Hotel Nilton, Brickfields, Kuala Lumpur
SEJAK tiba dari Hong Kong
dua hari lalu, dia hanya merayau-rayau di Kuala Lumpur ini. Umpama seorang
pelancong yang datang untuk bersantai menikmati kehangatan negara khatulistiwa.
Padahal, dia datang ke Malaysia kerana satu misi. Misi yang akan menaikkan
semangat para pejuang yang bersama dengannya.
Tobias,
lelaki Yahudi ini datang ke mari untuk melaksanakan arahan. Arahan yang belum
diketahuinya. Apa yang dia tahu, bila dia diarahkan ke sesuatu tempat, dia
pasti ditugaskan untuk membunuh seseorang. Sebagai seorang pembunuh upahan, dia
hanya diberikan latar tempat tetapi belum diberitahu siapa yang harus
dibunuhnya. Sebagai langkah keselamatan, senjatanya juga belum dibekalkan
sehinggalah arahan sasaran diberikan. Kerana itu dia hanya menunggu.
Sepanjang
hari, dia hanya bermalas-malas di katilnya. Menonton TV siaran Al-Jazeera untuk
melihat perkembangan yang berlaku di negara Asia Barat. Sambil duduk tersandar
di kepala katil, sesekali tangannya mencekuh murtabak yang dipesan dari kedai
mamak. Dia suka dengan makanan itu kerana mempunyai rasa rempah ratus ala
makanan di negaranya. Fonselnya berbunyi.
“Hmm...”
jawab Tobias dengan suara paraunya.
“Kau
di mana?” kedengaran satu suara di hujung talian. Tobias kenal suara siapakah
itu.
“Jangan
melawak. Dengan sistem GPS, kau tau aku ada di mana, Willem!” jawab Tobias.
“He,
he... kau tinggal di Hotel Nilton? Aku tak jumpa pun nama hotel tu bila aku
buat carian di Google. Kenapa pilih hotel tak ternama tu? Kenapa tak duduk di
Hilton Kuala Lumpur aje? Itu hotel lima bintang, tau tak?”
“Kau
nak kamera CCTV kat Hilton ambil gambar aku?” jawab Tobias tegas.
Willem
memecahkan tawanya. Tobias hanya tersengih. Kerana tidak mahu kehadirannya
diketahuilah, maka dia memilih hotel di Brickfields ini. Lagipun, kawasan ini
hampir dengan jalan keluar dari Kuala Lumpur. Dari hotelnya dia hanya perlu
menapak tidak lebih dari 100 meter untuk menaiki monorel ke kawasan operasi.
Setelah tugas selesai, dia boleh sahaja bergerak ke KLSentral dan dari situ
terus menggunakan perkhidmatan ERL untuk ke KLIA.
Semua
pergerakan itu telah dilakukannya sebagai latihan semalam. Dengan menggunakan
sistem GPS yang terdapat di fonselnya, setiap langkah, setiap halangan, setiap
saat diukur agar kesemuanya berjalan lancar, kemas dan pantas. Seboleh-bolehnya
misi yang akan dilakukannya boleh dibereskan dalam masa tiga minit dengan impak
maksimanya hanya lima saat.
“Hei,
mana arahan untuk aku? Aku dah bosan menunggu,” tegas Tobias.
“Relakslah!
Aku pun baru dapat arahan dari Gluke Chayim! Lepas ini aku hantarlah mesej,”
jawab Willem lalu mematikan talian.
Tobias
mengeluh. Dia sudah bosan menanti. Kalau boleh kesemua arahan ingin diperolehi
sekali gus. Tapi apa boleh buat. Prosedur, tetap prosedur. Dengan rasa bosan,
Tobias mencampak fonselnya ke hujung tilam. Sambil menguap, dia menepuk bantal
untuk berbaring. Hanya beberapa saat setelah dia terlentang, fonselnya
berbunyi. Tobias segera membuka peti pesanan ringkasnya.
‘Sasaran kamu: Abu Afdhal! Dia tiba Ahad ini!’
Nama
Abu Afdhal membuatkan dadanya berombak kencang. Imej Abu Afdhal segera terpapar
di skrin fonselnya. Wajah-wajah Abu Afdhal dari pelbagai sudut direnungnya.
Tobias menekan-nekan butang fonsel untuk menatap imej seterusnya. Wajah seorang
lelaki berambut pendek dan bersubang di telinga kanan ditatapnya.
‘Kontak kamu: Bruce McCallum... seorang EHM!’
“Hmph!”
Tobias mendengus bila mengetahui tugas Bruce.
Dia
berasa jengkel dengan profesion itu. Di dalam organisasinya, golongan EHM
disifatkan sebagai hamba kolar putih sementara golongan pembunuh upahan atau jackal diberi gelaran barua kolar biru.
EHM menggunakan otak sementara jackalmenggunakan
tulang empat kerat. Namun, fungsi mereka sama iaitu menghapuskan sama ada
secara halus atau kasar, lambat atau lekas.
Mesej
arahan seterusnya dibaca dengan teliti. Kemudian butang fonselnya ditekan untuk
memaparkan wajah Abu Afdhal kembali. Tobias merengus. Wajahnya bertukar menjadi
merah padam. Lalu dia membuka bajunya lalu ke bilik mandi untuk membersihkan
diri. Ketika membuka paip di sinki, Tobias memandang wajahnya di cermin. Lama
dia berkeadaan begitu.
Perlahan-lahan
jarinya meraba wajahnya. Terdapat segaris parut yang merentangi bawah kelopak
mata kiri hingga ke sebelah kiri dagunya. Parut itu adalah parut yang membawa
kenangan pahit. Pahit kerana dia hampir kecundang dalam satu pergelutan dengan
Abu Afdhal di Spanyol. Mata kirinya hampir-hampir dapat dicungkil jika dia
tidak meronta untuk melepaskan diri. Bila parutnya ada, bisa kesan luka akan
terasa. Rasa ngilu masih menjalar di ulu hatinya.
‘Bum!’
Tiba-tiba Tobias menumbuk sinki. Porselinnya retak. Air yang mengalir dari paip
terus tercurah dari mangkuk sinki ke lantai.
“Abu
Afdhal!” jerit Tobias sambil menuding jarinya ke cermin. Imej wajahnya sendiri
sudah menghilang. Apa yang Tobias nampak ialah wajah Abu Afdhal yang tersenyum
sinis kepadanya.
“Aku
akan balas apa yang kau lakukan padaku!” kata Tobias lagi sambil mengetap bibirnya.
Tobias memejam mata sambil tangannya meraup kepalanya. Lama dia mendesah
menahan geram dan dendam. Nafasnya yang termengah-mengah mula surut.
Akhirnya
Tobias mula membasuh wajahnya. Sebentar lagi dia akan ke Bintang Walk untuk
meninjau kawasan di mana sasarannya akan ditumpaskan.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...