Sri Salwa menoleh. Dia terpandang tangan anaknya yang terdepang. Seolah-olah minta didukung. Terdetik di hatinya agar membiarkan sahaja Faryna bersendirian. Biar dia tidak terlalu manja kerana dia sudah besar panjang. Namun Puan Sri Salwa tak sampai hati bila anaknya itu merengek lagi. Lalu, wanita itu tersenyum seketika melihat ulah anak manjanya. Dan dia bergegas menghampiri Faryna.

“Ryna dah jaga? Nak apa?” soalnya sambil mengusap rambut anaknya.

Dahi Faryna dikucup lembut. Namun bila kedua-duanya bertatapan, Puan Sri Salwa kaget bila terpandang mata anaknya berkaca.

“Hei, kenapa ni, sayang?” tanya Puan Sri Salwa bila terpandang bibir anaknya tercebir-cebir.

Faryna terus memeluk ibunya bagai tidak mahu melepaskan. Anaknya kini tersedu-sedan. Petanda Faryna telahpun menangis ketika dia asyik merangka modul kursus di komputer ribanya. Tubuh Faryna diusap perlahan. Kemudian digoyang-goyangnya sambil memeluk erat. Bagai mendodoi si anak kecil. Setelah esakan anaknya reda, baharulah Puan Sri Salwa merenung kembali wajah anaknya. Menanti jawapan dari bibir mungil itu.

Dengan malu-malu, Faryna menzahirkan mengapa dia bersedih, “Ryna teringatkan Smokey, ma…”

Wajah Puan Sri Salwa berubah dari bimbang kepada ceria. “Oh… anak mama gelisah dan bersedih kerana teringatkan Smoky rupanya…”

“Ala… mama ketawakan orang, pulak,” kata Faryna dengan cebikan di bibirnya.

“Iya, lah. Apa yang nak dibimbangkan. Bukan ke Kak Yanti ada? Mesti makan minum Smoky dijaganya,” kata Puan Sri Salwa untuk meredakan kerisauan anaknya itu.

Dia tahu Faryna amat sayangkan kucing yang berwarna kelabu asap itu. Kucing yang kecil itu kini sudah tembam kerana dijaga dan dibelai bagai bayi. Kadangkala makan bersuap dan tidurnya pun di hujung kaki anak gadisnya.

“Sudahlah, Ryna. Berehat, ya? Mama nak siapkan kerja sikit,” kata Puan Sri Salwa seraya mengunjukkan kertas-kertas yang bersusun di atas meja kecil di bilik wad itu.

Faryna mengangguk. Perlahan-lahan jari jemari ibunya dikucupnya. Si ibu bangkit lalu menyelimutkan tubuh anaknya. Kemudian dia beralih ke kerusi untuk meneruskan kerja-kerja pejabatnya. Tidak disedarinya Faryna membuka mata dan terkelip-kelip memandang ke langsir yang beralun-alun ditiup angin penghawa dingin.

Seketika kemudian, wajah Fariz menjelma kembali. Kali ini, bukan di dalam mimpi tetapi di layar minda ketika dia kini terjaga. Hatinya dicengkam sayu mengingatkan apa yang dilakukan terhadap pemuda itu. Perlahan-lahan jejarinya mengelap matanya yang berair. Ada rasa kasihan terhadap pemuda itu menyelinap di sanubarinya.

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED