Damansara
One, Kuala Lumpur
PETANG ini Fariz mengambil Faryna dari satu temujanji di
sebuah lokasi perniagaan yang baru. Kawasan ini tidak begitu sibuk. Masih ada beberapa premis perniagaan yang
belum dibuka. Tidak banyak kenderaan yang memenuhi kawasan ini. Walaupun begitu, Fariz tetap memandu dengan perlahan.
“Ha? Sepuluh ribu ringgit?”
Tengkingan Faryna mengejutkan Fariz. Sekilas, dia menatap
cermin pandang belakang. Gadis itu kelihatan menyinga. Wajahnya memerah.
Dahinya berkerut seribu. Fonselnya terapat ke telinga.
“Sudahlah, Zack! Kan, kita dah putus? Tak boleh! Tak
boleh!! Tak boleh!!!” Faryna terjerit.
Membingitkan
suasana di dalam kereta. Dengan pekikan itu, Fariz tidak perlu lagi memekakkan telinga kerana
suara itu memang pun membuat telinganya tuli. Tidak lama kemudian, Fariz terdengar esak tangisan. Tergerak hatinya
hendak memujuk, walau sekadar menyuruh gadis itu bersabar.
Lalu Fariz mencuri
pandang ke cermin pandang belakang. Mata mereka bertembung! Lekas-lekas Faryna
memandang ke luar tingkap. Secara sembunyi-sembunyi, dia mengelap air matanya
dengan jari. Pasti dia ingin menyembunyikan remuk hatinya ketika ini.
Bila
melihat reaksi begitu, Fariz tak jadi
membuka mulut. Sudah pasti Faryna bergaduh lagi dengan Zack, teman lelaki yang
dikatakan oleh Siti. Biarlah dia merawat hatinya dengan berdiam diri. Dengan berdiam
dan bermenung, boleh juga kekusutan fikiran dilerai. Bila memikirkan
begitu, Fariz terus memandu.
“Berhenti!”
perintah Faryna.
Fariz
terpinga-pinga. Apakah Ryna bercakap dengannya atau dengan seseorang
melalui fonselnya? Dia melihat ke cermin pandang belakang. Berkomunikasi dengan
mata, inginkan kepastian melalui bicara tanpa suara.
“Berhentilah, woi!” jerit Faryna lagi. “Aku nak pegi
bank!”
Fariz membrek. Reaksinya spontan kerana terkejut.
Rupa-rupanya Faryna bercakap dengannya, bukan dengan orang lain di fonselnya.
Nyaris lori pikap di belakang tercium bontot keretanya. Faryna segera membuka
pintu.
“Ryna
hendak saya temankan?” tanya Fariz. Terpacul pertanyaan dengan niat hendak
menjaga keselamatan gadis itu.
“Huh!”
Itu
sahaja jawapan Faryna. Dia menghempas pintu. Berdentum bunyinya. Fariz mengintai ke cermin sisi. Mengekori
pergerakan Faryna menuju ke bank. Sekejap sahaja gadis itu sudah hilang dari
pandangan. Fariz tergeleng-geleng kesal.
Setelah mengeluh panjang, dengan perlahan dia memandu kereta mencari petak
parkir.
Fariz mendengus pula bila berasakan kerenah gadis
ini mula memakan hatinya. Baru seketika tadi dia bersedih. Tak sampai seminit
sudah menyinga kembali. Apalah punya perangai. Kalau diikutkan hati mahu sahaja
Fariz bertegang urat dengan Faryna.
Bukannya dia tidak boleh menggarangkan dirinya. Bukannya dia tidak tergamak
untuk mensamsengkan dirinya. Bukan juga dia tidak boleh mendajalkan gadis ini
dengan meninggalkan dia supaya dia pulang sendiri sebagai satu pengajaran. Tetapi
apa kesudahannya?
Dia
mungkin menimbulkan masalah lain. Tan Sri Daud yang memanjakan anak gadisnya
ini tentu tidak suka kalau dia menegur Faryna. Silap haribulan, dia boleh
diberhentikan kerja. Jika itu berlaku, Tuan Aziz pasti akan marahkan dia. Ah,
sukarnya kalau bekerja dengan dua majikan!
Kerana
seorang gadis, dia mungkin tidak dapat melaksanakan misinya. Tapi apa misinya?
Mengapa Tuan Aziz tidak mahu memberinya tugasan selain menyuruhnya menjadi
pemandu kepada Tan Sri Daud? Fariz mengeluh lagi. Untuk menenangkan hati, Fariz
cuba membuang fikirannya daripada tertumpu memikirkan tentang Faryna. Tiba-tiba
fonselnya mengalunkan lagu.
“Helo,
hensem!” kedengaran satu suara wanita yang serak-serak basah di hujung talian.
“Hei!
Kak Mala kat mana? Dah keluar hospital ke?”
Hati
Fariz yang membengkak berasa teruja
mendengar suara rakan sejawatnya, Normala Mustakim. Sewaktu wanita itu
dimasukkan ke wad ICU kerana cedera terkena tembakan Mehmoud, dia hanya sempat
melawat wanita itu sekali. Sejak itu dia tidak menemui Normala. Tiba-tiba
wanita ini sudah menelefon dengan suara yang ceria dan bertenaga. Ibu tunggal
beranak seorang ini sungguh kuat semangatnya.
“Aku
dengar, kau kena jadi derebar Tan Sri Daud. Betul, ke?”
“Alah, dah kena kerja macam ni, nak buat macam
mana?” jawab Fariz .
“Hei,
aku bukannya kutuk kaulah, Fariz. Aku pun kena buat kerja lebih teruk dari kau,
tau tak?”
“Kerja
apa?”
“Tukang
jaga tandaslah!”
“Ei,
ni ejen apa, da?”
“Hei,
tandas pun sebenarnya syurga penjenayah, tau!” jawab Normala membetulkan
tanggapan rakannya.
Kedua-duanya
tertawa galak. Saling usik mengusik.. Perbualan mereka semakin rancak.
Bertukar-tukar fikiran, pendapat dan juga cerita lawak yang masing-masing
alami.
FARYNA memasukkan 100 keping not seratus ringgit ke dalam tas tangannya. Wang
tunai berjumlah RM10,000 itu hendak dipinjamkan kepada teman lelakinya, Zack.
Dengan pantas dia melangkah keluar bank.
Di
muka pintu, matanya melilau tercari-cari di mana Fariz. Faryna mendengus bila
nampak Fariz memarkir kereta agak jauh
dari bank. Sambil merungut-rungut dia melangkah juga. Menyelit dan memintas
sesiapa sahaja yang berjalan lebih lambat darinya. Memang Faryna begitu. Tidak
suka berjalan di belakang orang. Kalau boleh, semua orang mahu dipintasnya.
“Boleh
tumpang tanya?”
Satu
suara menegurnya. Faryna menoleh. Terpandang seorang lelaki bertopi yang
tersengih padanya. Dia terpegun seketika. Tertanya-tanya apakah hajat lelaki
ini. Tak semena-mena dia terasa tas tangannya direnggut dari belakang.
“Hei,
hei, hei, apa ni?” bentak Faryna bila terpandang seorang lelaki yang tidak
dikenali muncul untuk merampas beg tangannya dari belakang.
Dia
menarik tas tangannya. Buat beberapa saat kedua-duanya saling meregang tas
tangan Faryna. Gadis itu memeluk begnya sekuat tenaga.
“Tolong!!!
Fa... Fariz !!!” Faryna menjerit sekuat hatinya.
PERBUALAN Fariz dengan Normala terhenti.
Fariz menjenguk ke luar tingkap bila terdengar jeritan nyaring itu. Terpandang
dua orang lelaki sedang cuba merampas tas tangan Faryna. Dengan pantas, Fariz keluar dari keretanya.
“Mala!
Situasi cemas! Ada rompakan! Hubungi polis!” katanya sebelum menutup fonselnya
lalu berlari ke arah Faryna.
“Wei!
Berhenti! Bagi wang budak tu pada aku! Dia pergi bank sebab nak bayar hutang
dia pada aku!” jerit Fariz memberi arahan.
Sengaja menyerkap jarang meminta wang, kerana wanglah barang utama yang
lazimnya diingini peragut. Sengaja menimbulkan tipu muslihat untuk mengelirukan
fikiran peragut-peragut itu barang seketika.
“Jangan
rapat. Kalau kau rapat, aku akan cederakan dia!” pekik salah seorang peragut.
“Aku
hanya nak duit aku! Buatlah apa yang kau suka pada dia. Aku pun bukan peduli
dengan si mulut murai tu!” jawab Fariz. Dalam suasana yang genting itu, dia
sempat mengata Faryna. Komen itu
membuatkan Faryna membuntangkan matanya ke arah Fariz! Fariz hanya tersenyum di dalam diam. Puas sedikit
hatinya dapat mengata, walaupun seolah-olah tidak disengajakan.
Kedua-dua
lelaki yang menghimpit Faryna itu terpaku seketika. Mereka tidak terfikir
lelaki di depan mereka tergamak membiarkan gadis yang dimangsai hanya kerana
wang. Mereka saling pandang memandang sesama sendiri. Pada kesempatan itu,
Fariz menerpa ke arah salah seorang
perompak itu. Tapak tangannya cepat sahaja menolak rahang perompak itu hingga
dia terdongak. Kakinya segera membentes pelipat perompak itu. Menyebabkan
penjahat itu jatuh terlentang. Kepalanya terhentak ke jalanraya. Dia pengsan.
Tindakannya
itu membuatkan seorang lagi perompak menumbuk muka Faryna dan merentap tas
tangan gadis itu. Faryna ditolaknya dan dia cabut lari. Mujurlah Fariz sempat menahan Faryna dari jatuh tersembam.
Dalam pada itu, Fariz sempat memandang
wajah Faryna yang benar-benar pucat.
“Tolong
dia!” Fariz memerintah kepada beberapa
orang ramai yang mula datang berkerumun. Mereka segera membantu. Menyandarkan
Faryna di kaki lima. Lantas Fariz berlari mengejar perompak itu. Tiba-tiba
sebuah kenderaan pacuan empat roda muncul dan berhenti. Peragut itu segera melompat
ke dalam kenderaan itu.
Fariz segera melangkahi parit dan berdiri betul-betul
di laluan kenderaan itu. Matanya tajam mempastikan ada dua orang penjahat
berada di dalam kenderaan itu. Seorang pemandu dan seorang lagi peragut yang
cabut lari itu. Kenderaan yang menghampiri itu tiba-tiba membuat pusingan ‘U.’
Fariz tidak mati akal. Dia terus berlari
dan memaut cermin sisi di sebelah pemandu dan berdiri di ruang pemijak di sisi
pintu kenderaan itu. Dengan pantas dia menyiku cermin tingkap kenderaan itu
menyebabkan kacanya berderai. Tangannya lantas menggagau stereng kenderaan itu
dan memulasnya sekuat hati. Menyebabkan kenderaan itu masuk ke dalam parit dan
terhenti.
“Tolong!
Tolong! Jangan pukul kami!” jerit kedua-dua peragut itu.
“Keluar!
Cepat keluar!” perintah Fariz.
Dengan
susah payah, kedua-dua mereka keluar dari kenderaan. Namun, sebaik sahaja
mereka muncul, Fariz terkejut.
Kedua-duanya sedang memegang parang panjang. Mereka melibas-libas parang
masing-masing. Kemudian membuka langkah ilmu mempertahan diri dengan konfiden.
Terpusing-pusing sesama sendiri menunjuk jantan. Gaya mereka begitu angkuh dan
bongkak.
“Heh!
Heh! Heh!” kedua-dua mereka tertawa terkekeh-kekeh. Memandang Fariz dari atas ke bawah dengan wajah samseng.
Fariz
hanya tercegat dengan tenang. Tidak peduli untuk membaca dan menelah
apakah bentuk serangan yang akan tiba.
“Heh!
Heh! Heh!” Kedua-duanya kian menghampiri.
“Heh! Heh! Heh!” Tiba-tiba Fariz pula yang mengajuk cara mereka tertawa.
Kedua-dua
mereka terhenti beraksi. Saling pandang memandang sesama sendiri kerana
terkejut dengan tindakan Fariz mengajuk perangai mereka. Lalu kedua-duanya
merenung Fariz. Kemudian, menapak menghampiri pemuda itu dengan wajah marah.
Namun perlahan-lahan wajah-wajah jahat itu berubah. Bertukar ke wajah-wajah
bimbang bila terpandang sepucuk pistol di tangan Fariz. Mereka tidak menyangka
Fariz mempunyai senjata yang boleh
mencabut nyawa mereka dalam sesaat.
Fariz menguis muncung pistol. Mengisyaratkan mereka
meletakkan senjata. Kemudian, kedua-duanya terkial-kial diarahkan duduk
mencangkung.
“Kawan
saya dah panggil polis. Tolong tengok mereka.,” ujar Fariz kepada pengawal
keselamatan bank yang menghampiri. “Kalau mereka melawan, belasah aje!” ujar
Fariz pula kepada orang ramai yang
mengerumuni mereka.
PERJALANAN tidak sampai 5
kilometer terasa begitu jauh. Sebaik sahaja kenderaan yang dipandu Fariz memasuki jalan besar, trafik sudah sesak kerana waktu puncak warga kota
pulang dari kerja. Walaupun sudah dua kali lampu trafik bertukar hijau, kereta
yang dipandu masih tidak dapat melepasi simpang. Sesekali, Fariz menjeling ke arah Faryna yang tersandar di
kerusi belakang.
Sebentar
tadi, Normala tiba untuk membantunya. Wanita itu menyuruhnya menghantar Faryna
ke rumah sakit dan membiarkannya menjaga ketiga-tiga peragut itu. Fariz sendiri yang mendukung Faryna memasuki kereta
kerana gadis itu masih pengsan. Pipinya membiru kesan ditumbuk. Seluruh tubuh
Faryna terasa sejuk kerana ketakutan. Setelah menyandarkan gadis itu,
Fariz lekas-lekas menyelimutkan Faryna
dengan kot Tan Sri yang memang terdapat di dalam kereta.
Bagi
diri Fariz, meskipun berdepan dengan suasana cemas adalah tugasnya, namun kali
ini hatinya berdebar kerana bukan dirinya yang menghadapi masalah tetapi anak majikannya. Mungkinkah gadis ini pengsan
kerana lemah semangat atau kerana komplikasi lain? Bila memikirkan itu,
Fariz ingin sekali cepat tiba ke pusat
rawatan.
“Fariz
...” Lemah sekali suara Faryna.
Fariz mengintai ke cermin pandang belakang.
“Nanti
tolong berikan wang ini pada Zack, ya?” kata Faryna lalu menghulur sebungkus
sampul kertas berisi wang kepadanya. “Nanti saya mesejkan alamatnya,” kata
Faryna lagi.
Tanpa
menoleh, Fariz menyambut sepucuk sampul
surat tebal yang berisi wang. Sampul itu terus diselitkan ke dalam jaketnya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...